9 Jenis Penyakit Yang Disebabkan Oleh Virus Dalam Manusia Yang Harus Berwaspada!

Dijawab oleh: Dr Mohd Ramzdhan Bin Mohd Masdar
Dikemaskini pada: Jun 12, 2020

Soalan:

Salam sejahtera doktor. Saya seorang ibu yang mempunyai dua orang anak lelaki yang berumur 5 tahun dan 3 tahun. Kebelakangan ini, anak bongsu saya jatuh sakit dengan gejala hidung berair, batuk dengan kahak berwarna putih, demam seketika yang berulang-ulang dan tidak lalu makan selepas balik dari pusat penjagaan kanak-kanak. Tiga hari kemudian, anak sulung saya pula dijangkiti dengan penyakit yang sama. Saya amat risau dan telah membawa kedua-dua anak saya ke klinik yang berdekatan. Doktor memberitahu saya bahawa gejala ini berkemungkinan besar disebabkan oleh jangkitan virus dan bulan Disember ini merupakan “musim selsema” bagi kanak-kanak. Oleh itu, saya hendak tanya bahawa apakah penyakit yang disebabkan oleh virus?

Jawapan:

Salam sejahtera dan terima kasih atas soalan anda. Bulan Disember ini memang merupakan “musim selsema” atau “musim flu” yang disebabkan oleh jangkitan virus yang bernama Influenza. Virus ini boleh menjangkiti semua individu terutamanya golongan kanak-kanak kerana sistem imun mereka yang belum matang. Virus Influenza ini seringkali berubah dalam komponen genetiknya dan ini menyusahkan sistem imun kita untuk membasmi virus tersebut. Selain itu, terdapat banyak lagi jenis virus yang boleh menyebabkan penyakit dalam manusia seperti Varicella-Zoster Virus (Cacar air), Poliovirus (Poliomyelitis), Measles (Campak), Rubella, Human Immunodeficiency Virus (AIDS), Hepatitis Virus (Radang hati), Rabies (Penyakit Anjing Gila), Dengue Virus (Demam denggi) dan sebagainya.

Influenza

Virus Influenza merupakan virus yang biasanya menyebabkan penyakit “flu” dalam kalangan manusia. Apa itu flu? Seringkali kita dikelirukan penyakit Flu dengan Cold, mereka adalah 2 penyakit yang berbeza walaupun gejala yang dialami adalah sama. Penyakit influenza ini boleh menyebabkan selsema berpanjangan dan kematian terutamanya dalam golongan kanak-kanak atau orang tua akibat sistem imun mereka yang lemah. Virus ini mempunyai 3 jenis iaitu, Jenis A, Jenis B dan Jenis C. Contoh virus terkenal yang pernah menyebabkan epidemik di seluruh dunia ialah Influenza A H1N1 dan H5N1 (Selsema burung) dan virus ini telah meragut banyak nyawa. Influenza B and Influenza C juga akan menjangkiti manusia tetapi influenza simptom tidak begitu serius berbanding dengan Influenza A. Di Malaysia, pesakit H1N1 akan dikenakan cuti kuarantin di bawah Pekeliling cuti kuarantin sebagai cara mengatasi penyakit H1N1.

Cacar Air

Antara manifestasi penyakit cacar air yang disebabkan oleh Varicella Zoster Virus ialah demam panas dan bintik-bintik berair yang gatal di seluruh badan. “Chickenpox” ini memang diketahui oleh orang ramai dan jangkitan kali kedua adalah sangat jarang. Mereka yang biasa dijangkiti adalah kanak-kanak yang belum menerima suntikan vaksin atau mereka yang terdedah buat kali pertama. Setelah sistem imun mengenali virus ini, sel-sel antibodi akan dihasilkan dengan kuantiti yang banyak dan apabila mereka terdedah buat kali kedua, jangkitan ini akan dibasmi dengan segera tanpa menghasilkan sebarang gejala. Penjagaan kulit adalah penting kerana kanak-kanak akan menggaru dan memecahkan ruam berair ini. Ini akan menyebabkan jangkitan sekunder oleh organisma lain seperti kuman atau kulat.

Polio

Virus Polio pernah meragut berjuta-juta nyawa semasa berlakunya epidemik di seluruh dunia. Ianya boleh dijangkiti melalui mulut daripada makanan atau objek yang kotor dan virus ini akan menyerang sistem saraf manusia. Seseorang pesakit akan mengalami kelumpuhan dan kecutan otot anggota badan, seterusnya akan menjejaskan fungsi paru-paru dan menyebabkan kematian sekiranya tidak mendapat sokongan pernafasan. Setelah 27 tahun eradikasi penyakit ini di Malaysia, ianya kembali semula di Malaysia akibat daripada kegagalan program vaksin dan imunisasi dalam kalangan kanak-kanak.

Rabies

Rabies merupakan virus yang menyebabkan penyakit anjing gila. Ianya menjangkiti manusia melalui gigitan haiwan yang dijangkiti seperti anjing, sigung, musang atau kelawar. Seperti Polio, virus Rabies akan menyerang sistem saraf manusia dan seseorang yang dijangkiti akan mengalami kesakitan yang teramat di tempat gigit, demam panas, kesusahan untuk menelan, takut pada air, gelisah, sawan dan sebagainya. Gejala-gejala ini akan menyebabkan gangguan yang serius dalam aktiviti seharian dan kematian akan berlaku sekiranya ia tidak dirawat dengan segera.

