Jangkitan Kulat Air Pada Kaki? Ketahui Punca & Cara Merawatnya.

Disemak & Disahkan oleh Pakar Perubatan

Kandungan ini disahkan oleh lembaga perubatan berlesen kami selaras dengan garis panduan klinikal berasaskan bukti dan piawaian Majlis Perubatan Malaysia (MMC).

Pengenalan

Kulat air, kutu air atau kaki atlet adalah nama untuk satu penyakit yang sama. Untuk pengetahuan, sebenarnya penyakit kulat air atau dalam perubatan digelar tinae pedis adalah masalah kulit yang kebiasaanya terjadi pada bahagian kaki terutamanya bahagian celah kaki disebabkan oleh kulat. Jenis kulat yang menyebabkan perkara ini dikenali sebagai dermatophytes atau lebih tepat lagi trichophyton.

Keadaan ini tidak terhad hanya pada kawasan kaki namun ia juga boleh merebak ke bahagian lain seperti kuku, tapak kaki dan tangan. Walaupun jangkitan ini tidak menyebabkan masalah yang serius atau kecacatan kekal tetapi kulat air boleh mengganggu kualiti hidup dan menjejaskan penampilan. Kulat air boleh menjangkiti semua golongan tanpa mengira usia, jantina dan bangsa. Jangkitan kulat air boleh berulang sekiranya langkah-langkah pencegahan tidak dipatuhi.

Tanda Dan Gejala Kulat Air

Seperti yang dinyatakan di awal artikel ini bahawa kulat air berpunca daripada jangkitan kulat atau fungus yang membiak pada lapisan kulit terutamanya di bahagian kaki. Kulat air dapat dikenal pasti melalui beberapa tanda dan gejala umum. Antaranya termasuklah:

Rasa gatal, menyengat dan terbakar di celah jari kaki atau di tapak kaki

Terdapat luka pada kaki anda yang menjadi gatal

Kulit di celah jari kaki dan tapak kaki mengelupas

Kulit tapak kaki kering

Kulit kaki melecet

Kuku kaki rapuh dan berubah warna

Kuku jari kaki mudah tertanggal

Siapakah Golongan Berisiko Mendapat Jangkitan Kulat Ini?

Walaupun masalah ini dikenali sebagai penyakit kaki atlet, ia tidak hanya berlaku atau menjangkiti golongan atlet sahaja. Golongan yang kerap bersukan dikatakan lebih banyak dijangkiti masalah ini kerana mereka memakai kasut dan melakukan aktiviti sukan yang mengeluarkan peluh. Jadi kelembapan di dalam kasut memudahkan kulat membiak pada kulit kaki. Sebenarnya, sesiapa sahaja boleh dijangkiti penyakit kulat air. Namun begitu, tabiat tertentu meningkatkan lagi risiko untuk dijangkiti, seperti:

  • mengunjungi tempat awam tanpa memakai kasut atau selipar seperti di bilik persalinan, tempat mandi awam dan kolam renang.
  • Berkongsi peralatan peribadi seperti stoking, kasut atau tuala dengan orang yang dijangkiti kulat air

Pemakaian kasut yang ketat dan tiada pengudaraan yang baik

Membiarkan kaki dalam keadaan basah untuk tempoh masa yang panjang

Mempunyai masalah kaki berpeluh

Mengalami kecederaan pada kulit

Sebab Terjadinya Kulat Air

Terdapat banyak sebab terjadinya kulat air. Antaranya adalah:

1) Jangkitan kulat pada bahagian kaki yang selalu berada dalam keadaan lembap atau terendam untuk beberapa tempoh yang lama. Bahagian paling digemari oleh bakteria ini ialah anggota yang sering terlindung dan sentiasa dalam keadaan lembap seperti celahan jari. Tambahan, sikap sesetengah individu yang tidak menitikberatkan aspek kebersihan kaki juga boleh meningkatkan risiko jangkitan kulat ini.

2) Kulat air boleh berjangkit dan tersebar melalui sentuhan secara langsung dengan individu yang dijangkiti mahupun sentuhan pada permukaan yang tercemar seperti tuala, kasut dan lantai di tempat awam selain di kawasan berisiko seperti kolam renang, tandas dan bilik mandi.

3) Jangkitan kulat air menjadi aktif pada persekitaran panas dan lembap.

4) Pemakaian kasut yang ketat menyebabkan pengaliran udara yang tidak baik serta peningkatan perpeluhan juga menyebabkan berlakunya jangkitan ini.

5) Jangkitan kulat ini juga boleh merebak sehingga ke bahagian anggota badan yang lain sekiranya pesakit menggaru bahagian yang dijangkiti kulat air dan menyentuh bahagian badan yang lain tanpa membasuh tangan.

Rawatan

Kebanyakan kes, simptom penyakit kulat air tidak serius dan tidak memerlukan pesakit untuk berjumpa dengan doktor. Ubat-ubatan yang berkesan dalam menyembuhkan jangkitan kulat air boleh didapati di farmasi. Bagi kes yang teruk, kebiasaanya doktor akan mengesyorkan ubat antikulat yang lebih kuat.

Kebanyakan ubat-ubatan jenis topikal boleh didapati di farmasi dan ubat tersebut disapu secara langsung pada kulit. Berikut merupakan antara ubat topikal anti kulat yang boleh didapati di farmasi:

Clotrimazole

Econazole

Ketoconazole

Miconazole

Terbinafine

Sulconazole

Namun begitu, ubat antikulat perlu digunakan dengan betul kerana terdapat beberapa jenis ubat antikulat yang tidak boleh diberikan kepada pesakit orang tua, ibu hamil dan kanak-kanak kecil. Oleh itu disarankan untuk merujuk doktor dan membaca risalah yang disertakan bersama ubat dengan teliti sebelum menggunakannya. Anda juga boleh bertanya kepada ahli farmasi untuk ubat antikulat yang sesuai.

