Adakah Saya Hamil? Ketahui Tanda - Tanda Hamil Pada Fasa Awal Kehamilan

9 Tanda Hamil Yang Boleh Dikesan Ketika Awal Kehamilan Oleh Ibu Mengandung
Anonymous
Hello doktor, saya ingin bertanyakan soalan tentang tanda hamil. Saya telah berkahwin 4 bulan yang lalu, dan pada bulan ini saya dapati haid saya tidak datang seperti biasa. Haid saya biasanya datang tepat setiap bulan. Jadi, adakah ini menandakan saya hamil? Apakah tanda-tanda lain yang boleh muncul pada awal kehamilan? Bilakah tanda-tanda ini akan muncul? Saya tiada rasa loya atau muntah, semua seperti biasa, tetapi haid saya sahaja tidak datang seperti biasa. Saya ragu-ragu kerana takut akan kecewa jika saya membuat ujian kehamilan terlalu awal. Mohon doktor bagi pencerahan tentang tanda-tanda hamil yang muncul di awal kehamilan. Terima kasih.
Anonymous
Hello doktor, saya ingin bertanyakan soalan tentang tanda hamil. Saya telah berkahwin 4 bulan yang lalu, dan pada bulan ... See More
Saringan Kesihatan PERCUMA
Mencegah adalah lebih baik daripada mengubati. Adakah anda sedia untuk melawan jangkitan? Ketahui dalam 5 minit!
Mula Saringan Kesihatan PERCUMA
Salam sejahtera puan, terima kasih atas soalan yang diajukan. Untuk makluman anda, walaupun terdapat pelbagai tanda yang sering dikaitkan dengan kehamilan, namun tidak semua wanita hamil akan mengalami tanda-tanda ini. Antara gejala yang boleh berlaku apabila seorang wanita hamil adalah haid yang lewat. Walau bagaimanapun haid lewat juga boleh disebabkan oleh masalah lain selain kehamilan seperti akibat stress, masalah hormon tiroid dan juga masalah lan pada rahim atau ovari. Gejala lain yang sering dikaitan dengan kehamilan anda gejala loya dan muntah, hilang selera makan dan juga perubahan pada tubuh seperti saiz dan payudara yang lebih sensitif. Namun, sekali lagi diingatkan bahawa gejala yang disebutkan hanyalah kebiasaan dan boleh menjadi panduan sahaja dan tidak semua wanita akan mengalaminya dan ia tidak spesifik untuk kehamilan sahaja. Langkah terbaik untuk mengetahui status kehamilan anda adalah dengan melakukan ujian kehamilan.
Salam sejahtera puan, terima kasih atas soalan yang diajukan. Untuk makluman anda, walaupun terdapat pelbagai tanda yang... See More

Tanda - Tanda Yang Sering Dikaitkan Dengan Kehamilan

  • Haid lewat atau tidak datang haid

Haid lewat adalah antara tanda atau gejala yang menyebabkan kegelisahan atau menimbulkan keraguan dalam kalangan wanita kerana ia sering dikaitkan dengan kehamilan. Namun begitu, harus diingatkan bahawa, tidak semua masalah haid lewat adalah berpunca daripada kehamilan. 

Haid lewat boleh disebabkan oleh tekanan emosi, perubahan jadual harian, masalah hormon tiroid atau kelenjar yang berkaitan, pengambilan pil kontraseptif, sindrom policystic ovari atau masalah lain pada mana-mana struktur faraj, rahim atau ovari.

Namun begitu, bagi wanita yang aktif dalam hubungan seksual dan mempunyai kitaran haid yang tetap, haid lewat boleh dijadikan sebagai salah satu tanda kemungkinan hamil. Oleh itu, bagi wanita yang mepunyai kriteria sebegini, mereka boleh menjalankan ujian kehamilan setelah seminggu atau dua minggu haid lewat. 

