Ketahui Bagaimana Tabiat Merokok Membuat Tulang Anda Rapuh

September 12, 2021 | Ditulis oleh: Nurul Afiqah

Ketahui Bagaimana Tabiat Merokok Membuat Tulang Anda Rapuh

Pengambilan makanan yang sihat terutamanya yang mempunyai kandungan vitamin D dan kalsium yang tinggi, rutin melakukan aktiviti senaman serta mengekalkan berat badan yang ideal adalah cara terbaik menjaga kesihatan tulang anda. Selain itu, pastikan anda menjalani aktiviti harian dengan postur yang betul ketika duduk, berdiri dan berjalan. Tahukah anda, berhenti merokok juga merupakan cara untuk mencegah berlakunya kerosakan tulang? Kajian mendapati bahawa bahan kimia yang terkandung di dalam setiap batang rokok bukan sahaja boleh membahayakan kesihatan jantung dan paru-paru manusia, bahkan boleh membawa kesan buruk kepada tulang. Artikel ini akan merungkai kesan rokok terhadap tulang anda.

Bagaimana Merokok Mempengaruhi Kesihatan Tulang?

Seperti yang kita tahu, rokok mengandungi pelbagai bahan merbahaya. Ia bukan sahaja merosakkan paru-paru, jantung dan saluran darah, malah tulang anda. Berikut adalah kesan merokok terhadap kesihatan tulang. 

  • Merokok menyekat aliran darah beroksigen yang memberi nutrisi penting kepada tulang, otot dan sendi untuk proses penyembuhan sekiranya berlaku kerosakan.
  • Merokok mengganggu keupayaan tubuh untuk menyerap kalsium dan menyebabkan kepadatan tulang lebih rendah. Ini menjadikan tulang lebih lemah.
  • Kandungan nikotin dalam rokok melambatkan penghasilan sel pembentukan tulang yang sangat penting untuk proses penyembuhan.
  • Merokok boleh merendahkan paras hormon estrogen yang merupakan komponen utama untuk membina dan mengekalkan rangka manusia yang sihat. 


Kesan Merokok Kepada Kepadatan Tulang

Beberapa kajian dari luar negara yang menunjukkan bahawa merokok boleh menyebabkan ketidakseimbangan terhadap pembentukan tulang sekaligus mengurangkan kepadatan tulang. Kepadatan tulang yang berkurang, lama-kelamaan akan menyebabkan tulang menjadi rapuh. Keadaan ini lebih dikenali sebagai osteoporosis. Hal ini kerana asap rokok boleh memberi kesan langsung terhadap proses osteogenesis dan angiogenesis yang akan membina tulang anda. Asap rokok juga boleh mempengaruhi kepadatan tulang secara tidak langsung akibat faktor lain seperti perubahan berat badan, kekurangan vitamin D, gangguan hormon adrenal, hormon seksual serta peningkatan tekanan oksidatif pada tisu tulang. 


  • Merokok & Osteoporosis

Osteoporosis merupakan masalah tulang rapuh. Mereka yang menghadapi masalah osteoporosis biasanya kehilangan kepadatan tulang akibat pelbagai faktor seperti tidak mengambil nutrisi yang cukup, masalah hormon dan kurang aktiviti fizikal. Penyakit ini kerap terjadi dalam kalangan warga tua, wanita dan golongan bangsa berkulit putih (Kaukasia). Namun, osteoporosis boleh terjadi pada semua peringkat umur, jantina dan bangsa sekiranya individu itu mempunyai faktor risiko kepada penyakit ini.  Merokok telah dikenal pasti sebagai salah satu faktor risiko penyakit osteoporosis sejak berpuluh tahun yang lalu. Terdapat beberapa faktor risiko lain yang menyumbang kepada penyakit ini.  Antaranya adalah seperti sejarah ahli keluarga yang menghidap osteoporosis, wanita yang telah menopaus, penggunaan ubat-ubatan dan pengambilan alkohol yang berlebihan. Merokok sendiri menyumbang kepada faktor lain osteoporosis di mana tabiat merokok menghalang penyerapan zat yang optimum serta mengganggu keseimbangan hormon. Wanita yang merokok lebih cepat menopause sekaligus meningkatkan risiko osteoporosis. 

Kesan Merokok Kepada Penyembuhan Tulang

Merokok boleh menyebabkan gangguan pada penyembuhan tulang. Proses penyembuhan tulang selepas sesuatu kecederaan seperti patah atau retak adalah amat penting dan memakan masa yang agak lama. Seseorang dewasa yang mempunyai pengalaman patah tulang humerus, maka masa yang normal untuk penyembuhan  tulang yang patah adalah selama enam hingga lapan minggu. Tempoh sembuh patah kaki yang normal pula adalah lebih kurang dua belas minggu. Walaubagaimanapun, sekiranya individu terbabit merupakan seorang perokok, maka tempoh penyembuhan tulang yang patah itu akan menjadi lebih lama.  Jika anda bertanya kepada perokok yang pernah mengalami patah tulang mengenai seberapa lama tulang patah menyambung, sememangnya bukan suatu tempoh yang sekejap. Pasti anda tertanya-tanya, apakah hubungannya?

