Ketahui Bagaimana Kanak-kanak HIV Menjadi Mangsa Jangkitan

Bagaimana HIV/AIDS Boleh Menular Pada Kanak-Kanak? - DoctorOncall

Berdasarkan data daripada  United Nations Children's Fund (UNICEF), dalam anggaran jumlah 38.0 juta orang menghidap jangkitan HIV di seluruh dunia pada tahun 2019, 2.8 juta daripadanya adalah kanak-kanak berusia 0 hingga 19 tahun. Pada tahun 2019, setiap hari, kira-kira 880 orang kanak-kanak telah dijangkiti HIV dan kira-kira 310 orang kanak-kanak mati akibat penyakit AIDS, kebanyakannya kerana akses yang tidak mencukupi untuk perkhidmatan pencegahan, rawatan dan rawatan HIV. 

Pada tahun yang sama, anggaran penghidap HIV di Malaysia adalah sekitar 87000 orang. Namun, berdasarkan data daripada Sistem Pengawasan Kebangsaan, hampir 78000 orang daripadanya, iaitu 0,4% adalah kanak-kanak di bawah umur 15 tahun. Anggaran angka kejadian jangkitan HIV per 1000 penduduk yang tidak dijangkiti menunjukkan peningkatan dalam dua tahun kebelakangan ini. 

Apakah penyebab jangkitan HIV dalam kalangan kanak-kanak? Apakah gejala kanak-kanak HIV?  Ikuti artikel ini untuk maklumat lanjut tentang kanak-kanak HIV

Apakah Gejala/ Tanda HIV Pada Kanak-Kanak?

Tidak semua kanak-kanak yang dijangkiti akan mengalami gejala HIV. Gejala atau tanda HIV pada kanak-kanak adalah berbeza bergantung pada usia kanak-kanak tersebut. 

Bayi

Status HIV mungkin sulit untuk dikenal pasti dalam kalangan bayi berusia kurang dari 1 tahun. Namun, antara gejala yang menandakan jangkitan ini pada bayi termasuklah: 

  • Gangguan perkembangan fizikal. Bayi yang menghidap HIV boleh mengalami masalah pertambahan berat dan ketinggian yang lebih lambat berbanding usia.

  • Perut bengkak. Ini disebabkan oleh pembengkakan hati dan limpa.

  • Kelenjar limfa yang bengkak

  • Cirit-birit yang kerap dan berulang

  • Jangkitan paru-paru

  • Kandidiasis mulut.  Ia merupakan suatu jangkitan kulat di mulut yang menyebabkan tompok-tompok putih di pipi dan lidah.

Kanak-Kanak & Remaja

Kanak-kanak dan remaja yang dijangkiti HIV boleh mengalami gejala seperti:

  • Ruam

  • Kandidiasis mulut

  • Jangkitan kulat yang kerap pada faraj

  • Hati atau limpa yang membesar

  • Jangkitan paru-paru

  • Masalah buah pinggang

  • Masalah ingatan dan tumpuan

  • Tumor atau ketumbuhan (benign atau malignant)

Kanak-kanak yang menghidap HIV dan tidak dirawat lebih terdedah kepada jangkitan dan penyakit lain seperti:

  • Cacar air

  • Kayap

  • Herpes

  • Hepatitis

  • Penyakit keradangan pelvis

  • Pneumonia

  • Meningitis

Ketahui Bagaimana HIV Menular Kepada Kanak-Kanak

Draipada Ibu Ke Anak

Bayi yang dijangkiti HIV sewaktu di dalam rahim ibu disebut sebagai penularan perinatal atau secara vertikal. Penularan HIV dari seorang ibu yang positif HIV kepada anak boleh berlaku semasa 

  • Kehamilan

  • Kelahiran 

  • Penyusuan

Menurut Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO), kadar penularan virus daripada ibu ke anak adalah antara 15% hingga 45%, jika tiada sebarang intervensi atau rawatan dijalankan. Namun, kadar jangkitan ini dapat dikurangkan hingga di bawah 5% dengan rawatan ubat antiretroviral yang diberikan dalam tempoh kehamilan, kelahiran dan penyusuan susu ibu.

  • Jarum Suntikan

Perkongsian jarum suntikan ubat-ubatan berpotensi menyebarkan HIV. Ini kerana kemungkinan darah yang tertinggal pada jarum suntik walaupun sedikit, boleh membawa virus. Virus di dalam darah tersebut mempunyai jangka hidup selama 42 hari meskipun berada pada jarum suntik dan bergantung kepada suhu bilik.  

