Vaksin Pneumococcal Percuma, Lindungi Anak Anda Dari Jangkitan Berbahaya

Vaksin Pneumococcal: Mengapa Bayi Perlu Suntikan Ini? - DoctorOnCall

Berikutan belanjawan 2020, vaksin pneumokokal (pneumococcal vaccine) akan diperkenalkan di bawah Jadual Imunisasi Kebangsaan. Masyarakat masih tertanya-tanya apakah vaksin pneumokokal dan apa pula fungsinya sehinggakan kerajaan membelanjakan sejumlah wang yang besar untuk merealisasikan program vaksin ini.

Berdasarkan konsep yang sama dengan vaksin yang lain, vaksin pneumokokal diberikan bertujuan untuk mencegah penyakit. 

Terdapat dua jenis vaksin pneumokokal dikenali sebagai pneumococcal jenis polisakarida (polysaccharide) dan pneumococcal jenis konjugat (conjugate). Vaksin pneumokokal pertama kali di perkenalkan di Amerika Syarikat pada tahun 1977 dikenali sebagai Pneumococcal Polysaccharide Vaccine yang merangkumi 14 jenis bakteria pneumokokus. Kemudian pada tahun 1983, vaksin polisakarida 23 valen (PPSV-23), yang kini dikenali sebagai (Pneumovax 23, Merck) di Amerika Syarikat telah dihasilkan untuk menggantikan vaksin 14 serotaip.

Sementara itu, vaksin pneumokokal konjugat (conjugate) pertama kali diperkenalkan di Amerika Syarikat, pada tahun 2000. Awalnya diberi nama PCV7, vaksin ini mampu melindungi manusia dari 7 serotaip S.pneumoniae. Sejenis vaksin pneumokokal dengan 10 serotaip (PCV10) diperkenalkan pada tahun 2009. Pada tahun 2010 pula, vaksin pneumokokal baru yang dikenali sebagai PCV13 turut diperkenalkan. Kedua-dua vaksin PCV10 dan PCV13 boleh didapati sehingga hari ini dan keduanya dapat melindungi kita daripada pelbagai jenis jangkitan S.pneumoniae.

Mengapa Perlu Ambil Vaksin Pneumokokal - Kenali Penyakit Jangkitan Bakteria Pneumococcal

Daripada awal lagi kita menyebut tentang S.pneumoniae, tahukah anda apa itu S.pneumoniae? Ia adalah satu bakteria yang mempunyai lebih daripada 90 serotaip atau jenis, namun hanya lebih kurang 20 serotaip yang biasa menyebabkan penyakit jangkitan pneumococcal. Bakteria pneumococcus ini sering dijumpai di saluran pernafasan . Oleh itu, vaksin mula di perkenalkan bagi mencegah penyakit akibat jangkitan bakteria streptococcus. Berikut merupakan antara penyakit yang disebabkan oleh bakteria ini:

  • Keradangan dan jangkitan kuman pada paru-paru(pneumonia)

  • Keradangan selaput otak (meningitis)

  • Jangkitan kuman dalam darah (sepsis)

  • Keradangan sinus (sinusitis)

  • Jangkitan dalam telinga tengah (otitis media)

Jangkitan pneumokokal sangat mudah berjangkit. Jangkitan bakteria S.pneumonia biasanya merebak melalui titisan pernafasan seperti cecair mengandungi bakteria yang tersebar selepas batuk atau bersin. Pesakit boleh jadi tidak mempunyai apa-apa gejala tetapi boleh menyebarkan penyakit tersebut.

Walaupun rawatan bagi penyakit yang di sebarkan oleh bakteria ini ada di hospital, pelalian melalui vaksin amat penting untuk mencegah jangkitan dan melindungi masyarakat daripada jangkitan teruk atau kematian yang mungkin disebabkan oleh pneumokokus. Bakteria ini selalunya menjangkiti golongan tua berumur 60 tahun ke atas, golongan yang menghidapi penyakit kronik seperti kanser serta golongan kanak kanak. Jangkitan ini sangat mudah merebak dan boleh membawa komplikasi yang serius kepada pesakit. Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), kes jangkitan kuman paru paru yang berlaku di Eropah dan juga Amerika Syarikat majoritinya disebabkan oleh bakteria S.pneumoniae. Dianggarkan 10 hingga 100 kes dalam 100 000  populasi dilaporkan setahun.

Jenis Vaksin Pneumokokal

Menurut Food and Drug Administration (FDA), terdapat dua jenis vaksin pneumokokal yang telah diluluskan untuk kegunaan golongan dewasa:

  • Vaksin Pneumokokal jenis konjugat atau dikenali sebagai PCV13 

  • Vaksin Pneumokokal jenis polisakarida atau dikenali sebagai PPSV 23

PCV13 biasanya diberikan kepada kanak-kanak berumur 2, 4, 6, dan 12 bulan. Vaksin jenis ini mampu melindungi kita daripada 13 strain bakteria pneumococcus yang boleh menyebabkan penyakit serius. Orang dewasa yang mengambil vaksin ini hanya perlu mengambil satu dos suntikan.

