Jangkitan Kulat Air Pada Kaki? Ketahui Punca & Cara Merawatnya.

Penyakit Kulat Air Pada Kaki. Punca & Cara Ubatinya - DoctorOnCall


Pengenalan

 

Kulat air, kutu air atau kaki atlet adalah nama untuk satu penyakit yang sama. Untuk pengetahuan, sebenarnya penyakit kulat air atau dalam perubatan digelar tinae pedis adalah masalah kulit yang kebiasaanya terjadi pada bahagian kaki terutamanya bahagian celah kaki disebabkan oleh kulat. Jenis kulat yang menyebabkan perkara ini dikenali sebagai dermatophytes atau lebih tepat lagi trichophyton.

 

Keadaan ini tidak terhad hanya pada kawasan kaki namun ia juga boleh merebak ke bahagian lain seperti kuku, tapak kaki dan tangan. Walaupun jangkitan ini tidak menyebabkan masalah yang serius atau kecacatan kekal tetapi kulat air boleh mengganggu kualiti hidup dan menjejaskan penampilan. Kulat air boleh menjangkiti semua golongan tanpa mengira usia, jantina dan bangsa. Jangkitan kulat air boleh berulang sekiranya langkah-langkah pencegahan tidak dipatuhi.

 

Tanda Dan Gejala Kulat Air

 

Seperti yang dinyatakan di awal artikel ini bahawa kulat air berpunca daripada jangkitan kulat atau fungus yang membiak pada lapisan kulit terutamanya di bahagian kaki. Kulat air dapat dikenal pasti melalui beberapa tanda dan gejala umum. Antaranya termasuklah:

  • Rasa gatal, menyengat dan terbakar di celah jari kaki atau di tapak kaki

  • Terdapat luka pada kaki anda yang menjadi gatal

  • Kulit di celah jari kaki dan tapak kaki mengelupas 

  • Kulit tapak kaki kering

  • Kulit kaki melecet 

  • Kuku kaki rapuh dan berubah warna

  • Kuku jari kaki mudah tertanggal

 

Siapakah Golongan Berisiko Mendapat Jangkitan Kulat Ini?

 

Walaupun masalah ini dikenali sebagai penyakit kaki atlet, ia tidak hanya berlaku atau menjangkiti golongan atlet sahaja. Golongan yang kerap bersukan dikatakan lebih banyak dijangkiti masalah ini kerana mereka memakai kasut dan melakukan aktiviti sukan yang mengeluarkan peluh. Jadi kelembapan di dalam kasut memudahkan kulat membiak pada kulit kaki. Sebenarnya, sesiapa sahaja boleh dijangkiti penyakit kulat air. Namun begitu, tabiat tertentu meningkatkan lagi risiko untuk dijangkiti, seperti:

 

  • mengunjungi tempat awam tanpa memakai kasut atau selipar seperti di bilik persalinan, tempat mandi awam dan kolam renang.

  • Berkongsi peralatan peribadi seperti stoking, kasut atau tuala dengan orang yang dijangkiti kulat air

  • Pemakaian kasut yang ketat dan tiada pengudaraan yang baik

  • Membiarkan kaki dalam keadaan basah untuk tempoh masa yang panjang

  • Mempunyai masalah kaki berpeluh

  • Mengalami kecederaan pada kulit 

 

Sebab Terjadinya Kulat Air

 

Terdapat banyak sebab terjadinya kulat air. Antaranya adalah:

 

1) Jangkitan kulat pada bahagian kaki yang selalu berada dalam keadaan lembap atau terendam untuk beberapa tempoh yang lama. Bahagian paling digemari oleh bakteria ini ialah anggota yang sering terlindung dan sentiasa dalam keadaan lembap seperti celahan jari. Tambahan, sikap sesetengah individu yang tidak menitikberatkan aspek kebersihan kaki juga boleh meningkatkan risiko jangkitan kulat ini.

 

2) Kulat air boleh berjangkit dan tersebar melalui sentuhan secara langsung dengan individu yang dijangkiti mahupun sentuhan pada permukaan yang tercemar seperti tuala, kasut dan lantai di tempat awam selain di kawasan berisiko seperti kolam renang, tandas dan bilik mandi.

 

3) Jangkitan kulat air menjadi aktif pada persekitaran panas dan lembap. 

 

4) Pemakaian kasut yang ketat menyebabkan pengaliran udara yang tidak baik serta peningkatan perpeluhan juga menyebabkan berlakunya jangkitan ini.

 

5) Jangkitan kulat ini juga boleh merebak sehingga ke bahagian anggota badan yang lain sekiranya pesakit menggaru bahagian yang dijangkiti kulat air dan menyentuh bahagian badan yang lain tanpa membasuh tangan.