Campak

Campak juga dikenali sebagai Measles yang mudah merebak daripada pesakit ke kanak-kanak lain yang tidak menerima vaksin. Gejala penyakit ini selalunya bermula dengan batuk, selsema dan mata merah. Ruam badan akan datang selepas beberapa hari, menular dari muka, leher, tubuh badan dan akhirnya anggota badan. Demam panas turut akan berlaku semasa ruam mulai merebak. Bintik “Koplik” yang timbul dalam mulut ini akan dikenalpasti oleh doktor dengan segera dan kanak-kanak yang dijangkiti perlu dikuaratin dalam wad untuk rawatan yang berlanjutan.

Rubella

Gejala penyakit Rubella ini adalah serupa dengan penyakit campak tetapi ianya tidak seteruk berbanding dengan campak. Namun begitu, jangkitan Rubella menjadi amat berbahaya terhadap perempuan hamil yang tidak pernah divaksinkan. Ianya akan menyebabkan Sindrom Rubella Kongenital kepada bayi semasa bersalin dan dimanifestasikan dengan kepekakan, katarak, penyakit jantung, kecacatan intelektual, kerosakan hati dan limpa dan komplikasi lain yang serius.

Demam Dengue

Demam denggi sangat lazim di negara Asia Tenggara dan ianya merebak melalui gigitan nyamuk Aedes Aegypti. Simptom denggi merangkumi demam, sakit otot atau tulang, sakit mata, sakit kepala, ruam, rasa loya dan muntah. Dalam kes yang lebih serius, seseorang akan mengalami paru-paru berair atau rongga perut, pendarahan di membran mukus seperti gusi gigi, pembengkakan hati dan sebagainya. Jika pesakit ini tidak mendapat sebarang rawatan, ianya akan menyebabkan kehilangan air dalam badan dan seterusnya kematian.

Hepatitis

Virus Hepatitis merupakan virus yang akan menyerang organ hati manusia, menyebabkan keradangan dan kegagalan hati dalam jangka masa yang panjang. Virus ini juga dikaji sebagai penyebab kanser hati iaitu Hepatocellular Carcinoma. Terdapat beberapa jenis virus Hepatitis iaitu, Hepatitis A, B, C, D dan E. Jenis B and C adalah jenis yang paling umum untuk menjangkiti manusia melalui cecair badan seperti darah atau air mani, melalui perkongsian jarum antara penagih dadah, penyebaran virus dari ibu kepada bayi semasa bersalin atau aktiviti seksual yang tidak terlindung. Ianya akan menyebabkan simptom keradangan hati seperti kekuningan badan, pembengkakan hati, sakit perut, gatal badan dan sebagainya.

HIV/AIDS

Human Immunodeficiency Virus (HIV) merupakan sebab utama penyakit Acquired Immunodeficiency Syndrome (AIDS) dan ianya menjangkiti manusia seperti melalui cecair badan seperti darah atau air mani dengan perkongsian jarum antara penagih dadah, ibu yang menyebarkan jangkitan kepada bayi semasa bersalin atau aktiviti seksual yang tidak terlindung. HIV akan menyerang komponen sistem imun kita, sel T yang berperanan untuk membasmi virus dalam badan. Semasa sel T dalam badan pesakit HIV dijejaskan, mereka akan kehilangan perlindungan daripada jangkitan-jangkitan serius yang lain dan AIDS merupakan tahap yang terakhir di mana fungsi imun pesakit telah dikompromikan.

Cara Pencegahan Penyakit Yang Disebabkan Oleh Virus

Secara umumnya, banyak penyakit yang disebutkan boleh dicegah melalui program vaksin dengan berdisiplin. Sebagai contoh, vaksin MMR boleh mencegah penyakit yang disebabkan oleh Measles dan Rubella, vaksin influenza boleh mengelakkan diri dari dijangkiti oleh penyakit flu. Selain itu, penjagaan kebersihan merupakan satu lagi unsur yang penting terutamanya dalam golongan kanak-kanak kerana virus seperti Polio lebih mudah menjangkiti individu yang tidak menjaga kebersihan. Kita juga perlu memastikan kehidupan kita sihat dengan menjauhkan diri daripada dadah dan mengamalkan aktiviti seksual yang terlindung supaya penyakit Hepatitis dan AIDS tidak akan membinasakan kesihatan kita. 

Untuk maklumat yang lebih lanjut, anda boleh mengunjungi laman web kami https://www.doctoroncall.com.my/ untuk mendapatkan konsultasi daripada doktor kami melalui forum, live chat, sesi audio atau video.


Rujukan

Tentang DoctorOnCall

Artikel ini dikemaskini dan diselenggarakan oleh DoctorOnCall. Sekiranya anda mempunyai pertanyaan mengenai jawapan, sila email kami di contact@DoctorOnCall.com.my

Tanya Doktor RM0
Hadiah Tunai RM30 eFarmasi
Tuntut RM300 Ujian COVID-19 >