Walaupun pneumonia boleh dirawat6 dan dicegah15, ia masih boleh membawa maut bagi mereka yang dijangkiti. Setakat 2020, pneumonia kekal sebagai punca utama kematian dalam kalangan wanita Malaysia dan punca kedua utama kematian dalam kalangan lelaki Malaysia.1
Pneumonia boleh dikategorikan secara luas mengikut tiga punca utamanya: bakteria, virus dan kulat.2
Pneumonia bakteria boleh berlaku dengan sendirinya atau berkembang selepas anda mengalami selsema atau influenza akibat virus.3 Jenis pneumonia bakteria yang paling biasa dipanggil pneumonia pneumokokus3, yang disebabkan oleh kuman Streptococcus pneumoniae yang hidup di saluran pernafasan atas.4
Pneumonia virus, apabila virus menyerang paru-paru dan membiak, terutamanya disebabkan oleh virus influenza. Secara amnya bagi penyakit virus ini, tiada tanda fizikal tisu paru-paru dipenuhi cecair.
Pneumonia kulat paling biasa berlaku pada mereka yang mempunyai masalah kesihatan atau telah terdedah kepada kulat daripada tanah tercemar dan najis burung. Mereka yang mempunyai sistem imun yang lemah akibat penggunaan jangka panjang ubat penindas imun, menghidap HIV/AIDS, atau pesakit kanser juga lebih mudah dijangkiti jenis pneumonia ini.3
Beberapa tanda dan gejala pneumonia5 termasuk:
Batuk berterusan yang menghasilkan kahak pekat berwarna kuning, hijau atau seperti karat
- Demam tinggi yang berterusan melebihi 38ºC.
- Menggigil.
- Sesak nafas.
- Sakit dada yang bertambah teruk semasa bernafas.
- Kadar denyutan jantung meningkat.
- Hilang selera makan.
Jika anda mengalami gejala ini, dapatkan perhatian perubatan daripada profesional secepat mungkin.

Tempoh pemulihan pneumonia
Golongan yang mungkin lebih berisiko mengalami komplikasi pneumonia ialah warga emas atau kanak-kanak kecil, mereka yang mempunyai sistem imun yang lemah, dan mereka yang mempunyai keadaan perubatan sedia ada seperti diabetes dan sirosis.6 Oleh itu, amat penting bagi golongan ini untuk berhati-hati dan peka terhadap kesihatan peribadi mereka.
Pneumonia boleh menjejaskan orang secara berbeza, dan tempoh pemulihan sering bergantung pada keterukan penyakit. Ada yang berasa lebih baik dan dapat kembali kepada rutin biasa dalam tempoh seminggu.6 Bagi yang lain, ia boleh mengambil masa sehingga enam bulan atau lebih untuk pulih sepenuhnya.7
Ini disebabkan oleh sisa (reputan organik) yang terhasil akibat jangkitan paru-paru, yang sukar dihapuskan sepenuhnya oleh badan.9 Walaupun antibiotik yang dipreskripsikan doktor dapat membunuh bakteria penyebab jangkitan, pertahanan yang dihasilkan badan anda untuk melawan bakteria – lendir atau kahak – ditinggalkan.
Walaupun pemulihan berbeza bagi setiap orang, kebanyakan gejala akan reda menjelang tempoh 3 bulan, walaupun anda mungkin masih berasa letih sekali-sekala.7
Tiada penjelasan perubatan untuk keletihan dan kepenatan yang berlarutan. Namun, teorinya ialah ini disebabkan badan mengalihkan tenaga kepada sistem imun untuk melawan jangkitan.8,9
Jangan tergesa-gesa dalam pemulihan anda

Kredit foto: Castorly Stock @ Pexels
Jika anda telah didiagnos menghidap pneumonia, berikut ialah beberapa langkah penting untuk memastikan pemulihan yang lengkap dan betul.
1. Habiskan kursus antibiotik anda
Ini penting untuk membunuh punca jangkitan anda sepenuhnya. Ia juga memastikan anda tidak lagi berjangkit dan tidak berisiko menularkan pneumonia kepada orang lain.6,10
2. Lega gejala anda
Kawal kesan sampingan atau gejala pneumonia seperti demam dengan ubat antiradang bukan steroid.6
3. Minum banyak cecair
Ini akan membantu melonggarkan rembesan dan mengeluarkan kahak untuk membersihkan saluran udara anda.6
4. Panaskan badan anda
Minum minuman suam, mandi wap dan gunakan pelembap udara untuk membantu membuka saluran udara anda bagi melegakan pernafasan.11
5. Berehat secukupnya
Bersabarlah dengan pemulihan anda. Memandangkan anda mungkin perlu berehat di atas katil, dapatkan sebanyak mungkin bantuan untuk penyediaan makanan atau kerja rumah sehingga anda berasa lebih kuat. Apabila telah pulih sedikit tenaga, jangan melampau-lampau dengan aktiviti berintensiti tinggi.6,7
6. Amalkan teknik pernafasan
Senaman pernafasan, seperti pernafasan bibir mencebik atau pernafasan diafragma, boleh membantu menguatkan paru-paru dan meningkatkan paras oksigen.12, 13
7. Jauhi asap
Ini termasuk merokok dan asap rokok pasif. Jika anda seorang perokok dan menghadapi kesukaran untuk kekal bebas asap semasa pemulihan, hubungi doktor anda dan maklumkan kepada mereka.14


