Walaupun pneumonia kekal sebagai isu kesihatan mendesak yang boleh membawa kepada penyakit yang mengancam nyawa dalam kalangan semua peringkat umur, kemajuan dalam pendidikan umum tentang penyakit ini masih terhad.1,2
Untuk memahami bagaimana pneumonia menjejaskan kita, kita perlu memahami dahulu apa itu pneumonia. Pneumonia ialah jangkitan paru-paru yang menyebabkan kantung udara di dalam paru-paru menjadi radang dan dipenuhi cecair, sehingga menyukarkan oksigen memasuki aliran darah anda.3
Dengan itu, mari kita lihat sejauh mana anda benar-benar tahu tentang pneumonia, dan teliti kebenaran di sebalik fakta dan mitos tentang jangkitan ini.

1. Pneumonia boleh disebabkan oleh virus atau bakteria.
Benar
Pneumonia boleh disebabkan oleh pelbagai bakteria, virus dan kulat di udara yang kita sedut.4
Pneumonia yang diperoleh daripada komuniti (CAP) ialah salah satu penyakit berjangkit yang paling biasa dan punca utama kematian dan morbiditi di seluruh dunia.5 Ia diperoleh dalam persekitaran komuniti dan bukannya di hospital, rumah jagaan atau kemudahan penjagaan kesihatan lain.6 Bakteria Streptococcus pneumoniae ialah salah satu patogen bakteria biasa yang menyebabkan CAP.5
2. Pneumonia ialah salah satu punca utama kematian di Malaysia.
Benar
Setakat 2020, Jabatan Perangkaan Malaysia melaporkan pneumonia sebagai punca kematian kedua tertinggi bagi lelaki dan wanita.7
3. Sukar bernafas ialah gejala biasa pneumonia.
Benar
Apabila kantung udara di dalam paru-paru anda dipenuhi cecair, ia boleh menyebabkan pelbagai gejala seperti batuk berterusan, demam, menggigil dan pernafasan yang sukar.8
Pneumonia bakteria boleh menjadi lebih serius berbanding jenis pneumonia yang lain, dan gejalanya boleh berkembang secara beransur-ansur atau secara tiba-tiba.
Gejala mungkin termasuk demam tinggi dengan peluh berlebihan, pernafasan yang meningkat dengan cepat dan degupan jantung yang lebih laju.8 Kekurangan oksigen dalam darah anda juga bermakna bahagian badan tertentu, seperti bibir dan dasar kuku, mungkin kelihatan kebiruan. Pengambilan oksigen yang berkurang juga boleh menyebabkan episod kekeliruan atau delirium.8
Jika anda mengalami mana-mana gejala ini, jadualkan konsultasi dengan doktor secepat mungkin.

4. Pneumonia boleh menurunkan suhu badan anda, dan bukannya demam.
Benar
Gejala pneumonia mungkin berbeza bagi kumpulan tertentu. Warga emas dan mereka yang mempunyai penyakit serius atau sistem imun yang lemah mungkin mempunyai suhu badan lebih rendah daripada purata, atau perubahan mendadak dalam kesedaran mental.8
5. Pneumonia bakteria boleh berkembang selepas seseorang mengalami selesema atau influenza.
Benar
Pneumonia bakteria boleh berkembang dengan sendirinya, atau muncul selepas anda mengalami selesema atau influenza. Penyakit pernafasan atau jangkitan virus boleh meletakkan seseorang pada risiko yang lebih tinggi untuk mendapat pneumonia bakteria.9
Faktor risiko untuk mendapat pneumonia bakteria termasuk penyakit, pembedahan baru-baru ini, keadaan imunokompromi seperti orang yang menghidap Human Immunodeficiency Virus (HIV) dan Acquired Immune Deficiency Syndrome (AIDS), usia tua atau kekurangan zat makanan. Ini kerana apabila sistem imun badan terjejas, bakteria yang hidup di dalam tekak yang sihat boleh berpindah ke paru-paru, lalu menyebabkan masalah pernafasan seperti pneumonia dan jangkitan sistemik9.
6. Orang tidak perlu dimasukkan ke hospital kerana pneumonia.
Palsu
Kes pneumonia yang teruk mesti dirawat di hospital. Pesakit mungkin diberikan cecair intravena dan antibiotik, serta terapi oksigen atau rawatan pernafasan lain.10
7. Tiada vaksin untuk pneumonia.
Palsu
Terdapat dua vaksin untuk pneumonia yang melindungi daripada pneumonia pneumokokus. Vaksin ini ialah vaksin konjugat dan vaksin polisakarida.11
Walaupun vaksin tidak dapat mencegah setiap jenis pneumonia, ia boleh mengurangkan dengan ketara peluang anda untuk dijangkiti penyakit ini.12

