Sulit
2 tahun
Tangan kiri lemah secara tiba tiba
Saya nak tanya doctor,Ayah saya tangan kiri lemah tak boleh gerak.nak bangun lemah…perlu bantuan bila nak bangun.ada penyakit kencing manis,darah tinggi,pernah kena serangan jantung.umur 73 tahun.Apa yang harus saya lakukan?adakah ada kaitan dengan penyakit Ahmar?
Dr Nur Syuhada binti Zulkifli,
2 tahun
Salam sejahtera,
Terima kasih atas soalan anda.
Berdasarkan pertanyaan anda di atas, saya memahami bahawa anda berasa bimbang tentang masalah ayah anda. Saya akan cuba untuk membantu anda.
Untuk makluman anda, ayah anda mungkin mengalami strok. Namun, kami masih memerlukan maklumat lanjut daripada ayah anda untuk mengenalpasti punca sebenar terhadap gejala yang ayah anda alami.
Bagaimanapun, berdasarkan pertanyaan anda, secara umum, gejala strok adalah seperti berikut.
Gejala awal strok ini selalunya berlaku kepada pesakit secara tiba-tiba dan dikenali sebagai FAST iaitu:
F = Face (Muka)
Kedua-dua belah muka tidak sekata.
Pesakit boleh merasa kebas pada sebahagian muka, atau herot sebelah.
A = Arm (Lengan)
Sebelah lengan menjadi lemah atau tidak boleh diangkat.
Tangan pesakit menjadi lemah hingga tidak boleh diangkat atau tidak berdaya memegang sesuatu objek.
S = Speech (Percakapan)
Perkataan yang tidak jelas
Pesakit mungkin tidak boleh berkata-kata, tidak memahami percakapan, mengeluarkan ayat yang tidak tersusun atau ayat yang tidak mempunyai maksud.
T = Time (Masa)
Hubungi talian kecemasan atau datang ke hospital dengan segera
Maklumat mengenai FAST telah tersebar ke seluruh dunia bertujuan untuk memastikan semua golongan masyarakat sedar tentang simptom-simptom awal strok dan bertindak dengan segera.
Akan tetapi, gejala yang ayah anda alami boleh disebabkan oleh masalah kesihatan yang lain seperti gangguan saraf dan otot. Untuk mengetahui punca sebenar masalah yang ayah anda hadapi, maklumat lanjut adalah diperlukan sebelum sebarang kesimpulan boleh dibuat. Terdapat pelbagai pertanyaan berkenaan sejarah kesihatan ayah anda yang perlu ditanyakan.
Oleh itu, saya menyarankan anda supaya merujuk ayah anda kepada doktor untuk mendapat rawatan yang tepat. Anda boleh berhubung dengan doktor kami secara atas talian untuk mendapat maklumat serta rawatan yang lebih lanjut.
Saya berharap agar jawapan ini dapat membantu anda. Terima kasih.