  • Mual, loya atau muntah

Gejala kedua yang sering dikaitkan dengan kehamilan adalah loya dan muntah atau lebih dikenali sebagai “morning sickness”. Gejala mual, loya dan muntah sering berlaku pada awal kehamilan akibat paras hormon beta h-cg yang meningkat dan menyebabkan perubahan pada pola pengecutan dan pengembangan perut dan usus. 

Tetapi, seperti yang telah diterangkan sebelum ini, tidak semua wanita akan mengalami gejala ini, malah tahap keseriusan gejala ini juga adalah berlainan. Sesetengah wanita hanya mengalami loya tapi tak muntah, manakala wanita lainnya mengalami loya yang disertai muntah. Terdapat sejenis keadaan yang dipanggil “hyperemesis gravidarum”, dimana wanita hamil yang mengalami keadaan ini mengalami gejala mual dan muntah yang teruk hingga terpaksa mendapatkan bantuan perubatan akibat dehidrasi dan tiada tenaga akibat tidak mampu makan dan minum. 

  • Saiz payudara membesar dan payudara menjadi lebih sensitif

Perubahan hormon ketika kehamilan juga menyebabkan wanita mengalami perubahan pada bahagian payudara mereka. Selain reaksi daripada perubahan hormon, perubahan ini juga adalah persediaan payudara untuk menghasilkan susu selepas melahirkan kelak. Pada awal kehamilan, wanita mungkin akan merasakan payudara mereka lebih sensitif dan terdapat perubahan dari segi saiz yang meningkat. 

Sesetengah wanita juga perlu menukar saiz bra mereka kepada saiz yang lebih besar. Wanita mungkin tertanya-tanyapayudara sakit saat hamil berapa minggu? Namun, persoalan ini tidak boleh dijawab kerana setiap wanita boleh mengalaminya pada waktu kehamilan yang berbeza. Malah terdapat wanita yang langsung tidak mengalaminya. 

Perubahan lain yang boleh berlaku kepada payudara ketika hamil adalah kewujudan benjolan pada payudara yang mungkin disebabkan oleh cyst (kista) atau tisu fiber yang bergumpal. Benjolan atau ketumbuhan ini adalah tidak berbahaya dan merupakan perubahan yang biasa berlaku ketika hamil. Namun begitu, wanita yang mengesan benjolan pada bahagian payudara tidak kira semasa hamil atau tidak haruslah merujuk perkara ini kepada doktor agar pemeriksaan dapat dilakukan bagi memastikan benjolan yang wujud benar-benar tidak berbahaya. 

  • Kerap kencing

Akibat saiz rahim yang semakin membesar, ciri-ciri lain yang boleh dirasai oleh wanita ketika hamil adalah kerap membuang air kecil. Gejala ini mungkin menyebabkan seorang wanita kurang selesa dan agak leceh pada awalnya, namun akan menjadi kebiasaan selepas beberapa lama. 

Apabila kandungan semakin membesar, rahim yang terletak di atas pundi kencing wanita juga akan menekan organ tersebut dan sesetengah wanita mungkin boleh mengalami gejala sukar menahan kencing atau dipanggil “incontinence”. Jika dibiarkan, gejala ini boleh berlarutan sehingga selepas bersalin. Oleh itu, para ibu hamil disarankan untuk sering melakukan senaman kagel bagi menguatkan otot dan mencegah keadaan ini. 

Selain itu, gejala kerap kencing juga boleh disebabkan oleh masalah kencing manis dan jangkitan kuman pada saluran kencing (UTI). Oleh itu, jika gejala kerap kencing disertai oleh sering merasa haus atau masalah pedih atau sakit ketika kencing, sila laporkan kepada doktor anda agar pemeriksaan paras gula dan ujian air kencing dapat dilakukan.