 

Rawatan 

 

Kebanyakan kes, simptom penyakit kulat air tidak serius dan tidak memerlukan pesakit untuk berjumpa dengan doktor. Ubat-ubatan yang berkesan dalam menyembuhkan jangkitan kulat air boleh didapati di farmasi. Bagi kes yang teruk, kebiasaanya doktor akan mengesyorkan ubat antikulat yang lebih kuat.

 

Kebanyakan ubat-ubatan jenis topikal boleh didapati di farmasi dan ubat tersebut disapu secara langsung pada kulit. Berikut merupakan antara ubat topikal anti kulat yang boleh didapati di farmasi: 

 

  • Clotrimazole

  • Econazole

  • Ketoconazole

  • Miconazole

  • Terbinafine

  • Sulconazole

 

Namun begitu, ubat antikulat perlu digunakan dengan betul kerana terdapat beberapa jenis ubat antikulat yang tidak boleh diberikan kepada pesakit orang tua, ibu hamil dan kanak-kanak kecil. Oleh itu disarankan untuk merujuk doktor dan membaca risalah yang disertakan bersama ubat dengan teliti sebelum menggunakannya. Anda juga boleh bertanya kepada ahli farmasi untuk ubat antikulat yang sesuai.

 

Pencegahan

 

Aspek pencegahan jangkitan kulat air adalah sesuatu yang perlu dititikberatkan dan tidak boleh dipandang remeh. Hal ini kerana jika hanya bergantung pada rawatan semata-mata, jangkitan kulat ini mungkin berulang. Kebersihan adalah kunci utama dalam pencegahan masalah kulat air. Berikut merupakan antara langkah-langkah pencegahan yang boleh diamalkan dalam kehidupan seharian:

 

  • Pastikan kaki sentiasa berada dalam keadaan bersih dan kering.

  • Elakkan daripada memakai kasut atau menyarungkan stokin semasa kaki masih lembap. Pakai kasut yang mempunyai pengudaraan yang baik dan tidak terlalu ketat.

  • Elakkan berjalan tanpa memakai selipar atau kasut semasa berada di kawasan awam.

  • Pakai stokin yang diperbuat daripada kain kapas atau bahan yang mudah kering dan jika perlu, tukar stokin dengan kerap.

  • Jangan berkongsi barangan peribadi seperti kasut, tuala, baju dan pengepit kuku dengan individu yang lain.

  • Sediakan beberapa pasang kasut untuk ditukar ganti bagi memastikan kasut kering sepenuhnya sebelum digunakan semula.

 

5 Fakta Dan Mitos Tentang Jangkitan Kulat Air

 

Walaupun penyakit kulat air adalah masalah yang biasa dialami oleh kebanyakan orang, namun masih banyak mitos tentangnya yang perlu dibetulkan. Antaranya ialah:

 

1) Mitos: Hanya atlet saja yang dijangkiti kulat air.

    Fakta: Ia digelar ‘athlete’s foot’ kerana jangkitan ini biasanya berlaku kepada kaki atlet yang kemudian boleh merebak ke kuku kaki dan     tangan. Namun, sesiapa saja boleh menghidap penyakit ini jika tidak menjaga kebersihan.

 

2) Mitos: Kulat air hanya menjangkiti bahagian kaki.

    Fakta: Penyakit kulat air  tidak hanya berlaku pada bahagian kaki malah boleh merebak ke bahagian badan lain seperti peha dan     tangan.

 

3) Mitos: Anda tidak akan dijangkiti sekiranya menutupi kaki dengan stokin dan kasut sepanjang hari.

    Fakta: Kulat yang menjadi penyebab kepada penyakit ini amat gemar kepada keadaan lembap. Stokin dan kasut yang lembap adalah     medium terbaik untuk pembiakan kulat air. 

 

4) Mitos: Jangkitan ini akan sembuh dengan sendiri tanpa rawatan.

    Fakta: Tanpa rawatan, masalah kaki makan air akan berpanjangan dan menjadi semakin teruk serta mungkin merebak ke kawasan lain.     Kaki akan terasa lebih gatal dan sekaligus membuatkan anda semakin tidak selesa dan mengganggu kehidupan seharian Bagi     menghentikan keadaan ini berterusan, disarankan menggunakan ubat antikulat mengikut saranan doktor.

 

5) Mitos: Anda tidak akan dijangkiti lagi jika pernah mengalami penyakit kulat air

    Fakta: Ini tidak benar sama sekali kerana jika kebersihan tidak dijaga dan tidak mengeringkan kaki dengan baik, ia boleh berulang lagi     pada bila-bila masa.

 


Rujukan:

Ditulis oleh Mohd Syafiq, Bachelor's Degree In Medicine and Surgery (MBBCh) of Zagazig University, Egypt on

Disemak oleh DoctorOnCall Panel Doctor

* Inisiatif konsultasi doktor percuma disokong dan ditanggung sepenuhnya oleh DoctorOnCall