Isteri Bising Bau Rokok? Ikuti Langkah Mudah Hilangkannya

September 12, 2021 | Ditulis oleh: Sobana Nair

Isteri Bising Bau Rokok? Ikuti Langkah Mudah Hilangkannya

Bau Asap Rokok Di Sekeliling Kita?

Walaupun kita tidak merokok namun asap yang dihasilkan oleh orang lain yang merokok boleh melekat kepada badan, perabot dan perkakasan sekeliling kita. Ia bukan sahaja menyebabkan bau yang tidak enak, malah sukar untuk dihilangkan jika tidak kena pada caranya.

Asap rokok boleh berterbangan dengan mudah dan melekat pada persekitaran lebih lebih lagi jika anda merokok di tempat yang tertutup seperti dalam bilik, rumah atau di dalam kereta. Ianya bukan sahaja melekat pada objek sekeliling, malah pada baju dan tubuh badan. Cara paling baik untuk menghilangkan bau rokok pada badan dan persekitaran adalah dengan berhenti merokok. Ketahui jika anda bergantung kepada nikotin di sini! Namun, untuk berhenti merokok tidak semudah yang disangka. Oleh itu, sebagai permulaan, anda boleh cuba hilangkan bau rokok di sekeliling anda. Mungkin lama-kelamaan persekitaran yang segar dan berbau harum membuatkan anda mual dengan bau rokok sehingga nekad untuk berhenti. 

Tips Hilangkan Bau Asap Rokok Di Rumah



Sekiranya anda merokok di dalam rumah atau bilik, tentunya bau asap rokok akan melekat pada persekitaran anda. Perkara ini bukan sahaja tidak menyenangkan buat anda, malah menjejaskan ahli keluarga atau sesiapa sahaja yang tinggal sebumbung dengan anda. Bau asap rokok di dalam rumah juga, walaupun tanpa rokoknya secara fizikal boleh menjejaskan kesihatan. Mari ikuti langkah menghilangkan bau rokok dari rumah anda. 

  • Bersihkan permukaan seperti sofa, meja, tingkap kaca dan sebagainya. Ramai menganggap bahawa bau rokok hanya melekat pada permukaan yang berkain,hakikatnya asap rokok sebenarnya turut melekat pada dinding, tingkap dan juga siling. Anda boleh campurkan air dan cuka dalam nisbah 1:1 dan bersihkan permukaan dengan campuran ini. Setelah selesai, lapkan semula permukaan dengan air bersih. Anda juga boleh menggunakan pencuci tingkap yang berfungsi untuk menanggalkan bau asap. Elakkan daripada menggunakan larutan cuka ke atas pemukaan yang berlilin kerana ia boleh menghakis permukaan sebegini. Larutan cuka dan air boleh membersihkan permukaan dan menghilangkan bau asap. Hasilnya, rumah anda berbau segar dan perabot anda juga bersih berkilat. 
  • Kerap tukar dan cuci langsir, sarung bantal dan permaidani yang boleh dicuci. Anda boleh menghantar karpet ke kedai yang menyediakan perkhidmatan mencuci permaidani. Sekiranya ingin berjimat, anda boleh tabur serbuk bikarbonat ke atas permaidani dan biarkan selama satu hari. Vakum permaidani anda, dan lihat perubahannya. Pasti memuaskan.
  • Letakkan beberapa mangkuk arang yang telah diaktifkan di sudut-sudut rumah. Arang boleh menyerap bau. Ia akan menghilangkan bau kurang enak. Rumah anda akan bebas bau dengan tips ini.
  • Pastikan rumah anda mempunyai pengudaraan yang baik. Buka tingkap sedia ada untuk membolehkan udara segar masuk ke dalam rumah. Aliran udara yang baik akan membantu menyah bau. Anda juga boleh menggunakan kipas sambil membuka tingkap untuk mempercepatkan proses ini.
  • Gunakan pembersih udara (air purifier) untuk menapis partikel-partikel asap rokok dalam rumah.
  • Bersihkan asbak yang mengandungi puntung rokok dan abu rokok

Buangkan sisa-sisa rokok ini terlebih dahulu. Kemudian, cucikan dengan air dan sedikit bahan pencuci.

  • Gunakan penyegar udara untuk membasmi bau asap dalam rumah. Jika anda mahukan penyegar udara semula jadi, gunakan lemon, pandan atau kulit limau bagi menyegarkan udara.
  • Jemur bantal atau sofa jenis fabrik sekiranya bau asap rokok masih melekat pada perabot rumah
  • Merokok di luar rumah

Sebaiknya, untuk mengelakkan rumah anda berbau, adalah lebih baik anda merokok di luar rumah. Bukan sahaja tidak berbau, malah lebih selamat untuk keluarga anda.


Nafas Berbau? Ikuti Tips Hilangkan Bau Rokok Pada Mulut

Tabiat menghisap rokok menyebabkan partikel rokok melekat dalam dinding mulut, lidah, gigi dan struktur-struktur oral yang lain. Semakin lama dibiarkan, semakin banyak bakteria yang akan membiak. Hal ini bukan sahaja menyebabkan mulut anda berbau rokok, malah berbau amat busuk. Asap rokok juga boleh menyebabkan masalah gigi yang lain yang boleh menyumbang kepada bau mulut atau istilah perubatannya dipanggil halitosis. Ikuti langkah di bawah untuk menghilangkan bau mulut akibat rokok.

