Bawang Putih Bukan Hanya Penyedap Makanan. Ketahui Khasiatnya

7 Khasiat & Manfaat Bawang Putih Untuk Kesihatan - DoctorOnCall

Bawang putih mempunyai pelbagai manfaat dan khasiat untuk kesihatan. Ia bukan sahaja digunakan sebagai bahan masakan tapi boleh digunakan untuk merawat pelbagai penyakit. Doktor juga menyarankan untuk makan bawang putih bakar kerana ia membantu dalam merawat penyakit seperti sakit jantung dan darah tinggi.

Bawang putih boleh digunakan ketika mentah untuk manfaat kecantikan kulit seperti merawat jerawat. Mari kenali bawang putih di dalam artikel ini.

Komponen utama bawang putih yang amat bermanfaat untuk kesihatan adalah Allicin. Allicin mempunyai sifat anti bakteria, antiseptik, antioksidan dan mampu merawat keradangan. Allicin boleh didapati setelah bawang putih diketuk, ditumbuk atau dipotong.

Selain allicin, bawang putih mengandungi vitamin B dan C. Walaupun bawang putih kecil, ia mempunyai pelbagai komponen yang berfungsi dalam merawat pelbagai penyakit.

Khasiat-Khasiat Bawang Putih

1. Mencegah Penyakit Jantung

Penyakit hipertensi atau tekanan darah tinggi adalah antara penyakit yang banyak berlaku dalam kalangan rakyat Malaysia, berpunca daripada pemakanan dan gaya hidup yang tidak sihat.

Berita baik untuk penggemar bawang putih, memakan bawang putih yang mentah atau yang telah dibakar, mampu mencegah penyakit darah tinggi. Bawang putih mampu meningkatkan penghasilan nitric oxide secara tidak langsung mengembangkan saluran darah dan melancarkan pengaliran darah. 

Memakan seulas bawang putih mentah setiap hari mampu mengurangkan kemungkinan saluran darah tersumbat disebabkan kolesterol yang berlebihan dan mencegah penyakit aterosklerosis.

2. Diabetes dan Bawang Putih

 

Jika anda seorang penghidap penyakit diabetes, bawang putih mampu membantu anda. Antara khasiat bawang putih adalah mengawal kadar gula dalam darah. Di dalam satu kajian, pakar saintis telah mendapati bahawa memakan bawang putih mentah ataupun bakar mampu mencegah pesakit kencing manis daripada mendapat komplikasi diabetes. 

3. Khasiat Khusus Untuk Kaum Lelaki

Prostat merupakan kelenjar penting dalam tubuh seorang lelaki. Pembengkakan kelenjar prostat sering berlaku pada lelaki yang telah berumur. Bawang putih mempunyai sifat anti keradangan yang mampu mengurangkan masalah pembengkakan prostat

Kajian juga menunjukkan bawang putih mempunyai ciri anti-kanser dan lelaki yang mengambil bawang putih di dalam diet harian dapat menurunkan kemungkinan menghidap kanser prostat sebanyak 50%.

4. Menangani Jerawat

Ramai yang inginkan kulit yang licin dan bebas jerawat. Allicin dalam bawang putih didapati mampu membunuh bakteria penyebab jerawat. Bawang putih juga membantu untuk mengurangkan bengkak, keradangan dan menambah baik aliran darah. Kesemua kesan ini mampu membaik pulih kesihatan kulit anda.

Anda boleh potong seulas bawang putih dan sapukan pada bahagian berjerawat. Jika anda mengalami kegatalan atau rasa terbakar pada kulit dinasihatkan untuk alihkan bawang putih tersebut dari kulit. 

Jika kulit anda sensitif pada bawang putih, anda boleh cuba untuk mencairkan kekuatan bawang putih dengan air. Cincang bawang putih dan campurkan dengan satu sudu besar air dan letakkan pada jerawat untuk beberapa minit. Bersihkan dengan air dan keringkan.

5. Meningkatkan Imuniti

 Anda pernah makan bawang putih dan madu? Campuran yang agak pelik, tetapi kaya khasiat. Bawang putih dan madu membantu mengurangkan selesema. Campuran ini mampu meningkatkan imuniti seseorang. 

