Ketahui Pelbagai Manfaat Madu Kelulut Untuk Kesihatan Anda

Mac 26, 2021 | Ditulis oleh: Fready Luke

Apakah Yang Dimaksudkan Dengan Madu Kelulut ?

Berbeza dengan madu biasa, madu kelulut mempunyai khasiat tersendiri dan apa yang menakjubkan ia dihasilkan oleh lebah yang tidak menyengat. Perlu untuk diketahui bahawa terdapat 80 spesies madu kelulut di Malaysia namun hanya kurang daripada 10 spesies yang boleh menghasilkan madu kerana selebihnya berfungsi sebagai ejen pendebungaan. Nama saintifik lebah kelulut ialah Trigona spp dan ia boleh diternak atau dijumpai secara liar. Secara amnya, hanya dua jenis lebah kelulut yang sering dikomersialkan kerana kualiti madunya yang diyakini iaitu dari spesis Heterotrigona itama (disebut itama) dan spesis Geniotrigona thoracica (disebut torasika). Rata-rata penternak mengatakan bahawa spesis ini mampu menghasilkan madu serta roti lebah (sarang) yang banyak serta berkualiti. Spesies torasika dikatakan mampu terbang tinggi dan jauh dalam radius 1 kilometer dan menghasilkan madu dalam jangka masa yang singkat. Bagi spesies itama pula, ia bersaiz lebih kecil dan bergerak perlahan namun kedua-dua spesies ini sesuai untuk diternak dalam jangka masa yang panjang. Oleh itu, tidak hairanlah pulangan daripada kedua-dua spesies ini amat memberansangkan.

Ketahui Perbezaan Antara Lebah Madu Biasa Dan Lebah Kelulut

Secara dasarnya, perbezaan paling nyata antara lebah biasa dan lebah kelulut dapat dibezakan secara fizikal seperti morfologi, warna dan khasiat madunya. Lebah madu biasa dikenali dengan nama saintifik Apis spp manakala lebah kelulut ialah Trigona spp. Lebah madu di Malaysia terdiri daripada Lebah Keran (Apis cerana), Lebah Import (Apis mellifera) dan Lebah Hutan/ Lebah Tualang (Apis dorsata). Jika bercerita tentang sarang lebah, ramai yang akan membayangkan ruangan yang berbentuk heksagon dan di dalamnya berisi madu. Bagi lebah kelulut pula, sarangnya berbentuk seperti tempayan dengan satu ruangan masuk yang diperbuat daripada propolis. Dari segi warna madu pula, kelulut menghasilkan warna madu yang sedikit gelap kehitaman manakala lebah biasa menghasilkan warna madu kekuningan emas mengikut spesies masing-masing. Struktur propolis yang hanya terdapat pada madu kelulut pula membuatkan ia kaya dengan sumber antioksidant yang tidak terdapat pada madu biasa. 

Ketahui Kandungan Madu Kelulut Untuk Kesihatan

Penemuan madu kelulut sebagai bahan yang boleh dikomersialkan dikatakan agak baru dan pelbagai penyelidikan sedang dijalankan bagi memastikan keberkesanannya dalam perubatan serta pemakanan. Oleh hal yang demikian, kemampuan madu kelulut untuk dijadikan sebagai ubat masih dalam peringkat kajian dan pembelajaran. Namun begitu, pelbagai analisis mendapati bahawa madu kelulut mengandungi bahan seperti asid fenilpropanoik, vitamin c, mineral, glukose, polyphenol dan sumber lain yang mana penting untuk tubuh badan. Kandungan berikut merupakan senarai khasiat madu kelulut:

1. Antioksidan

2. Anti-inflammatory (anti-radang)

3. Pelindung kepada jantung

4. Antikanser

5. Antidiabetes

6. Memiliki ciri-ciri antibiotik

7. Anti-mutasi

Tingkatkan ketahanan sistem imun tubuh dengan mengambil makanan seimbang dan berkhasiat.

Masalah Kesihatan Yang Boleh Dirawat Atau Dicegah Oleh Madu Kelulut

1. Menurunkan kandungan gula dan merawat kencing manis. Seperti yang diketahui, madu kelulut memiliki bahan yang dikenali sebagai antidiabetes. Oleh hal yang demikian, pengambilan madu ini mampu untuk menurunkan kandungan gula yang berlebihan dalam darah kerana ia meransang penghasilan hormon insulin yang berfungsi untuk memecahkan kandungan gula dalam badan dan digunakan oleh sel badan.

