Jenis-jenis Susu Dan Kebaikan Susu Segar Yang Anda Perlu Tahu

7 Kebaikan Susu Segar Yang Anda Perlu Ketahui - DoctorOnCall

Susu segar adalah antara minuman berkhasiat yang amat penting bukan sahaja dalam tumbesaran bayi dan kanak-kanak, tetapi juga penting bagi remaja dan dewasa.

Terdapat banyak kebaikan susu lembu segar. Susu diperkaya dengan kalsium dan protein adalah sumber yang terbaik untuk menjaga kesihatan tulang. Jika anda ke pasaraya ada kedai, terdapat banyak pilihan susu.

Jadi yang mana satu baik untuk anda? Mari kenali jenis-jenis susu dan kelebihan setiap satunya.

Jenis-Jenis Susu

1. Susu Segar

Sebelum mengenali jenis susu yang lain, mari kenali susu segar. Biasanya terdapat 2 jenis susu segar di pasaran iaitu susu yang dipastur atau susu UHT. Mari lihat perbezaan keduanya.

Nama Kaedah

Pasteurisation

Ultra High Temperature (UHT)

Suhu Pemanasan

72-85°C

135-145°C

Tempoh Pemanasan

10-15 saat

2-4 saat

Suhu disejukkan

Penyejukan segera ke 39°C

Penyejukan segera ke 39°C

Peratusan bakteria yang dihapuskan

Peratusan kecil organisma yang tidak berbahaya kepada manusia masih hidup

99.9% organisma dihapuskan

Nutrisi

Nutrisi dapat dikekalkan

Kandungan nutrisi kurang kerana terjejas dengan suhu pemanasan yang tinggi

Penyimpanan

Perlu sentiasa disimpan sejuk

Boleh terus dipek dan dihantar kepada pengguna selepas serta boleh disimpan pada suhu bilik sebelum pek dibuka

Tempoh penggunaan (shelf-life)

Beberapa hari sahaja

1-6 bulan (jika belum dibuka)

2. Susu Penuh Krim (Full Cream/Whole Milk)

Jika anda pergi membeli belah di pasaraya, tentu anda akan terjumpa susu ini di rak susu, namun apakah makna terma penuh krim? Susu penuh krim bermakna ia mempunyai kadar lemak yang lebih tinggi daripada susu lain. Namun begitu, tidak bermakna susu penuh krim bahayakan kesihatan kerana kandungan lemaknya yang tinggi. Susu penuh krim mempunyai kandungan omega-3 yang tinggi. Omega-3 penting dalam penjagaan kesihatan jantung dan saluran darah.

3. Susu Rendah Lemak (Low Fat Milk)

Perbezaan susu rendah lemak dengan susu krim penuh adalah mempunyai kandungan lemak yang rendah namun tak bermakna ia tidak berkhasiat. Susu rendah lemak bermakna ia mempunyai kandungan lemak kurang daripada 1%. Susu rendah lemak juga mengandungi kandungan kalsium yang lebih tinggi serta kalori yang lebih rendah. Ini menjadikan susu rendah lemak sesuai diminum oleh individu yang ingin menurunkan berat badan.

4. Susu Tepung

Susu tepung adalah susu yang telah melalui proses pengeringan untuk menjadikan susu dalam bentuk serbuk yang akan tahan lebih lama. Susu tepung selalunya ditambahkan dengan nutrisi seperti kalsium, vitamin D dan omega-3.

5. Susu Skim (Skim Milk)

Susu skim mengandungi kurang daripada 0.5% lemak susu serta mengandungi kalori paling rendah berbanding susu penuh krim dan susu rendah lemak. Susu skim juga diperkaya dengan nutrisi tetapi dengan manfaat kalori rendah. Susu skim adalah pilihan sesuai jika anda memerlukan nutrisi susu tetapi tidak mahukan kalori berlebihan.

6. Susu Berperisa

Kadangkala terdapat kanak-kanak yang susah untuk minum susu. Sebagai ibu bapa, anda mengetahui bahawa susu mempunyai pelbagai khasiat dan penting dalam tumbesaran anak. Jadi susu berperisa diwujudkan untuk membantu ibu bapa untuk memberikan khasiat susu kepada anak-anak.

Persoalannya, adakah susu berperisa ini sihat? Untuk pengetahuan anda, susu berperisa mempunyai khasiat yang sama dengan susu segar biasa. Walaupun, terdapat pelbagai susu berperisa yang ditambahkan dengan sedikit gula, tiada kajian yang menunjukkan susu berperisa menyebabkan kenaikan berat badan atau menyebabkan kerosakan gigi.