Bawang putih telah digunakan sejak ribuan tahun yang lalu sebagai rawatan selesema. Allicin di dalam bawang putih meningkatkan tindak balas sel darah putih terhadap virus. Jika anda mengalami selsema, anda boleh makan bawang putih untuk mengurangkan simptom atau mengamalkan pengambilannya setiap hari untuk meningkatkan imuniti.

6. Meningkatkan Prestasi Atlet

Bawang putih juga dikatakan mampu meningkatkan prestasi atlet. Kaedah ini telah dipraktikkan oleh atlet sukan olimpik sejak zaman Yunani. Bawang putih digunakan secara tradisional untuk menghilangkan keletihan. Walau bagaimanapun, tiada kajian saintifik yang berjaya membuktikan keberkesanan bawang putih dalam hal ini. 

7. Bawang Putih Ubat Kutu

Semestinya tiada orang terfikir untuk menjadikan bawang putih sebagai ubat kutu. Kenapa bawang putih boleh menjadi ubat kutu? Ini adalah kerana, kutu tidak gemar dengan bau dan rasa bawang putih. Anda boleh buat campuran bawang putih dan air dan gunakannya untuk mencuci rambut yang dijangkiti kutu. Campuran air dan bawang putih juga boleh digunakan untuk menghalau nyamuk dan lalat.

Cara Memanfaatkan Khasiat Bawang Putih

Pelbagai cara yang boleh dilakukan untuk mendapatkan khasiat bawang putih sepenuhnya. Walaupun memakan bawang putih mentah boleh berikan manfaat, namun anda tidak perlu mengambilnya secara berlebihan. 

Jika anda ingin menggunakan bawang putih dalam masakan, hancurkan bawang putih terlebih dahulu dan biarkan selama 10 minit sebelum dimasak untuk mengaktifkan komponen allicin. Jika anda bimbang khasiat bawang putih hilang dalam proses memasak, saintis menyarankan agar menambahkan kuantiti bawang putih dalam masakan.

Jika anda ingin membakar bawang putih, dinasihatkan untuk tidak melebihi 60 saat dalam oven atau di atas api untuk mengekalkan khasiatnya. Membakar bawang putih melebihi 60 saat boleh menyahaktifkan komponen allicin.

Tips untuk mendapatkan khasiat bawang putih yang maksimum adalah seperti berikut:

  • Potong atau hiris bawang putih sebelum makan

  • Hancurkan bawang putih dan biarkan selama 10 minit sebelum masukkan dalam masakan

  • Gunakan bawang putih dalam kuantiti yang banyak dalam masakan

Ikuti langkah dibawah jika anda ingin membuat campuran bawang putih dan madu:

  • 1 cawan madu

  • 10 ulas bawang putih

  • 1 bekas kaca bertutup

Kupas dan ketuk 10 bawang putih. Campurkan madu dan bawang putih ke dalam bekas. Tutup dan biarkan bekas tersebut di tempat yang kering selama 7 hari. Selepas 7 hari, anda boleh larutkan campuran dalam air ataupun makan campuran tersebut dalam satu sudu besar sehari.

Kesan Sampingan Bawang Putih

Walaupun bawang putih mempunyai banyak khasiat dan manfaat, bawang putih mempunyai beberapa kesan sampingan yang kurang menyenangkan, antaranya menyebabkan mulut berbau dan rasa mulut terbakar. Terdapat sesetengah orang yang alah terhadap bawang putih.

Ada sesetengah orang melaporkan rasa terbakar atau kegatalan apabila bawang putih disapukan di kulit. Jika anda menggunakan bawang putih untuk merawat penyakit kulit dan menghidapi gejala tersebut, dinasihatkan untuk tidak menggunakan bawang putih secara langsung pada kulit, tetapi anda boleh campurkan bawang putih di dalam air dan gunakan air tersebut. 

Bawang putih mempunyai pelbagai khasiat. Dengan cara yang betul anda mampu memanfaatkan khasiat bawang putih dengan sepenuhnya. Jadi, jangan lupa tambah bawang putih dalam setiap masakan anda!

Rujukan:

* Inisiatif konsultasi doktor percuma disokong dan ditanggung sepenuhnya oleh DoctorOnCall