Bagaimanakah untuk menjaga pankreas (Pancreas) dan fungsinya?

Dijawab oleh: Dr Mohd Ramzdhan Bin Mohd Masdar
Dikemaskini pada: Februari 6, 2020

Soalan:

Selamat pagi, doktor. Saya seorang lelaki berumur 47 tahun. Saya mempunyai perniagaan saya yang tersendiri. Saya sudah pun berkahwin dan isteri saya bekerja sebagai seorang setiausaha di sebuah syarikat swasta. Beliau berumur 45 tahun. Kami mempunyai 3 orang anak yang masih bersekolah. Saya mempunyai tabiat merokok dan ini telah dimulakan sejak 20 tahun yang lalu. Saya juga sering kali minum minuman beralkohol dan kadang kala sehingga tahap mabuk. Kedua-dua tabiat ini memang tidak disukai oleh isteri saya dan beliau sudah pun menasihati saya unuk berhenti namun saya masih tidak dengar. Baru-baru ini saya berasa sakit pada bahagian kiri perut saya. Pada mulanya sakit tersebut sedikit sahaja an saya ingatkan angin dan mengambil ubat. Namun sakit tersebut bertambah teruk sehingga merebak ke bahagian belakang badan saya. Saya sangat bimbang dan tidak tahu apa masalah yang saya alami ini. Bolehkah doktor menerangkan kepada saya mengenai masalah ini? Adakah masalah ini berkaitan dengan hati atau perut atau pun bahagian pankreas saya?

Soalan berkenaan - fungsi pankreas, kanser pankreas, radang pankreas, penjagaan pankreas

Jawapan:
Terima kasih atas soalan tersebut. Berdasarkan keterangan encik, saya mendapati encik menghidap penyakit ‘pankreatitis’. Ini merupakan satu penyakit yang terjadi disebabkan berlakunya keradangan pada pankreas (Pancreas). Keradangan inilah yang membawa kepada kesakitan yang melampau yang encik alami. Masalah ini berkemungkinan besar datang daripada tabiat merokok serta minuman beralkohol yang encik amalkan. Encik sememangnya harus berusaha untuk hentikan tabiat ini kerana jika tidak ia akan merosakkan pankreas encik dengan lebih teruk. Encik dinasihatkan agar segera ke hospital untuk berjumpa dengan doktor dan mendapatkan rawatan yang sesuai.

Apakah itu pankreas

Pankreas merupakan satu organ dalam badan manusia yang terlibat dalam sistem pencernaan makanan dalam badan kita. Tugas pankreas adalah untuk menghasilkan hormon dan enzim supaya proses pencernaan makanan boleh dijalankan dengan sempurna.

Apakah ciri-ciri pankreas

Pankreas berukuran agak-agak 18-25cm dan terletak di bahagian belakang perut. Pankreas juga terbahagi kepada tiga bahagian iaitu kepala, badan dan bahagian hujung. Bahagian kepala pankreas terletak berhampiran dengan ‘duodenum’ untuk memastikan enzim yang dihasilkan dapat masuk ke dalam ‘duodenum" dengan mudah dan mencernakan makanan. Bahagian ekor pula terletak berhampiran dengan limpa. Pankreas juga mengandungi jutaan sel di dalamnya yang bernama ‘islet of Langerhans’.

Apakah fungsi pankreas

Setiap organ dalam badan kita akan mempunyai fungsinya yang tersendiri. Begitu juga dengan organ pankreas ini. Fungsi pankreas yang dinyatakan adalah seperti:

Fungsi eksokrin

Pankreas berfungsi sebagai kelenjar eksokrin di mana organ ini akan menghasilkan enzim tertentu untuk membantu mencernakan makanan. Ini akan memudahkan proses pencernaan sekali gus membantu menghadamkan makanan dengan lebih baik. Contoh enzim yang dinayatakan di sini ialah:

  • Pencernaan protein - ‘trypsin’ dan ‘chymotrypsin’
  • Pemecahan karbohidrat - ‘amylase’
  • Bagi pencernaan lemak dan kolesterol - ‘lipase’
Kesemua enzim ini akan masuk ke dalam sistem penghadaman badan melalui duktus pada pankreas. Duktus pada pankreas ini bergabung dengan duktus hempedu untuk membentuk ‘Ampulla of Vater’. Oleh itu, melalui duktus inilah enzim yang dihasilkan oleh pankreas dapat masuk ke dalam saluran pencernaan.

Fungsi endokrin

Fungsi endokrin pankreas pula ialah dengan menghasilkan hormon tertentu dan ianya akan masuk terus ke aliran darah. Hormon ini akan dihasilkan oleh ‘islet of Langerhans’ yang boleh dijumpai dalam pankreas tersebut. Terdapat 2 jenis hormon yang dihasilkan oleh pankreas ini yang sememangnya sangat penting untuk tubuh badan kita iaitu:

Insulin

  • Hormon ini akan dihasilkan apabila didapati kadar gula dalam badan meningkat melebihi tahap normal. Insulin akan membantu mengurangkan balik tahap gula yang tinggi tersebut ke kadar normal. Insulin dihasilkan oleh sel beta dalam pankreas.
Glycogen

  • Hormon ini pula akan dihasilkan apabila mendapati kadar gula dalam badan kurang daripada tahap normal. Hormon glycogen ini akan membantu meningkatkan tahap gula yang rendah kembali ke kadar normal.

