Ketahui Penyebab Muntah Dan Cara Mengatasi Gejala Ini

Punca Muntah, Rawatannya Serta Cara Pencegahan-DoctorOnCall
Anonymous
Salam sejahtera, Doktor. Nama saya Anastasia dan umur saya 23 tahun. Saya perasan semenjak daripada umur 13 tahun lagi, saya kadang-kadang mengalami simptom muntah semasa datang haid. Saya tertanya-tanya, adakah itu normal? Saya juga rasa mual dan badan seakan-akan masuk angin.. Simptom ini cuma datang untuk satu hari saja. Saya risau sekiranya simptom muntah itu menandakan bahawa saya ada penyakit yang lebih serius. Saya ada seorang pak cik yang meninggal kerana barah otak. Dulu, setiap pagi mendiang memang akan mengadu sakit kepala dan muntah beberapa kali. Perkara ini menimbulkan persoalan dalam fikiran saya tentang tahap keseriusan simptom muntah ini. Saya masih muda dan tidak mengalami tanda-tanda lain. Perlukah saya mendapat pemeriksaan lanjut? Mohon penjelasan.
Anonymous
Salam sejahtera, Doktor. Nama saya Anastasia dan umur saya 23 tahun. Saya perasan semenjak daripada umur 13 tahun lagi,... See More
Saringan Kesihatan PERCUMA
Mencegah adalah lebih baik daripada mengubati. Adakah anda sedia untuk melawan jangkitan? Ketahui dalam 5 minit!
Mula Saringan Kesihatan PERCUMA
Salam sejahtera, Anastasia. Terima kasih untuk soalan yang telah anda ajukan. Saya faham kebimbangan anda. Untuk pengetahuan anda, muntah ialah tindakan mengeluarkan isi kandungan dalam perut secara paksa melalui mulut. Muntah cuma simptom dan bukan penyakit. Terdapat pelbagai penyakit terutamanya yang berkaitan dengan sistem pencernaan yang boleh menyebabkan simptom muntah. Antaranya ialah keracunan makanan, ulser dalam perut, keradangan pankreas dan lain-lain. Namun, penyakit yang tidak melibatkan sistem pencernaan juga boleh mengakibatkan simptom muntah seperti penyakit yang berkaitan dengan sistem saraf, sistem reproduktif, sistem pernafasan dan sistem kencing. Berdasarkan keterangan anda, simptom muntah memang boleh berlaku sebelum atau semasa datang haid. Ini adalah perkara yang normal kerana tahap hormon estrogen dan progesteron meningkat selepas ovulasi atau tahap prostaglandin meningkat sejurus selepas haid berlaku. Saya akan menjelaskan dengan lebih lanjut tentang muntah secara am dalam artikel di bawah.
Salam sejahtera, Anastasia. Terima kasih untuk soalan yang telah anda ajukan. Saya faham kebimbangan anda. Untuk pengeta... See More

Penyebab Muntah

Terdapat pelbagai penyebab muntah yang boleh berlaku pada semua peringkat usia. Muntah dan mual berkait rapat tetapi mempunyai makna yang berbeza. Mual merupakan perasaan ingin muntah. Muntah pula merupakan tindakan mengeluarkan isi perut secara paksa. Perbezaan muntah dan regurgitasi ialah regurgitasi melibatkan pengeluaran isi perut tanpa paksa selepas makan. Hal ini berlaku apabila terdapat masalah dengan otot yang menutup kedua-dua hujung saluran esofagus. Contoh penyakit yang menjadi penyebab muntah pada orang dewasa ialah:

  • Keracunan makanan
  • Keradangan gastrik
  • Ulser dalam perut
  • Usus tersumbat
  • Radang appendiks
  • Radang pankreas
  • Terlebih makan
  • Terlalu banyak minum alkohol
  • Migrain
  • Mabuk kepada pergerakan
  • Tanda-tanda hamil pada peringkat awal
  • Tanda-tanda datang haid
  • Rawatan khemoterapi
  • Rawatan radioterapi
  • Kesan sampingan ubat seperti antibiotik atau ubat bius
  • Kanser
  • Masalah hati atau ginjal
  • Ketoacidosis diabetik
  • Barah otak atau pendarahan dalam otak
  • Jangkitan kuman dalam otak
  • Penyakit sistemik
  • Penyakit metabolik
  • Masalah bulimia
  • Masalah keresahan
  • Reaksi terhadap bau



Gejala Yang Datang Bersama Muntah

Seperti yang telah dijelaskan, muntah cuma simptom dan bukan penyakit. Terdapat beberapa gejala lain yang boleh datang dengan muntah. Antaranya:

  • Sakit kepala
  • Mual
  • Demam
  • Cirit-birit
  • Perut kembung atau terasa penuh
  • Keletihan
  • Masalah penglihatan
  • Sakit ari-ari
  • Kekeliruan
  • Leher kaku
  • Mata kuning
  • Nafas berbau buah-buahan- Biasanya dilihat dalam pesakit ketoasidosis diabetes. 
  • Berat badan menurun

Bila Untuk Berjumpa Doktor?