Pencegahan

Aspek pencegahan jangkitan kulat air adalah sesuatu yang perlu dititikberatkan dan tidak boleh dipandang remeh. Hal ini kerana jika hanya bergantung pada rawatan semata-mata, jangkitan kulat ini mungkin berulang. Kebersihan adalah kunci utama dalam pencegahan masalah kulat air. Berikut merupakan antara langkah-langkah pencegahan yang boleh diamalkan dalam kehidupan seharian:

  • Pastikan kaki sentiasa berada dalam keadaan bersih dan kering.
  • Elakkan daripada memakai kasut atau menyarungkan stokin semasa kaki masih lembap. Pakai kasut yang mempunyai pengudaraan yang baik dan tidak terlalu ketat.
  • Elakkan berjalan tanpa memakai selipar atau kasut semasa berada di kawasan awam.
  • Pakai stokin yang diperbuat daripada kain kapas atau bahan yang mudah kering dan jika perlu, tukar stokin dengan kerap.
  • Jangan berkongsi barangan peribadi seperti kasut, tuala, baju dan pengepit kuku dengan individu yang lain.
  • Sediakan beberapa pasang kasut untuk ditukar ganti bagi memastikan kasut kering sepenuhnya sebelum digunakan semula.

5 Fakta Dan Mitos Tentang Jangkitan Kulat Air

Walaupun penyakit kulat air adalah masalah yang biasa dialami oleh kebanyakan orang, namun masih banyak mitos tentangnya yang perlu dibetulkan. Antaranya ialah:

1) Mitos: Hanya atlet saja yang dijangkiti kulat air.

Fakta: Ia digelar ‘athlete’s foot’ kerana jangkitan ini biasanya berlaku kepada kaki atlet yang kemudian boleh merebak ke kuku kaki dan tangan. Namun, sesiapa saja boleh menghidap penyakit ini jika tidak menjaga kebersihan.

2) Mitos: Kulat air hanya menjangkiti bahagian kaki.

Fakta: Penyakit kulat air tidak hanya berlaku pada bahagian kaki malah boleh merebak ke bahagian badan lain seperti peha dan tangan.

3) Mitos: Anda tidak akan dijangkiti sekiranya menutupi kaki dengan stokin dan kasut sepanjang hari.

Fakta: Kulat yang menjadi penyebab kepada penyakit ini amat gemar kepada keadaan lembap. Stokin dan kasut yang lembap adalah medium terbaik untuk pembiakan kulat air.

4) Mitos: Jangkitan ini akan sembuh dengan sendiri tanpa rawatan.

Fakta: Tanpa rawatan, masalah kaki makan air akan berpanjangan dan menjadi semakin teruk serta mungkin merebak ke kawasan lain. Kaki akan terasa lebih gatal dan sekaligus membuatkan anda semakin tidak selesa dan mengganggu kehidupan seharian Bagi menghentikan keadaan ini berterusan, disarankan menggunakan ubat antikulat mengikut saranan doktor.

5) Mitos: Anda tidak akan dijangkiti lagi jika pernah mengalami penyakit kulat air

Fakta: Ini tidak benar sama sekali kerana jika kebersihan tidak dijaga dan tidak mengeringkan kaki dengan baik, ia boleh berulang lagi pada bila-bila masa.

Penyemak Perubatan & Pasukan Editorial

Penyemak Perubatan Disahkan Disahkan MMC

Dr. Chong Zhan Pong

Doktor Perubatan Am (GP) • Doktor Perubatan (MD), International Medical University (IMU)
DoctorOnCall

Dr. Chong Zhan Pong berkelulusan Doktor Perubatan (MD) dari International Medical University (IMU). Kepakaran klinikal beliau merangkumi perubatan dalaman, kesihatan metabolik, penjagaan pencegahan, dan telekonsultasi pesakit.

Dr. Adeline Carol Peters
Penulis Artikel

Dr. Adeline Carol Peters

Doktor Perubatan Am (GP) • Ijazah Sarjana Muda Perubatan dan Sarjana Muda Pembedahan (MBBS) — Manipal Academy of Higher Education (MAHE)

Dr. Adeline Carol Peters ialah doktor berpengalaman dan Doktor Kesihatan Pekerjaan (OHD) bertauliah dengan kepakaran luas dalam pengurusan pesakit luar, saringan kesihatan, dan advokasi perubatan pesakit.

Penjagaan Kesihatan Pantas & Sulit

Bercakap dengan doktor bertauliah dalam talian hari ini

Elakkan masa menunggu. Berhubung dengan doktor berdaftar di Malaysia melalui DoctorOnCall dalam masa kurang daripada 5 minit untuk diagnosis, preskripsi ubat, dan bimbingan klinikal.

Terokai Mengikut Topik Kesihatan

Pilih kategori klinikal untuk rawatan berasaskan bukti dan panduan pakar

100% Semakan Doktor Bertauliah

Setiap panduan klinikal disemak oleh pengamal perubatan berlesen

Berasaskan Bukti & Terkini

Selaras dengan garis panduan klinikal Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM)

Pendidikan Pesakit Telus

Berdedikasi untuk pemerkasaan pesakit dan maklumat kesihatan telus