Apakah Gejala Bahaya Dan Risiko Kehamilan Ektopik Yang Perlu Wanita Ketahui?

5 Tanda Dan Faktor Risiko Kehamilan Ektopik Yang Setiap Wanita Perlu Ketahui!
Anonymous

Salam sejahtera doktor. Nama saya Puan Salmah dan berusia 28 tahun. Saya sudah berkahwin selama 4 tahun. Saya dan suami mempunyai masalah untuk hamil sebelum ini sehinggakan kami terpaksa menggunakan kaedah “anak tabung uji” namun masih gagal. Beberapa minggu lepas saya dan suami cuba membuat ujian kehamilan semula dan mendapati ujian saya positif hamil. Walaubagaimanapun, apabila membuat pemeriksaan di klinik menggunakan ujian “ultrasound”, doktor memberitahu mereka tidak dapat menjumpai sebarang tanda kandungan dalam rahim saya. Saya berasa sangat risau dan ingatkan saya mengalami keguguran tapi doktor memberitahu bahawa saya sebenarnya mengalami kandungan luar rahim. Adakah ini sama dengan mengandung anggur? Boleh doktor terangkan dengan lebih lanjut mengenai mengandung luar rahim ini? Sekian.

Anonymous
Salam sejahtera doktor. Nama saya Puan Salmah dan berusia 28 tahun. Saya sudah berkahwin selama 4 tahun. Saya dan sua... See More
Saringan Kesihatan PERCUMA
Mencegah adalah lebih baik daripada mengubati. Adakah anda sedia untuk melawan jangkitan? Ketahui dalam 5 minit!
Mula Saringan Kesihatan PERCUMA

Salam sejahtera Puan Salmah. Berdasarkan soalan dan keterangan yang puan berikan, maklumat tambahan adalah diperlukan bagi membuat diagnosis tepat mengenai status kehamilan puan. Antara sebab-sebab yang boleh memberikan gambaran seperti yang puan ceritakan adalah seperti kehamilan ektopik, keguguran awal ataupun kehamilan kosong. Kehamilan anggur atau kehamilan molar adalah kondisi yang berlainan. Saya memahami kebimbangan yang puan alami dan ingin menasihatkan puan untuk mengikuti rapat sebarang perkembangan kandungan puan dengan pihak hospital. Di sini saya akan membincangkan secara terperinci mengenai kandungan luar rahim dari segi gejala, penyebab dan cara rawatan. 

Akhir kata, kehamilan ektopik ini adalah kondisi yang jarang berlaku namun semakin baik ditangani masa kini. Dapatkan nasihat doktor jika anda berasa risau mengenai kehamilan baik normal ataupun yang tidak normal.

Salam sejahtera Puan Salmah. Berdasarkan soalan dan keterangan yang puan berikan, maklumat tambahan adalah diperlukan... See More

Apakah yang dimaksudkan dengan kehamilan ektopik?

Apabila seseorang wanita itu hamil, proses persenyawaan yang normal akan menghasilkan gumpalan sel bernama embryo setelah sperma dan ovum bersatu. Embryo ini sangat mudah untuk melekat pada permukaan tisu dan secara normalnya ia akan bergerak melalui tiub Fallopian ke dalam rahim. Di situ, ia akan melekat pada dinding permukaan rahim (endometrium) untuk proses tumbesaran janin yang seterusnya. 

Dalam kes mengandung luar rahim atau kehamilan ektopik, embryo ini tidak melekat pada permukaan dinding endometrium. Sebaliknya embryo ini akan melekat dan membesar pada permukaan lain seperti tiub Fallopian, serviks, ovari bahkan dalam perut wanita itu sendiri! Ini boleh mendatangkan permasalahan kerana risiko untuk tumbesaran embryo ini yang boleh menyebabkan organ yang terlibat untuk pecah. 

Apakah tanda atau gejala kehamilan ektopik?

Sebenarnya kebanyakan gejala kehamilan ektopik adalah serupa dengan tanda hamil yang normal. Kebanyakan wanita yang menghidapi kondisi ini juga tidak mengalami sebarang tanda-tanda hamil langsung. Tanda kehamilan ektopik boleh menjadi sangat serius jika ia melibatkan komplikasi dialami oleh pesakit. Antara tanda hamil luar rahim adalah:

  • Sakit perut - Ini adalah gejala yang sering diadu oleh wanita mengandung dan hal ini tidak menghairankan berikutan patologi kehamilan ektopik ini yang melibatkan organ sekeliling pelvis (pinggang). Akibat tumbesaran janin di luar rahim, tekanan ke atas organ akan menyebabkan kesakitan yang sangat teruk kepada kebanyakan pesakit. 
  • Pendarahan dari faraj - Banyak wanita akan mengadu mereka “hamil tapi haid banyak” dan perkara ini tidak seharusnya berlaku dalam proses kehamilan normal. Pendarahan ketika mengandung adalah perkara yang tidak normal dan perlu dirujuk dengan segera. 
  • Cirit-birit dan muntah - Kedua-dua simptom ini tidak patut sesekali diendahkan terutamanya jika gejala-gejala ini sangat kerap dan teruk. Hal ini kerana wanita mengandung boleh mengalami dehidrasi yang juga boleh mengakibatkan “kejutan” dan pening kepala.
  • Sakit hujung bahu - Jika janin yang membesar ini berada dalam perut, ia boleh menyebabkan gangguan urat saraf bahu dan menyebabkan kesakitan.
  • Pitam - Jika gumpalan tisu janin ini membesar dan menyebabkan organ seperti ovari ataupun tiub fallopian pecah, ia boleh mengakibatkan pendarahan dalaman yang teruk dan seterusnya menyebabkan wanita itu pengsan. 

