Kenali Virus HIV, Penyebab Jangkitan Yang Digeruni Semua

Penyakit HIV - Kenali Virus HIV Penyebab AIDS - DoctorOnCall

Apa Itu Virus HIV?

HIV (Human Immunodeficiency Virus) adalah suatu jenis virus yang menyerang sistem imuniti tubuh dan kemudiannya akan melemahkan keupayaan tubuh melawan jangkitan dan penyakit. Virus ini menyerang sistem pertahanan badan terutamanya sel CD4 (sel T), yang membantu tubuh melawan jangkitan.

Apabila dijangkiti oleh virus HIV, bilangan sel CD4 (sel T) di dalam badan berkurangan dan sekaligus menjadikan seseorang itu lebih terdedah untuk mendapat jangkitan atau kanser sekiranya tidak dirawat. Bahkan, HIV boleh memusnahkan begitu banyak sel-sel ini sehingga tubuh tidak dapat melawan jangkitan dan penyakit. Virus ini seterusnya menyebabkan AIDS jka dibiarkan tanpa sebarang rawatan.

Bagi manusia yang normal dan sihat, biasanya akan memiliki sel CD4 di antara 500-1500 milimeter kubik. Setelah virus HIV menyerang sel CD4, sel tersebut akan berkurang dan sistem imuniti tubuh menjadi lemah. Seorang individu diklasifikasikan menghidap AIDS jika jumlah sel CD4 berada di bawah paras 200.

 

Jenis Dan Beza Virus HIV

Virus HIV merupakan retrovirus yang berasal dari keluarga Retroviridae, genus Lentivirus. Tubuh manusia tidak dapat menyingkirkan virus HIV sepenuhnya meskipun dengan rawatan. Oleh itu, mereka yang dijangkiti HIV akan hidup selamanya dengan virus HIV.

Terdapat dua jenis virus HIV:

  • HIV-1

  • HIV-2.

Kebanyakkan kes HIV adalah jenis HIV-1. Beza antara kedua-dua jenis virus ini pada dasarnya dari segi genitik selain daripada beberapa perbezaan yang lain seperti:

1) Epidemiologi

Jangkitan HIV ditemui secara meluas di seluruh dunia. Dikatakan hampir 95% dari orang yang positif HIV dijangkiti virus jenis HIV-1. Manakala HIV-2 pula lebih rendah kadar jangkitannya dan jarang ditemui.

2) Penyebaran Virus HIV

Kedua-dua jenis virus ini mempunyai cara penyebaran yang sama iaitu melalui cecair daripada tubuh yang mengandungi virus seperti darah dan air mani. Namun penyebaran virus HIV-1 lebih mudah terjadi berbanding HIV-2. 

Terdapat kajian menunjukkan HIV-2 lebih kerap tersebar melalui hubungan seksual heteroseksual. Tetapi, kadar penyebarannya 5-10 kali lebih rendah daripada HIV-1. Penularan HIV-2 daripada ibu kepada janin juga lebih rendah.

3) Perkembangan Jangkitan

Seseorang yang dijangkiti HIV-1 lebih mudah untuk menghidap jangkitan yang serius dan melarat sehingga ke penyakit AIDS. Manakala, bagi individu yang dijangkiti HIV-2, golongan ini mungkin tidak akan terkena AIDS sepanjang menghidapi HIV-2. Namun jika berlakunya AIDS, ia mungkin mengambil tempoh masa yang lebih lama berbanding HIV-1.

Jangkitan HIV-1 secara umumnya mempunyai viral load yang lebih tinggi daripada HIV-2. Viral load adalah jumlah virus yang dikesan di dalam darah. Tambahan lagi, jumlah CD4 bagi jangkitan HIV-1 adalah lebih rendah berbanding HIV-2 sepanjang perkembangan jangkitan.

 

Bagaimana Virus HIV Menjangkiti Tubuh Manusia

HIV melekat dan menembusi sel T melalui molekul CD4 dan reseptor chemokine. Selepas itu, RNA HIV dan beberapa enzim HIV yang dikodkan dilepaskan ke sel perumah.

