Apakah Punca Keguguran, Petanda & Simptom Serta Kesannya Terhadap Pesakit

4 Punca Keguguran Yang Perlu Diketahui Oleh Semua Bakal Ibu - DoctorOnCall
Anonymous

Salam sejahtera dan terima kasih khas buat doktor yang sudi melapangkan masa untuk membaca luahan hati serta soalan berkenaan dengan keguguran. Untuk pengetahuan anda, saya merupakan bakal ibu yang berumur 24 tahun dan semalam merupakan hari pertama saya mengesahkan kandungan serta pemeriksaan di klinik kesihatan ibu dan anak. Kandungan saya kini baru saja berusia 6 minggu dan ianya disahkan melalui pengiraan hari terakhir saya datang haid serta imbasan ultrasound. Saya ada keresahan berkenaan dengan masalah keguguran kerana kakak saya pernah mengalami masalah ini ketika kandungan pertama beliau. Saya amat khuatir jika perkara yang sama ini berlaku keatas saya. Bolehkah doktor ceritakan dengan lebih lanjut berkenaan isu ini.

Anonymous
Salam sejahtera dan terima kasih khas buat doktor yang sudi melapangkan masa untuk membaca luahan hati serta soalan b... See More
Saringan Kesihatan PERCUMA
Mencegah adalah lebih baik daripada mengubati. Adakah anda sedia untuk melawan jangkitan? Ketahui dalam 5 minit!
Mula Saringan Kesihatan PERCUMA

Salam sejahtera kembali buat anda dan tahniah kerana bakal menimang anak serta menjadi seorang ibu. Walaupun kakak anda pernah mengalami masalah tersebut, tidak semestinya anda akan mengalami fenomena yang sama. Hal ini kerana masalah ini bukanlah masalah keturunan ataupun berjangkit antara satu sama lain. Untuk pengetahuan anda, 80% keguguran berlaku pada 13 minggu pertama kandungan yakni pada trimester pertama dan peratusan tersebut menurun pada minggu kandungan yang seterusnya. Namun begitu, punca kepada masalah ini berbeza mengikut minggu kandungan. Untuk mengetahui lebih lanjut berkenaan dengan punca serta tanda keguguran 6 minggu sila baca penulisan di bawah.

Salam sejahtera kembali buat anda dan tahniah kerana bakal menimang anak serta menjadi seorang ibu. Walaupun kakak an... See More

4 Punca Yang Menyumbang Kepada Masalah Keguguran

1. Masalah Kromosom Janin

Ralat pada bacaan kromosom janin merupakan punca keguguran yang paling lazim berlaku pada awal kandungan iaitu pada trimester pertama. Untuk pengetahuan am, trimester pertama merangkumi minggu awal kandungan sehinggalah minggu 13. Kromosom merupakan protein dalam badan yang bertindak menentukan struktur badan, warna kulit sehinggalah senipis rambut dan pada pemahaman santifiknya dikenali sebagai genetik. Dalam erti kata lain, masalah pada bacaan kromosom ini akan mengakibatkan bayi yang bakal lahir berada pada keadaan yang tidak cukup sifat ataupun berbeza daripada orang lain. Masalah seperti ini selalunya berlaku pada golongan wanita yang mengandung pada usia yang lebih berumur iaitu 35 tahun keatas.

2. Masalah Kesihatan

Bagi trimester kedua pula yakni kandungan bermula pada minggu 13 sehinggalah minggu ke 24, masalah kesihatan merupakan penjenayah utama yang menyumbang kepada permasalahan ini. Antara masalah kesihatan yang menyumbang kepada fenomena ini ialah:

  • Sakit kronik seperti kencing manis ataupun darah tinggi yang tidak terkawal. Seperti yang kita sedia maklum, sakit dua sekawan ini amatlah terkenal dalam kalangan rakyat Malaysia dan jika tidak dikawal, banyak komplikasi yang akan timbul. Sakit seperti ini akan menganggu fisiologi normal ketika mengandung dan akhirnya membawa kepada masalah keguguran.
  • Masalah autoimmune iaitu antibodi menyerang sel badan sendiri. Berdasarkan statistik perubatan, sakit berkenaan dengan autoimmune sering terjadi pada kaum hawa dan perkara ini bertambah rumit ketika mereka mengandung. Hal ini kerana, antibodi tersebut akan menyerang bayi dalam perut dan akhirnya menyebabkan keguguran.
  • Masalah kepada sarang peranakan ataupun serviks. Rahim ini boleh diumpakan sebagai rumah bagi bayi yang dalam kandungan dan serviks pula dianggap sebagai pintu pada rumah yakni rahim. Jika terdapat masalah pada kedua-dua struktur ini, maka tempat tinggal janin terganggu dan hal lah yang mengundang kepada masalah keguguran. Antara contoh masalah yang boleh timbul ialah ketumbuhan dalam rahim fibroid, serviks yang lemah serta ketumbuhan pada serviks.