Kredit Foto: Karolina Grabowska @ Pexels
Mencegah lebih baik daripada mengubati
Vaksin pneumokokus boleh melindungi kita daripada jangkitan pneumokokus yang serius dan berpotensi membawa maut.15
Walaupun rawatan untuk jangkitan ini mungkin ada, vaksinasi kekal sebagai cara paling kos efektif untuk melindungi diri dan orang tersayang daripada penyakit pneumokokus.16
Selain itu, menjaga kebersihan diri secara keseluruhan penting dalam mencegah pneumonia. Ingat untuk kerap mencuci tangan dengan air suam dan sabun, peka terhadap kesihatan am anda, dan mengekalkan gaya hidup dengan pemakanan sihat, senaman berkala, dan rehat yang mencukupi.17
Kesimpulan
Adalah perlu untuk memastikan semua langkah yang betul diambil dalam mencegah penularan pneumonia.
Golongan yang berisiko lebih tinggi dijangkiti pneumonia harus menerima vaksinasi yang sesuai demi keselamatan mereka. Jika anda berumur lebih 65 tahun, seorang perokok, atau mempunyai keadaan kesihatan sedia ada seperti diabetes, asma, atau penyakit kardiovaskular, anda harus berunding dengan doktor tentang cara mengurangkan risiko pneumonia melalui vaksinasi yang berkaitan.18
Untuk maklumat lanjut tentang mendapatkan vaksin bagi mencegah penularan pneumonia, hubungi profesional penjagaan kesihatan untuk mengetahui lebih lanjut.

Rujukan:
- Statistics on Cause of Death, Malaysia, 2020 | https://tinyurl.com/67wwab2z | Accessed on 1 Nov 2021
- Causes of Pneumonia, Centers for Disease Control & Prevention | https://tinyurl.com/8hc4yh7p | Accessed on 2 Nov 2021
- What Causes Pneumonia, American Lung Association | https://tinyurl.com/5bpuneta | Accessed on 2 Nov 2021
- Serotype Distribution of Invasive, Non-Invasive and Carried Streptococcus pneumoniae in Malaysia | https://tinyurl.com/547wfyws | Accessed on 1 Nov 2021
- Pneumonia, Portal Rasmi MyHEALTH Kementerian Kesihatan Malaysia | https://tinyurl.com/p7pkveak | Accessed on 1 Nov 2021
- Pneumonia Treatment & Recovery, American Lung Association | https://tinyurl.com/s4p3tun4 | Accessed on 2 Nov 2021
- Recovery From Pneumonia, British Lung Foundation | https://tinyurl.com/4sse2zy6 | Accessed on 1 Nov 2021
- Pneumonia’s Toll, Gunk-Filled Lungs, Take Time To Clear | https://tinyurl.com/bncf5s39 | Accessed on 2 Nov 2021
- Why Does It Take So Long To Recover from Pneumonia, The Washington Post | https://tinyurl.com/6hacxpp9 | Accessed on 1 Nov 2021
- Pneumonia Symptoms, Treatment, Vaccine & Causes | https://tinyurl.com/ymjbf3nv | Accessed on 2 Nov 2021
- Can Pneumonia Go Away Without Treatment? | https://tinyurl.com/2eeest6u | Accessed on 2 Nov 2021
- How to Return to Exercise After Pneumonia, Livestrong |https://tinyurl.com/vvnepm62 | Accessed on 2 Nov 2021
- Breathing Exercises to Increase Lung Capacity, Livestrong | https://tinyurl.com/4vzenjvs | Accessed on 2 Nov 2021
- Pneumonia: Care Instructions | https://tinyurl.com/54kfpkce | Accessed on 2 Nov 2021
- Pneumococcal Vaccine Overview | https://tinyurl.com/2p8hash9 | Accessed on 8 Nov 2021
- Pneumococcal Vaccine, Doctor on Call | https://tinyurl.com/2fncy5mk | Accessed on 2 Nov 2021
- How to Prevent Pneumonia: Vaccine, Other Tips & More | https://tinyurl.com/6v68rkss | Accessed on 8 Nov 2021
Penafian:
Maklumat kesihatan yang terkandung di sini disediakan untuk tujuan pendidikan sahaja dan tidak bertujuan menggantikan perbincangan dengan penyedia penjagaan kesihatan. Semua keputusan mengenai penjagaan pesakit mesti dibuat bersama penyedia penjagaan kesihatan, dengan mengambil kira ciri-ciri unik pesakit.
Untuk terma penggunaan Pfizer, klik di sini: Terms of Use | Pfizer – Breakthroughs That Change Patients’ Lives
PP-PRE-MYS-0367-3NOV2021