  • Berus gigi dengan kerap dan menyeluruh

Langkah ini membantu menjaga kebersihan rongga mulut anda dan mengelakkan nafas berbau. Anda digalakkan untuk memberus sekurang-kurangnya 2kali sehari dan flos gigi secara berkala. Anda juga digalakkan untuk menggunakan ubat kumur mulut dan pembersih lidah. Terdapat juga ubat gigi yang khas untuk perokok di pasaran. Ubat gigi ini biasanya lebih kasar daripada ubat gigi biasa dan anda disarankan untuk menggunakannya secara berselang-seli dengan ubat gigi biasa. Namun, produk-produk ini lebih tertumpu kepada masalah kekuningan gigi yang disebabkan oleh tar dalam di dalam rokok.

  • Kerap minum air kosong

Air liur yang dihasilkan dalam mulut memainkan peranan yang penting bagi membersihkan sisa-sisa makanan dan partikel lain yang melekat dalam mulut anda. Oleh itu, minum air secukupnya sepanjang hari untuk menghalang pembiakan bakteria.

 

  • Kunyah gula-gula getah tanpa gula

Anda digalakkan untuk mengunyah gula-gula getah selama 5 minit untuk merangsang penghasilan air liur yang boleh menghilangkan bau mulut. Gula-gula getah tersebut haruslah tanpa gula kerana gula adalah kegemaran bakteria dan pembiakan bakteria ini akan menghasilkan asid yang boleh menghakis gigi dan menyebabkan mulut berbau.

Partikel yang dibebaskan dari asap rokok juga boleh melekat pada badan dan pakaian anda, menyebabkan keduanya berbau. Ini akan menjejaskan penampilan anda. Apa yang anda boleh lakukan adalah:

  • Tambah soda bikarbonat ke dalam cucian pakaian anda. Kadangkala, anda perlu melakukan lebih daripada satu cucian untuk menghilangkan bau asap rokok. Elakkan menggunakan mesin pengering sekiranya bau rokok masih ada pada pakaian yang telah dicuci kerana langkah ini boleh menyebabkan bau rokok terus melekat pada fabrik anda.
  • Gunakan semburan pewangi pada kain dan badan anda untuk menghilangkan bau asap rokok. 
  • Menggunakan minyak pati seperti limau gedang, lavender, oren dan kayu putih untuk menutup bau asap rokok yang degil. Namun, elakkan penggunaan minyak pati yang pekat terus ke atas kulit. Ini boleh menyebabkan iritasi pada kulit.
  • Kerap cuci tangan termasuk di bawah kuku serta celah-celah jari dengan menggunakan sabun pencuci tangan setiap kali selesai merokok.
  • Cuci rambut setiap kali ketika mandi. Bau asap juga boleh melekat pada rambut. Selain itu, anda boleh juga gunakan “dry shampoo” atau “hair mist” sebagai alternatif.
  • Gunakan krim tangan yang sesuai Penggunaan krim tangan ini, ia bukan sahaja dapat menghilangkan bau asap rokok malah melembutkan tangan.

Kereta Berbau Rokok? Jangan Risau, Ikuti Langkah Ini

Sekiranya anda kerap merokok dalam kereta, anda boleh mengurangkan bau asap rokok yang terlekat di kereta anda dengan langkah-langkah di bawah.

  • Buka cermin tingkap ketika hendak merokok.
  • Lap cermin depan kereta anda di bahagian dalam setiap kali selepas anda merokok.
  • Jangan meninggalkan puntung rokok atau abu rokok dalam kereta.
  • Bersihkan tempat duduk dalam kereta dengan kerap.
  • Letakkan bekas yang mengandungi arang dalam kereta anda.
  • Biji kopi juga boleh menghilangkan bau rokok dalam kereta. Tinggalkan balang terbuka yang mengandungi biji kopi ini dalam kereta untuk beberapa jam dan lihat hasilnya.
  • Bersihkan tikar getah di lantai kereta anda dengan sabun pencuci.
  • Buka pintu kereta anda sesekali dan biarkan di bawah sinaran matahari. 
  • Anda boleh letakkan kulit buah-buahan citrus segar seperti limau, oren dan buah lemon dalam kereta. Selain membasmi bau asap rokok, lebihan kulit buah-buahan ini turut memberikan haruman segar di dalam kereta.
  • Anda boleh menghantar kereta untuk pembersihan teknik ozon di tempat mencuci kereta profesional.

Kesimpulan

Walaupun dengan tips-tips di atas, cara terbaik untuk mengelakkan bau rokok yang kurang menyenangkan adalah dengan berhenti merokok. Rokok bukan sahaja menyebabkan bau mulut atau persekitaran yang kurang selesa, bahkan ia boleh menyebabkan pelbagai penyakit seperti kanser, ulser perut dan sebagainya. Inisiatif untuk berhenti merokok haruslah datang daripada diri sendiri. Anda boleh mendapatkan bantuan pakar untuk memberi sokongan dan mencadangkan langkah-langkah yang sewajarnya dalam perjuangan anda untuk berhenti merokok. Ingat, rokok boleh membunuh anda dan orang yang anda sayangi.


Ingin berhenti merokok? Konsult doktor kami secara PERCUMA!


Konsultasi Doktor PERCUMA

Bercakap dengan doktor melalui panggilan video atau telefon tentang Berhenti Merokok. Mudah, tidak perlu menunggu

Dapatkan Konsultasi Doktor PERCUMA*

* Inisiatif konsultasi doktor percuma disokong dan ditanggung sepenuhnya oleh DoctorOnCall

Dapatkan Konsultasi Doktor PERCUMA*