Sedutan Nikotin Hilangkan Ketagih - Bantu Anda Berhenti Merokok

Terapi Gantian Nikotin Lebih Baik Berbanding Vape - DoctorOnCall

Berhenti merokok bukan perkara yang mudah. Banyak halangan dan dugaan yang dihadapi seorang perokok sebelum berjaya berhenti merokok buat selamanya. Rokok pada mulanya adalah suatu pilihan, lama kelamaan ia boleh menjadi satu ketagihan. Tahukah anda bahawa kekuatan ketagihan merokok adalah sama seperti ketagihan kepada dadah heroin. Selepas berhenti merokok, gejala sindrom sarak akibat kehilangan bekalan nikotin adalah satu fasa perit yang terpaksa dilalui. Ketahui jika anda bergantung kepada nikotin di sini!

Namun begitu, terdapat pelbagai rawatan yang telah dicipta bagi membantu meringankan keperitan perokok sewaktu mengalami gejala sindrom sarak ini. Rawatan ini dinamakan terapi gantian nikotin yang boleh didapati dalam bentuk kunyahan gula-gula getah, sedutan nikotin dan juga tampalan nikotin. Mari ikuti kupasan lanjut artikel ini tentang apa itu sedutan nikotin dan bagaimana ia membantu ramai orang berhenti merokok. 

Apakah Itu Sedutan Nikotin?

Pernahkah anda mendengar tentang sedutan nikotin ataupun nicotine inhaler yang digunakan untuk berhenti merokok? Sedutan nikotin dicipta untuk memberi ilusi perbuatan merokok tapi tidak berbahaya seperti rokok. Kajian menunjukkan bahawa untuk membantu perokok berhenti merokok, mereka perlu dibantu melalui aspek fizikal merokok iaitu perasaan rokok di tangan, di mulut, bau rokok dan penglihatan.

Bagaimana sedutan nikotin membantu anda untuk berhenti merokok? Sedutan nikotin membantu dengan dua cara, iaitu

  • Memberikan sensasi seperti anda memegang dan menghisap sebatang rokok
  • Memberikan nikotin dalam kuantiti yang sedikit untuk membantu melegakan simptom sarak akibat kehilangan nikotin dari rokok  

Sedutan nikotin ini diberikan dengan katrij yang mengandungi 4 miligram nikotin. Sedutan nikotin tidak berbahaya seperti rokok kerana ia tidak mempunyai bahan kimia yang boleh merosakkan tubuh badan anda. Ia hanyalah satu alat untuk membantu anda menghilangkan ketagihan rokok dengan memberikan dos nikotin yang rendah.

Cara Penggunaan Sedutan Nikotin Yang Betul

Satu kit sedutan nikotin datang sekali dengan alat sedutan nikotin dan katrij nikotin. Satu katrij membekalkan 4 mg nikotin dalam setiap 80 sedutan. Di sini mari lihat bagaimana penggunaan sedutan nikotin yang betul.

Terdapat pelbagai jenis sedutan nikotin ada di pasaran. Oleh itu, setiap alat sedutan mungkin mempunyai cara penggunaan yang berbeza. Baca label dan ikut arahan pada kotak alat sebelum anda menggunakannya atau dapatkan nasihat doktor. Berikut adalah cara am penggunaan alat sedutan nikotin

  • Pasangkan katrij pada alat sedutan dikotin anda, ikut arahan pemasangan yang betul.
  • Apabila alat sudah sedia digunakan, sedut dengan mendalam sehingga ke tekak anda. Biarkan sedutan berlegar di mulut dan tekak anda sahaja. Jangan sedut sehingga ke paru-paru. 
  • Ulang sedutan beberapa kali dalam tempoh 20 minit. Setiap katrij akan bertahan selama 20 minit sahaja.
  • Gantikan katrij dengan katrij baru selepas 20 minit penggunaan. Ada mungkin perlu menggunakan alat ini dengan lebih kerap pada tahap awal penggunaan. 
  • Bersihkan corong mulut sedutan nikotin dengan air dan sabun sebelum disimpan. 

