Ketahui Apakah Rawatan & Bagaimana Mengatasi Gejala Endometriosis

5 Rawatan Dan Cara Atasi Sakit Endometriosis - DoctorOnCall

Sejumlah besar kaum wanita kerap mengalami senggugut teruk (sakit di bahagian bawah perut) atau dysmenorrhea dalam Bahasa Inggerisnya serta masalah ketidaksuburan. Gejala-gejala ini boleh disebabkan oleh penyakit endometriosis. Endometriosis berlaku apabila endometrium, tisu yang biasanya melapisi bahagian dalam rahim wanita, tumbuh di luarnya.

Tisu ini bertindak seperti tisu rahim biasa semasa haid. Tisu ini akan pecah dan berdarah pada penghujung kitaran. Tetapi darah ini tiada tempat untuk pergi. Ini dapat menyebabkan keradangan atau pembengkakan pada kawasan sekitar dan juga dapat menyebabkan tisu parut dan kecederaan pada organ.

 

Apakan Rawatan Endometriosis?

Penyakit endometriosis boleh menyebabkan pelbagai cabaran dalam kehidupan harian seseorang jika ia tidak dirawat. Meskipun endometriosis tidak mempunyai penawar, gejalanya masih boleh dikawali.

Terdapat beberapa rawatan dalam bentuk perubatan dan pembedahan yang mampu membantu mengurangkan simptom endometriosis dan mengawal sebarang komplikasi tambahan. Doktor anda mungkin mencadangkan rawatan konservatif terlebih dahulu. Beliau kemudiannya boleh mengesyorkan pembedahan jika keadaan anda tidak bertambah baik.

Setiap orang mempunyai tindak balas yang berbeza terhadap setiap pilihan rawatan. Doktor anda akan membantu anda mendapatkan rawatan yang paling sesuai untuk anda.

 

Ubat Tahan Sakit

Sekiranya gejala yang anda hadapi adalah ringan, doktor anda mungkin akan mencadangkan ubat penahan sakit (pain relievers). Contoh ubat yang dapat digunakan termasuk NSAID (ubat anti-radang bukan steroid) seperti ibuprofen atau naproxen.

Kadangkala, sakit endometriosis dapat bertambah teruk. Sekiranya ubat sakit tidak memberikan kelegaan yang mencukupi, doktor anda akan mempertimbangkan sama ada anda memerlukan preskripsi untuk jenis ubat yang lebih kuat.


Terapi hormon

Pemberian hormon tambahan kadangkala berkesan dalam mengurangkan atau menghilangkan kesakitan endometriosis. ketidakseimbangan hormon semasa kitaran haid menyebabkan implan endometrium menebal, rosak dan berdarah. Ubat hormon boleh melambatkan pertumbuhan tisu endometrium dan menghalang implan baru tisu endometrium.

Namun, terapi hormon bukanlah penyelesaian kekal untuk endometriosis. Jika rawatan ini dihentikan, anda boleh mengalami gejala-gejala endometriosis sekali lagi.

Terapi hormon yang kerap digunakan untuk merawat endometriosis termasuk:


  • Kontraseptif hormon

Ubat kontraseptif seperti pil perancang membantu mengawal hormon yang menyebabkan. pembentukan tisu endometrium setiap bulan. Kebanyakan wanita mempunyai aliran haid yang lebih ringan untuk jangka masa yang lebih pendek apabila mereka menggunakan kontraseptif hormon. Penggunaan kontraseptif hormon boleh mengurangkan atau menghapuskan kesakitan dalam kes-kes tertentu.

  • Agonis dan antagonis hormon pelepas gonadotropin (Gn-RH)

Ubat-ubatan sebegini menyekat pengeluaran hormon perangsang ovari, menurunkan tahap estrogen dan menghalang haid. Ini akan menyebabkan tisu endometrium mengecut. Walaubagaimanpun, tempoh haid dan keupayaan untuk hamil Kembali kepada biasa apabila pengambilan ubat dihentikan.

  • Terapi progestin

Terdapat pelbagai terapi progestin, seperti peranti intrauterin dengan levonorgestrel, implan perancang, suntikan kontraseptif dan pil progestin. Terapi progestin boleh menghentikan haid dan pertumbuhan implan endometrium, yang boleh melegakan gejala-gejala endometriosis.

