Cara Melambatkan Haid dengan Norcolut: Masa Pengambilan, Dos & Adakah Ia Selamat?

Bolehkah anda melambatkan haid dengan Norcolut?
Ya. Norcolut (norethisterone 5 mg) ialah tablet hormon yang dipreskripsikan oleh doktor dan boleh melambatkan haid dengan selamat untuk tempoh yang singkat, apabila dimulakan sekurang-kurangnya 3 hari sebelum tarikh haid dijangka.
Ramai wanita di Malaysia merancang aktiviti berdasarkan kitaran haid mereka untuk menunaikan Umrah atau Haji, bercuti, menghadiri majlis perkahwinan, menyertai pertandingan sukan atau menduduki peperiksaan penting. Pil untuk melambatkan haid membolehkan anda mengawal masa kedatangan haid supaya haid bermula selepas acara tersebut dan bukannya semasa acara berlangsung.
Panduan ini menerangkan cara Norcolut berfungsi, bila perlu mula mengambilnya, dos biasa, golongan yang tidak boleh mengambilnya dan cara mendapatkan preskripsi melalui konsultasi dalam talian DoctorOnCall.
Bagaimana Norcolut melambatkan haid
Norcolut mengekalkan tahap progesteron anda pada paras yang tinggi, sekali gus menghalang lapisan rahim daripada luruh sehingga anda selesai menjalani kursus rawatan.
Biasanya, tahap progesteron menurun pada penghujung kitaran haid dan penurunan ini mencetuskan haid. Norethisterone ialah progestogen sintetik. Semasa anda mengambilnya, lapisan rahim kekal utuh. Sebaik sahaja anda berhenti mengambilnya, tahap hormon akan menurun dan haid biasanya bermula dalam tempoh 2 hingga 3 hari.
Norcolut bukanlah ubat kontraseptif. Ia tidak akan melindungi anda daripada kehamilan, jadi gunakan kondom atau kaedah kontraseptif biasa anda sepanjang tempoh rawatan.
Masa pengambilan dan dos Norcolut
Rejimen biasa ialah satu tablet 5 mg tiga kali sehari, bermula 3 hari sebelum tarikh haid dijangka. Doktor anda akan mengesahkan dos dan tempoh pengambilan yang tepat untuk anda.
- Tentukan bila haid seterusnya dijangka bermula. Kira dari hari pertama haid terakhir anda berdasarkan tempoh kitaran haid biasa.
- Mulakan Norcolut 3 hari sebelum tarikh tersebut. Memulakannya lebih lewat, selepas tompokan darah mula keluar, adalah jauh kurang berkesan.
- Ambil satu tablet tiga kali sehari, dengan jarak masa yang sekata (contohnya pukul 8 pagi, 2 petang dan 10 malam).
- Teruskan pengambilan sehingga hari terakhir anda perlu mengelakkan haid. Kursus rawatan biasanya dihadkan kepada 14 hari atau kurang.
- Berhenti mengambil tablet. Haid biasanya datang 2 hingga 3 hari kemudian.
| Contoh | Tarikh |
|---|---|
| Haid dijangka bermula | 10 Mac |
| Mula mengambil Norcolut | 7 Mac |
| Hari terakhir Umrah | 18 Mac (tablet terakhir) |
| Haid dijangka selepas berhenti | 20 hingga 21 Mac |
Tertinggal dos? Ambil dos tersebut sebaik sahaja anda teringat, kemudian teruskan pengambilan seperti biasa. Tertinggal dos boleh menyebabkan tompokan darah atau pendarahan lebih awal.
Adakah Norcolut selamat untuk melambatkan haid?
Bagi kebanyakan wanita yang sihat, kursus rawatan Norcolut yang singkat adalah selamat. Ubat ini hanya boleh didapati dengan preskripsi kerana ia tidak sesuai untuk semua orang, dan doktor perlu menyemak sejarah kesihatan anda terlebih dahulu.
Kesan sampingan yang biasa berlaku biasanya ringan dan berhenti apabila kursus rawatan tamat: payudara terasa sakit, kembung perut, loya, sakit kepala, perubahan mood dan tompokan darah ringan.
Risiko darah beku. Norethisterone sebahagiannya ditukar kepada estrogen di dalam badan, yang sedikit meningkatkan risiko pembentukan darah beku. Risiko ini lebih penting semasa penerbangan jarak jauh, jadi pastikan anda minum air secukupnya, berjalan di sepanjang lorong kabin dan melakukan senaman betis semasa penerbangan ke Arab Saudi.
Norcolut mungkin tidak sesuai untuk anda jika anda:
- Pernah mengalami darah beku (DVT atau embolisme pulmonari), strok atau serangan jantung
- Menghidap penyakit hati, atau kanser payudara atau kanser lain yang sensitif terhadap hormon
- Sedang hamil atau mungkin hamil
- Mengalami pendarahan faraj yang tidak dapat dijelaskan
- Menghidap porfiria
- Mengalami migrain dengan aura, merokok atau mempunyai BMI yang tinggi (langkah berjaga-jaga tambahan diperlukan)
- Mengambil ubat yang berinteraksi dengannya, seperti sesetengah ubat epilepsi, rifampicin atau St John’s wort
Dapatkan bantuan perubatan segera jika anda mengalami sakit atau bengkak pada betis, sakit dada, sesak nafas secara tiba-tiba, atau kulit atau mata menjadi kekuningan.