  • Keletihan

Wanita hamil juga lebih mudah letih. Hal ini disebabkan oleh perubahan hormon dalam tubuh serta pelbagai proses fisiologi yang berlaku ketika kehamilan. Peningkatan hormon progesterone di dalam tubuh wanita hamil menyebabkan wanita lebih kerap mengantuk. Tubuh wanita juga akan mengepam lebih banyak darah ke seluruh tubuh terutamanya ke bahagian rahim bagi membekalkan keperluan oksigen dan nutrient kepada bayi yang sedang berkembang. Segala perubahan ini juga menyebabkan wanita lebih sensitif atau mudah merasa tertekan. Oleh itu, tidak hairanlah keletihan merupakan salah satu ciri-ciri yang boleh dilihat pada wanita hamil pada fasa awal kehamilan. 

  • Deria bau lebih sensitif

Deria bau wanita hamil terutamanya pada fasa awal kehamilan juga lebih sensitif. Terdapat pelbagai pendapat yang menerangkan punca deria bau wanita lebih sensitif ketika hamil, namun mekanisma di sebalik keadaan ini masih belum difahami sepenuhnya. Terdapat pendapat yang menyatakan aliran dan isipadu darah yang meningkat ketika kehamilan menyebabkan lebih banyak darah sampai ke otak dan ini membuatkan deria bau wanita menjadi lebih sensitif. Pendapat lain menyatakan, ia juga merupakan mekanisma perlindungan kepada anda dan bayi bagi mengelakkan bahan-bahan berbahaya seperti rokok. 

Gejala deria bau yang lebih sensitif ini juga menyumbang kepada alahan atau gejala tekak loya dan muntah (morning sickness) yang lebih teruk. Bau yang kurang menyenangkan boleh menyebabkan wanita hamil lebih loya dan mencetuskan muntah. 

  • Pendarahan kecil

Sesetengah wanita mengalami gejala pendarahan kecil ketika awal kehamilan. Gejala ini juga dipanggil pendarahan implantasi kerana ia berlaku apabila proses implantasi embrio yang telah bersenyawa di dinding rahim menyebabkan sedikit darah jatuh dari permukaan ini dan keluar sebagai pendarahan kecil. Walaupun gejala ini tidak berbahaya, tetapi wanita hamil yang mengalami sebarang gejala pendarahan pada mana-mana fasa kehamilan haruslah segera merujuk kepada doktor agar pemeriksaan ke atas anda dan kandungan dapat dilakukan. Hal ini adalah kerana, gejala pendarahan boleh disebabkan oleh perkara seperti keguguran, masalah pada plasenta (uri) atau masalah pada bayi sendiri. 

  • Keputihan 

Disebabkan paras hormon yang lebih tinggi semasa hamil, wanita mengandung juga akan mengalami keputihan yang lebih banyak. Warna keputihan ketika hamil biasanya adalah putih dan pekat seperti bancuhan tepung serta tidak berbau. 

  • Perubahan selera makan

Ramai wanita hamil yang melaporkan mengalami perubahan selera makan pada awal kehamilan. Gejala ini mungkin disebabkan oleh deria bau yang sensitif atau gejala morning sickness yang menyebabkan para ibu hamil kurang selera untuk makan lebih-lebih lagi bagi makanan yang mempunyai bau yang kuat. Namun begitu, para ibu haruslah memastikan pengambilan nutrient yang cukup dan seimbang bagi memastikan kesihatan ibu dan perkembangan bayi yang sihat. Segera ke hospital jika mengalami gejala muntah atau mual yang teruk sehingga menjejaskan pengambilan makanan dan minuman anda. 

Kesimpulan

Walaupun tanda-tanda kehamilan yang disenaraikan di atas adalah antara tanda hamil yang paling kerap dialami oleh wanita mengandung, namun tidak semua wanita akan mengalaminya. Ada wanita yang mengalaminya dengan lebih teruk dan ia boleh menjadi tanda hamil kembar akibat paras hormon yang lebih tinggi. Tetapi ini juga tidak semestinya berlaku. Oleh itu, mengalami gejala-gejala di atas, bukanlah tanda pasti hamil. Sebaiknya jalankan ujian kehamilan apabila anda mengesyaki hamil bagi mendapat jawapan yang lebih jelas. Namun, gejala yang disenaraikan boleh dijadikan sebagai panduan.