Jangan Keliru! Ketahui Cara Sebenar Penularan Penyakit HIV/AIDS
Ramai menganggap virus HIV boleh tersebar jika melakukan hubungan seks bebas atau menagih dadah sahaja. Sebenarnya ini bukanlah realiti sebenarnya. Ramai penghidap HIV di luar sana yang dijangkiti virus ini tanpa pengetahuan mereka dan sekalipun tidak pernah melakukan aktiviti berisiko seperti hubungan seks bebas atau berkongsi jarum suntikan dadah. Jadi bagaimana mereka boleh dijangkiti HIV?
Bagaimanakah Seseorang Itu Boleh Dijangkiti Oleh HIV?
Seseorang itu boleh dijangkiti HIV dengan penularan virus melalui beberapa jenis cecair badan. Cecair badan yang dimaksudkan adalah:
Darah
Air mani atau cecair pra mani iaitu air mazi
Cecair faraj
Cecair rektum
Susu ibu
Air ketuban
Manakala, cecair badan yang lain seperti air mata, air liur dan peluh tidak menyebarkan virus. Virus HIV daripada seseorang yang telah dijangkiti harus memasuki sel darah putih seseorang yang lain untuk hidup. HIV hanya boleh memasuki badan seseorang apabila cecair badan seperti darah, air mani dan cecair faraj seseorang yang masuk ke dalam saluran darah melalui luka pada kulit atau lapisan mukosa.
Ketahui Cara Penyebaran HIV
Mengetahui cara penularan HIV adalah penting sebagai langkah berjaga-jaga supaya setiap orang mengetahui cara mencegah penyebaran HIV. Jadi, bagaimanakah cara penularan penyakit tersebut dari satu orang ke orang lain?
Hubungan Seksual
HIV boleh merebak melalui hubungan seksual tanpa perlindungan dengan seseorang yang dijangkiti. Kebanyakan jangkitan HIV yang berlaku adalah melalui hubungan seksual.
Hubungan seksual (faraj atau dubur)
HIV boleh menjangkiti melalui selaput lendir pada faraj (vagina) atau dubur (anal) secara langsung atau masuk melalui luka yang mungkin terjadi dan tidak disedari berlaku akibat hubungan kelamin. Justeru, hubungan seksual samada melalui faraj dan dubur sangat berisiko tinggi menularkan jangkitan HIV ini.
Hubungan seksual oral
Risiko penularan HIV melalui tekak, gusi, dan membran/tisu di dalam mulut adalah lebih rendah berbanding faraj atau dubur. Walaupun risikonya lebih rendah, tetapi ia tidak mustahil berlaku.
Penyebaran Daripada Ibu Kepada Anak
Tanpa rawatan pencegahan HIV semasa proses kehamilan, ibu mengandung yang dijangkiti boleh menyebarkan virus kepada anak samada sewaktu dalam kandungan, semasa bersalin atau melalui penyusuan.
Perkongsian Jarum Suntikan
Jarum suntikan terpakai yang dikongsi juga boleh menjadi medium penyebaran virus HIV ini dari satu pesakit ke perumah yang baru.
Makanan Pra-Kunyah Untuk Bayi
Walaupun tidak begitu kerap berlaku, terdapat kes bayi yang dijangkiti HIV berpunca daripada pengasuh yang positif HIV mengunyah makanan (atau memanaskannya di mulut mereka) dan kemudian memberi makanan kepada bayi. Jangkitan ini tersebar berkemungkinan apabila pengasuh mempunyai luka di dalam mulut atau gusi berdarah dan memindahkan virus ini kepada bayi melalui makanan atau air liurnya yang tercemar dengan virus tersebut.
Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) mengesyorkan agar pengasuh yang dijangkiti HIV tidak mengunyahkan makanan untuk bayi. Akan tetapi, HIV tidak tersebar dengan makan makanan yang disediakan oleh seseorang yang menghidap HIV.