PPSV23 disyorkan kepada semua orang dewasa yang berumur 65 tahun atau lebih, kumpulan tertentu yang memerlukan, seperti mereka yang mempunyai penyakit kronik berumur 2 hingga 64 tahun. Ia juga diberikan kepada orang dewasa berumur 19 hingga 64 tahun yang merokok. Oleh kerana tahap imuniti biasanya berkurang setelah 5 tahun suntikan, anda disyorkan untuk mengambil semula suntikan vaksin ini untuk melindungi diri anda daripada jangkitan pneumokokus. Bolehkan anda membezakan antara fakta dan mitos vaksin?

Untuk Siapakah Vaksin Pneumokokal?

Suntikan vaksin pneumokokal juga disarankan untuk golongan berikut : 

  • Kanak-kanak berusia kurang dari 2 tahun perlu menerima 4 dos atau 3 dos suntikan: 3 dos primer dan 1 dos penggalak atau 2 dos primer dan 1 dos penggalak mengikut jadual imunisasi masing-masing. Suntikan pertama diberikan seawal usia dua bulan. 

  • Berusia 2 hingga 64 tahun yang sedang menjalani rawatan bagi penyakit kronik seperti pengambilan steroid dan rawatan kemoterapi.

  • Berusia 2 hingga 64 tahun dan menghidap beberapa penyakit kronik tertentu seperti penyakit Hodgkin, Leukemia, jangkitan HIV, penyakit AIDS, dan sebagainya.

  • Dewasa berumur 19 hingga 64 tahun yang menghidap penyakit asma atau perokok aktif.

  • Bagi mereka yang berumur 65 tahun dan keatas, golongan ini juga disyorkan untuk mengambil suntikan vaksin PCV13 dan PPSV23 mengikut jadual yang disarankan. 

Selamatkah Vaksin Pneumokokal?

Setiap vaksin/ubatan mempunyai kesan sampingan tertentu. Namun manfaat yang diperoleh melalui imunisasi jauh lebih tinggi berbanding kesan sampingan yang mungkin berlaku. 

Biasanya, seseorang akan hanya mengalami kesan sampingan yang tidak serius dan ia akan beransur pulih dalam masa dua hingga tiga hari. Antara kesan sampingan yang mungkin berlaku adalah :

  • Kemerahan, bengkak dan sakit di tempat suntikan


Sekiranya anda mengalami kesan sampingan ini selepas menerima suntikan, jangan risau. Namun, jika kesan sampingan ini berlarutan, anda harus mengunjungi fasiliti perubatan untuk mendapatkan rawatan lanjut. 

Menurut laporan daripada Pusat Kawalan Penyakit (CDC), tindak balas alergi sangat jarang berlaku kepada seseorang yang menerima suntikan vaksin. Alergi di anggarkan berlaku hanya 1 kes dalam sejuta suntikan vaksin.

Vaksin Pneumokokal di Malaysia

Vaksin pneumokokal yang biasanya di dapati di Malaysia terbahagi kepada dua jenis iaitu vaksin pneumococcal polisakarida (polysaccharide) dan vaksin pneumococcal konjugat (conjugate). Vaksin ini disuntik ke dalam otot paha atau lengan. Ia boleh diberikan bersama suntikan vaksin lain yang tertentu asalkan tempat suntikan adalah berbeza.

Melihat kepada Jadual Imunisasi Kebangsaan, vaksin pneumokokal sebelum ini tidak tersenarai dalam jadual ini. Namun, pada tahun 2019 kerajaan Malaysia melalui Kementerian Kesihatan Malaysia telah bersetuju untuk memperkenalkan vaksin penumokokal ke dalam jadual tersebut. Program suntikan bagi vaksin penumokokal ini telah bermula sejak Disember 2020. Suntikan diberi sebanyak tiga dos pada bayi yang berusia 4, 8, dan 15 bulan. Melalui program ini, kerajaan mensasarkan semua kanak-kanak menerima suntikan dan mencapai kadar vaksinasi sebanyak 95 peratus.

Bagi orang dewasa dan kanak-kanak yang lahir sebelum tahun 2020, suntikan ini juga penting buat anda kerana jangkitan pneumokokal tidak mengenal usia. Oleh itu, anda disyorkan untuk merujuk kepada doktor untuk mengambil suntikan di mana-mana klinik atau hospital yang menyediakan perkhidmatan suntikan vaksin pneumokokal ini agar anda dilindungi daripada jangkitan bakteria pneumokokus yang boleh meragut nyawa.

Ragu-ragu tentang vaksin? Konsult Doktor Kami Secara PERCUMA!


Rujukan:

* Inisiatif konsultasi doktor percuma disokong dan ditanggung sepenuhnya oleh DoctorOnCall