Apakah Itu Penyakit Fibrilasi Atrium (Atrial Fibrillation)?
Kadar kejadian fibrilasi atrium dalam kalangan rakyat Malaysia adalah sebanyak 0.54% berbanding dengan kadar kejadian global pada 1% menurut kajian kohort pakar kardiologi Malaysia.
Sebelum menelaah fibrilasi atrium, anda perlu terlebih dahulu mengenali sistem wayar elektrik di dalam jantung. Jantung kita terbahagi kepada 4 ruang, 2 dikenali sebagai atrium dan dua lagi dikenali sebagai ventrikel. Impuls elektrik akan bermula pada “sinoatrial node” yang terletak di penjuru atrium kanan. Kemudian, impuls ini akan disalurkan kepada otot-otot di atrium dan ventrikel untuk mula berdegup.
Fibrilasi atrium berlaku apabila saluran isyarat elektrik ini menjadi huru-hara yang menyebabkan ruang jantung tidak menguncup dan berdegup seperti normal. Dalam keadaan ini, ruang atrium boleh berdegup pada kadar 4 kali lebih daripada kadar degupan biasa.
5 Jenis fibrilasi atrium
1. “First episode” - Kejadian fibrilasi atrium buat kali pertama dan dibuat diagnosis melalui elektrokardiogram (ECG).
2. “Paroxysmal atrial fibrillation” - Kejadian fibrilasi atrium lebih daripada dua episod tetapi balik kepada normal dalam kurang 7 hari.
3. “Persistent atrial fibrillation” - Kejadian fibrilasi atrium melebihi hari dan memerlukan intervensi dari segi perubatan atau kardioversi.
4. “Long- standing persistent atrial fibrillation” - Kejadian takiaritmia ini yang melebihi setahun.
5. “Permanent atrial fibrillation” - Kondisi di mana para doktor mengambil keputusan untuk berhenti melakukan intervensi atas risiko yang lebih tertinggi berbanding dengan tidak merawat.
Faktor risiko fibrilasi atrium
#Usia
Umur melebihi 60 tahun merupakan risiko utama dan paling biasa antara pesakit fibrilasi atrium.
#Tekanan darah tinggi
Tekanan darah yang tinggi sering kali memaksa jantung untuk melakukan perubahan struktur anatomi bagi menampung tekanan darah. Perubahan ini menyebabkan permulaan impuls elektrik dari lebih daripada satu titik permulaan. Ketahui risiko anda menghidapi masalah hipertensi.
#Penyakit koronari arteri
Arteri yang tersumbat akan gagal menyalurkan darah pada kawasan tertentu pada otot jantung. Kawasan ini akan membentuk parut dan melalui perubahan struktur.
#Penyakit injap jantung
Injap yang terlalu longgar atau ketat boleh mengubah tekanan darah di dalam jantung yang menjurus ke arah perubahan struktur kamar di jantung yang kemudiannya menyabebakan fibrilasi atrium.
#Penyakit tiroid
Tiroid merupakan satu kelenjar pada bahagian leher yang berfungsi untuk mengawal metabolisma badan dan tekanan darah. Masalah kelenjar ini boleh menyebabkan fibrilasi atrium.
#Penyakit paru-paru kronik
Penyakit seperti COPD dan asthma yang berlarutan boleh menyebabkan tekanan darah di paru-paru semakin meningkat yang boleh memberi kesan kepada perubahan struktur kamar jantung.
#Penggunaan arak atau bahan stimulan
Arak dan bahan stimulan boleh meningkatkan metabolisma badan dan tekanan darah di jantung sekali gus mengubah struktur anatomi kamar jantung.
#Kencing manis
Kencing manis merupakan salah satu risiko utama untuk penyakit koronari arteri yang mampu menyebabkan arteri tersumbat dan kerosakan otot-otot jantung.
Gejala-gejala fibrilasi atrium
Bukan semua pesakit fibrilasi atrium akan mengalami simptom-simptom yang klasik dan sama dengan yang lain. Gejala-gejala penyakit ini adalah berbeza berdasarkan faktor risiko dan punca ia berlaku. Antara gejala yang biasa dilaporkan oleh pesakit atrial fibrilasi adalah seperti berikut;
- Kekurangan tenaga. Kebanyakan pesakit akan berasa letih untuk melakukan kerja seharian berbanding dengan keadaan dahulu.
- Debaran jantung. Anda mungkin berasa degupan jantung menjadi berdebar-debar atau merasai degupan jantung anda dengan lebih kuat.
- Sesak nafas. Jantung anda boleh menjadi lemah akibat fibrilasi atrium yang berpanjangan dan menjurus ke arah kesesakan nafas.
- Pening atau ringan kepala. Gejala ini sering kali dirasai akibat kekurangan darah ke otak disebabkan oleh degupan jantung yang tidak sekata.
