Ini Apa Yang Anda Perlu Tahu Tentang Perbezaan HIV dan AIDS

April 28, 2021 | Ditulis oleh: Nabil Nur Aiman Jasman

Ini Apa Yang Anda Perlu Tahu Tentang Perbezaan HIV dan AIDS

Apa Itu HIV Dan AIDS?

Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), HIV dan AIDS merupakan masalah kesihatan awam utama di dunia dan telah meragut lebih 33 juta nyawa. WHO juga menganggarkan sekitar 38 juta orang menghidap HIV pada penghujung tahun 2019.

Jangkitan HIV dan AIDS tidak mengenal jantina dan umur. Masyarakat sering keliru terhadap dua terma ini, HIV dan AIDS. Walaupun berbeza, kedua-dua terma ini berkait rapat. Artikel ini akan mengupas apakah perbezaan HIV dan AIDS. Suatu masa dahulu, HIV dan AIDS dianggap sebagai hukuman mati terhadap penghidapnya. Tetapi dengan kemajuan teknologi perubatan pada masa kini, pesakit HIV dan AIDS dapat mengawal penyakit mereka dan jangka hayat hidup pesakit HIV menjadi lebih panjang.

HIV

Human Immunodeficiency Virus atau lebih dikenali sebagai HIV merupakan virus yang menyerang sistem imun badan. Sekiranya tidak dikawal dan dirawat, sistem imun badan akan menjadi semakin lemah dan lebih mudah untuk mendapat jangkitan dan seterusnya menyebabkan seseorang mendapat AIDS.

HIV akan menyerang sel-sel CD4 T yang merupakan salah satu sel utama yang menjadi benteng pertahanan tubuh contohnya untuk mengelakkan jangkitan kuman daripada berlaku. Sekiranya rawatan HIV tidak diberikan, pesakit HIV boleh mendapat AIDS dalam tempoh 2 hingga 15 tahun selepas dijangkiti virus tersebut.

AIDS

Acquired Immunodeficiency Syndrome (AIDS) pula adalah komplikasi jangkitan HIV. Keadaan ini berlaku sekiranya jumlah sel CD4 kurang daripada 200 sel/mm3. Diagnosis AIDS adalah lebih rumit berbanding dengan HIV kerana pelbagai faktor perlu diambil kira. Pada peringkat ini, sistem imun telah menjadi begitu lemah sehingga tidak dapat melindungi badan daripada sebarang jangkitan. Tanpa rawatan, jangka hayat pesakit AIDS hanyalah selama tiga tahun. Oleh itu, pesakit yang menghidap HIV perlu patuh dalam pengambilan ubat-ubatan untuk mengelakkan komplikasi HIV dan mendapat AIDS.

Bagaimanakah HIV Berbeza Dengan AIDS?

HIV adalah virus dan AIDS adalah salah satu komplikasi jangkitannya. AIDS juga dikenali sebagai peringkat terakhir HIV (peringkat ketiga).

Diagnosis AIDS biasanya dilakukan apabila pesakit HIV datang dengan pelbagai jenis jangkitan dalam satu masa (opportunistic infections) kerana kuman-kuman ini menyerang ketika pesakit tersebut mempunyai imun yang lemah dan disokong dengan bacaan sel CD4 yang rendah dan jumlah virus (viral load) yang tinggi.

Peringkat Jangkitan HIV

Peringkat Pertama (HIV akut)

Peringkat ini dikenali sebagai peringkat akut (acute HIV infection) di mana seseorang yang telah dijangkiti akan menunjukkan gejala sekurang-kurangnya 2 minggu selepas dijangkiti virus HIV ini. Gejala akut jangkitan HIV tidak spesifik. Diagnosis biasanya dilakukan berdasarkan sejarah perubatan contohnya pengambilan dadah dan sejarah seksual, serta disokong oleh keputusan siasatan makmal. 

Peringkat Kedua (HIV kronik)

Pada peringkat ini, kebanyakan individu yang dijangkiti tidak menunjukkan sebarang gejala dan hanya menunjukkan gejala ringan seperti di dalam peringkat pertama. Namun begitu, virus HIV masih kekal aktif di dalam badan dan sedang menggandakan jumlahnya. Pada peringkat ini, rawatan HIV adalah penting untuk menghentikan penggandaan virus. 

Peringkat Ketiga (AIDS)

Peringkat ketiga juga dikenali sebagai penyakit AIDS dan pada peringkat ini, pelbagai jenis jangkitan boleh berlaku. Hal ini berlaku kerana nilai sel CD4 adalah terlalu rendah dan jumlah virus adalah terlalu tinggi. Antara jangkitan, masalah perubatan atau komplikasi yang boleh dialami oleh pesakit AIDS adalah:

  • Tuberkulosis (Tibi): Tuberkulosis merupakan antara jangkitan berkaitan HIV dan biasa didengari. Ia juga merupakan antara penyebab kematian berkaitan dengan HIV di seluruh dunia.

