Bagaimanakah Cara Mengenal Pasti Ruam Kulit Akibat Jangkitan HIV?

Ruam Kulit HIV. Apa Bezanya Dengan Ruam Kulit Biasa? - DoctorOnCall

Gejala ruam pada kulit boleh disebabkan oleh pelbagai kemungkinan jenis penyakit dan biasanya tidak berbahaya. Akan tetapi, bagi mereka yang terlibat dengan aktiviti berisiko, ruam kulit boleh menimbulkan kebimbangan kerana ia boleh menjadi salah satu gejala jangkitan HIV. Jadi, bagaimanakah cara untuk mengenal pasti sama ada ruam di kulit merupakan suatu HIV rash (ruam kulit HIV) atau bukan? Ikuti artikel ini untuk mengetahui jawapannya.

Kenal Pasti Gejala Ruam Kulit HIV

Ruam pada kulit boleh menjadi tanda awal jangkitan HIV, yang berlaku dalam 1 hingga 2 minggu selepas seseorang itu terdedah dengan virus ini. 

50 hingga 90 peratus  daripada penghidap HIV akan mengalami gejala lain seperti selsema selain ruam kulit semasa peringkat awal. Namun begitu, gejala HIV sukar untuk dikenal pasti pada peringkat awal jangkitan dan gejala adalah berbeza setiap individu. Hal ini kerana kebanyakan gejala yang dialami adalah tidak spesifik dan boleh seakan penyakit lain.

Terdapat beberapa gejala awal jangkitan HIV yang boleh terjadi bersama dengan gejala ruam pada kulit, termasuk:

  • sakit otot

  • menggigil

  • berpeluh pada waktu malam -walaupun dalam keadaan cuaca yang tidak panas

  • sakit tekak

  • demam

  • kelenjar getah bening yang bengkak

  • keletihan

  • Terdapat ulser di dalam mulut

Berapa lama masa infeksi atau jagkitan HIV untuk gejala ini muncul? Menurut Centres of Disease Control and Prevention (CDC), gejala-gejala yang disenaraikan ini mungkin muncul dalam tempoh 2 hingga 4 minggu selepas anda terdedah dengan jangkitan HIV dan boleh berlangsung untuk jangka masa beberapa hari hingga minggu.

Ketahui Jenis & Penyebab Ruam Kulit HIV

Ruam kulit HIV (HIV rash) boleh disebabkan oleh gejala HIV sendiri atau jangkitan dan penyakit lain yang berlaku akibat sistem imun yang lemah selepas diserang HIV.

  • Jangkitan HIV Akut

Ruam yang berlaku ketika serangan akut HIV biasanya ia bersifat sementara. Bentuk ruam kulit yang disebabkan jangkitan akut HIV adalah sedikit tinggi berbanding permukaan kulit yang normal. Kebiasaannya, ia terdapat pada bahagian:

  • Dada atau muka dan kadang-kadang di tangan dan kaki

  • Kelihatan ruam merah pada kulit pada orang yang berkulit cerah dan lebih ungu pada orang yang berkulit gelap

Namun begitu, sekiranya seseorang tidak mengambil sebarang ubat untuk merawat HIV, ruam pada kulit boleh menjadi lebih teruk sehingga menyebabkan berlakunya pelbagai masalah kulit yang lain.

  • Jangkitan Daripada Penyakit Lain

Seperti yang diterangkan di atas, ruam pada pesakit HIV tidak semestinya disebabkan oleh jangkitan HIV sahaja. Ruam kulit pada pesakit HIV boleh disebabkan oleh jangkitan daripada bakteria, kulat, virus mahupun parasit dan juga penyakit lain yang mudah dihidapi oleh mereka yang diserang HIV kerana sistem imun yang lemah. Diagnosis penyebab ruam kulit dalam pesakit HIV boleh menjadi suatu yang mencabar kerana terdapat potensi jangkitan atau penyakit lain yang menyebabkan gejala sedemikian. 

Bentuk ruam pada kulit boleh diklasifikasikan kepada beberapa kategori iaitu samada ia berbentuk seperti papul, plak atau nodul. Papul adalah keadaan permukaan kulit yang sedikit meninggi dan berukuran diameter kurang daripada 1 cm. Ukuran diameter bagi plak pula adalah lebih daripada 1 cm. Papul dan plak ini terbentuk pada lapisan kulit atas iaitu lapisan epidermis dan juga dermis. Manakala, nodul terbentuk pada lapisan kulit yang lebih dalam dan diameternya adalah lebih besar daripada 2 cm. Papul, plak, dan nodul boleh disebabkan oleh jangkitan, keradangan atau barah. 

Beberapa masalah kulit boleh muncul dalam kalangan pesakit HIV termasuklah:

  • Molluscum ecthyma

  • Ketuat

  • Barah kulit (bukan jenis melanoma)

  • Selulitis

  • Intertrigo

  • Psoriasis

  • Seborrheic dermatitis

  • Impetigo bulosa

  • Kudis

  • Ekzema

Kebanyakan masalah kulit yang dinyatakan sukar sembuh. Namun, gejalanya mungkin bertambah baik atau boleh hilang buat seketika. 

  • Ubat-Ubatan HIV Atau Ubat Lain

Ubat-ubatan yang digunakan dalam rawatan HIV serta jangkitan lain yang berkaitan boleh mencetuskan kesan sampingan ruam pada kulit. Bagaimanapun, ruam kulit yang disebabkan oleh ubat-ubatan HIV biasanya bukanlah masalah serius dan ianya boleh hilang dalam beberapa hari hingga minggu tanpa rawatan. Namun,  sekiranya ubat tersebut menyebabkan ruam pada kulit yang serius, alternatif ubat lain mungkin perlu diberikan. Sila bercakap dengan doktor anda sebelum menghentikan sebarang ubat-ubatan. 

Bilakah Anda Harus Berjumpa Doktor?

Sekiranya anda mengalami ruam dan merasa bahawa anda telah terdedah kepada jangkitan HIV, jangan berlengah lagi. Terutama sekali, jika ubat ruam kulit yang mungkin anda telah cuba tidak dapat mengurangkan masalah ruam yang anda hadapi. Jalani ujian saringan HIV untuk mengetahui status anda samada dijangkiti HIV atau tidak. Semakin cepat jangkitan virus ini dikesan, semakin cepat rawatan dapat diberikan. Rawatan menggunakan ubat-ubatan akan membantu mengawal virus, mencegah komplikasi jangkitan menjadi AIDS (acquired immune deficiency syndrome) dan membantu seseorang mendapatkan kualiti hidup yang lebih baik.  Risiko penularan kepada orang lain juga akan dapat kurangkan. 

Pesakit yang sudah mempunyai diagnosis HIV harus berjumpa doktor jika ruam baru timbul atau ruam yang ada semakin teruk. Rawatan segera mungkin diperlukan sekiranya:

  • ruam merebak dengan cepat

  • terdapat pembengkakan kelenjar getah bening atau demam

  • terdapat gejala lain, seperti mual dan muntah

Rujukan:

* Inisiatif konsultasi doktor percuma disokong dan ditanggung sepenuhnya oleh DoctorOnCall