Replikasi virus memerlukan transkripsi terbalik (polymerase DNA yang bergantung pada RNA) menyalin RNA HIV, menghasilkan DNA proviral; mekanisme penyalinan ini terdedah kepada kesilapan, mengakibatkan mutasi yang kerap dan dengan itu terhasilah varian virus baru. Mutasi ini menghasilkan virus yang dapat mengatasi kawalan oleh sistem imun badan dan ubat antiretroviral.

DNA proviral memasuki nukleus sel perumah dan disatukan ke dalam DNA perumah dalam proses yang melibatkan integrasi dengan enzim HIV yang lain. Dengan setiap pembahagian sel, DNA proviral bersepadu digandakan bersama dengan DNA perumah. Selepas itu, DNA virus proviral dapat ditranskripsikan kepada HIV RNA dan diterjemahkan kepada protein HIV seperti glikoprotein 41 dan 120. Protein HIV ini disatukan menjadi virion HIV pada sel membran dalaman perumah dan berkembang dari permukaan sel di dalam sel membran manusia yang diubah suai. Setiap sel perumah boleh menghasilkan ribuan virion.

Setelah berkembang, protease, enzim HIV yang lain dan protein virus yang telah terbahagi, akan mengubah virion yang belum matang menjadi virion yang matang dan boleh menjangkiti. Limfosit CD4 yang dijangkiti menghasilkan lebih daripada 98% virus HIV plasma. Sebilangan kecil limfosit CD4 yang dijangkiti merupakan ‘reservoir’ HIV yang dapat diaktifkan semula.

Pada jangkitan HIV sederhana hingga berat, kira-kira 108 hingga 109 virion dicipta dan dikeluarkan setiap hari. Purata separuh hayat HIV dalam plasma adalah sekitar 36 jam. Lebih kurang 5 hingga 7% sel CD4 bertukar setiap hari, dan seluruh kumpulan sel CD4 bertukar setiap 2 hari. Oleh itu, AIDS berpunca daripada replikasi HIV yang berterusan dan konsisten, yang membawa kepada virus dan pembunuhan limfosit CD4. Selanjutnya, jumlah replikasi HIV yang tinggi dan frekuensi kesalahan transkripsi yang tinggi oleh transkripsi terbalik HIV mengakibatkan banyak mutasi, meningkatkan peluang untuk menghasilkan strain atau varian yang tahan terhadap imuniti dan ubat-ubatan

Sejarah Virus HIV

Pada awalnya virus HIV ditemui pada chimpanzee di Afrika dan jangkitan hanya berlaku dalam kalangan chimpanzee sahaja. Namun, selepas dilakukan beberapa kajian, didapati bahawa virus HIV telah bermutasi dan boleh menjangkiti manusia. Selepas itu, virus HIV mula tersebar ke seluruh dunia dalam kalangan manusia. 

Perkara yang membuatkan virus ini digeruni adalah kerana ia boleh membawa maut dan sehingga kini masih belum ditemui ubat untuk menyembuhkan atau memusnahkan virus ini dari tubuh manusia sepenuhnya. Selain itu, gejala yang terhasil akibat daripada virus ini ada yang serupa dengan gejala penyakit lain sekaligus menyebabkan penyakit ini sukar untuk dikesan di peringkat awal.

Gejala yang muncul pada peringkat awal untuk virus HIV yang paling umum adalah pembengkakan pada kelenjar. 

HIV Di Malaysia

HIV adalah satu penyakit berjangkit melalui darah dan boleh mengudang maut kepada penghidapnya. HIV mula dilaporkan pertama kali di Malaysia pada tahun 1986 sebanyak tiga kes dan angka ini terus meningkat saban tahun. Pada tahun 2002, sebanyak 6,978 kes telah muncul sehingga menyebabkan pelbagai program dan inisiatif dilakukan oleh pihak kerajaan dan badan bukan kerajaan (NGO) untuk menangani masalah penularan virus ini.

Pada tahun 2018, jumlah kes HIV menurun kepada 3,293 kes. Namun begitu, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan World Health Organisation (WHO) menetapkan sasaran sifar kes HIV baharu menjelang tahun 2030.


Rujukan:

* Inisiatif konsultasi doktor percuma disokong dan ditanggung sepenuhnya oleh DoctorOnCall