Muntah bukan isu yang terlalu serius sekiranya tidak berlarutan lebih daripada 24 jam. Muntah merupakan cara tubuh badan kita membuang toksin yang tidak diingini. Namun, anda harus melawat klinik atau hospital yang berdekatan dalam situasi yang berikut:

  • Muntah lebih daripada dua ke tiga hari
  • Muntah darah
  • Muntah hijau
  • Mengidap kencing manis
  • Sejarah trauma yang melibatkan kecederaan kepala
  • Muncul tanda-tanda dehidrasi seperti mata cengkung, bibir dan mulut kering, kehausan, jantung berdebar, kencing berwarna gelap dan jarang membuang air kecil.
  • Kekeliruan
  • Pengsan 

Muntah boleh membawa komplikasi sekiranya berlanjutan. Antaranya:

  • Dehidrasi
  • Kegagalan organ seperti buah pinggang
  • Kecederaan pada esofagus disebabkan oleh kekerapan muntah yang banyak. Isi perut kita bersifat asid. Oleh itu, pH ini boleh menyebabkan sel esofagus kita terjejas
  • Komplikasi lain yang berkaitan dengan punca muntah

Rawatan Untuk Muntah

Terdapat pelbagai jenis rawatan untuk muntah yang boleh didapati di mana-mana farmasi. Antaranya ialah ubat tahan muntah seperti metaclopramide, ubat arang yang diaktifkan (untuk kes keracunan makanan) dan garam rehidrasi. Garam rehidrasi penting untuk menggantikan air yang dimuntahkan oleh pesakit. Dehidrasi merupakan komplikasi yang sering berlaku dalam pesakit yang muntah terlampau banyak. Sekiranya pesakit terlalu lemah, jarum akan dimasukkan ke dalam saluran darah untuk masukkan air terus ke dalam badan.

Ubat tahan muntah untuk ibu mengandung yang selamat digunakan dan tidak menjejaskan kesihatan bayi adalah sepertiubat antihistamine (Diphenhydramine, Promethazine, Meclizine), phenothiazines (Chlorpromazine, Prochlorperazine), Metoclopramide dan Ondansentron. Selain ubat-ubatan, kaedah lain yang boleh diambil untuk menangani masalah muntah yang tidak terlalu teruk ketika mengandung ialah halia. Halia boleh diambil dalam bentuk teh atau pill. Kajian menunjukkan bahawa pengambilan halia lebih membantu daripada kaedah placebo dalam menangani masalah ‘morning sickness’.

Tips secara am untuk mengelakkan fenomena muntah ialah:

  • Elakkan makan di tempat yang kurang bersih. Perhatikan kawasan sekitar gerai atau kedai makan yang anda kunjungi. Sekiranya kebersihan kedai tersebut atau cara penyediaan makanan mereka kurang memuaskan, elakkan membeli makanan di situ. Langkah ini bertujuan untuk mengelakkan anda terkena keracunan makanan.
  • Elakkan makan makanan yang kurang masak atau mentah. Jangkitan usus boleh berpunca daripada organisma seperti salmonella yang boleh dijumpai dalam daging dan telur. 
  • Makan dengan perlahan dan kunyah makanan sehingga betul-betul hancur. Langkah ini akan membantu sistem penghadaman anda supaya lebih efektif dan lancar. Menurut kajian, langkah ini boleh juga mengurangkan berat badan kerana anda akan makan kuantiti yang lebih kecil tetapi berasa kenyang.
  • Jangan makan terlampau banyak pada satu masa.
  • Kurangkan pengambilan makanan yang terlalu pedas. Makanan yang terlalu pedas boleh menyumbang kepada pembentukan ulser perut.
  • Kurangkan makanan yang terlalu berminyak. Berpada-padalah apabila menggunakan minyak dalam masakan anda. Elakkan juga makan makanan yang bergoreng setiap hari. Ini boleh meningkatkan tahap kolesterol anda dan menyumbang kepada pembentukan batu hempedu. Batu hempedu boleh menyumbat saluran pankreas lalu menyebabkan radang pankreas.
  • Elakkan baring sejurus selepas makan. 
  • Kurangkan pengambilan alkohol. Alkohol merupakan faktor risiko kepada pembentukan ulser perut dan gastroesophageal reflux disease(GERD). Ulser perut boleh menyebabkan muntah darah manakala GERD boleh bertukar kepada kanser esofagus. Pengambilan alkohol secara berlebihan pada satu masa juga boleh menyebabkan muntah apabila dalam keadaan mabuk.
  • Bagi wanita hamil yang mengalami gejala morning sickness, anda boleh makan beberapa keping biskut selepas bangun atau makan makanan yang tinggi protein sebelum tidur seperti daging dan keju.

References