Bagaimana Untuk Mengetahui Sekiranya Seseorang Menghidap HIV?

Penyakit HIV & AIDS- Ketahui Bagaimana Ia Dikesan - DoctorOnCall

Human Immunodeficiency Virus (HIV) merupakan penyebab Acquired Immune Deficiency Syndrome (AIDS) iaitu tahap jangkitan HIV yang terakhir. Mengapa penghidap HIV boleh sampai ke tahap ini? Salah satu sebabnya adalah tanda-tanda HIV yang spesifik jarang muncul pada peringkat awal jangkitan. Gejala HIV pada peringkat awal biasanya adalah seakan jangkitan lain. Oleh itu ramai penghidap HIV yang tidak menyedari mereka telah dijangkiti virus ini. Namun begitu, virus ini boleh dikesan melalui beberapa kaedah tertentu. Ikuti penjelasan lebih lanjut menerusi artikel ini. Selamat membaca!

Apakah Jenis Ujian Untuk Mengesan HIV?

Pertama sekali, perlu diingatkan bahawa bagi individu yang telah disahkan mengalami jangkitan HIV, kesemua maklumat peribadi yang berkaitan dengan pesakit akan dikendalikan secara sulit oleh pegawai perubatan masing-masing. Oleh itu anda tidak perlu takut atau malu untuk berjumpa doktor sekiranya mengesyaki anda menghidap HIV. Pesakit kemudian akan sentiasa dipantau untuk rawatan penyakit dan juga sokongan seperti kaunseling dan sebagainya. HIV boleh dikenali atau dikesan melalui beberapa kaedah ujian yang biasanya dilakukan dengan mengambil sampel darah pesakit. Cara mengesan HIV adalah seperti berikut:

  • Ujian Antigen / Antibodi

Ujian ini adalah untuk mengesan antigen daripada HIV atau antibodi kepada HIV di dalam tubuh badan anda. Antibodi dihasilkan oleh sistem imun anda apabila anda terdedah kepada jangkitan.  Manakala, antigen merupakan bahan asing yang mengaktifkan sistem imun anda. Sekiranya anda menghidap HIV, antigen yang disebut sebagai p24 akan dikesan sebelum antibodi dalam badan anda terbentuk. Ujian antigen / antibodi disyorkan untuk dilakukan di makmal. Ujian makmal ini melibatkan pengambilan darah daripada pembuluh darah vena (vein). 

Terdapat juga ujian antigen / antibodi rapid (segera) yang dilakukan dengan titisan darah daripada jari. 

Tempoh antara terdedahnya virus HIV kepada seseorang dan apabila virus atau tindak balas imun dapat dikesan melalui pelbagai kaedah ujian disebut sebagai “window period” atau tempoh inkubasi. “Window period” adalah berbeza-beza bergantung kepada jenis ujian yang digunakan untuk mengesan HIV. Ujian antigen / antibodi yang menggunakan darah vena dapat mengesan jangkitan HIV dalam 18 hingga 45 hari setelah pendedahan. Manakala, ujian antigen / antibodi yang dilakukan dengan darah dari cucukan jari hanya boleh mengesan HIV selepas 18 hingga 90 hari selepas pendedahan.

  • Ujian Antibodi HIV 

Kaedah ujian ini mengesan antibodi terhadap HIV dalam darah atau cairan oral/mulut anda. Secara amnya, ujian antibodi yang menggunakan darah dari vena dapat mengesan HIV lebih cepat selepas jangkitan daripada ujian yang dilakukan dengan darah melalui cucukan jari atau dengan cairan oral. Ujian paling cepat dan satu-satunya ujian diri HIV yang diluluskan pada masa ini adalah ujian antibodi dimana ia juga menggunakan kaedah rapid test. Sebilangan besar rapid test dan ujian kendiri adalah ujian antibodi.Tambahan, ujian antibodi HIV yang menggunakan kaedah ini juga merupakan ujian saringan HIV pra-perkahwinan di Malaysia. Keputusan ujian boleh didapati hanya dalam masa kurang dari 30 minit.

Ujian antibodi pula boleh mengesan jangkitan HIV selepas 23 hingga 90 hari anda dijangkiti virus tersebut (window period). 

Jika keputusan ujian POSITIF, bermaksud wujudnya antibodi HIV dalam darah anda. Hal ini memerlukan nasihat dan rawatan daripada doktor dengan segera. Namun, keputusan HIV boleh menjadi NEGATIF walaupun anda sebenarnya telah dijangkiti. Perkara ini berkemungkinan kerana anda masih berada dalam waktu inkubasi ataupun window period, iaitu ketika antibodi HIV belum dihasilkan. Maka, ujian ulangan perlu dilaksanakan 3 bulan kemudian atau dalam jangka waktu 6 bulan. 