Transfusi Darah
Penularan HIV boleh berlaku melalui penerimaan organ atau transfusi darah daripada orang yang dijangkiti HIV. Sehubungan itu, penghidap HIV dilarang menderma darah. Kini proses pendermaan darah dan organ juga dipantau dan disaring dengan ketat untuk memastikan bekalan darah dan organ adalah selamat.
Ciuman Mulut
Walaupun ianya sangat jarang berlaku, namun ada kemungkinan HIV dapat ditularkan melalui ciuman mulut yang terbuka dan mendalam. Meskipun virus tidak dapat merebak melalui air liur, penularan dapat terjadi jika adanya darah. Hal ini boleh berlaku apabila kedua-dua pasangan mengalami masalah gusi berdarah atau luka di dalam mulut.
Tatu dan Tindik
Menurut CDC, belum ada laporan kes jangkitan HIV melalui lukisan tatu dan menindik. Namun begitu, secara teknikalnya, kemungkinan penyebaran virus boleh berlaku jika terdapat perkongsian atau penggunaan semula bagi peralatan seperti jarum tatu atau tindik.
Pekerjaan
HIV boleh merebak melalui kecederaan yang tidak disengajakan semasa melakukan pekerjaan, contohnya kakitangan perubatan yang terluka sewaktu pembedahan atau prosedur lain yang melibatkan pesakit HIV.
Gigitan Pada Kulit
Gigitan pada kulit boleh menyebarkan HIV jika gigitan tersebut menyebabkan luka dan pendarahan. Namun, menurut CDC, hanya terdapat sedikit sahaja kes gigitan manusia yang menyebabkan trauma pada kulit dan menyebabkan penularan HIV.
Adakah Penyebaran HIV Dipengaruhi Oleh Jumlah Virus (Viral Load)?
Viral load atau jumlah timbunan virus adalah hitungan jumlah virus HIV yang terdapat di dalam darah. Ianya dapat dikesan hanya melalui ujian darah HIV. Semakin tinggi jumlah virus, semakin tinggi kadar penularan jangkitan HIV.
Pengambilan ubat HIV iaitu ubat antiretroviral (ART) setiap hari seperti yang ditetapkan boleh mengurangkan kadar (viral load), jumlah virus dalam darah seseorang yang dijangkiti. sehingga ujian HIV tidak dapat mengesannya. Hal ini yang disebut ‘viral load tidak dapat dikesan’ pada hasil keputusan ujian HIV.
Oleh itu, penghidap HIV yang mengambil ubat HIV setiap hari seperti yang ditetapkan dan mempunyai penurunan viral load yang efektif mempunyai risiko yang sangat rendah untuk menyebarkan HIV kepada pasangan yang negatif HIV melalui hubungan seksual. Tidak semua orang yang mengambil ubat HIV mempunyai viral load yang tidak dapat dikesan. Hampir semua individu yang mula mengambil ubat HIV setiap hari seperti yang ditetapkan, memiliki viral load yang menurun ke tahap tidak dapat dikesan dalam masa enam bulan bahkan kurang. Pengambilan ubat HIV secara berterusan seperti yang diarahkan oleh doktor adalah penting selain kunjungan konsultasi secara berkala untuk melakukan ujian viral load.
Kesimpulan
Pendidikan mengenai cara penyebaran atau transmisi HIV adalah penting bagi melaksanakan langkah-langkah pencegahan. Walaupun penularan jangkitan HIV bukan merupakan sejenis wabak seperti penularan COVID-19 yang begitu pantas, namun, peningkatan angka jangkitan HIV semakin meningkat secara global dan menyumbang jumlah kematian yang tinggi. Justeru, pengetahuan tentang cara penyebaran HIV perlu dititikberatkan. Jangan ambil sikap tunggu dan lihat sambil memikirkan persoalan seperti ‘berapa lama masa infeksi HIV?’, sebaliknya, dapatkan ujian saringan atau ubat profilaksis (pencegahan) sebelum terlambat.
* Inisiatif konsultasi doktor percuma disokong dan ditanggung sepenuhnya oleh DoctorOnCall