Apakah tanda-tanda HIV? Ketahui gejala serta langkah pencegahannya.

Tanda-Tanda HIV - Kenali Gejala Jangkitan HIV - DoctorOnCall

Pengenalan HIV

HIV adalah singkatan bagi “Human Immunodeficiency Virus”. Virus ini akan menyerang sistem imun badan manusia dan melemahkan keupayaan tubuh untuk melawan jangkitan dan penyakit. Dalam erti kata lain, kehadiran virus ini dalam badan akan melemahkan sistem imun.

Hakikatnya, masih ramai penderita HIV hanya sedar bahawa diri mereka telah dijangkiti penyakit ini apabila tanda-tanda HIV menjadi semakin parah, walhal perkara ini boleh dikesan dengan lebih awal dan kawalan terhadap penyakit ini dapat dilakukan.

Tanda-Tanda HIV 

Ramai penghidap HIV tidak mengetahui jika mereka telah dijangkiti kerana tanda-tanda HIV pada peringkat awal adalah ringan dan terdapat persamaan dengan penyakit lain yang mempunyai gejala atau tanda yang serupa. Jangkitan HIV mempunyai 3 peringkat dan setiap peringkat mempunyai tanda-tanda tersendiri. 

Peringkat Pertama:

Pada peringkat pertama kebiasaanya tanda-tanda akan muncul selepas 1-4 minggu jangkitan HIV berlaku. Pada peringkat awal ini, penderita HIV akan mengalami tanda atau gejala seperti:

  • Sakit kepala

  • Kepenatan

  • Bengkak kelenjar

  • Hilang selera makan

  • Sakit badan dan otot

  • Ruam

  • Demam

  • Haid berubah

Tanda-tanda HIV di atas muncul disebabkan oleh sistem imun tubuh sedang berusaha melawan virus. Tanda-tanda ini lazimnya bertahan selama 1-2 minggu atau lebih.

Peringkat Kedua: 

Pada peringkat ini, penderita HIV tidak menunjukkan tanda dan gejala yang khusus, bahkan pesakit berasa diri mereka seperti sudah sihat. Peringkat ini dikenali sebagai ‘window period’. Namun, pada hakikatnya, pada waktu ini, virus HIV sedang membiak dan menyerang sel darah putih di dalam badan.

Perlu diingati, walaupun pada peringkat ini tiada tanda yang jelas kelihatan, penghidap HIV tetap boleh menyebarkan penyakit ini pada orang lain. Di hujung tempoh peringkat kedua, sel darah putih akan berkurang secara drastik sehingga gejala yang lebih serius akan mula muncul.

Peringkat Ketiga: 

Pada peringkat ini, tubuh hampir kehilangan sepenuh kemampuannya untuk melawan penyakit kerana jumlah sel darah putih terlalu rendah. 

JIka dibiarkan tanpa mendapat sebarang rawatan dalam tempoh tertentu, HIV akan melemahkan keupayaan tubuh untuk melawan jangkitan. Peringkat terakhir ini lebih dikenali sebagai AIDS. Berikut adalah tanda-tanda yang muncul pada peringkat terakhir jangkitan HIV:

  • Nodus limfa bengkak dibahagian leher dan pangkal paha.

  • Demam melebihi 10 hari.

  • Rasa letih hampir pada setiap masa.

  • Berpeluh pada waktu malam.

  • Berat badan berkurang dengan drastik tanpa mengetahui sebabnya.

  • Ruam pada kulit.

  • Sesak nafas.

  • Cirit-birit yang teruk dan berpanjangan.

  • Jangkitan kulat pada mulut, tekak atau faraj.

  • Mudah lebam atau berlaku pendarahan tanpa diketahui sebabnya.

Rawatan HIV

Sehingga saat ini masih belum ada penawar untuk HIV namun begitu terdapat kaedah rawatan yang boleh digunakan untuk memperlahankan perkembangan penyakit dan memperbaiki kualiti hidup pesakit HIV. Rawatan awal boleh membantu memperbaiki tahap kesihatan dan meningkatkan jangka hayat pesakit HIV. Rawatan utama penyakit HIV adalah dengan terapi antiretroviral berbentuk ubat-ubatan. Selain itu, pesakit HIV juga disarankan untuk:

  • Melakukan aktiviti seperti yoga dan meditasi

  • Berhenti merokok, 

  • Mengamalkan pemakanan yang sihat dan seimbang 

  • Mengambil vaksin selesema tahunan, dan vaksin pneumokokus setiap 5 tahun

  • Mengelakkan aktiviti berisiko bagi mengelakkan penularan HIV

Bagaimana Untuk Mencegah HIV 

HIV tersebar melalui cairan tubuh, seperti darah, air mani dan cairan vagina. HIV tidak tersebar melalui air liur, makanan atau minuman, berjabat tangan dan berpelukan dengan penderita HIV. 

Berikut merupakan cara mencegah penularan HIV:

  • Elakkan daripada melakukan seks bebas dan tanpa perlindungan.

  • Amalkan seks selamat seperti menggunakan kondom

  • Elakkan bertukar-tukar pasangan

  • Hindari sentuhan secara langsung dengan cairan daripada tubuh orang lain terutamanya jika ada luka pada tubuh

  • Elakkan berkongsi peralatan peribadi seperti sikat, berus gigi dan pisau cukur

  • Lakukan pemeriksaan status HIV secara rutin.

Jika terdedah kepada aktiviti yang berisiko tinggi, pengambilan ubat ‘‘post-exposure prophylaxis’ iaitu ubatan pencegahan jangkitan HIV boleh digunakan. Kaedah ini hanya berkesan jika diambil 72 jam selepas terdedah kepada virus HIV. Namun harus diingat, keberkesanan ubat ini bukan seratus peratus walaupun diambil dalam waktu 72 jam dan pencegahan terbaik adalah untuk mengelak aktiviti berisiko tinggi.

Rujukan:

* Inisiatif konsultasi doktor percuma disokong dan ditanggung sepenuhnya oleh DoctorOnCall