Apakah penyakit yang boleh terjadi sekiranya terdapat masalah pada pankreas

Pankreas seperti yang kita ketahui merupakan sebuah organ yang sangat penting dan perlu dijaga dengan baik. Terdapat pelbagai penyakit yang boleh diundang sekiranya terdapat masalah pada pankreas seperti:

  • Kencing manis (Diabetes) tahap 1 atau tahap 2. Dalam kes ini, sekiranya masalah pankreas berlarutan sehingga menggugat penghasilan hormon seperti insulin dan glycogen, maka ianya boleh mendatangkan penyakit seperti ini. Itulah sebabnya orang yang menghidap kencing manis ini, terpaksa mengambiol suntikan insulin sebagai dos tambahan untuk membantu mencernakan glukosa dalam badan.
  • ‘Pancreatitis’. Ini merupakan sebuah masalah di mana berlaku keradangan pada bahagian pankreas. Masalah ini akan menyebabkan individu terbabit mengalami sakit yang melampau sehingga merebak ke bahagian belakang badan. Radang ini boleh bertambah kronik jika tidak dirawat dengan segera.
  • Kanser pankreas. Masalah ini juga sangat serius dan selalunya tidak akan menunjukkan sebarang simptom pada tahap awal. Apabila sudah lanjut, ia akan mengakibatkan masalah kesihatan yang agak serius dan memudaratkan kesihatan.

Apakah gejala berikutan kerosakan pankreas

Terdapat beberapa gejala yang berikutan masalah kerosakkan pankreas dan ianya lebih baik jika dikenal pasti lebih awal. Antara gejala yang berikutan ialah seperti:

  • Tahap gula dalam badan sangat tinggi
  • Rasa loya dan muntah
  • Berat badan menurun
  • Sakit pada bahagian perut sehingga merebak ke belakang badan

Bagaimana untuk menjaga pankreas

Kepentingan organ pankreas ini haruslah dihargai. Terdapat beberapa tips untuk menjaga pankreas supaya tidak cepat rosak seperti:

  • Kurangkan atau berhenti meminum minuman beralkohol
  • Berhenti merokok
  • Menjaga berat badan supaya tidak melebihi tahap yang ditetapkan
  • Mengamalkan gaya hidup sihat dengan rajin melakukan aktiviti senaman dan makan makanan berkhasiat
Terdapat segelintir golongan yang telah mengalami masalah kerosakan pankreas. Golongan ini harus mengambil inisiatif lebih untuk menjaga pankreas mereka. Hal ini kerana tanpa pankreas ini hormon serta enzim tertentu tidak dapat dihasilkan dan boleh mendatangkan kesan negatif yang tidak diingini. Antara langkah penjagaan bagi golongan ini ialah seperti:

  1. Suntikan insulin. Suntikan insulin ini selalunya diberikan kepada golongan yang mempunyai penyakit kencing manis tahap 1 atau tahap 2.
  2. Enzim. Terdapat juga golongan yang menhadapi masalah ‘fibrosis’ pada duktus pankreas mereka dan ini memerlukan golongan ini diberi enzim. Enzim yang diberikan selalunya dalam bentuk supplemen supaya akan memudahkan proses pencernaan makanan.
  3. ‘Drainage’. Ini merupakan sebuah kaedah di mana sebuah tiub halus akan dimasukkan ke dalam pankreas untuk memastikan cecair di dalamnya dapat dikeluarkan. Kaedah ini dilakukan apabila individu tersebut menghadapi masalah ‘pseudocyst’ dalam pankreas.
  4. ‘Resection’. Ini merupakan sebuah langkah drastik bagi menyelamatkan bahagian pankreas yang masih sihat dan tidak terjejas oleh kanser. ‘Resection’ di sini bermaksud untuk membedah keluar bahagian yang terjejas supaya cebisan pankreas yang masih sihat dapat diselamatkan.
  5. ‘Transplant’. Ini selalunya merupakan langkah terakhir yang diambil. Hal ini kerana kaedah ini menandakan bahawa tiada langkah lain yang boleh diambil untuk menyelamatkan pankreas. ‘Transplant’ bermaksud pankreas yang sihat diambil daripada penderma organ dan dibedah masuk ke dalam orang yang memerlukannya.
Anda juga boleh mendapatkan nasihat daripada doktor kami di laman www.doctoroncall.com.my


Tentang DoctorOnCall

Artikel ini dikemaskini dan diselenggarakan oleh DoctorOnCall. Sekiranya anda mempunyai pertanyaan mengenai jawapan, sila email kami di contact@DoctorOnCall.com.my

Tanya Doktor PERCUMA
Kunjungi ePharmacy