Cuba Sendiri Resepi 10 Jus Buah-Buahan Segar Kaya Khasiat Untuk Kesihatan

10 Jenis Jus Buah Segar: Resepi Minuman Sihat & Berkhasiat -DoctorOnCall

Rasa manis yang semulajadi daripada air minuman jus buah mampu menawan hati sesiapa sahaja yang meminumnya tidak kira lapisan usia. Selain rasanya yang lazat ia juga amat baik untuk kesihatan. Ada yang beranggapan meminum jus buah-buahan dapat mengekalkan tubuh badan yang langsing dan cantik. Jus buah-buahan tanpa gula tambahan pasti menjadi pilihan bagi mereka yang mementingkan kesihatan. Adakah kesemua jus buah-buahan itu baik? Ikuti artikel ini membongkar rahsia variasi jenis jus buah-buahan segar serta resepi jus buah-buahan campuran penuh khasiat. 

Ketahui 10 Jenis Jus Buah Segar Dengan Resepi Mudah

Awas, jangan terliur! Sebentar lagi anda akan disajikan dengan pelbagai jenis jus buah-buahan segar yang baik untuk kesihatan. Anda boleh cuba sendiri resepi jus buah-buahan yang mudah untuk dibuat sendiri di rumah. Sekarang anda boleh menikmati jus buah-buahan yang sedap tanpa kos yang banyak. Jimat, bukan? 

Tingkatkan ketahanan sistem imun tubuh dengan mengambil makanan seimbang dan berkhasiat.

Cara untuk menyediakan jus buah amat mudah. Anda hanya perlu mengikuti langkah ini:

  1. Kisar bahan-bahan (buah-buahan pilihan anda). Anda juga boleh menambahkan sedikit air mengikut keperluan. 
  2. Tambahkan air sejuk atau ais bagi menambah kesegaran rasanya.

Jus buah anda sedia dinikmati!

Kami kongsikan jus buah-buahan kesihatan berserta manfaat khusus yang boleh anda pilih sebagai menu minuman anda setiap hari:

1. Jus oren

Jus oren dipercayai dapat merawat keradangan kerana kaya dengan vitamin C, iaitu antioksidan yang amat diperlukan untuk kesihatan kulit dan penyerapan zat besi di dalam tubuh. Kandungan jus oren yang tinggi asid sinamik, asid ferulik, dan asid klorogenik dapat mencegah radikal bebas daripada merosakkan sel, seterusnya menyebabkan penyakit. 

2. Jus epal

Anda mahu menikmati jus buah dengan kos murah tetapi tinggi khasiatnya? Mudah saja, jawapannya jus epal. Jus epal merupakan sumber kalium iaitu elektrolit yang penting untuk kesihatan jantung dan saraf anda. Di samping itu, jus epal juga bagus untuk sistem pencernaan tubuh. Selain itu, jus sihat ini mengandungi antioksidan seperti falvonoid dan asid klorogenik yang dapat membantu tubuh dalam mengatasi kerosakan sel akibat radikal bebas. 

3. Jus anggur

Anggur merupakan antara buah-buahan kegemaran ramai. Bentuknya yang comel, rasanya yang lazat serta mudah untuk dimakan terutamanya jenis tanpa biji, menjadi faktor utama ia dijadikan pilihan. Selain lazat dimakan begitu saja, rasa jus anggur juga tidak kalah enaknya. Jus anggur kaya dengan vitamin C dan nutrien yang dinamakan naringin. Untuk makluman anda, jus anggur dapat membantu dalam mengurangkan stres dan risiko penyakit darah tinggi. 

4. Jus delima

Buah delima kaya dengan antioksidan. Jus delima amat berbaloi untuk anda minum setiap hari. Walaupun kalorinya agak tinggi, akan tetapi kandungan antioksidannya dikatakan lebih tinggi berbanding teh hijau. 

5. Jus avokado

Avokado merupakan buah yang kaya dengan vitamin K, vitamin B, omega 3, omega 6, asid folik dan lemak sihat. Jus avokado juga dipercayai dapat meningkatkan kadar high-density lipoprotein (HDL) atau kolesterol “baik” di dalam tubuh. Anda akan berasa mudah kenyang dan mendorong anda untuk tidak makan dengan banyak setelah meminum jus avokado. Justeru itu, pengambilan jus ini dapat membantu dalam menurunkan berat badan anda. Jus avokado amat bagus untuk kaum wanita kerana ia bermanfaat untuk penghasilan hormon estrogen dan kesihatan rahim. 

Tunggu dulu! Anda juga boleh menggabungkan beberapa jenis buah-buahan dalam segelas hidangan jus. Resepi ini amat sesuai bagi mereka yang suka mencuba sesuatu yang baru. Anda bayangkan, jika satu jenis buah sudah mendatangkan pelbagai manfaat, bagaimana kalau dicampurkan beberapa jenis buah dalam satu resepi jus? Khasiat yang anda dapat akan menjadi berlipat ganda! 

6. Jus buah nanas bersama epal dan tembikai 

Percaya atau tidak, bahawa anda boleh buat jus 3 dalam 1 sendiri? Anda cuma perlu mencampurkan ketiga-tiga jenis buah ini secukupnya dan ikuti langkah mudah membuat jus seperti yang diterangkan tadi. Jus campuran ini baik untuk menghilangkan garam berlebihan, membersihkan pundi kencing dan buah pinggang.

7. Jus buah epal bersama kiwi 

Jus epal yang lazat, kemudian dicampur dengan rasa buah kiwi yang masam-masam manis, terbayang sahaja sudah kecur air liur!  Jus ini berkhasiat tinggi dan boleh membantu mencerahkan warna kulit anda. Siapa tak mahu dapatkan kulit yang cerah secara semulajadi dengan minum jus yang lazat?

