Ketahui Bagaimana Anda Boleh Menghindari Penyakit HIV/AIDS

8 Cara Pencegahan Penyakit & Penularan Virus HIV/AIDS - DoctorOnCall

Istilah HIV atau Human Immunodeficiency Virus seringkali disamakan dengan AIDS atau Acquired Immunodeficiency Syndrome. Walau bagaimanapun ia merupakan dua istilah yang merujuk kepada dua perkara yang agak berbeza. HIV merupakan sejenis virus yang menyerang sistem imun manusia. Antara tanda-tanda jangkitannya termasuk demam, selsema, lesu, dan lain-lain. Manakala AIDS merujuk kepada kondisi di mana sistem imun tubuh menjadi terlalu lemah - akibat dari jangkitan HIV yang serius - sehingga tubuh seseorang individu tidak lagi dapat melindungi tubuh. Selain AIDS, jangkitan HIV juga boleh menyebabkan pelbagai komplikasi lain termasuklah pelbagai jangkitan dan juga kanser. Oleh itu, amat penting untuk mencegah jangkitan ini serta mencegah mereka yang telah dijangkiti daripada menjadi lebih parah.

Baca artikel ini lebih lanjut untuk mengetahui tentang langkah-langkah untuk mencegah HIV dan AIDS. 

 

Mencegah Jangkitan HIV/AIDS

#1 Amalkan Seks Yang Sihat & Selamat

Walaupun ramai para lelaki yang merasakan penggunaan kondom dapat mengurangkan kenikmatan hubungan seksual, namun percayalah bahawa ia dapat mengurangkan risiko jangkitan HIV/AIDS dengan efektif. Selain itu, berkhatan (bagi lelaki) dan menjauhi seks luar tabii juga merupakan kaedah penjagaan kelamin yang lebih sihat dan amalan seks yang lebih selamat.

#2 Setia Pada Pasangan Anda

Bertukar-tukar pasangan seks juga meningkatkan risiko jangkitan HIV. Justeru kesetiaan terhadap pasangan hidup bukan sahaja dapat menjamin kesejahteraan sesebuah keluarga, malah melindungi anda dari penyakit kelamin yang lain seperti sifilis, gonorea, herpes dan banyak lagi. 

#3 Bersikap Jujur & Terbuka

Bersikap jujur dan terbuka terhadap perkara yang dianggap taboo seperti kepuasan suami isteri ketika melakukan hubungan kelamin juga dapat membantu menurunkan risiko HIV. Perbincangan dua hala ini membantu anda saling memahami keinginan batin pasangan anda sekaligus mengurangkan kemungkinan mencari pasangan lain atau curang terhadap pasangan.

#4 Hindari Alkohol & Ubat Terlarang 

Kajian terkini mendapati bahawa penggunaan alkohol yang memabukkan serta ubat-ubatan terlarang yang mengkhayalkan (i.e. syabu dan kokain) berkait rapat dengan tabiat seks bebas. Malah ia juga menyebabkan seseorang cenderung untuk terlibat dengan aktiviti liar yang lain seperti penggunaan heroin dan perkongsian jarum suntik dadah.

#5 Elakkan Diri Dari Cairan Berisiko

Antara cairan tubuh yang berisiko menularkan HIV termasuk darah, air mani, cecair pra ejakulasi, bendalir dubur, lendir faraj, dan juga susu ibu. Namun penularan HIV hanya dapat berlaku sekiranya cairan-cairan ini bersentuhan dengan lapisan mukosa tubuh atau permukaan kulit yang luka. Oleh itu mengelakkan diri daripada aktiviti berisiko seperti seks luar tabii, atau berkongsi jarum suntikan dadah dapat melindungi diri anda daripada kemungkinan jangkitan HIV.

#6 Jauhi Faktor Risiko Yang Lain

Bertatu, bercukur & bertindik di pusat perkhidmatan yang tidak mengamalkan kebersihan, menggunakan alat tatu atau pencukur yang sama bagi setiap pelanggan, penggunaan jarum suntik, proses transfusi darah, dan pekerjaan di bidang kesihatan merupakan salah satu faktor risiko terhadap kes jangkitan HIV. Oleh itu, elakkan membuat tatu atau mendapatkan perkhidmatan tindik atau bercukur selain di premis yang mengamalkan tatacara operasi komersial yang bersih & steril, bagi mereka yang berkhidmat dalam sektor kesihatan sentiasa amalkan garis panduan yang ditetapkan oleh KKM untuk mencegah jangkitan yang tidak diingini ini. 

#7 Makan Ubat Profilaksis

Walaupun ianya agak sulit untuk menentukan berapa lama masa infeksi hiv, namun mereka yang berpotensi tinggi untuk dijangkiti virus ini ekoran gaya hidup mereka atau lumrah pekerjaan, anda boleh berjumpa doktor untuk mendapat PrEP (Pre-Exposure Prophylaxis) sekiranya perlu.