  • Penghalang aromatase (Inhibitor aromatase)

Penghalang aromatase ialah kelas ubat yang mengurangkan jumlah estrogen dalam badan anda. Doktor anda mungkin mengesyorkan penghalang aromatase bersama dengan kontraseptif hormon progestin atau gabungan untuk merawat endometriosis jika diperlukan.


Pembedahan konservatif

Sekiranya anda menghidapi penyakit endometriosis dan ingin hamil, pembedahan untuk membuang implan endometriosis sambil memelihara rahim dan ovari anda (pembedahan konservatif) boleh meningkatkan peluang anda untuk hamil.

Pembedahan sebegini juga dapat merawat kesakitan teruk akibat endometriosis. Walaubagaimanapun, kesakitan dan gejala yang disebabkan oleh endrometriosis dapat kembali.

Prosedur ini dapat dilakukan secara laparoskopi, atau melalui pembedahan perut tradisional dalam kes-kes tertentu. Dalam pembedahan laparoskopi, pakar bedah anda memasukkan alat tontonan yang langsing (laparoskop) melalui hirisan kecil berhampiran pusat anda dan memasukkan instrumen untuk mengeluarkan tisu endometrium melalui hirisan kecil yang lain.

Selepas pembedahan, doktor anda mungkin mengesyorkan pengambilan ubat hormon untuk membantu mengurangkan kesakitan.

 Histerektomi dan ooforektomi

Doktor anda mungkin perlu mengeluarkan sebahagian atau semua organ reproduktif anda jika ia rosak atau jika ia mempunyai tisu endometriosis padanya. Pembuangan rahim dipanggil histerektomi, manakala pengeluaran ovari dipanggil ooforektomi.

Hisrektomi akan mungkin dicadangkan untuk wanita yang simptomnya tidak hilang walaupun rawatan lain diberikan serta tidak merancang untuk melahirkan anak.

Doktor anda biasanya boleh melakukan histerektomi dengan laparoskopi, tetapi mereka juga boleh melakukannya dengan laparotomi atau dengan mengeluarkan organ melalui lubang faraj anda.


Cara-cara mengurangkan kesakitan ketika haid

Kesakitan haid atau senggugut bagi mereka yang menghidap endometriosis biasanya lebih serius berbanding wanita yang tidak menghidapnya. Kesakitan yang dialami boleh mempengaruhi kehidupan seseorang sehingga menyukarkan aktiviti harian seperti tidak dapat ke sekolah atau ke tempat kerja.


Berikut adalah antara perkara yang boleh dilakukan untuk mengurangkan kesakitan atau senggugut yang dialami.


  1. Menggunakan pad panas atau tuaman panas

  2. Stimulasi saraf elektrik (TENS) juga boleh membantu

  3. Urutan pada bahagian pelvis

  4. Mandian air suam

  5. Minum teh halia panas

  6. Tenangkan diri anda dengan meletakkan bauan harum seperti lavender di dalam bilik


Untuk maklumat lanjut, sila berhubung dengan doktor atau ahli farmasi anda.

Maklumat yang diberikan adalah untuk tujuan maklumat sahaja dan tidak boleh mengganti nasihat oleh pengamal perubatan berdaftar. Maklumat ini tidak boleh digunakan untuk menentukan masalah kesihatan atau untuk tujuan ubatan sendiri. Bayer Co (Malaysia) Sdn Bhd tidak akan bertanggungjawab terhadap sebarang kerosakan atau kerugian yang timbul daripada penggunaan maklumat yang diberikan

Buat Kuiz penilaian kendiri Endometriosis kami untuk melihat sama ada anda berisiko menghidap endometriosis. Ketahui jika anda berisiko tinggi menghidap endometriosis dan bercakap dengan Pakar Sakit Puan kami sekarang!

Artikel pendidikan ini dibawakan kepada anda dengan kerjasama Bayer.


Approval code PP-VIS-MY-0227-1 (02/22)

Ditulis oleh Joshua Stephen Jacob, Bachelor of Medical Bioscience Monash University Malaysia on

Disemak oleh DoctorOnCall Panel Doctor

* Inisiatif konsultasi doktor percuma disokong dan ditanggung sepenuhnya oleh DoctorOnCall