Adakah Sakit Dada Berpunca Daripada COVID-19, Sakit Jantung Atau Keresahan?

Dijawab oleh: Dr Sri Viknarajan
Dikemaskini pada: Ogos 6, 2020

Soalan:
Selamat sejahtera doktor. Terima kasih kerana menjadi frontliners semasa musim PKP ini. Harapnya doktor sentiasa sihat dalam berbakti kepada negara tercinta. Doktor, saya ada kemusykilan dan pertanyaan. Saya lelaki berumur 55 tahun dan sejak PKP ni, saya mengalami gejala sakit dada. Adakah ianya COVID atau sakit jantung? Saya juga merasakan tertekan kerana terpaksa berkurung di rumah sepanjang PKP dan saya akan merasa berdebar-debar apabila memikirkan wabak yang bahaya ini sehinggakan sukar untuk saya tidur dengan nyenyak. Untuk maklumat doktor, saya seorang perokok tegar dan telah merokok sejak 30 tahun yang lalu. Adakah sakit dada saya ni disebabkan oleh COVID-19, masalah jantung atau apa ya doktor? Terima kasih
Jawapan:
Terima kasih atas soalan yang diajukan. Untuk maklumat anda, masalah sakit dada mempunyai pelbagai faktor dan sebab dan ianya merangkumi masalah jantung, masalah mental, paru-paru, jangkitan dan sebagainya. Untuk mendapatkan diagnosis yang paling tepat dan rawatan yang bersesuaian, maklumat lanjut, pemeriksaan fizikal dan beberapa ujian yang spesifik perlu dilakukan. Oleh itu anda disarankan untuk merujuk masalah ini kepada doktor berhampiran. Wabak yang melanda kita sekarang ini juga boleh menjadi satu igauan ngeri sehingga menyebabkan ramai orang mengalami beberapa gejala yang tidak spesifik seperti sakit dada. Anda boleh baca dengan lebih lanjut mengenai hubungan diantara sakit dada, jangkitan COVID-19 dan juga masalah keresahan di bawah.

Berita tentang COVID-19 sudah tidak menjadi asing lagi lebih-lebih lagi apabila sudah masuk hampir 5 bulan dunia digemparkan dengan wabak berkenaan. Setiap kali berita terkini tentang wabak ini dikeluarkan, setiap kali itulah rakyat mengharapkan keredaan penyakit ini dan pastinya amat berharap agar PKP segera ditamatkan. Serangan virus ini telah mempengaruhi segenap aspek kehidupan kita. Bermula dengan Perintah kawalan pergerakan yang menyebabkan semua orang terkurung di rumah masing-masing, ketakutan terhadap virus sehingga menyebabkan semua orang membeli topeng muka, sanitiser dan juga sarung tangan sehingalah kebimbangan terhadap setiap gejala yang dialami yang dikhuatiri akibat jangkitan COVID-19. 

Disebabkan gejala bagi jangkitan ini tidak spesifik dan boleh berlaku akibat masalah kesihatan lain, perkara ini sedikit sebanyak telah menyebabkan panik dan kerisauan dalam kalangan masyarakat apabila mereka menghidap gejala yang sama. World Health Organisation dan Kementerian Kesihatan Malaysia telah menyenaraikan gejala yang biasa berlaku kepada pesakit yang dijangkiti virus ini iaitu sakit tekak, batuk tidak berkahak, sesak nafas dan demam. Namun begitu, terdapat banyak kes mereka yang dijangkiti tidak menunjukkan sebarang gejala. 

Pandemik coronavirus kini menghantui kita setiap hari. Tentu ramai yang tertanya-tanya setiap kali bangun dari tidur dengan gejala sakit tekak, batuk atau sakit dada, adakah ini COVID-19? Perkara terakhir yang anda patut lakukan apabila mengalami sesuatu gejala adalah mengabaikan atau memandang remeh terhadapnya lebih - lebih lagi gejala sakit dada. Kebiasaannya, sakit dada boleh muncul dengan ciri pedih, tajam menikam, sakit seperti ditumbuk, berdebar-debar atau sesak nafas. 

