Khasiat Si Salak Kulit Bersisik Yang Anda Tidak Sangkakan

7 Manfaat Buah Salak Untuk Kesihatan Yang Anda Tidak Tahu - DoctorOnCall

“ Di tengah pasar beli rambutan,

Rambutan diikat lalu dijinjing,

Bersisik-sisik bukannya ikan,

Menyalak pula bukannya anjing”

Haa, cuba teka apa jawapan kepada pantun di atas? .. Salak ! Ya, buah salak yang bersisik seperti ular tapi ia hanyalah buah dan tidak menyalak seperti anjing. Sudah pasti anda biasa makan buah salak. Boleh dibeli di pasar tani, pasaraya atau mungkin boleh dapatkan secara terus di kebun. Duduk di pangkin sambil berbual, tangan lincah membuka buah salak dan disuap ke mulut.  Rasanya yang kelat-kelat manis, silap haribulan kelat sahaja, nasib yang baik dapat yang manis semanisnya. Satu sudah pasti tak cukup, habis membawang sejam salak habis sebakul. Jom baca lebih lanjut tentang buah salak dan khasiatnya.

Ciri-Ciri Buah Salak

Tak kenal buah salak? Rugilah anda kerana banyak khasiat buah salak. Buahnya kecil muat di tapak tangan, kulitnya bersisik seperti kulit ular dan berduri halus. Harus hati-hati makan salak kerana duri halus ini nampak sahaja tidak bahaya, tapi kalau tak buka dengan betul, habis tangan tertusuk duri. Isinya pula warna coklat kekuningan, ada biji di dalamnya, jangan ditelan nanti buah salak tumbuh dalam perut: mitos orang tua-tua. 

Buah salak atau nama saintifiknya salacca zalacca dikatakan berasal dari kawasan barat daya Jawa dan selatan Sumatera. Penanaman buah ini telah lama meluas ke negara-negara asia tenggara seperti Malaysia, Thailand dan Indonesia. Banyak juga spesis pokok salak yang ditanam di negara-negara ini seperti salak madu, salak gading, salak pondoh dan sebagainya. Tidak hairanlah kalau buah salak menjadi snek kegemaran kita semua. Malahan, buah salak pada masa kini telah diolah menjadi kerepek, jus, jamu, juga puding salak. 

Makan pun makan juga. Rugi kalau kita sekadar makan tetapi tidak mengetahui apa khasiat buah salak. Jom baca artikel penuh ini tentang khasiat buah salak. 

Nutrisi Dalam Sebiji Salak

Buah yang kecil jangan disangka tiada kebaikan. Banyak nutrisi penting untuk keperluan badan ada dalam sebiji salak. 100 gram buah salak dipercayai mengandungi elemen berikut:

  • 3.9 mg Zat besi 
  • 0.2 mg Vitamin B2
  • 8.4 mg Vitamin C
  • 12.1 g Karbohidrat
  • 38 mg Calcium
  • 18 mg Fosforus
  • 0.8 g Protein
  • 0.4 g Lemak
  • 0.3 g Serat 

Khasiat Buah Salak 

Jangan terkejut kalau buah salak lebih banyak manfaat daripada buah-buah yang lain. Kandungan nutrisi yang tinggi menjadikan salak terkenal dengan beberapa kebaikan kesihatan tubuh badan kita.

1. Buah salak membuatkan mata lebih sihat

Biasanya kita disuruh makan lobak merah atau karot untuk mata yang sihat, tidak rabun dan cantik. Jarang kita dengar buah salak mempunyai fungsi yang sama seperti karot, namun inilah faktanya. Buah salak mengandungi satu bahan yang dipanggil beta carotene yang sangat tinggi. Beta carotene berfungsi untuk mengurangkan stres pada mata yang disebabkan oleh cahaya yang berlebihan. Ia juga akan ditukarkan ke dalam bentuk Vitamin A bagi mengekalkan mata yang sihat. Sekarang, anda sudah tahu bagaimana untuk mendapatkan penglihatan yang lebih baik dan lebih tajam selain daripada makan karot. 

2. Buah salak membantu proses pencernaan

Anda sering sakit perut? Sembelit, atau cirit-birit? Buah salak boleh membantu. Percaya atau tidak buah salak adalah ubat semulajadi yang boleh merawat masalah pencernaan. Kandungan serat dan air yang tinggi dalam sebiji salak membantu melancarkan sistem penghadaman badan kita. Di samping itu, salak juga mengandungi elemen kalsium, tanin, saponin, dan flavonoid yang menambahkan lagi kebaikan salak untuk perut kita. Tanin atau asid tannic dipercayai boleh merawat cirit birit. Satu kajian pada tahun 2009, menyatakan kanak-kanak bergejala cirit-birit yang diberi tanin bersama hidrasi yang cukup lebih cepat sembuh berbanding mereka yang hanya menerima hidrasi cukup sahaja.