- Sakit dada. Walaupun gejala ini kurang dialami oleh pesakit fibrilasi atrium, ia mungkin tanda anda mengalami penyakit jantung yang serius.
Bagaimana diagnosis fibrilasi atrium dibuat?
Terdapat pelbagai cara untuk menyiasat dan membuat diagnosis fibrilasi atrium. Antaranya ialah;
1. Elektrokardiogram (EKG). Wayar akan dipasang atas dada dan pada lengan dan kaki untuk merekod aktiviti jantung selama beberapa minit. Aktiviti jantung yang direkod akan menunjukkan corak atrial fibrillation ecg yang klasik.
2. Mesin Hotler. Bagi pesakit yang mengalami fibrilasi atrium dan tidak dapat direkod pada EKG, mesin Hotler akan dipasang pada pesakit bagi beberapa hari hingga seminggu.
3. Ekokardiogram. Teknik pengimejan jantung ini digunakan untuk merekod aktiviti jantung dan injap serta mengenal pasti punca dan komplikasi fibrilasi atrium.
4. Ujian darah sokongan. Ujian darah lain seperti fungsi kelenjar tiroid, elektrolit, dan sebagainya.
Rawatan fibrilasi atrium
Pesakit tidak stabil | Pesakit stabil |
Deskripsi: Pesakit tidak stabil ialah pesakit yang mengalami simptom seperti kurang sedar, keliru, sakit dada dan sesak nafas. | Deskripsi: Pesakit yang tidak mengalami simptom-simptom seperti pesakit tidak stabil. |
Rawatan: Bagi pesakit ini, rawatan kardioversi akan diberi untuk menukar semula irama jantung kepada normal dengan menggunakan “patches” atau “paddles” dengan kadar tenaga 100 hingga 150 Joule. | Rawatan: Pesakit yang stabil akan diberi rawatan perubatan seperti amiodaraone, “beta blocker” dan “calcium channel blocker” bergantung kepada profil dan jangka masa fibrilasi atrium. |
Setelah irama jantung telah dipulihkan kepada yang normal, pesakit akan dinilai dengan menggunakan beberapa sistem pemarkahan untuk mula memberikan pesakit dengan ubat pencair darah.
Kebiasaannya, antikoagulan akan diberikan untuk mengelakkan pengumpalan darah beku di dalam kamar jantung yang boleh menjurus ke arah pelbagai komplikasi yang akan dibincangkan di bawah. Setelah rawatan antikoagulan dimulakan, pesakit akan dipantau di klinik atau hospital untuk memeriksa risiko pendarahan.
Komplikasi fibrilasi atrium
- atrial fibrilasi dan strok . Darah beku yang terbentuk di dalam kamar jantung akibat fibrilasi atrium boleh dibawa ke otak melalui saluran darah karotid. Apabila darah beku ini sampai ke otak, ia boleh menyumbat arteri penting di otak yang menyebabkan angin ahmar.
- Penyakit vaskular. Darah beku yang terbentuk boleh juga dibawa ke saluran darah pada tangan dan kaki dan menyebabkan arteri tersumbat. Sekiranya tidak dirawat dalam kadar yang segera, pesakit berkemungkinan mengalami kerosakan otot dan tisu lain.
- Lemah jantung. Akibat kadar degupan jantung yang laju mencecah 300, jantung terpaksa bekerja dengan lebih kuat untuk mengepam darah keluar. Lama kelamaan, jantung tidak dapat mengepam dengan baik lagi.
- Penyakit injap jantung. Jantung yang berdegup dengan kadar yang tidak sekata dan laju boleh mengubah struktur anatomi jantung yang seterusnya menjadikan injap jantung menjadi longgar dan rosak.
Kesimpulan
Fibrilasi atrium ialah sejenis takiaritmia yang biasa dialami selain atrial flutter oleh pesakit yang berusia lebih daripada 60 tahun dan mempunyai faktor risiko lain seperti tekanan darah tinggi, diabetes, penyakit tiroid, dan jantung lemah. Antara gejala klasikal ialah, debaran jantung, sesak nafas dan rasa letih. Rujuk kepada doktor sekiranya anda mengalami simptom-simptom tersebut. Fibrilasi atrium kebiasaannya disiasat dengan menggunakan atrial fibrilasi ekg dan ujian darah yang lain untuk mencari punca ia berlaku.
Keadaan ini perlu melalui atrial fibrilasi terapi dengan segera dan dipantau kemudian di klinik atau hospital untuk mengelakkan komplikasi seperti angin ahmar atau penyakit vaskular.
Risau tentang jantung anda? Konsult doktor kami secara PERCUMA!
* Inisiatif konsultasi doktor percuma disokong dan ditanggung sepenuhnya oleh DoctorOnCall