DoctorOnCall, Pfizer dan UOB tawar pembiayaan mudah dapatkan vaksin pneumokokal

Published at : UtusanTV
Published on: 23 Jun 2021

TIGA syarikat, DoctorOnCall, Pfizer dan UOB Malaysia berganding bahu melancarkan “ASK4VACCINE”, program pembiayaan yang memudahkan ibu bapa mendapat pembiayaan untuk mendapatkan vaksin pneumokokal untuk anak-anak mereka.

Program dikenali ‘ASK4VACCINE’ itu membolehkan para ibu bapa mendapatkan vaksin tersebut dengan pelan pembayaran ansuran 12 bulan tanpa faedah.

Di peringkat global, pneumonia telah membunuh ramai kanak-kanak dan meragut lebih daripada 800,000 nyawa kanak-kanak di bawah umur lima tahun, atau sekitar 2,200 orang setiap hari.

Di Malaysia, pneumonia merupakan salah satu daripada lima penyebab utama kematian kanak-kanak dan penyakit pneumokokal itu dapat dicegah melalui vaksinasi.

Pengurus Negara, Pfizer Malaysia & Brunei, Luksanawan Thangpaibool berkata, kanak-kanak tidak sepatutnya menderita akibat daripada penyakit yang dapat dicegah melalui vaksin dan lebih lebih dari satu abad, vaksin Pfizer telah membantu melindungi masyarakat daripada penyakit berjangkit yang mengancam nyawa seperti pneumonia pneumokokal.

“Kami berbangga untuk bekerjasama kami dengan DoctorOnCall dan UOB Malaysia bagi meningkatkan tahap kesedaran dan meringankan beban kewangan ibu bapa dalam melindungi anak-anak mereka daripada penyakit pneumokokal,” katanya dalam satu kenyataan akhbar, baru-baru ini

Pengarah Urusan dan Ketua Negara Perkhidmatan Kewangan Peribadi, UOB Malaysia, Ronnie Lim berkata, program “ASK4VACCINE” untuk pemegang kad kredit UOB Malaysia diperkenalkan bertujuan untuk memberikan fleksibiliti pembayaran melalui pelan pembayaran ansuran tanpa faedah selama 12 bulan.

Katanya, selain itu, pengguna kad itu juga boleh menuntut pelepasan cukai pendapatan sehingga RM1,000 untuk vaksinasi pneumokokal bagi diri sendiri, pasangan, dan juga anak-anak mereka.

“UOB Malaysia memahami kepentingan menyediakan akses mudah kepada vaksin. Oleh sebab itu, kami bekerjasama dengan DoctorOnCall dan Pfizer untuk menawarkan program ‘ASKFORVACCINE’.

“Dengan pelan pembayaran ansuran tanpa faedah 12 bulan yang ditawarkani, kami membolehkan pelanggan menjamin kesihatan anak-anak mereka, serta memastikan keadaan kewangan mereka tidak terjejas,” katanya.

Untuk membantu orang ramai memahami dengan lebih lanjut mengenai vaksin dan imunisasi serta menangani beberapa salah faham umum mengenai topik ini, laman web DoctorOnCall menyediakan artikel dan video bermaklumat serta inisiatif perundingan doktor percuma.

“Peningkatan pengetahuan masyarakat tentang hal kesihatan serta menyediakan penjagaan kesihatan yang lebih berpatutan dan positif bagi pesakit merupakan asas pembinaan DoctorOnCall sebagai platform penjagaan kesihatan digital lestari untuk rakyat Malaysia.

“Kami gembira menjadi sebahagian daripada kerjasama tiga pihak ini dengan Pfizer dan UOB Malaysia. Bersama-sama, kami berharap untuk menyambut masa depan di mana semua kanak-kanak dilindungi daripada penyakit yang dapat dicegah dengan vaksin seperti pneumonia pneumokokal,” kata Ketua Pegawai Operasi, DoctorOnCall, Chiak Tang.

Read full article here: UtusanTV