Melambatkan haid untuk Umrah, Haji, perjalanan dan acara
Buat perancangan sekurang-kurangnya 1 hingga 2 minggu lebih awal supaya anda mempunyai masa untuk menjalani konsultasi, menerima penghantaran ubat dan memulakan pengambilan 3 hari lebih awal.
Umrah dan Haji. Haid mempengaruhi tawaf dan beberapa ibadah, jadi ramai wanita memilih untuk melambatkan haid sepanjang perjalanan. Ambil kira keseluruhan tempoh penginapan di Makkah dan Madinah, serta tambahan satu atau dua hari sebagai tempoh penampan sekiranya terdapat perubahan penerbangan. Jika anda mempunyai persoalan tentang hukum agama, rujuk pihak berautoriti agama yang dipercayai.
Percutian dan majlis perkahwinan. Kira jumlah hari yang anda ingin bebas daripada haid, termasuk hari perjalanan. Ingat bahawa kursus rawatan biasanya dihadkan kepada kira-kira dua minggu.
Sukan dan peperiksaan. Jika boleh, lakukan percubaan singkat terlebih dahulu supaya anda mengetahui tindak balas badan terhadap kesan sampingan sebelum hari penting tersebut.
Petua mengemas barang: bawa tablet yang mencukupi untuk keseluruhan kursus rawatan serta bekalan tambahan untuk sehari, simpan ubat di dalam bagasi kabin, tetapkan penggera telefon untuk setiap dos dan bawa pelapik seluar dalam sekiranya berlaku tompokan darah.
Sudah mengambil pil perancang? Ini alternatif anda
Jika anda mengambil pil perancang gabungan, anda mungkin boleh melambatkan haid tanpa Norcolut dengan melangkau tempoh tanpa pil.
| Pilihan | Paling sesuai untuk | Cara ia berfungsi | Melindungi daripada kehamilan |
|---|---|---|---|
| Norcolut (norethisterone) | Wanita yang tidak menggunakan kontraseptif hormon | 5 mg tiga kali sehari, bermula 3 hari sebelum haid | Tidak |
| Pil gabungan secara berturut-turut | Wanita yang sudah mengambil pil gabungan monophasic | Mulakan pek seterusnya serta-merta dengan melangkau tempoh rehat atau pil plasebo | Ya, jika diambil dengan betul |
Kaedah ini hanya berkesan secara konsisten dengan pil monophasic, iaitu setiap tablet aktif mempunyai dos yang sama. Dapatkan nasihat doktor sebelum mengambil pek pil secara berturut-turut, terutamanya jika pil anda ialah pil phasic.
Dapatkan preskripsi Norcolut secara dalam talian dengan DoctorOnCall
Tidak perlu beratur di klinik. Doktor berlesen di Malaysia akan menyemak kesihatan anda secara dalam talian, mempreskripsikan Norcolut jika sesuai untuk anda dan farmasi kami akan menghantarnya terus ke rumah anda.
- Tempah konsultasi dalam talian. Maklumkan kepada doktor tarikh perjalanan atau acara anda serta tarikh hari pertama haid terakhir anda.
- Semakan doktor. Doktor akan menyemak sejarah perubatan, ubat-ubatan semasa dan risiko darah beku anda.
- Preskripsi dan penghantaran. Jika sesuai, Norcolut akan dipreskripsikan dan dihantar ke seluruh negara, supaya anda sempat memulakan pengambilan 3 hari lebih awal.
Jika Norcolut tidak sesuai untuk anda, doktor akan menerangkan sebabnya dan membincangkan pilihan lain.
Soalan lazim
Apakah pil terbaik untuk melambatkan haid?
Norethisterone (dijual sebagai Norcolut) ialah pil yang paling banyak digunakan untuk melambatkan haid. Jika anda sudah mengambil pil gabungan monophasic, pengambilan pek pil secara berturut-turut ialah satu alternatif. Doktor boleh menasihati anda tentang pilihan yang paling sesuai.
Adakah pil untuk melambatkan haid selamat?
Bagi kebanyakkan wanita yang sihat, kursus rawatan yang singkat adalah selamat. Pil ini mempunyai risiko kecil pembentukan darah beku dan tidak sesuai untuk semua orang, sebab itulah pemeriksaan doktor diperlukan terlebih dahulu.
Bagaimanakah saya boleh menghentikan haid untuk percutian?
Mulakan pengambilan Norcolut 3 hari sebelum tarikh haid dijangka dan terukan sehingga hari terakhir percutian anda. Haid sepatutnya bermula 2 hingga 3 hari selepas anda berhenti mengambilnya.
Bolehkah saya mula mengambil Norcolut selepas haid bermula?
Tidak. Setelah pendarahan bermula, Norcolut tidak dapat menghentikannya dengan pasti. Mulakan sekurang-kurangnya 3 hari sebelum tarikh yang dijangkakan.
Berapa lama saya boleh melambatkan haid dengan Norcolut?
Kursus rawatan biasanya dihadkan kepada kira-kira 14 hari. Doktor anda akan menentukan tempoh pengambilan berdasarkan perjalanan anda.
Adakah Norcolut menjejaskan kesuburan?
Tidak. Kitaran haid normal anda biasanya kembali selepas pendarahan akibat penarikan hormon.
Adakah Norcolut merupakan ubat kontraseptif?
Tidak. Gunakan kondom atau kaedah kontraseptif biasa anda sepanjang tempoh rawatan.