3. Salak boleh membantu mengekalkan berat badan

Anda sedang diet untuk turunkan berat badan berlebihan? Jangan membahayakan diri anda dengan membeli produk-produk kurus di laman sesawang secara melulu. Makan sahaja salak dan buah-buahan yang lain. Tidak dinafikan semua buah boleh dimakan ketika berdiet, apa kata kali ini anda cuba tambah buah salak dalam menu diet anda. Serat dan anti-oksida adalah dua bahan yang sentiasa diutamakan dalam diet yang sihat dan boleh didapati dalam salak. Salak juga mengandungi kalsium dan karbohidrat yang boleh membuatkan anda berasa mudah kenyang dan tidak lapar. Anda akan kekal bertenaga dan mempunyai stamina yang cukup untuk menjalani hari-hari diet.

4. Salak boleh meningkatkan imuniti tubuh

Telah terbukti dengan satu kajian di sebuah Universiti di Indonesia, buah salak ternyata mampu menguatkan sistem ketahanan badan dan mempunyai antioksida tinggi yang boleh melawan kanser. Elemen flavonoid dalam buah salak adalah tunjang utama dalam mengekalkan dan meningkatkan sistem ketahanan badan kita. Jadi, jangan bersusah payah memikirkan produk mana yang boleh meningkatkan imuniti badan, makan sahaja salak. Perut pun kenyang, badan juga sihat.

5. Salak sebagai penguat ingatan

Tidak mahu nyanyuk sebelum lanjut usia? Atau ingin mudah untuk ingat perkara penting? Jangan lupa makan salak. Mungkin anda tidak tahu bahawa salak dikenali sebagai ‘memory fruit’. Hal ini kerana kandungan kalium dan pectin dalam salak terbukti boleh meningkatkan daya ingatan seseorang. Buah-buahan lain yang juga mengandungi pectin tinggi adalah seperti epal, ceri, plum dan lain lain. 

6. Mengawal kadar gula dalam darah

Sekiranya anda penghidap diabetes, mungkin banyak pantang larang yang anda terima tentang buah-buahan. Ada buah yang anda boleh makan, ada pula yang anda dilarang sama sekali menyentuhnya. Berita gembira untuk anda, anda boleh makan salak sepuas-puasnya kerana buah ini mengandungi kadar gula yang rendah. Bukan itu sahaja, ia juga boleh membantu anda mengawal penyakit kencing manis dengan adanya pterostilbene dalam buah ini. Pterostilbene adalah agen yang boleh menurunkan kadar gula dalam darah. Kulit salak pula jika direndam di dalam minuman anda, ia dipercayai boleh membantu penjanaan semula sel-sel dalam pankreas. Hal ini serba sedikit merawat kencing manis secara tidak langsung. Namun jangan lupakan ubatan hospital kerana ia lebih penting daripada salak.

7. Buah salak untuk ibu hamil

Sesetengah wanita mengandung mempunyai alahan yang kuat ketika awal kandungan. Mereka sentiasa muntah-muntah, loya dan sakit kepala. Cuba makan buah salak sekiranya anda mengalami 'morning sickness' yang teruk. Ramai ibu-ibu mengesyorkan buah salak sebagai rawatan dan makanan alternatif bagi mengurangkan morning sickness. Tetapi harus diingatkan, jangan makan buah ini secara berlebihan, amalkan pemakanan yang seimbang untuk kesihatan bayi anda dan juga diri sendiri.

Banyak lagi khasiat buah salak jika ingin disenaraikan. Dengan bacaan artikel ini, kini anda tidak lagi berasa ragu-ragu untuk makan buah salak. Keburukan buah salak? Mungkin ada jika dimakan secara pukal dan berlebihan. Oleh itu, makan buah salak secara sederhana untuk mendapatkan manfaat kesihatan. Pilih buah salak yang betul, jangan tertukar dengan buah kelubi kerana kedua-duanya mempunyai bentuk luaran yang agak serupa tetapi rasa yang sangat berbeza. Buah salak bukan sahaja mengenyangkan, tetapi juga menyihatkan. 


Rujukan:

* Inisiatif konsultasi doktor percuma disokong dan ditanggung sepenuhnya oleh DoctorOnCall