Ketahui Komplikasi Penyakit HIV/AIDS Yang Boleh Membawa Kematian

11 Komplikasi HIV/AIDS Yang Perlu Anda Ketahui - DoctorOnCall

Human Immunodeficiency Virus atau dikenali sebagai HIV merupakan sejenis virus yang sangat merbahaya kerana ia boleh memusnahkan sistem ketahanan badan manusia dan menyebabkan AIDS (Acquired Immuno Deficiency Syndrome). Sekiranya penyakit ini tidak dirawat dengan betul, ia akan menyebabkan kepada pelbagai komplikasi yang serius, seterusnya membawa maut. Baca artikel ini untuk penerangan yang lebih terperinci mengenai komplikasi HIV/AIDS.



1.Tuberkulosis / TB

Penyakit Tuberkulosis ini adalah jangkitan kuman yang disebabkan oleh bakteria jenis Mycobacterium Tuberculosis. Kebiasannya penyakit ini akan menyerang bahagian paru-paru manusia, tetapi ia juga boleh merebak pada bahagian badan yang lain seperti organ buah pinggang, otak dan tulang belakang. 

Antara simptom yang kebiasaannya dialami apabila dijangkiti bakteria TB adalah:

  • Batuk

  • Keletihan

  • Demam

  • Hilang berat badan

Menurut pakar kesihatan, penyakit Tuberkulosis merupakan antara salah satu punca utama berlakunya kematian dikalangan pesakit HIV. Justeru amat penting untuk merawat penyakit HIV dengan kaedah rawatan yang betul.

2. Candidiasis

Candidiasis merupakan jangkitan kulat yang akan membentuk lapisan putih tebal pada bahagian badan seperti kulit, kuku, vagina, zakar dan lapisan mukosa didalam mulut. Dikenali sebagai Oral Thrush sekiranya terdapat pada mulut. Risiko untuk dijangkiti kulat ini lebih mudah untuk berlaku sekiranya anda mempunyai HIV, jangkitan ini akan menjadi lebih parah sekiranya dibiarkan tanpa rawatan kerana ia boleh merebak ke bahagian tubuh badan yang lain.



3. Herpes Simplex Virus HSV 

Kemungkinan untuk dijangkiti HSV adalah tinggi dalam pesakit HIV kerana mereka mempunyai daya ketahanan imun yang lemah. HSV boleh berjangkit kepada sesiapa sahaja dan kebiasaannya akan menyebabkan seseorang mengalami luka pada bahagian mulut dan alat kemaluan.

Pesakit HIV yang telah dijangkiti herpes simplex akan berhadapan dengan masalah kerana luka akan berlaku secara kerap dan berulang. Malahan  ia juga boleh menyebabkan jangkitan kuman pada saluran pernafasan (Bronchus) ataupun saluran pemakanan (Esophagus) dan seterusnya menyebabkan pneumonia.

4. Salmonella Septicemia 

Mikrooragnisma salmonella sangat merbahaya kepada tubuh badan manusia dan kebiasaannya terdapat pada makanan yang telah tercemar. Mikroorganisma ini boleh menyebabkan gangguan kepada sistem pencernaan seseorang dan mengakibatkan kepada masalah cirit birit dan sakit perut. Namun untuk pesakit HIV, mikroorganisma ini boleh menyebabkan kepada masalah yang lebih serius kerana ia boleh merebak kepada saluran darah dan seterusnya menyebabkan jangkitan di seluruh sistem tubuh yang dikenali sebagai Salmonella septicemia.

5. Pneumonia

Merupakan masalah jangkitan paru-paru yang boleh berlaku disebabkan oleh bakteria, virus ataupun kulat. Penyakit ini boleh menjadi lebih parah dan serius untuk pesakit yang mempunyai HIV.  Antara gejala yang boleh dialami adalah:

  • Kesukaran bernafas ataupun sesak nafas

  • Demam

  • Batuk 

  • Menggigil

6. Toxoplasmosis

Pesakit HIV lebih cenderung dan mudah untuk dijangkiti dengan penyakit Toxoplasmosis. Hal ini kerana pesakit HIV memiliki sistem imuniti yang lemah. Toxoplasmosis adalah penyakit yang berlaku disebabkan oleh sejenis parasit yang dikenali sebagai Toxoplasma gondiii dan pembawanya adalah kucing, tikus dan haiwan lain. Apabila parasit ini berjaya disebarkan kepada manusia, ia boleh memudaratkan mata, jantung, hati dan paru-paru. Sekiranya parasit ini sampai pada bahagian otak, ia boleh menyebabkan seseorang mengalami sawan.