8. Jus pisang bersama nanas 

Jus campuran pisang bersama nanas akan berwarna kuning terang, bukan sahaja cantik dilihat, tetapi juga sudah tentu sedap. Jus ini baik untuk sistem pencernaan bagi mengelakkan sembelit. Pisang juga antara buah yang dapat mengekalkan “mood” anda supaya sentiasa ceria sepanjang hari. 

9. Jus tembikai susu, anggur bersama tembikai

Jus minuman campuran tembikai, anggur dan tembikai susu baik untuk anda kerana ia mengandungi vitamin C dan B2 yang penting untuk meningkatkan aktiviti sel dan sistem ketahanan tubuh badan. Sekiranya anda memiliki sistem ketahanan tubuh badan yang kuat, anda akan sukar untuk dijangkiti penyakit.

10. Jus betik bersama nanas  

Jus betik bersama nanas elok diminum kerana ianya kaya dengan vitamin C, B dan zat besi serta bermanfaat untuk proses metabolisma tubuh selain dapat juga mencerahkan warna kulit

Ketika mencuba pelbagai resepi jus buah-buahan yang telah dinyatakan di atas, perkara penting yang anda perlu ingat ketika penyediaan jus adalah mengurangkan kandungan gula dalam setiap gelas jus anda. Sebaiknya, elakkan daripada menambah gula ke dalam jus buah yang telah semulajadi manis. Kandungan gula yang tinggi meningkatkan risiko anda untuk menghidap penyakit kencing manis. Walaupun dengan meminum jus, banyak khasiat yang boleh anda perolehi, tetapi jika dibandingkan dengan memakan buah-buahan itu sendiri, anda akan dapat lebih banyak khasiat lagi. Hal ini disebabkan oleh kandungan serat di dalam jus yang diekstrak daripada buah lebih sedikit kerana buahnya dikisar dan bahagian serat yang kasar telah dibuang semasa proses penyediaan jus. Oleh itu, sekiranya anda membuat minuman jus sendiri, sebaiknya minum jus tanpa menapis serpihan buah yang telah dikisar.

Sekiranya anda mahu membeli jus di pasaran, anda harus berhati-hati dengan istilah juice drink, juice-flavoured beverage dan juga juice cocktail. Hal yang demikian kerana kebanyakan produk terbabit mengandungi jus sebenar yang sedikit. Kandungan utama adalah beberapa jenis pemanis yang berfruktosa tinggi dan juga air. Anda harus bijak memilih minuman jus buah anda. Pastikan ianya merupakan jus sebenar tanpa sebarang pengawet. 

Apakah Kelebihan Pengambilan Jus Buah-Buahan?

  • Mengurangkan Berat Badan 

Tubuh yang sihat amat penting untuk mendapatkan minda yang sihat. Menurut kajian, berdasarkan kandungan zat khusus dalam buah-buahan, ianya mampu membantu dalam mengurangkan berat badan. Selain melakukan aktiviti senaman dan mengambil makanan yang seimbang untuk mengekalkan berat badan yang ideal, pengambilan jus buah-buahan juga boleh membantu dalam mendapatkan berat badan yang anda idamkan. 

  • Membantu Proses Perkumuhan

Jus buah-buahan membantu dalam melancarkan sistem penghadaman. Justeru itu, ia boleh melancarkan proses perkumuhan serta mengelakkan sembelit. Proses perkumuhan membuang bahan yang tidak diperlukan oleh badan. 

  • Menguatkan Sistem Ketahanan Tubuh

Kebanyakan jus buah-buahan kaya dengan vitamin C yang penting untuk menguatkan sistem ketahanan tubuh. Dengan memiliki sistem ketahanan tubuh yang kuat, badan anda tidak mudah mendapat penyakit berjangkit akibat jangkitan kuman bakteria mahupun virus. Anda juga akan merasa lebih bertenaga dan tidak mudah letih dalam menjalani aktiviti seharian anda.

  • Baik Untuk Kecantikan Kulit

Kecantikan kulit pasti menjadi idaman bagi setiap orang terutamanya kaum wanita. Anda boleh menerapkan amalan meminum jus buah-buahan dalam rutin harian anda untuk mendapatkan kulit yang sihat lagi cantik. Kandungan vitamin yang ada di dalam buah dapat membantu memperbaiki tekstur kulit serta melambatkan proses penuaan. Dengan amalan yang mudah dan murah ini, anda boleh memiliki kulit yang awet muda dan menawan walaupun tanpa menjalani perawatan wajah yang mungkin bernilai ribuan ringgit. 

  • Mencegah Kerosakan Sel Akibat Radikal Bebas

Radikal bebas adalah partikel bahaya dalam tubuh badan yang dapat merosakkan sel. Kerosakan sel akan memberi kemudaratan kepada organ dan sistem dalam badan anda. Kandungan antioksidan dalam jus buah-buahan dapat mencegah hal ini daripada berlaku. 

Ingin mendapatkan kepastian tentang pemakanan yang betul?Pakar kami sedia untuk membantu anda.

Kesimpulannya, jus buah-buahan merupakan salah satu alternatif pengambilan buah-buahan dalam pemakanan seharian anda. Selain makan buah-buahan begitu sahaja, anda boleh menyelitkan segelas jus buah segar dalam menu anda sebagai tambahan kepada kuantiti pengambilan serat anda dalam sehari. Ia bukan sahaja lazat, menyegarkan, malah baik untuk kesihatan. 


Rujukan:

* Inisiatif konsultasi doktor percuma disokong dan ditanggung sepenuhnya oleh DoctorOnCall