  • NAT (Ujian Asid Nukleik / Nucleic Acid Tests)

Ujian ini mencari virus sebenar dalam darah dan ia melibatkan pengambilan darah dari pembuluh darah vena (vein). Kaedah ini selain untuk mengetahui samada seseorang itu menghidap HIV atau tidak, ia juga membolehkan para pengamal perubatan mengetahui jumlah virus (viral load) yang terdapat di dalam darah. Nilai viral load adalah penting untuk mengetahui kesan ubat antiviral kepada pesakit, kepatuhan pesakit dalam mengambil ubat, serta potensi kebolehjangkitan seseorang. NAT juga dikenali sebagai ujian viral load HIV. Kos ujian NAT adalah lebih tinggi, maka ujian ini tidak dilakukan secara rutin. Ujian asid nukleik (NAT) biasanya dapat mengenal pasti sama ada anda dijangkiti virus atau tidak selepas 10 hingga 33 hari seseorang terdedah kepada virus. 

  • Pemeriksaan HIV Tanpa Nama dan Sukarela

Pemeriksaan HIV tanpa nama dan sukarela atau dalam bahasa inggeris disebut sebagai anonymous and voluntary HIV screening.  Kaedah pemeriksaan ini merupakan program ujian dan kaunseling HIV yang dilakukan secara sukarela. Program ini tidak hanya bertujuan untuk mengesan jangkitan HIV, tetapi juga merawat.

Kaedah ujian cepat atau rapid test akan digunakan untuk pemeriksaan HIV. Sekiranya hasil ujian adalah "reaktif", maka sampel darah anda akan dibawa dan dihantar ke Pusat Pemeriksaan HIV (Makmal Hospital) untuk ujian pengesahan.

Kaedah ini akan dimulakan dengan sesi kaunseling oleh pegawai perubatan atau kaunselor. Semasa kaunseling, anda akan diberi maklumat mengenai penyakit HIV/AIDS. Kemudian, kaunselor akan meminta kebenaran bertulis  daripada anda sebelum melakukan ujian mengesan HIV. Pada tarikh konsultasi yang telah ditetapkan, misalnya 2 minggu selepas sampel darah diambil, anda dikehendaki berjumpa dengan pegawai perubatan mengetahui keputusan ujian dan untuk kaunseling pasca ujian. 

Bagi keputusan ujian HIV NEGATIF, anda akan diberi tarikh konsultasi berikutnya untuk ujian ulangan. Manakala, bagi keputusan ujian HIV POSITIF,  perkara ini akan dimaklumkan kepada anda dan anda akan diberi kaunseling pasca ujian oleh pegawai perubatan. Untuk melakukan ujian ini anda boleh merujuk kepada mana-mana klinik kesihatan yang menyediakan khidmat rawatan dan kaunseling HIV. 

Secara keseluruhannya, beberapa ujian yang berbeza digunakan dalam diagnosis dan rawatan HIV, ujian-ujian ini boleh memberikan maklumat mengenai:

  • Negatif HIV atau positif HIV

  • Ubat yang paling berkesan untuk anda

  • Tindak balas tubuh terhadap terapi/rawatan

  • Sekiranya ada kesan sampingan ubat yang sedang diambil

  • Sekiranya tubuh badan anda menolak ubat-ubatan tersebut

Bilakah Waktu Yang Sesuai Untuk Menjalani Ujian HIV?

Centres of Disease Control and Prevention (CDC) mengesyorkan agar individu yang berumur antara 13 hingga 64 tahun menjalani ujian HIV sekurang-kurangnya sekali seumur hidup. Namun, jika anda berisiko tinggi mendapat HIV, anda perlu menjalani ujian dengan lebih kerap iaitu sekurang-kurangnya sekali setahun. Antara perkara yang menandakan anda berisiko tinggi adalah seperti: 

  • Pernah mempunyai beberapa pasangan seksual

  • Mempunyai hubungan seks tanpa perlindungan dengan seseorang yang positif atau mungkin menghidap HIV, termasuk seseorang yang anda tidak ketahui sejarah seksualnya. 

  • Mengambil dadah yang menggunakan jarum suntikan, atau alat lain yang dikongsi bersama orang lain

  • Telah atau sedang diuji untuk tuberkulosis, hepatitis, atau penyakit menular seksual, termasuk sifilis, gonore, klamidia, atau herpes

  • Melakukan hubungan seks dengan seseorang yang mempunyai sejarah bagi kesemua perkara di atas

Rujukan:

* Inisiatif konsultasi doktor percuma disokong dan ditanggung sepenuhnya oleh DoctorOnCall