  • Pneumocystis pneumonia (PCP): PCP merupakan jangkitan kulat pada paru-paru dan adalah penyebab jangkitan paru-paru dalam kalangan penyakit HIV.

  • Kandidiasis: Ini boleh dilihat di mana terdapat selaput berwarna putih menutupi permukaan lidah.

  • Jangkitan cytomegalovirus: Jangkitan ini berupaya mengganggu sistem penghadaman, penglihatan, paru-paru dan juga organ lain.

  • Kanser: Pesakit HIV dan AIDS juga mempunyai risiko untuk mendapat kanser berkaitan dengan HIV seperti Kaposi sarcoma dan limfoma.

Disebabkan sistem imun yang lemah ini, pesakit AIDS juga boleh menunjukkan beberapa gejala disebabkan oleh pelbagai jenis jangkitan, seperti:

  • Demam berulang.

  • Kerap cirit-birit.

  • Kelenjar limfa yang bengkak terutama di bahagian leher ketiak dan kemaluan.

  • Badan yang terlalu lesu dan lemah tanpa sebab yang jelas.

  • Ulser atau bintik-bintik di dalam mulut, lidah, kemaluan dan dubur.

  • Ruam kulit.

  • Penurunan berat badan secara mendadak.

  • Hilang selera makan.

Selain itu, individu yang mempunyai AIDS juga mempunyai jumlah virus (viral load) yang tinggi dan disebabkan ini, mereka lebih mudah untuk menyebarkan virus HIV kepada orang lain. 

Mitos HIV dan AIDS

Terdapat pelbagai jenis mitos berkaitan dengan HIV/AIDS dan disebabkan mitos ini, timbul pelbagai stigma di dalam masyarakat kita dan menyebabkan golongan yang menghidap penyakit ini didiskriminasikan dan dipinggirkan. Berikut merupakan beberapa mitos dan fakta berkaitan dengan penyakit ini.

Mitos 1

HIV dan AIDS adalah penyakit yang sama.

Fakta 1

Salah. HIV adalah penyakit yang disebabkan oleh virus HIV manakala AIDS merupakan komplikasi yang terjadi sekiranya HIV tidak dikawal dan dirawat dan kemudiannya akan melumpuhkan sistem imun badan.

Mitos 2 

HIV/AIDS adalah penghujung jalan kehidupan.

Fakta 2 

Dengan kemajuan teknologi perubatan pada masa ini, HIV dapat dikawal dan AIDS dapat dibendung dengan adanya ubat-ubatan untuk menaikkan jumlah sel CD4 dan mengurangkan jumlah virus. 

Mitos 3

HIV/AIDS disebabkan oleh homoseksualiti dan penggunaan dadah sahaja.

Fakta 3

Perkara ini tidak tepat sama sekali! HIV/AIDS boleh mengjangkiti seseorang tanpa mengira orientasi sesksual dan penggunaan dadah semata-mata. Secara ringkasnya, HIV/AIDS boleh menjangkiti individu melalui:

  • Seks rambang (bertukar-tukar pasangan dan tidak menggunakan perlindungan)

  • Berkongsi jarum dalam kalangan penagih dadah

  • Terdedah kepada cecair badan seperti darah dan air mani

  • Lahir daripada ibu yang positif HIV

Mitos 4

“Saya telah mengambil Pre-Exposure Prophylaxis (PrEP), jadi saya tidak perlu melakukan aktiviti seksual menggunakan kondom”.

Fakta 4

Walaupun PrEP merendahkan risiko untuk dijangkiti oleh virus HIV, penggunaan kondom adalah amat digalakkan terutama sekiranya anda tidak mengetahui status HIV pasangan seksual anda untuk meningkatkan keberkesanan dalam pencegahan transmisi virus. Hal ini disokong dengan fakta bahawa PrEP tidak mencegah anda dari penyakit kelamin lain seperti gonorea dan sifilis. Mencegah lebih baik daripada merawat, bukan?

Mitos 5

Wanita penghidap HIV tidak boleh mempunyai anak kerana anak tersebut akan menjadi pesakit HIV positif.

Fakta 5

Perkara ini hanya akan menjadi benar sekiranya wanita atau ibu yang positif HIV tidak merancang kehamilannya dan tidak mengambil ubat. Dengan kemajuan perubatan pada masa ini, ibu-ibu yang positif HIV boleh hamil dan melahirkan anak dengan selamat.

Ubat-ubatan HIV (antiretroviral drugs)  juga perlu diteruskan untuk beberapa minggu bagi bayi tersebut dan kajian mendapati kadar jangkitan bayi daripada ibu HIV positif boleh dikurangkan serendah 1% atau lebih rendah.


Bercakap Dengan Doktor

Bercakap dengan doktor melalui panggilan video atau telefon tentang AIDS & HIV. Mudah, tidak perlu menunggu

Konsultasi Doktor

* Inisiatif konsultasi doktor percuma disokong dan ditanggung sepenuhnya oleh DoctorOnCall