Sakit dada disebabkan oleh serangan jantung biasanya digambarkan sebagai satu rasa seperti jantung anda sedang dicengkam. Gejala sakit dada harus tidak dipandang ringan, hubungi talian kecemasan atau segera ke hospital sekiranya mengalami gejala ini. Persoalan ketika pandemik COVID-19 ini bagaimanapun adalah kesukaran membezakan sama ada sakit dada yang dialami adalah satu gejala jangkitan tersebut ataupun disebabkan keresahan melampau?

Keresahan atau “Anxiety” boleh muncul dengan pelbagai gejala. Salah satunya adalah sakit dada yang datang secara tiba-tiba. Biasanya mereka yang mengalaminya merasakan sakit dada yang tajam menikam, jantung berdebar-debar serta boleh disertai dengan gejala kesukaran bernafas. Gejala ini boleh disertai dengan keresahan dan berlaku ketika seseorang dalam keadaan rehat. Segelintir pesakit yang menghidap gejala ini menyatakan bahawa, sakit dada datang apabila mereka memikirkan permasalahan atau terlalu risau seperti apabila memikirkan kemungkinan dijangkiti wabak ini. Sakit dada akibat serangan jantung juga boleh terjadi secara tiba-tiba dan biasanya merebak ke bahagian belakang atau leher dan rahang. Sakit dada yang berlaku lebih dari seminit haruslah segera diperiksa walaupun anda menganggapnya sebagai ringan. 

Sakit dada akibat jangkitan coronavirus berkemungkinan besar adalah berpunca daripada kesukaran bernafas dan batuk yang dialami. Kebiasaannya, sakit dada yang dialami datang secara berperingkat dari hari ke hari dan mungkin tidak disedari pada awalnya. Sekiranya anda juga menghidap gejala seperti batuk dan demam, adalah lebih baik anda segera ke klinik agar pemeriksaan dan ujian pengesahan dapat dilakukan.

Jangkitan ini sememangnya berjangkit tidak mengenal siapa, namun untuk merasa terlalu risau sehingga menjejaskan kesihatan mental dan fizikal adalah tidak wajar. Apa yang anda harus lakukan adalah patuhi arahan kawalan pergerakan dan jaga kebersihan. Amalkan gaya hidup sihat dan jalani kehidupan anda tanpa rasa takut yang keterlaluan. Tidak salah untuk berjaga-jaga, namun kesihatan mental anda juga harus dijaga. 

Sila rujuk doktor sekiranya mengalami sebarang gejala yang membimbangkan. Kurangkan keresahan anda dan mudahkan urusan anda tanpa perlu keluar rumah dengan menghubungi doktor secara atas talian.

Konsultasi Atas Talian
Dapatkan nasihat doktor dan Pakar Farmasi tentang ubat-ubatan secara online dari mana jua anda berada tanpa perlu menunggu giliran.
Konsultasi Doktor
RM19.99
Konsultasi Pakar
Dari RM80
Saringan Kesihatan PERCUMA
Mencegah adalah lebih baik daripada mengubati. Adakah anda sedia untuk melawan jangkitan? Ketahui dalam 5 minit!
Mula Saringan Kesihatan PERCUMA


Perlukan Nasihat Kesihatan?
Jangan Risau! Tanya soalan anda kepada seorang doktor hari ini. Tanya Doktor RM0

Anda sedia untuk lawan jangkitan?
Mencegah adalah lebih baik daripada mengubati. Ketahui jika badan anda cukup kuat untuk melawan sebarang jangkitan Mula Ujian Percuma

Farmasi Atas Talian
Dapatkan ubat anda secara online melalui e-farmasi DoctorOnCall Penghantaran Ubat Ekspres

Tentang DoctorOnCall

Artikel ini dikemaskini dan diselenggarakan oleh DoctorOnCall. Sekiranya anda mempunyai pertanyaan mengenai jawapan, sila email kami di contact@DoctorOnCall.com.my

Tanya Doktor Percuma 10.10 Health Fest: Baucar RM10!