2. Pemangkin dan membantu untuk menyembuhkan luka. Am mengetahui bahawa terdapat pelbagai faktor yang menyumbang kepada kesembuhan luka. Melalui kaca mata perubatan, antara faktor yang mempromosikan proses kesembuhan luka adalah seperti nutrisi, penjagaan luka, kesihatan am dan banyak faktor lain. Madu kelulut membantu dengan mengurangkan keradangan, menghalang jangkitan dan juga menggalakkan pembaharuan tisu serta sel.

3. Rawatan untuk masalah mata. Kajian yang dijalankan keatas tikus menunjukkan bahawa kelulut mampu merencatkan pertumbuhan katarak pada mata sebanyak 20% dan hal mungkin bersesuaian untuk manusia. Oleh hal yang demikian, kajian terperinci berkenaan dengan penemuan ini sedang giat dilakukan. Selain itu, madu kelulut mampu untuk mengurangkan risiko jangkitan bakteria.

4. Meransang kesuburan. Ramai yang bertanyakan tentang khasiat madu kelulut untuk wanita dan khasiat madu kelulut untuk lelaki. Untuk pengetahuan anda, madu kelulut memberikan impak serta kesan baik kepada hormon kesebuburan. Hal ini secara tidak langsung membantu pasangan yang sukar untuk mendapatkan zuriat. Namun begitu, pengambilan madu bukanlah rawatan hakiki kepada semua masalah kesuburan kerana terdapat pelbagai punca yang mengundang kepada masalah ketidaksuburan. Madu ini hanya membantu dari segi hormon kesuburan dan hanyalah sebagai makanan tambahan.

5. Khasiat madu kelulut untuk kanser. Madu kelulut berupaya untuk menghalang atau mengurangkan kebarangkalian pembentukkan sel kanser. Hal ini kerana ia boleh untuk meningkatkan status antioksida dalam badan yang mana merupakan penghalang kepada pembentukan kanser.

Cara Pengambilan Madu Kelulut Dalam Kehidupan Seharian ?

1. Mengurangkan kemerahan jerawat serta pertumbuhannya. Lumurkan atau sapu madu pada jerawat dan tutup dengan plaster. Biarkan sekurang-kurangnya selama 30 minit dan bilas dengan air bersih.

2. Mampu untuk melembutkan rambut. Anda boleh untuk mengunakan produk pencuci rambut seperti biasa, namun dengan penambahan satu sudu teh madu kedalam shampo atau produk pencuci tersebut. Cuci rambut setelah 30 minit.’

3. Melegakan sakit tekak. Masukkan sesudu madu kedalam air suam kemudian tambahkan limau atau lemon kedalam air tersebut untuk diminum.

4. Membantu melegakan luka yang disebabkan oleh kebakaran. Sapukan madu kelulut pada tempat yang tercedera berupaya mengelakkan komplikasi jangkitan.

5. Madu kelulut mampu untuk melembutkan kulit. Sapukan madu kelulut pada permukaan kulit terutama pada bahagian kulit yang terasa kering.

Ingin mendapatkan kepastian tentang pemakanan yang betul?Pakar kami sedia untuk membantu anda.

Sebagai konklusi, penemuan barangan natural seperti madu, herba, akar kayu dan banyak lagi merupakan revolusi dalam dunia perubatan. Madu secara amnya, sudah berevolusi daripada hanya sekadar makanan kepada agen yang boleh dijadikan sebagai rawatan kepada beberapa penyakit. Namun begitu, madu kelulut dan madu biasa hanyalah makanan tambahan dan tidak boleh digunakan sebagai rawatan utama dalam apa jua penyakit. Sebarang masalah kesihatan haruslah dirujuk kepada doktor agar rawatan yang tepat dapat diberikan. 

Bercakap Dengan Doktor

Bercakap dengan doktor melalui panggilan video atau telefon tentang Nutrisi. Mudah, tidak perlu menunggu

Konsultasi Doktor

* Inisiatif konsultasi doktor percuma disokong dan ditanggung sepenuhnya oleh DoctorOnCall

Dapatkan RM30 apabila anda mendaftar Dapatkan RM30 apabila anda mendaftar