3. Gaya hidup yang tidak sihat

Bercerita tentang gaya hidup, setiap sakit akan terkesan daripada cara seseorang kendalikan hidup mereka. Kata orang, “kalau mahu hidup lebih panjang amalkanlah gaya hidup yang sihat”. Sebab itu, kita ditegah daripada merokok, tidak menyalahgunakan dadah serta kurangkan pengambilan alkohol. Merokok terutamanya akan memberi kesan kepada penghasilan saluran uri yang mana merupakan platform bayi mendapatkan nutrien.

4. Terdedah kepada persekitaran yang berbahaya ataupun keadaan kurang kondusif

Persekitaran manusia kini sememangnya sudah pun tercemar dan paling tidaknya asap rokok daripada orang sekeliling kita. Selain itu, kandungan lead atau plumbum pada paip lama, merkuri pada bahan-bahan seperti termometer, semburan pembunuh nyamuk serta pelarut pada cat boleh mengundang masalah kepada kesihatan badan. Bahan-bahan kimia ini merupakan toxic kepada kandungan anda dan akhirnya boleh mengundang kepada masalah keguguran. Selain bahan kimia, trauma atau kemalangan juga boleh mengundang kepada masalah ini. Ada betulnya drama televisyen kalau watak perempuan mengandung jatuh, pastinya disusuli dengan lakonan dalam hospital dan susunan skrip “Maaf ya, kami tak dapat nak selamatkan anak anda”.

Tanda-Tanda Keguguran Yang Perlu Diketahui

Ramai yang tertanya-tanya, adakah keputihan tanda gugur atau sekadar cerita dongeng? Untuk makluman lanjut, tanda bagi masalah ini bervariasi mengikut usia kandungan. Secara amnya, tanda bagi masalah ini adalah seperti berikut:

  1. Pendarahan ataupun dikenali sebagai spotting. Ciri-ciri darah gugur adalah bergantung kepada keseriusan sakit yang dialami oleh pesakit. Ada yang dalam kuantiti banyak dan ada yang hanya secalit seperti spotting. Pada awal kandungan, pendarahan keguguran boleh untuk disalahtafsirkan sebagai haid namun bagi fenomena ini, pendarahan lebih teruk dan berpanjangan.
  2. Ibu mengandung juga akan mengalami sakit perut seperti memulas atau rasa seperti mahu beranak. Namun sakit perut keguguran selalunya berlarutan.
  3. Terdapat beberapa situasi juga yang mana terdapat ketulan daging mengalir bersama darah dan ini merupakan janin yang telah terkeluar ataupun gugur.
  4. Pada awal kandungan, perubahan badan seperti sakit pada payu darah, muntah serta loya akan dirasai oleh pesakit. Jika senario ini terhenti secara mendadak atau tiba-tiba, ia juga boleh menjadi petanda bahawa bayi mungkin telah gugur atau tidak bernyawa. Namun harus juga diketahui bahawa kesemua simptom ini akan juga berakhir pada pertengahan kandungan.

Kesan Keguguran Pada Wanita

Keguguran bukan sahaja mengakibatkan trauma secara lahiriah pada seseorang namun juga secara emosi. Oleh itu, bagi wanita yang mengalami masalah ini hendaklah mendapatkan khidmat konsultasi serta rawatan dari doktor yang bertauliah.

  • Pendarahan tidak terkawal

Setiap pendarahan pastinya membawa kesan kepada fisiologi badan. Hal ini juga sama ketika keguguran yang mana ibu tersebut akan mengalami pendarahan yang berlebihan. Jika perkara ini tidak dirawat segera, ia kan menyebabkan ibu tersebut sesak nafas dan boleh meragut nyawa.

  • Masalah psikologi ataupun tertekan

Dari kaca mata seorang doktor psikiatri pula, keguguran ini boleh memberikan impak dari segi mental terutamanya pada wanita yang betul-betul mahukan anak. Frasa yang lebih dekat pada orang melayu dikenali sebagai meroyan ia perlulah ditangani dengan segera.

References