8. Jika anda sudah pernah menghidap pneumonia, anda tidak memerlukan vaksin untuknya.
Palsu
Centers for Disease Control and Prevention mengesyorkan vaksin pneumokokus untuk orang dewasa berumur 65 tahun ke atas, kanak-kanak di bawah 2 tahun, dan orang dewasa yang mempunyai keadaan perubatan kronik atau faktor risiko lain.11 Ini termasuk mereka yang:
- Menghidap penyakit jantung, hati dan paru-paru yang kronik.
- Merokok.
- Menghidap diabetes.
- Dijangkiti Human Immunodeficiency Virus (HIV).
Syor ini turut terpakai kepada mereka yang pernah menghidap pneumonia sebelum ini.13
9. Vaksin pneumonia boleh menyebabkan pneumonia.
Palsu
Anda tidak boleh mendapat pneumonia daripada vaksin, kerana suntikan hanya mengandungi ekstrak bakteria pneumonia dan bukannya bakteria sebenar yang menyebabkan penyakit itu.
Kurang daripada 1% orang yang mendapat vaksin pneumonia mengalami kesan sampingan ringan daripada vaksin tersebut. Ini termasuk bengkak, rasa sakit atau kemerahan di tempat suntikan, demam ringan, rewel atau mudah marah, hilang selera makan dan otot sakit.12
10. Hanya orang berumur melebihi 65 tahun perlu mendapat vaksin.
Palsu
Sesiapa sahaja boleh mendapat penyakit pneumokokus, tetapi sesetengah orang mempunyai risiko lebih tinggi untuk dijangkiti atau mengalami komplikasi berbanding yang lain14. Mereka termasuk:
- Sesiapa yang berumur kurang daripada 2 tahun.
- Mereka yang mempunyai penyakit kronik seperti penyakit jantung, hati dan paru-paru yang kronik.
- Mereka yang tinggal di kemudahan penjagaan jangka panjang.
- Perokok tembakau.
Jadi, apa seterusnya?
Setelah anda mengetahui fakta tentang pneumonia, utamakan kesihatan dan kesejahteraan anda dengan mencari pelan imunisasi yang sesuai untuk anda, supaya anda dapat melindungi diri daripada pneumonia pneumokokus15.
Untuk maklumat lanjut tentang vaksinasi pneumokokus, atau jika anda mengalami mana-mana gejala yang disenaraikan di atas, hubungi pakar penjagaan kesihatan dan tempah konsultasi doktor hari ini.

Rujukan:
1. Pneumonia is a major threat to public health – why don’t we acknowledge the fact? | https://tinyurl.com/2p8833ym | Diakses pada 8 Mac 2022
2. Pneumonia | https://tinyurl.com/34nedt9d | Diakses pada 8 Mac 2022
3. Learn About Pneumonia | https://tinyurl.com/ujbzd8uy | Diakses pada 8 Mac 2022
4. What Causes Pneumonia? | https://tinyurl.com/2p9ye4vb | Diakses pada 8 Mac 2022
5. Community-Acquired Pneumonia (CAP) | https://tinyurl.com/ye7jecmt | Diakses pada 8 Mac 2022
6. Community-Acquired Pneumonia in Adults | https://tinyurl.com/2p8974kb | Diakses pada 8 Mac 2022
7. Statistics on Causes of Death, Malaysia, 2021 | https://tinyurl.com/ycs2t8kr | Diakses pada 8 Mac 2022
8. Pneumonia Symptoms and Diagnosis | https://tinyurl.com/2p89a7d8 | Diakses pada 8 Mac 2022
9. Pneumonia Frequently Asked Questions (FAQs) | https://tinyurl.com/yeaytk7m | Diakses pada 8 Mac 2022
10. Pneumonia Treatment and Recovery | https://tinyurl.com/r99ddwyr | Diakses pada 8 Mac 2022
11. Pneumococcal Vaccination: Who and When to Vaccinate. | https://tinyurl.com/2p896enb | Diakses pada 8 Mac 2022
12. Kelli Miller. Pneumonia Vaccine: Should I Get It? | https://tinyurl.com/4kkanujt | Diakses pada 8 Mac 2022
13. Pneumonia Vaccine Quiz | https://tinyurl.com/5n8s3u8n | Diakses pada 8 Mac 2022
14. Pneumococcal disease: Causes, how it spreads, and symptoms | https://tinyurl.com/3mpjuctm | Diakses pada 8 Mac 2022
15. Arm Yourself, Doctor On Call | https://tinyurl.com/2ajfd6ym | Diakses pada 6 April 2022
Penafian:
Maklumat kesihatan yang terkandung di sini disediakan untuk tujuan pendidikan sahaja dan tidak bertujuan menggantikan perbincangan dengan penyedia penjagaan kesihatan. Semua keputusan mengenai penjagaan pesakit mesti dibuat bersama penyedia penjagaan kesihatan, dengan mengambil kira ciri-ciri unik pesakit.
Untuk terma penggunaan Pfizer, klik di sini: Terms of Use | Pfizer – Breakthroughs That Change Patients’ Lives
PP-PRV-MYS-0040-10MARCH2022