#8 Segera Berjumpa Doktor

Bagi mereka yang mengesyaki telah terdedah kepada HIV, sila jalani saringan awal atau mendapatkan PEP (Post-Exposure Prophylaxis) sekiranya perlu. Jangkitan HIV yang dikesan awal dapat mengurangkan risiko penularan virus ini serta memulakan regimen rawatan bagi pesakit berkenaan dengan lebih awal.


Mencegah Penularan HIV/AIDS

Sebelum kami menjelaskan cara-cara mencegah penularan virus ini, masyarakat perlu tahu bahawa pencegahan transmisi HIV bukan sahaja penting untuk menurunkan kadar & risiko penularan antara masyarakat dewasa, malah ia juga melindungi bayi yang dikandung oleh wanita  yang positif HIV) daripada turut dijangkiti. Justeru itu, bagi mereka yang telah disahkan menghidap HIV atau AIDS, berikut merupakan beberapa tindakan yang boleh diambil bagi mengelakkan penularan virus kepada ahli keluarga mahupun masyarakat. 

Melakukan saringan HIV secara berkala - dapat memastikan kondisi viral load atau kadar kebolehjangkitan anda (dari semasa ke semasa) berada di paras yang terkawal.

Mengambil ubat seperti yang telah disarankan - pengambilan ubat-ubatan mengikut nasihat doktor adalah penting dalam memastikan regimen rawatan buat anda berjaya.

Berbincang mengenai kaedah melahirkan bayi - ibu yang positif HIV haruslah berbincang dengan pakar sakit puan dan doktor anda tentang kaedah melahirkan bayi yang selamat dan dapat melindungi bayi anda daripada jangkitan.

Mengetahui batas-batas penjagaan bayi - ibu atau bapa yang positif HIV haruslah mengambil berat terhadap beberapa perkara dalam penjagaan bayi mereka contohnya elakkan mengunyah makanan untuk disuap kepada bayi bagi mengelakkan jangkitan kepada mereka.


Mencegah Komplikasi HIV/AIDS

HIV menyebabkan pelbagai komplikasi sekiranya tidak dirawat termasuklah, jangkitan Cytomegalovirus, Tuberkulosis, Pneumocystis Pneumonia, serta kanser. Oleh itu langkah pencegahan komplikasi dalam pesakit HIV adalah amat penting. Berikut adalah langkah-langkah yang boleh diambil sebagai cara pencegahan HIV.

  • Hadiri Temu Janji Anda

Dengan menghadiri temu janji sesuai jadual yang telah ditetapkan, ia membantu doktor anda untuk menilai dengan lebih komprehensif tentang perkembangan penyakit mahupun keberkesanan rawatan yang sedang berlangsung. Hal ini memberi ruang kepada doktor untuk mengesan sekiranya terdapat tanda-tanda awal jangkitan semakin serius dan merawatnya.

  • Meneruskan Rawatan

Sentiasa mengamalkan dan meneruskan rawatan ART (antiretroviral therapy) tanpa gagal, serta menghindari apa-apa suplemen dan ubat-ubatan tanpa terlebih dahulu merujuk kepada doktor anda.

  • Amalkan Gaya Hidup Sihat

Amalan gaya hidup sihat melalui senaman harian dan pemakanan yang berkhasiat didapati bukan hanya dapat meningkatkan kesihatan mental dan fizikal, malah ia juga dapat meingkatkan keberkesanan rawatan HIV. Hal ini secara tidak langsung memainkan peranan terhadap kawalan perkembangan penyakit dan mencegah risiko komplikasi.


Bagaimana Ubat-ubatan Mencegah HIV

PrEP atau Pre-Exposure Prophylaxis merupakan ubat untuk mengurangkan risiko jangkitan HIV dalam kalangan individu yang sihat yang berisiko untuk dijangkiti. 

Ubat PrEP berfungsi dengan cara 

  • Menyekat fungsi enzim dan sifat-sifat virus HIV yang lain 

  • menurunkan afiniti virus tersebut pada tubuh seseorang

  • namun perlu diambil secara berterusan setiap hari

  • mampu mencegah HIV sehingga 73 peratus

PEP atau Post-Exposure Prophylaxis pula merupakan ubat yang diberikan kepada individu yang telah terdedah kepada virus HIV dalam tempoh kurang dari 72 jam. Ubat biasanya diberikan kepada mereka yang mengesyaki atau disyaki telah terdedah kepada virus HIV sama ada secara sukarela atau kes seperti mangsa keganasan seksual.

Ubat PEP dapat membantu mencegah seseorang daripada dijangkiti HIV seumur hidup

  • Ubat perlu diambil tanpa henti selama 28-30 hari, 

  • Diikuti sesi temu janji dan pemeriksaan doktor serta saringan HIV secara berkala.

ART atau Antiretroviral Therapy pula merupakan rawatan terhadap individu positif HIV. Pengambilan ubat ART yang berterusan merupakan salah satu usaha untuk mencegah penularan virus HIV daripada individu positif serta mengawal perkembangan penyakit dan mengelakkan komplikasi.

Rujukan:

* Inisiatif konsultasi doktor percuma disokong dan ditanggung sepenuhnya oleh DoctorOnCall