Kenali Vaksin
Vaksin adalah salah satu kejayaan agung dalam dunia perubatan yang patut dibanggakan. Setelah vaksin diperkenalkan, banyak penyakit yang berbahaya seperti smallpox dan polio hampir hilang di dunia ini. Maksud imunisasi dalam kamus dewan ialah pengimunan atau suntikan pelalian. Suntikan ini menyebabkan tubuh kita membina antibodi terhadap virus tertentu bagi melawan jangkitan pada masa akan datang.
Sejarah pengenalan vaksin telah bermula berabad lamanya. Konsep vaksin di Barat diperkenalkan oleh Edward Jenner pada tahun 1796. Sehingga kini, terdapat lebih daripada 20 penyakit berbahaya telah mempunyai vaksin masing-masing. Menurut Pertubuhan Kesihatan Dunia, vaksin telah berjaya menyelamatkan 2 hingga 3 juta kematian daripada penyakit seperti kancing gigi, diphteria, campak dan influenza.

Manfaat Ciptaan Vaksin
Vaksin yang dicipta berkurun lamanya bukan semata-mata untuk keuntungan dalam sektor perubatan, malahan banyak kebaikan dan manfaat yang dibawa oleh vaksin untuk kita. Berikut merupakan fakta yang anda perlu ketahui tentang kebaikan vaksin
Mengurangkan kecacatan dan kematian akibat jangkitan serius. Sesetengah penyakit seperti Polio sangat berbahaya dan boleh mengancam nyawa terutamanya kanak-kanak. Dengan adanya imunisasi, kadar jangkitan adalah sangat rendah dan jarang berlaku.
Vaksin adalah selamat. Ramai anti-vaksin di luar sana melontarkan bahawa vaksin tidak selamat dan boleh menyebabkan kecacatan kekal kepada kanak-kanak. Hal ini sama sekali tidak betul kerana setiap penghasilan vaksin mengambil masa bertahun-tahun dan hanya akan diluluskan apabila menepati kriteria tertentu. Mana mungkin vaksin dibenarkan disuntik sekiranya ia membawa maut. Mungkin ada kesan tindak balas alergi tetapi ianya sangat jarang berlaku.
Percaya atau tidak, vaksin mampu memberi imuniti secara menyeluruh kepada seluruh masyarakat setempat. Ia dipanggil sebagai herd immunity atau imuniti kumpulan. Imuniti jenis ini akan berlaku apabila majoriti masyarakat di kawasan tersebut menerima vaksin untuk melawan sesuatu penyakit. Tindakan baik sebegitu akan menutup ruang virus atau bakteria menyerang komuniti tersebut. Mungkin ada antara mereka yang tidak menerima vaksin, namun risiko untuk mendapat penyakit adalah rendah kerana tiada pembawa penyakit tersebut. Imuniti sebegini mampu menyelamatkan golongan warga emas, mereka berpenyakit kronik, bayi dan kanak-kanak yang mempunyai sistem imuniti yang rendah.