7. Cytomegalovirus

Merupakan virus biasa yang berasal daripada keluarga Herpes Virus . Kebanyakan manusia tidak akan menyedari bahawa mereka telahpun dijangkiti virus ini kerana tidak bergejala. Namun begitu, virus tidak aktif yang kekal didalam badan ini boleh menyebabkan pelbagai komplikasi kepada manusia terutama bagi mereka yang memiliki sistem imun badan yang lemah seperti pesakit HIV. Antara kesan cytomegalovirus kepada tubuh badan adalah:

  • Keradangan otak (encephalitis)  

  • Keradangan mata (retinitis)

  • Sakit perut  (gastroenteritis)

8. Isosporiasis

Sejenis jangkitan kulat yang boleh berlaku disebabkan pengambilan makanan dan minuman yang telah tercemar. Bagi pesakit HIV, mereka akan mengalami gejala yang lebih serius seperti:

  • Cirit birit

  • Demam

  • Muntah

  • Hilang berat badan

9. Mycobacterium Avium Complex

Sejenis jangkitan kuman yang kebiasaaanya berlaku kepada pesakit HIV sahaja kerana memiliki imun badan yang lemah. Jangkitan kuman ini boleh menjadi serius dan mengakibatkan seseorang mengalami pneumonia. Sekiranya kuman ini merebak sehingga ke saluran darah, ia boleh menyebabkan kepada kematian.



10. Kanser

Jangkitan HIV yang tidak dirawat menyebabkan penghidapnya lebih berisiko untuk mendapat beberapa jenis kanser seperti :

a) Kaposi Sarcoma - Jenis kanser yang jarang berlaku dikalangan bukan pesakit HIV. Kanser ini menyebabkan kulit bertompok merah jambu, ungu ataupun kesan kehitaman. Ia berasal daripada sel yang membina dinding saluran darah atau limfa. Selain kulit ia juga boleh berlaku pada organ lain seperti saluran pencernaan dan paru-paru.

b) Kanser Serviks - Kanser ini akan mula membentuk pada bahagian pangkal rahim. Sekiranya dibiarkan tanpa rawatan, ia akan merebak kepada tisu dan organ berdekatan.

c) Lymphoma - Merupakan kanser yang melibatkan sel darah putih dan kelenjar limfa. Antara tanda utama kanser ini adalah bengkak pada kelenjar limfa.

11. Komplikasi Lain

a) Wasting syndrome - HIV/AIDS yang tidak dirawat boleh menyebabkan seseorang kehilangan berat badan secara mendadak dan mengalami gejala seperti cirit birit, lemah tubuh badan dan demam.

b) Masalah Mental - HIV/AIDS juga boleh menyebabkan kepada gangguan kesihatan mental seperti masalah kekeliruan, mudah leka, kemurungan dan keresahan. Menurut kajian, HIV juga boleh mengganggu fungsi otak yang normal dan menyebabkan seseorang mengalami dementia. 

c) Liver Disease - Penyakit hati merupakan antara salah satu komplikasi utama yang boleh berlaku seperti penyakit Hepatitis B ataupun Hepatitis C.



Kesimpulan 

Terdapat pelbagai rawatan yang efektif untuk merawat gejala HIV dan mencegah virus ini menjadi lebih merbahaya kepada tubuh badan. Justeru anda amat digalakkan untuk mendapatkan khidmat konsultasi daripada doktor yang bertauliah bagi membantu anda menangani masalah ini. Rawatan akan menjadi lebih berkesan sekiranya anda mengambil ubat secara konsisten, mengubah gaya hidup dan melakukan pemeriksaan kesihatan secara berkala. Kaedah perubatan moden boleh mengawal gejala penyakit ini dan mencegah komplikasi daripada berlaku.


Rujukan:

* Inisiatif konsultasi doktor percuma disokong dan ditanggung sepenuhnya oleh DoctorOnCall