Ketahui Punca Masalah Kelemumur & Rawatan Yang Berkesan

Kelemumur: Punca Dan Rawatan Yang Berkesan - DoctorOnCall

Apa Itu Kelemumur

Kelemumur merupakan masalah kulit kepala gatal yang menyebabkan kulit kepala anda menggelupas, kemerahan dan bersisik. Kulit yang mengelupas menghasilkan serpihan atau kepingan berwarna kuning atau putih yang lebih mudah tertanggal ketika anda menyikat rambut ataupun sewaktu cuaca panas dan kering. Walaupun masalah kelemumur tidak boleh berjangkit dan tidak merbahaya, tetapi jika dibiarkan tanpa dirawat dan dipantau dengan betul ia boleh mengganggu penampilan seseorang. Setiap lapisan kulit yang normal akan bertukar setiap 28 hari, manakala bagi masalah kelemumur pula kulit kepala akan bertukar dengan cepat iaitu dalam masa 11 hari. 




Terdapat beberapa gejala yang boleh dikenal pasti sekiranya anda mempunyai kelemumur, antaranya ialah :

  • Kulit kepala gatal dan mengelupas

  • Serpihan kepingan berwarna kuning ataupun putih kelihatan pada rambut atau baju

  • Kulit kepala bersisik, berkuping ataupun berkilat

  • Kulit kepala kemerahan dan berminyak 

Punca Kelemumur

Kelemumur boleh terjadi dengan mudah sekiranya anda mengabaikan penjagaan rambut dan kulit kepala dengan betul. Terdapat pelbagai punca masalah kelemumur ini berlaku, antaranya: 

  1. Keradangan kulit kepala

  2. Masalah kulit kepala berminyak

  3. Kurang mencuci rambut dengan syampu

  4. Tidak membilas rambut dengan bersih selepas menggunakan syampu

  5. Masalah hormon

  6. Stres ataupun tekanan perasaan

  7. Daya imuniti rendah

  8. Penggunaan produk rambut yang tidak sesuai dengan kulit kepala anda

  9. Masalah kulit kering

Terdapat juga beberapa jenis penyakit yang menyebabkan gejala kelemumur antaranya:

  • Seborrheic Dematitis : sejenis penyakit kulit yang akan menyebabkan kulit kepala kemerah-merahan, berminyak, gatal

  • Malassezia : Sejenis jangkitan kulat pada bahagian kulit kepala. Ia boleh menyebabkan iritasi dan meransang penghasilan kulit tebal pada bahagian kepala dan seterusnya menyebabkan kelemumur.

  • Contact Dermatitis : Masalah ini boleh berlaku disebabkan alahan kepada jenis produk rambut tertentu. Ia akan menyebabkan masalah kulit kepala gatal, bersisik dan kemerahan. 

  • Psoariasis : Masalah kulit yang boleh menyebabkan kemerahan, kegatalan, berkuping dan bersisik.



Faktor Risiko

Antara faktor risiko masalah kelemumur ialah:

  • Usia : Kebiasaannya masalah kelemumur bermula di peringkat awal dewasa dan berterusan sehingga usia pertengahan. Namun begitu, masalah kelemumur juga boleh berlaku secara berterusan sehingga ke usia lebih lanjut pada sesetengah orang.

  • Jantina : Lelaki mempunyai kecenderungan yang lebih tinggi berbanding wanita untuk mengalami masalah kelemumur. 

  • Penyakit Tertentu : Orang yang mempunyai penyakit Parkinson dilihat lebih berpotensi untuk mengalami masalah kelemumur, begitu juga dengan HIV. Ini kerana mereka mempunyai imuniti yang rendah didalam badan dan kelemumur merupakan gejala yang biasa dialami bagi pesakit HIV.



Rawatan Kelemumur

Perkara pertama yang perlu anda tahu adalah bagaimana cara menangani masalah kelemumur ini dengan berkesan. Terdapat pelbagai cara hilangkan kelemumur, antaranya adalah : 

1. Penggunaan syampu anti kelemumur 

Syampu anti kelemumur dengan kandungan bahan tertentu boleh merawat kelemumur, contohnya: 

  • Zinc pyrithione - Mengurangkan kulat dan kelemumur

  • Salicyclic Acid - Menghapuskan kelemumur

  • Tar - Memperlahankan pertumbuhan sel

  • Selenium sulphide - Mengurangkan pertumbuhan sel dan kulat

  • Ketoconazole - Membasmi pelbagai jenis kulat 

2. Bijak mengawal tekanan perasaan ataupun stres

  • Tekanan bukan sahaja mempengaruhi kehidupan dan emosi anda, jangan terkejut kerana stress juga boleh menyebabkan masalah kelemumur. Pakar menyatakan, tekanan menyebabkan pelbagai masalah kulit menjadi lebih teruk termasuklah kelemumur. Keadaan ini berlaku kerana tekanan emosi mempengaruhi sistem imun anda dan menjadikannya lebih lemah. Sebab itulah masalah kulit dan kelemumur lebih teruk apabila anda tertekan. 

