Dikemaskini pada: Jun 2, 2020
Salam sejahtera doktor, nama saya Muhd Atiq dan saya seorang pelajar di sebuah universiti tempatan. Baru-baru ini saya mengalami gejala selesema dan batuk kering. Saya cuba melihat dalam talian mengenai kondisi yang saya alami ini dan saya berasa saya mempunyai selesema atau jangkitan influenza. Persoalan saya adalah, bolehkah saya menggunakan ubat antibiotik yang diberikan kepada adik saya? Hal ini kerana adik saya juga mempunyai gejala yang hampir serupa dan diberikan ubat antibiotik kepadanya. Selain itu, saya juga ingin mendapatkan kepastian doktor mengenai perkara ini kerana saya ada terdengar tentang krisis kerintangan antibiotik baru-baru ini. Harap doktor dapat memberikan penjelasan lanjut kepada saya. Sekian
Salam sejahtera juga diucapkan kepada saudara Muhd Atiq dan terima kasih atas soalan yang diajukan. Berdasarkan keterangan dan soalan yang anda berikan, terdapat beberapa kemungkinan kepada gejala yang anda alami seperti demam selesema biasa, jangkitan influenza ataupun jangkitan koronavirus (memandangkan sekarang adalah wabak virus ini). Namun begitu, diagnosis yang tepat memerlukan konsultasi bersama doktor dan orang awam dinasihatkan untuk tidak membuat diagnosis sendiri secara atas talian. Manakala bagi penggunaan ubat antibiotik untuk demam dan antibiotik untuk batuk, ianya tidak disarankan sama sekali kerana organisma terlibat adalah berbeza. Bagi menjawab soalan berkaitan antibiotik dan krisis kerintangannya, saya akan menghuraikan dengan lebih lanjut dalam artikel dibawah.
Dalam dunia perubatan moden, penemuan antibiotik merupakan anugerah kepada kesihatan manusia. Dengan adanya antibiotik serta ubat-ubatan antimikrobial yang lainnya, jangka hayat populasi manusia meningkat dengan dramatik berikutan kekurangan kes kematian akibat jangkitan kuman. Maksud antibiotik adalah sejenis ubatan yang digunakan untuk membunuh atau membendung penyebaran kuman bakteria. Terdapat pelbagai jenis ubat antibiotik dan fungsi antibiotik mengikut jenis jangkitan dan bakteria yang terlibat.
Antara salah faham umum mengenai kelas ubat ini adalah bahawa ianya boleh digunakan dalam segala jenis jangkitan kuman. Sebenarnya antibiotik sememangnya khusus untuk melawan bakteria sahaja dan ia tidak boleh melawan jangkitan yang disebabkan oleh virus seperti selesema dan influenza ataupun jangkitan kulat seperti kandidiasis. Kadangkala, antibiotik diberikan kepada pesakit yang mendapat jangkitan virus kerana risiko untuk mereka mendapat jangkitan sekunder oleh bakteria adalah tinggi.
Walaubagaimanapun, kes ini jarang berlaku dan hanya boleh diberikan dengan nasihat doktor sahaja. Disebabkan salah faham ini, lahirnya isu yang sangat berat dalam dunia perubatan yang memberi impak negatif kepada masyarakat kita iaitu, kerintangan antibiotik.
Acapkali kita mendengar di media sosial mahupun di media massa mengenai kegunaan betul ubat antibiotik dan risiko jika disalahgunakan. Tidak semua bakteria adalah jahat bahkan terdapat bakteria baik yang berfungsi dalam usus untuk kesihatan usus kita serta diluar kulit kita sebagai perisai daripada jangkitan kuman lain. Jangkitan oleh bakteria boleh berlaku oleh pelbagai faktor dan boleh terjadi pada saluran udara, kulit, organ dalaman mahupun dalam saluran darah.
Seperti yang telah dinyatakan di atas, setiap jangkitan boleh disebabkan oleh bakteria yang berbeza, maka ianya memerlukan antibiotik khusus untuk melawan organisma ini. Pemilihan antibiotik adalah berdasarkan kemungkinan jenis bakteria yang dijangkiti, lokasi jangkitan serta status kesihatan pesakit. Jika tidak digunakan dengan tepat dan seharusnya, terdapat beberapa komplikasi yang boleh terhasil daripada penyalahgunaan antibiotik seperti:
Penyalahgunaan antibiotik boleh disebabkan faktor seperti pesakit yang meminta antibiotik, doktor tidak cakna dengan garis panduan serta kurang faham mengenai isu ini secara amnya.
Kerintangan antibiotik berlaku apabila antibiotik digunakan secara berlebihan yang tidak dihabiskan ataupun apabila tidak diperlukan. Apabila situasi ini terjadi, bakteria akan beradaptasi dengan antibiotik bagi melawan mereka dan hal ini menyebabkan mereka bertambah kuat dan menjadi rintang terhadap antibiotik. Kesan kerintangan antibiotik ini adalah sangat serius kerana jika bakteria bertambah kuat, maka jangkitan yang biasa dialami pesakit pada masa akan datang seperti jangkitan paru-paru pun akan menjadi sukar untuk dirawat dan hal ini boleh menyebabkan kematian. Adakah kita mahu hidup seperti nenek moyang kita dahulu dimana jangka hayat begitu pendek akibat jangkitan-jangkitan kuman?
Setiap lapisan anggota masyarakat bermula dengan anggota kesihatan sehinggalah kepada individu perlu memainkan peranan dalam membendung gejala ini daripada bertambah buruk. Berikut adalah beberapa langkah seperti yang digariskan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi menangani permasalahan ini:
Dengan mengambil langkah-langkah proaktif ini, nescaya isu serius ini akan dapat sama-sama ditangani. Bagi peringkat pekerja sektor kesihatan seperti doktor dan jururawat, mereka mempunyai garis panduan khusus mereka sendiri yang perlu dipathui bagi membendung gejala ini.
Akhir kata, antibiotik merupakan penemuan paling berharga dalam sejarah dunia perubatan moden. Oleh itu, marilah kita sebarkan mesej ini kepada khalayak umum mengenai kepentingan antibiotik dan mengapa semua orang perlu cakna mengenainya.
Rujukan
Soalan berkenaan - maksud antibiotik, antibiotik semulajadi, jenis ubat antibiotik, antibiotik untuk apa, kesan tidak habiskan antibiotik, ubat antibiotik untuk demam, kesan ubat antibiotik amoxicillin
Artikel ini dikemaskini dan diselenggarakan oleh DoctorOnCall. Sekiranya anda mempunyai pertanyaan mengenai jawapan, sila email kami di contact@DoctorOnCall.com.my