Ketahui 7 Langkah Mudah Mencegah Dan Mengawal Serangan Asma Anda

7 Cara Mencegah Serangan Asma Yang Boleh Anda Lakukan - DoctorOnCall

Penyakit asma, biasanya terjadi apabila penghidapnya terdedah kepada keadaan atau bahan tertentu yang menyebabkan saluran pernafasan mereka menjadi sempit, sama ada akibat pembengkakan lapisan dinding saluran pernafasan, atau pengecutan otot-otot di sekelilingnya, mahupun rembesan lendir yang berlebihan.

Serangan asma yang kerap merupakan tanda-tanda penyakit asma yang serius. Oleh itu, mengawal serangan asma atau mencegah serangan asma daripada kerap berlaku adalah amat penting dalam pengurusan pesakit asma. 


Bagaimana Mencegah Serangan Asma?

Berikut adalah langkah-langkah yang anda boleh lakukan sebagai seorang pesakit asma untuk mencegah serangan asma yang kerap.


1. Kenali faktor pencetus asma anda dan elakkannya     

Mengetahui apakah bahan atau keadaan yang boleh mencetuskan asma anda adalah salah satu langkah paling penting dalam mencegah serangan asma. 

Dengan mengetahui apa yang boleh mencetuskannya, anda boleh berjaga-jaga dan mengelak daripada terdedah kepada keadaan atau bahan yang telah dikenalpasti seperti habuk, debunga, asap dan cuaca sejuk. 

Selain itu, anda juga boleh bersedia dengan ubat-ubatan seperti ubat pelega sekiranya berisiko untuk terdedah kepada pencetus dalam situasi yang tidak boleh dielakkan.

2. Patuhi regim rawatan dan jadual pemeriksaan berkala anda

Terdapat pelbagai jenis rawatan asma. Ubat asma yang paling biasa kita dengar dan paling banyak diambil oleh pesakit asma adalah ubat pelega yang biasanya dalam bentuk sedutan juga dipanggil reliever inhaler. Ubat pelega biasanya amat penting untuk dibawa ke mana-mana dan hanya digunakan apabila perlu sahaja iaitu ketika serangan asma.

Ubat asma yang lain ada dalam bentuk sedutan dan juga ubat makan. Biasanya diambil setiap hari bergantung kepada keadaan atau tahap keseriusan asma pesakit. Ubat ini juga dipanggil ubat kawalan atau pencegah. 

Pengambilan ubat-ubatan sama ada pelega atau ubat kawalan atau pencegah haruslah diambil seperti yang disarankan oleh doktor. Sekiranya anda merasakan serangan asma anda semakin kerap sila rujuk kepada doktor anda untuk mengetahui tahap asma dan mendapatkan ubat dengan dos yang berbeza atau jenis lain sekiranya perlu.

Pastikan juga teknik penggunaan ubat sedutan (inhaler) anda betul untuk mendapatkan manfaat yang maksimum.

3. Bawa ubat asma anda ke mana-mana     

Sebagai penghidap asma, tidak kira anda mengalami serangan yang kerap atau tidak, pastikan anda membawa ubat asma anda terutamanya ubat pelega anda ke mana sahaja anda pergi. Ini kerana, serangan asma boleh berlaku tidak kira masa dan tempat.

Anda perlu sentiasa memastikan ubat asma anda diletakkan di tempat yang mudah dijangkau dan berhampiran dengan anda semasa tidur. Asma pada waktu malam juga mudah terjadi kerana cuaca yang sejuk pada waktu malam. Cara mengatasi asma di malam hari salah satunya adalah dengan menggunakan selimut dan pastikan bilik anda tidak terlalu sejuk dan tidak berhabuk.


4. Pakai pelitup muka di luar rumah

Umum mengetahui bahawa kualiti udara yang semakin teruk ditambah dengan pencemaran udara yang semakin berleluasa mengakibatkan semua orang berisiko tinggi untuk mendapat jangkitan penyakit pernafasan. Keadaan ini lebih buruk pada penghidap asma.

Oleh yang demikian, tabiat memakai pelitup muka ketika melakukan aktiviti di luar rumah hendaklah sentiasa diamalkan sebagai salah satu upaya untuk mencegah serangan asma.

Seiring dengan arahan daripada kerajaan Malaysia yang mewajibkan kita untuk memakai pelitup muka sewaktu zaman pandemik Covid 19, pihak CDC Amerika Syarikat telah menjelaskan bahawa pemakaian dua lapis pelitup muka dapat melindungi anda dengan menapis lebih banyak kotoran dan partikel-partikel kecil berbanding jika anda hanya memakai satu pelitup muka.


5. Dapatkan suntikan vaksin seperti influenza & pneumokokal     

  

Selain itu, mengelakkan jangkitan saluran pernafasan juga merupakan salah satu cara untuk anda mencegah asma.

Jangkitan saluran pernafasan seperti influenza dan pneumonia mudah mencetuskan serangan asma dan memburukkan keadaan anda. 

Oleh itu, suntikan vaksin bagi jangkitan influenza dan pneumokokkal boleh mencegah anda daripada mendapat jangkitan ini sekaligus mengurangkan risiko serangan asma yang serius.

6. Jauhi asap terutamanya asap rokok

Asap tidak kira asap rokok atau asap daripada pencemaran seperti pembakaran atau asap kilang adalah toksik dan berbahaya kepada paru-paru anda. Individu yang sihat juga berisiko untuk mendapat pelbagai komplikasi akibat terdedah kepada asap, apatah lagi mereka yang menghidap asma.

Oleh itu, jauhi sebarang asap dan pakai penutup muka seperti yang disarankan jika berisiko untuk terdedah kepada asap tersebut dan tidak dapat dielakkan.

7. Pastikan rumah anda bersih daripada alergen atau bahan pencetus

Sebagai penghidap asma, anda perlu memastikan kediaman anda sebagai tempat paling selamat untuk anda bernafas. 

Bersihkan rumah anda secara berkala untuk mengelakkan habuk terkumpul dan elakkan menggunakan bahan kimia seperti pewangi tertentu sekiranya anda alah kepadanya. 

Anda juga dinasihatkan untuk mengelak daripada membela haiwan peliharaan berbulu sekiranya ia dikenal pasti boleh mencetuskan serangan asma anda.

Rujukan:

* Inisiatif konsultasi doktor percuma disokong dan ditanggung sepenuhnya oleh DoctorOnCall