Faktor-Faktor Pencetus Serangan Asma Yang Anda Perlu Tahu & Elakkan

Punca Penyakit Asma. Apakah Faktor Pencetusnya? - DoctorOnCall

Asma, penyakit paru-paru jangka panjang, dapat dihidap oleh kanak-kanak dan orang dewasa. Ia merosakkan fungsi dan struktur saluran pernafasan yang mengakibatkan kesukaran bernafas.

Namun, apa sebenarnya yang menyebabkan saluran pernafasan terjejas?


Seperti yang telah disebutkan sebelum ini, asma berkait rapat dengan masalah saluran pernafasan. Terdapat 3 faktor utama yang menyebabkan ini:

  • Keradangan pada saluran pernafasan

Keradangan pada saluran pernafasan menyebabkan penyempitan saluran tersebut, yang pada gilirannya menyebabkan kesulitan bernafas. Ini juga merupakan faktor utama bagi asma bronkial.

  • Pengumpulan lendir yang berlebihan

Saluran pernafasan juga boleh disumbat oleh lendir yang dikeluarkan secara berlebihan.

  • Penyempitan saluran pernafasan

Saluran pernafasan boleh menyempit jika otot-otot yang mengelilinginya lebih mudah berkontraksi. Ini akan menyebabkan kurangnya udara yang masuk ke dalam paru-paru semasa inhalasi.

Siapakah Yang berisiko Menghidap Asma?

Beberapa individu lebih berisiko menghidap asma berdasarkan beberapa faktor:

  • Persekitaran:

Faktor ini memainkan peranan penting dalam perkembangan penyakit asma. Contohnya, individu yang bekerja di kilang kayu atau kimia, serta individu yang tinggal di kawasan industri, berada dalam risiko yang lebih tinggi untuk menghidap asma disebabkan debu dan bahan kimia yang mereka terdedah.

  • Sejarah keluarga:

Individu yang mempunyai ibu bapa yang menghidap asma berisiko lebih tinggi untuk mengembangkan penyakit ini.

  • Individu yang mempunyai alergi 

  • Individu yang pernah mengalami jangkitan saluran pernafasan sejak zaman kanak-kanak

  • Obesiti atau kegemukan

  • Merokok

Faktor ini mempunyai pelbagai kesan yang buruk termasuk kerosakan kepada saluran pernafasan. Individu yang merokok, bayi yang dilahirkan kepada ibu yang merokok semasa hamil, atau perokok pasif yang tinggal bersama perokok berisiko tinggi menghidap asma.

Apakah Pencetus Penyakit Asma?

Walaupun penyebab utama asma masih belum dikenal pasti, serangan asma secara umumnya berlaku disebabkan oleh saluran pernafasan yang bengkak atau mempunyai lendir yang berlebihan dan menyebabkan kesukaran pernafasan.

Berikut adalah beberapa pencetus penyakit asma yang telah dikenal pasti:

  • Terdedah kepada alergen

  • Makanan tertentu

  • Latihan fizikal

  • Emosi (seperti ketawa atau menangis)

  • Refluks asid

  • Ubat-ubatan tertentu

  • Jangkitan virus atau bakteria

  • Asap, debu atau kulat

  • Keadaan cuaca (contohnya cuaca sejuk)

Mengapakah Alergi Merupakan Faktor Risiko Penyakit Asma?

Alergi merupakan salah satu faktor risiko penyakit asma. Lebih daripada 80% pesakit asma alergik terhadap bahan-bahan yang terdapat di udara seperti asap, debu dan kotoran haiwan.

Alergi adalah reaksi daripada tubuh badan yang memberikan respons yang tidak normal terhadap bahan-bahan tertentu. Saluran pernafasan akan menjadi bengkak dan menyempit apabila terdedah kepada alergen tertentu, dan seterusnya menyebabkan serangan asma.

Jika anda mengalami asma yang tidak terkawal, sila berjumpa dengan doktor untuk mengetahui sama ada anda mempunyai alergi. Rawatan melalui ubat-ubatan serta mengelakkan dan mengurangkan serangan asma yang teruk daripada berlaku.

Asma dan Makanan

Makanan tertentu juga boleh menjadi faktor risiko penyakit asma. Sesetengah pesakit asma mungkin alergik terhadap makanan tertentu atau bahan yang terdapat dalam makanan itu dan menyebabkan serangan asma. Contoh makanan yang dikaitkan dengan gejala asma termasuk:

  • Kekacang

  • Kacang soya

  • Susu

  • Telur

  • Gandum

  • Ikan

  • Makanan laut

Serangan Asma Semasa Bersenaman

Serangan asma atau penyempitan bronkus yang berlaku semasa bersenam adalah keadaan yang biasa, terutamanya di kalangan atlet. 90% pesakit asma diketahui mengalami asma yang berlaku semasa bersenam, tetapi individu yang tidak menghidap asma juga boleh mengalami gejala ini.

Keadaan persekitaran semasa senaman seperti udara sejuk atau debu, serta alergi klorin semasa berenang, boleh menjadi punca serangan asma semasa bersenam.

Individu yang mengalami asma yang berpunca daripada senaman mungkin mengalami gejala serangan asma seperti batuk atau sesak nafas semasa atau selepas senaman. Namun, gejala ini biasanya akan reda dalam masa satu jam.

Serangan Asma Berkaitan dengan Emosi

Emosi seperti menangis atau ketawa yang berlebihan juga boleh menjadi pencetus serangan asma. Selain itu, tekanan emosi seperti stres atau kegelisahan juga boleh menjadi punca penyakit asma.

Perkara berlaku kerana keadaan emosi seseorang akan mempengaruhi cara pernafasan mereka dan menyebabkan pernafasan yang laju serta otot-otot dada yang menegang, dan kemudian menjadikan individu tersebut sukar untuk bernafas.

Refluks Asid dan Asma

Keadaan ini berlaku apabila refleks saraf yang menyempitkan saluran pernafasan untuk mencegah asid perut masuk ke dalam paru-paru anda. Namun, beberapa kajian telah menunjukkan bahawa gejala ini tidak berkait rapat dengan alergi atau sejarah keluarga.

Jika doktor anda mencurigai anda mengalami asma yang berkaitan dengan refluks asid, anda mungkin akan diberikan cadangan untuk mengubah diet serta mengambil ubat-ubatan yang sesuai.

Ubat-ubatan sebagai Pencetus Asma

Beberapa ubat seperti ubat anti-radang bukan steroid (NSAID), aspirin, dan beta-blocker (biasanya digunakan untuk merawat penyakit jantung dan tekanan darah tinggi) boleh memberikan kesan sampingan yang tidak diingini pada sistem pernafasan anda. 

Bagaimana Anda Mengenal Pasti Pencetus Asma Anda?

Untuk mengenal pasti pencetus asma anda, anda boleh memulakannya dengan mengubahkan gaya hidup dan rutin harian anda, dari makanan hingga ke aktiviti yang anda lakukan setiap hari.

Anda boleh mencatat aktiviti, makanan, atau bahan yang mungkin menyebabkan serangan asma untuk membantu anda mengelakkan pencetus-pencetus tersebut dan mengurangkan frekuensi serangan asma.

Berkonsultasilah dengan doktor anda untuk mempelajari lebih lanjut tentang asma anda serta mengetahui cara yang betul untuk merawat dan mencegah serangan daripada berlaku.


* Inisiatif konsultasi doktor percuma disokong dan ditanggung sepenuhnya oleh DoctorOnCall