Nikotin yang terkandung dalam setiap batang rokok menghalang pertumbuhan pelbagai sel yang penting untuk penyembuhan tulang anda. Selain itu, nikotin juga menyempitkan saluran darah sekaligus menganggu kelancaran aliran darah yang amat penting dalam proses pembentukan sel bagi bagi tujuan penyembuhan.Kurangnya aliran darah kepada tisu bermakna tisu tulang yang sedang dalam proses penyembuhan akan kekurangan oksigen dan nutrien lain sekaligus pembentukan tisu yang sihat.  Ketahui jika anda bergantung kepada nikotin di sini!

Oleh yang demikian, dengan alasan inilah para doktor melarang pesakit yang mengalami patah tulang terutamanya bagi pesakit yang menjalani pembedahan ortopedik daripada merokok. Perkara ini tidak lain dan tidak bukan adalah demi manfaat kesihatan pesakit itu sendiri supaya mencegah daripada terlambatnya proses penyembuhan tulang. Sebagai contoh, ketika seorang pesakit mengalami patah tulang tangan, maka penjagaan tangan patah perlu mengikut nasihat doktor supaya tulang dapat sembuh dengan sempurna. 

Bagaimanakah Cara Untuk Menjaga Kesihatan Tulang Anda?

Bagi memastikan kesihatan tulang, berikut adalah perkara-perkara yang anda perlu lakukan.

  • Berhenti Merokok

Seperti yang telah diterangkan di atas, tabiat merokok menjejaskan kesihatan tulang anda. Oleh itu, perkara pertama yang anda perlu lakukan adalah berhenti merokok. Merokok bukan sahaja menjejaskan kesihatan anda malah orang lain. Berhenti merokok bukan sahaja memperbaik kesihatan tulang anda, malah segenap aspek kehidupan. Dapatkan nasihat doktor sekiranya anda ingin berhenti merokok, kini terdapat pelbagai rawatan dan sokongan yang boleh anda dapati untuk berhenti merokok dengan jayanya.


  • Makan Makanan Seimbang, Terutamanya Sumber Kalsium & Vitamin D

Pemakanan yang seimbang sangat penting untuk tubuh badan yang sihat. Bagi mengekalkan kesihatan tulang yang baik, kalsium dan vitamin D adalah zat yang amat diperlukan oleh tubuh badan anda. Sumber kalsium yang tinggi terdapat di dalam produk tenusu rendah lemak; sayur-sayuran hijau serta makanan dan minuman yang diperkaya dengan kalsium. Makanan tambahan atau suplemen juga dapat memastikan bahawa anda mendapat jumlah kalsium yang mencukupi setiap hari, terutamanya pada orang yang mempunyai alahan pada susu. 

Bagi mendapatkan bekalan Vitamin D, matahari pada waktu pagi adalah sumber Vitamin D terbaik. Sebab itulah mereka yang jarang terkena sinaran matahari mudah mengalami masalah kerapuhan tulang. Vitamin D juga boleh didapati di dalam makanan seperti soya, telur dan beberapa jenis makanan laut seperti ikan tuna, salmon, udang dan tiram.

  • Sentiasa Aktif & Kerap Melakukan Aktiviti Fizikal

Aktiviti fizikal yang dilakukan dengan cara yang betul adalah penting untuk mengekalkan tulang yang sihat. Tubuh badan yang kurang aktif bergerak boleh meningkatkan risiko penyakit tulang rapuh atau osteoporosis. Senaman yang menanggung berat badan dan daya tahan adalah antara senaman yang baik untuk membina kekuatan tulang anda. Aktiviti fizikal yang disarankan adalah seperti berjalan dan menaiki tangga. Anda juga dinasihatkan untuk sentiasa mengamalkan senaman ringan secara berkala, iaitu sebanyak tiga kali seminggu.

  • Menjaga Berat Badan

Anda turut dinasihatkan untuk sentiasa mengawasi dan menjaga berat badan anda supaya berada dalam kategori berat yang normal. Untuk mendapatkan berat badan yang normal, anda perlu mengetahui berat badan yang sesuai dengan ketinggian. Anda boleh mengetahuinya dengan membuat pengiraan mudah berdasarkan Body Mass Index (BMI) anda. Usaha seperti pemakanan mengikut diet yang seimbang serta melakukan aktiviti senaman secara konsistent adalah amat penting bagi mendapatkan berat badan yang ideal. Berat badan berlebihan memberikan tekanan kepada tulang anda dan boleh menyebabkan kecederaan dalam jangka masa yang panjang.


  • Mengelakkan Pengambilan Alkohol Secara Berlebihan

 Pengambilan alkohol secara berlebihan dapat mengganggu keseimbangan kalsium dalam badan anda. Selain itu, alkohol juga mempengaruhi hormon, yang melindungi tulang, serta mengurangkan vitamin yang diperlukan untuk menyerap kalsium dalam badan.


Ingin berhenti merokok? Konsult doktor kami secara PERCUMA!


Konsultasi Doktor PERCUMA

Bercakap dengan doktor melalui panggilan video atau telefon tentang Berhenti Merokok. Mudah, tidak perlu menunggu

Dapatkan Konsultasi Doktor PERCUMA*

* Inisiatif konsultasi doktor percuma disokong dan ditanggung sepenuhnya oleh DoctorOnCall

Dapatkan Konsultasi Doktor PERCUMA*