Siapakah golongan yang berisiko dan apakah penyebab untuk mendapat kehamilan ektopik ini?

Sebenarnya kita masih tidak mengetahui mengapa seseorang wanita boleh mengandung luar rahim akan tetapi kita tahu terdapat beberapa faktor risiko yang boleh menyumbang kepada peningkatan peluang mendapat hamil ektopik ini. Antara faktor-faktor risiko ini adalah:

  • Masalah pada tiub fallopian - Apa yang dimaksudkan dengan masalah pada tiub fallopian ini adalah kondisi perubatan seperti “endometriosis”, ketumbuhan mahupun kecacatan/kerosakan pada tiub ini akibat daripada pembedahan sebelum ini ataupun intervensi perubatan. 
  • Sejarah kehamilan ektopik - Sekiranya seseorang wanita itu mempunyai sejarah kehamilan ektopik, kemungkinan untuk mereka mendapat kehamilan luar rahim sekali lagi adalah tinggi berdasarkan rekod pesakit-pesakit terdahulu.
  • Sejarah jangkitan dalam pelvis - Jika anda pernah mendapat Penyakit Radang Pelvis ataupun jangkitan penyakit seksual seperti Klamidia atau Gonorrhoea, peluang untuk mendapat kondisi mengandung luar rahim adalah tinggi.
  • Menerima prosedur bantuan hamil - Hal ini adalah seperti prosedur “bayi tabung uji” ataupun IVF di mana risiko untuk wanita mengalami komplikasi ini meningkat pada masa hadapan. 
  • Pernah mengikat tiub - Sesetengah wanita pada asalnya mungkin tidak mahu mengandung lagi dan membuat keputusan “mengikat” tiub Fallopian mereka. Sekiranya prosedur ini diterbalikkan semula, maka peluang untuk kehamilan abnormal yakni ektopik adalah tinggi. 
  • Penggunaan alat IUD - IUD bermaksud “Intra-Uterine Device” iaitu sejenis alat untuk mencegah kehamilan yang diletakkan dalam rahim wanita. Ia boleh mencegah kehamilan dengan efektif namun dalam bilangan kes yang kecil, jika kehamilan berlaku juga, kemungkinan ia menjadi ektopik adalah tinggi. 
  • Merokok - Berdasarkan data pesakit-pesakit sebelum ini, merokok boleh meningkatkan risiko untuk hamil ektopik. 

Jika saya mengandung luar rahim, bagaimanakah doktor boleh merawat saya?

Komplikasi kehamilan ektopik boleh mendatangkan mudarat yang serius seperti “kejutan” mahupun kematian. Maka rawatan yang efektif adalah sangat disarankan oleh doktor sakit puan bergantung kepada perkembangan kehamilan ektopik pesakit. Berikut adalah kaedah-kaedah rawatan bagi kondisi ini:

A) Medikal

Maksud kaedah medikal dalam dunia perubatan adalah intervensi yang tidak melibatkan pembedahan. Sebanyak satu per tiga pesakit layak mendapat rawatan medikal berdasarkan kriteria-kriteria khusus. Secara amnya, pesakit ini akan diberikan ubat suntikan bernama “methotrexate”, ujian darah dan pengimejan ultrasound akan dilakukan dari semasa ke semasa bagi melihat keputusan rawatan. Pesakit juga akan diberikan ubat tahan sakit sekiranya mereka mendapat simptom sakit perut. Rawatan ini sangat berkesan bagi pesakit yang mempunyai sedikit simptom dan dikesan awal. 

 B) Pembedahan

Bukan semua orang perlu menjalani pembedahan bagi kehamilan ektopik. Kaedah pembedahan mempunyai dua cara iaitu secara “laparoskopi” ataupun pembedahan terbuka. Pembedahan melibatkan pembuangan tisu embryo atau janin ini secara fizikal. Cara pembedahan adalah bergantung kepada lokasi, saiz janin dan kesan pada organ sekeliling. Pembedahan laparoskopi membolehkan pesakit untuk pulih dengan cepat berbanding pembedahan terbuka. 

Adakah saya masih berpeluang untuk mengandung secara normal jika saya pernah hamil ektopik?

Jawapan kepada soalan ini adalah ya, anda boleh mengandung seperti biasa selepas ini. Anda dinasihatkan untuk memberitahu doktor anda sekiranya anda ingin hamil agar mereka boleh menasihatkan perkara-perkara khusus yang anda boleh ikuti sebelum dan semasa kehamilan. 

Apa yang perlu saya lakukan jika saya mengandung luar rahim?

Sekiranya anda mengalami gejala-gejala yang disebutkan atau tergolong dalam mereka yang berisiko tinggi, maka anda dinasihatkan untuk berjumpa dengan doktor untuk pengesahan lanjut dan mengikuti rapi prosedur yang digariskan oleh pihak hospital. Hal ini bagi memastikan masalah ini ditangani dengan selamat untuk anda. 

References