Kebaikan Susu Segar

1. Kaya Dengan Nutrisi

Seperti yang anda telah ketahui susu segar mengandungi kandungan kalsium yang tinggi, namun tahukah anda bahawa susu mempunyai pelbagai nutrisi lain. Ini amat bersesuaian dengan fitrah di mana susu adalah makanan utama haiwan yang baru lahir. Antara nutrisi yang terkandung dalam susu ialah:

  • Kalsium
  • Protein
  • Vitamin A
  • Vitamin B12
  • Vitamin D
  • Riboflavin
  • Fosforus
  • Potassium
  • Zink
  • Magnesium
  • Selenium

2. Menjaga Kesihatan Tulang

Susu amat sinonim dengan kesihatan tulang. Kandungan kalsium yang tinggi dalam susu amat diperlukan oleh kanak-kanak yang sedang membesar bagi menjamin pembentukan tulang yang kuat seiring usia mereka. 

Selain itu, kandungan kalsium yang tinggi dalam susu juga penting untuk diambil oleh wanita yang menopaus bagi mencegah masalah tulang rapuh atau osteoporosis. Orang dewasa baik lelaki atau wanita juga harus mengambil susu di dalam diet mereka bagi menjaga kesihatan tulang. susu juga mempunyai kebaikan untuk wanita yang menopaus. 

3. Mencantikkan Kulit

Adakah anda tahu bahawa terdapat kebaikan susu segar untuk kulit? Pernah tidak anda dengar kisah Cleopatra mengamalkan mandian susu setiap hari untuk kecantikan beliau? Benarkah susu bagus untuk kecantikan kulit? Untuk pengetahuan anda, susu mempunyai vitamin A, vitamin D dan asid laktik yang bagus untuk kulit.

Asid laktik merupakan alpha hydroxy acid (AHA) yang sering digunakan dalam bahan penjagaan kulit seperti sabun muka, toner dan pelembap muka. 

Anda tidak perlu mandi dalam susu untuk mendapatkan kulit yang cantik dan lembut. Meminum 2 gelas susu sehari sudah mencukupi. Anda juga boleh menggunakan susu sebagai pencuci muka. Susu boleh membuang sel-sel kulit yang sudah mati, namun tiada kajian membuktikan bahawa susu adalah pilihan yang lebih baik berbanding sabun pencuci muka. 

4. Membantu Membina Otot

Jika anda seorang yang melakukan senaman angkat berat di gym anda tentu tahu bahawa protein adalah sumber yang penting untuk pembinaan otot. Sebuah kajian menunjukkan bahawa individu yang meminum susu segar selepas senaman dapat meningkatkan pembesaran otot. 

Ketika anda bersenam, otot-otot anda memerlukan tenaga untuk melakukan aktiviti-aktiviti tersebut. Tenaga tersebut datang daripada gula yang dikenal sebagai glycogen. Glycogen disimpan dalam sel-sel tubuh badan dan akan berkurang bila anda bersenam. Susu berperanan dalam mengembalikan glycogen yang telah hilang selepas bersenam. 

5. Menurunkan Berat Badan

Untuk pengetahuan anda, makanan yang tinggi protein seperti susu mempercepatkan rasa kenyang dan secara tidak langsung membantu anda mengurangkan pengambilan makanan dan menurunkan berat badan. 

6. Mengurangkan Sakit Sengugut

Antara kebaikan susu segar untuk wanita ialahmengurangkan sakit sengugut. Setiap kaum hawa yang telah melalui akil baligh akan menghadapi kitaran haid. Kalsium yang terkandung dalam susu boleh membantu mengurangkan kesakitan sewaktu datang haid. Malah susu juga dapat mengurangkan ketidakselesaan yang akan dialami sewaktu datang haid.

7. Kebaikan Susu Segar Untuk Ibu Hamil

Untuk pengetahuan anda, susu segar diperkaya dengan pelbagai nutrisi. Kalsium yang terdapat dalam susu penting untuk ibu hamil kerana seorang ibu hamil memerlukan 1000 hingga 1300 mg kalsium setiap hari untuk kesihatan tubuh badan mereka dan bayi yang sedang membesar dalam kandungan.

Minum susu mampu memberikan ibu hamil kalsium yang diperlukan. Susu juga boleh melegakan masalah pedih ulu hati yang sering berlaku kepada ibu hamil.

Susu bukan sahaja membawa kebaikan kepada kanak-kanak tetapi memberi manfaat dan khasiat kepada semua orang tidak mengira usia dan jantina. Disebabkan susu diperkaya dengan khasiat dan nutrisi ia menjadi minuman yang sesuai untuk anda ambil dalam diet harian anda. Ambil dua gelas susu setiap hari untuk menikmati manfaatnya!

* Inisiatif konsultasi doktor percuma disokong dan ditanggung sepenuhnya oleh DoctorOnCall