3. Gaya hidup sihat

  • Bersukan secara berkala meningkatkan kelancaran peredaran darah ke seluruh badan. Secara tidak langsung, ia akan membantu pertumbuhan rambut sihat dan mengurangkan masalah kelemumur. 

4. Pemakanan yang seimbang

  • Pilih makanan yang mengandungi lemak Omega-3 seperti ikan salmon, sardin dan tuna.

  • Lemak Omega-3 boleh membantu mengekalkan kesihatan kulit seseorang dan mengurangkan kelemumur.

5. Penjagaan rambut dan kulit kepala

  • Cuci rambut anda dengan syampu yang sesuai. Gunakan syampu dan urut kulit kepala anda secara perlahan-lahan kemudian bilas dan bersihkan rambut dengan air secara sempurna. Lebihan syampu, pada rambut boleh menyebabkan masalah kelemumur. 

  • Jika anda menggunakan perapi rambut, pastikan anda hanya menggunakannya pada rambut. Elakkan perapi daripada terkena kulit kepala kerana ia boleh menyebabkan masalah kelemumur.

  • Jika kepala anda gatal, jangan garu atau cakar. Ia boleh menyebabkan kulit kepala anda luka dan mengakibatkan jangkitan yang lebih teruk.

6. Kurangkan penggunaan produk kecantikan rambut

  • Penggunaan produk pendandan rambut secara keterlaluan boleh mengakibatkan rambut dan kulit kepala anda rosak dan berminyak. seterusnya menyebabkan masalah kelemumur.



Petua Hilangkan Kelemumur Dengan Bahan Semula Jadi

  • Minyak Tea Tree

Mempunyai sifat anti bakteria dan anti keradangan. Menurut kajian ia mempunyai kebolehan untuk memusnahkan jenis kulat yang tertentu pada kulit kepala. Namun begitu, minyak ini boleh menyebabkan iritasi bagi sesetengah individu yang mempunyai kulit sensitif.

  • Minyak Kelapa

Boleh membantu mengekalkan kelembapan kulit dan digunakan dalam mengatasi masalah kelemumur serta membasmi pertumbuhan kulat pada kepala.

  • Gel Aloe Vera

Penggunaan aloe vera dalam penjagaan rambut dipercayai boleh membantu mengurangkan masalah kelemumur.

  • Minyak Serai

Kajian pada tahun 2015 menunjukkan bahawa serum rambut yang mengandungi 10% minyak serai berjaya mengurangkan masalah kelemumur sebanyak 81% selepas 2 minggu.

Bila Anda Perlu Berjumpa Doktor?

Kebiasaannya masalah kelemumur ini dapat diatasi dengan sendirinya dirumah melalui penjagaan rambut yang rapi, penggunaan produk syampu yang bersesuaian dan gaya hidup yang sihat. 

Sekiranya masalah kelemumur anda berterusan walaupun telah mencuba pelbagai petua dan rawatan dirumah, berkemungkinan masalah kelemumur anda adalah disebabkan penyakit lain seperti psoriasis, ekzema ataupun jangkitan kulat. Sila berjumpa dengan doktor sekiranya anda mempunyai gejala seperti berikut :

  • Kulit kepala membengkak dan kemerahan

  • Masalah gatal yang serius dan berterusan

Sekiranya masalah kelemumur dibiarkan tanpa rawatan yang betul, ia boleh menganggu prestasi dan tumpuan seseorang dalam sesuatu perkara. Dapatkan nasihat daripada doktor pakar yang bertauliah mengenai cara merawat rambut gugur dan kelemumur yang lebih efektif.





Rujukan:

Ditulis oleh Izzat Izzuddin, Bachelor of Medicine and Surgery (MBBCh) Zagazig University, Egypt on

Disemak oleh DoctorOnCall Panel Doctor

* Inisiatif konsultasi doktor percuma disokong dan ditanggung sepenuhnya oleh DoctorOnCall