Dalam dunia perubatan, punca kesakitan boleh diketahui dengan meneliti bahagian sakit tersebut iaitu organ sekitarnya. Namun, ada juga sakit yang dirasakan jauh daripada organ yang bermasalah dan ini terjadi disebabkan perkongsian saraf bagi deria kesakitan di sebahagian tubuh badan tidak kira kiri ataupun kanan. Bagi sakit dada sebelah kanan pula, penyebabnya boleh diklasifikasikan seperti berikut:
- Keradangan pankreas
- Masalah pada tulang atau otot pada dada
- Keradangan hati
- Jangkitan paru-paru
Kalau ingin buat anugerah organ paling popular dalam badan, nescaya organ ini pastinya menduduki tangga tercorot dalam carta. Apa tidaknya, jarang sekali kita dipendengarkan dengan organ bernama pankreas yang mana penting dalam merembeskan enzim untuk pencernaan makanan. Organ ini juga berada tengah di antara organ hati serta perut dan bentuknya seperti daun. Ekoran itu, kesakitan pada bahagian kanan boleh disebabkan oleh keradangan ataupun jangkitan pada pankreas. Apa yang membezakan sakit pada organ ini dengan yang lain ialah ciri sakit yang mana selalunya ada sebaran sakit dada tengah dan merebak ke belakang badan.
Kita sering terlepas pandang akan struktur badan lain yang sebenarnya juga menyumbang kepada rasa sakit. Tidak perlu untuk pergi jauh ke dalam badan, masalah sedekat kulit, otot serta tulang juga boleh menyumbang kepada sakit dada. Hal ini lazim terjadi kepada atlet angkat berat ataupun buruh kasar yang secara rutinnya mengunakan otot badan untuk melakukan pekerjaan. Pada tulang rusuk terutamanya, pesakit boleh mengalami masalah tulang retak ataupun keradangan rawan tulang iaitu costochondritis.
Bila didendangkan dengan terma sakit hati, netizen selalunya berfikir tentang keadaan seseorang yang dimarahi. Sakit hati pada kaca mata seorang pengamal perubatan ini merujuk kepada organ tersebut yang sebenarnya bermasalah. Jangkitan virus, kuman, kanser serta pengambilan ubatan sehingga menyebabkan toksik pada hati antara punca yang menyebabkan keradangan. Oleh kerana organ hati memenuhi sebahagian kanan dada serta sedikit pada kiri, sakit pada bahagian tersebut juga boleh disebabkan masalah pada organ tersebut.
Jangkitan pada paru-paru akan menyebabkan seseorang itu demam, batuk berkahak yang berwarna hijau, sakit dada dan rasa lesu serta tidak bermaya. Terma lain bagi masalah ini ialah pneumonia. Masalah ini selalunya berlaku pada seseorang yang memiliki tahap imuniti yang rendah seperti bayi dan juga pesakit HIV.