  • Hubungan Seksual

Walaupun hubungan seksual lazimnya dikaitkan dengan orang dewasa, akan tetapi, golongan kanak-kanak tidak terkecuali dalam hal ini. Aktiviti seksual turut boleh melibatkan kanak-kanak atau peringkat remaja awal. Tidak kurang juga, masalah penderaan seksual atau jenayah rogol yang turut melibatkan kanak-kanak. 

Malaysia menduduki tempat 23 daripada 60 negara, dalam 2019 Out of the Shadows Index mengenai respon terhadap penderaan dan eksploitasi seksual kanak-kanak, dengan skor 54.5. Skor keseluruhan ini mengukur bagaimana persekitaran negara yang mempunyai peningkatan risiko eksploitasi dan penderaan seksual terhadap kanak-kanak; bagaimana ia menolong mereka mencari keadilan; sekiranya kerajaan komited dan mampu menangani masalah seksual keganasan terhadap kanak-kanak serta menilai peranan masyarakat dalam menangani masalah tersebut. Di rantau Asia Tenggara, selepas Filipina, Malaysia berada di kedudukan teratas dari Kemboja dan Indonesia. 

Hubungan seksual adalah cara penularan jangkitan HIV yang paling banyak berlaku. Penularan boleh berlaku semasa hubungan seks faraj, oral, atau dubur tanpa kondom atau perlindungan yang lain. Hubungan seksual tanpa perlindungan bukan sahaja berpotensi menyebarkan HIV, bahkan pelbagai penyakit jangkitan seksual yang lain. 

  • Transfusi Darahan

HIV juga dapat disebarkan melalui darah yang dijangkiti virus ini. Rawatan transfusi darah turut berpotensi menularkan HIV kepada kanak-kanak. Namun, disebabkan prosedur derma darah yang semakin diperketatkan pada zaman sekarang, maka risiko transfusi darah sebagai penyebab penularan HIV semakin berkurang. 

Rawatan Untuk Kanak-Kanak HIV

Meskipun belum ada ubat yang boleh merawat jangkitan HIV sepenuhnya, namun langkah mengenal pasti jangkitan HIV dalam kalangan kanak-kanak dengan cepat dapat membantu memberikan mereka rawatan dan meningkatkan kualiti hidup mereka. Masalah HIV pada kanak-kanak dapat ditangani dengan pemberian ubat-ubatan gabungan antiretroviral (ART/HAART) yang dapat mengatasi gejala jangkitan sekaligus meingkatkan sistem imun tubuh badan. 

Pada hakikatnya, kanak-kanak akan diberikan ubat yang mirip dengan ubat orang dewasa. Akan tetapi, bukan semua ubat antiretroviral atau ubat HAART (Highly Active Antiretroviral Therapy) untuk kegunaan pesakit HIV dewasa samada yang berlesen atau diluluskan, boleh digunakan pada kanak-kanak. Ubat-ubatan tersebut juga sering tidak tersedia dalam bentuk atau formulasi yang sesuai untuk kanak-kanak. Walaupun formulasi ubat antiretroviral dalam bentuk cecair telah dicipta, namun ianya belum disahkan praktikal untuk digunakan kerana terdapat beberapa pantang larang ubat HAART yang harus dipatuhi. Ubat HAART cenderung berbau tidak menyenangkan, perlu diambil dalam kuantiti yang besar, memerlukan penyejukan selain memiliki tarikh luput yang pendek setelah penutup botol dibuka. 

Justeru, bagi kanak-kanak yang menghidap HIV, mereka memerlukan bantuan nasihat dan penerangan lanjut daripada pakar serta sokongan dan pantauan daripada ibubapa atau penjaga supaya rawatan yang tepat dapat diberikan. 

Cara Mencegah Penularan HIV Pada Kanak-Kanak

  • Terapi ubat anti-retroviral dapat diberikan kepada wanita hamil, yang terbukti dapat mengurangkan penularan HIV kepada bayi dalam kandungan. 

  • Bersalin secara pembedahan juga disyorkan untuk mengurangkan penularan HIV kepada bayi semasa proses melahirkan. 

  • Pemantauan yang ketat dan larangan perlakuan hubungan seks bebas, selain membendung masalah penderaan seksual dalam kalangan kanak-kanak.

Rujukan:

* Inisiatif konsultasi doktor percuma disokong dan ditanggung sepenuhnya oleh DoctorOnCall