Kebanyakkan individu yang baru berhenti merokok akan menggunakan 6 hingga 12 katrij nikotin dalam sehari. Doktor anda boleh meningkatkan jumlah katrij yang anda boleh gunakan pada minggu pertama anda mula berhenti merokok tetapi anda tidak boleh menggunakannya melebihi 16 katrij sehari tanpa arahan doktor.

Lama-kelamaan apabila tubuh badan dapat menyesuaikan diri dengan kadar nikotin yang makin berkurang, doktor anda akan menilai keperluan anda sama ada perlu berhenti menggunakan sedutan nikotin atau menggunakannya dengan dos nikotin yang lebih rendah.

Sebaiknya, elakkan makan atau minum dalam tempoh 15 minit sebelum dan selepas menggunakan sedutan nikotin. Anda juga tidak digalakkan menggunakan sedutan nikotin melebihi 6 bulan.

Perbezaan Sedutan Nikotin dan Rokok Elektronik

Untuk pengetahuan anda sedutan nikotin adalah berbeza dengan vape ataupun rokok elektrik. Sedutan nikotin ini hanya boleh didapati melalui preskripsi doktor dan ia telah diluluskan sebagai alat untuk membantu individu berhenti merokok. Sedutan nikotin hanya kekal di bahagian mulut dan tekak sahaja, manakala cara sedutan vape dan rokok elektronik adalah sampai ke paru-paru dan ini adalah membahayakan. Kandungan nikotin dalam vape dan rokok elektrik tidak tetap kerana pengguna boleh mengubah suai kandungan nikotin dan menyebabkan jumlah nikotin tidak dapat ditentukan. Tidak seperti sedutan nikotin yang terkawal kandungannya. Rokok elektronik juga mengandungi bahan kimia lain yang membahayakan kesihatan.

Rokok elektrik mungkin banyak digunakan dengan niat membantu berhenti merokok. Tetapi kajian menunjukkan, realitinya mereka menyedut lebih banyak nikotin daripada biasa melalui rokok elektrik. Hal ini adalah disebabkan kadar nikotin yang tak terkawal dan boleh diubah suai oleh pengguna. Ketahui jika anda bergantung kepada nikotin melalui kuiz ini!

Oleh itu, berhenti menggunakan atau memasarkan rokok elektronik atau vape dengan modal sebagai alat berhenti merokok. Ia tidak membantu, malah membahayakan kesihatan.

Kesan Sampingan Sedutan Nikotin

Walaupun kuantiti nikotin di dalam sedutan nikotin tidak sebanyak nikotin dalam rokok, ia masih boleh memberikan kesan sampingan. Sebahagian kesan sampingan ini adalah disebabkan simptom sarak nikotin. Walaupun anda menghisap nikotin daripada sedutan nikotin, namun kuantiti yang sedikit masih boleh menyebabkan tubuh anda mengalami gejala sindrom sarak akibat kehilangan nikotin  ini. Antara kesan sampingan sedutan nikotin adalah:

  • Mulut dan tekak menjadi kering
  • Batuk
  • Hidung mudah berair
  • Sakit kepala
  • Sakit perut

Terapi Gantian Nikotin

Selain daripada sedutan nikotin, terdapat beberapa jenis terapi gantian nikotin yang lain yang boleh digunakan untuk membantu anda berhenti menghisap rokok. Seperti sedutan nikotin, kaedah-kaedah ini membekalkan anda dos nikotin yang rendah untuk melegakan simptom sarak apabila paras nikotin anda berkurang. Antara terapi gantian nikotin yang terdapat di pasaran ialah:

  • Lozenge nikotin
  • Semburan hidung nikotin
  • Tampalan nikotin

1. Gula-gula getah atau lozenge nikotin

  • Makan 1 - 2 gula-gula getah atau lozenge nikotin setiap jam jika anda baru sahaja berhenti merokok. Anda tidak patut makan lebih daripada 20 gula-gula getah atau lozenge dalam satu hari.
  • Kunyah dengan perlahan dan biarkan gula-gula getah itu terletak di antara gusi dan pipi anda supaya dapat menyerap nikotin dengan lebih efektif.
  • Selepas meminum kopi, teh atau air berkarbonat, anda perlu menunggu 15 minit sebelum memakan gula-gula getah atau lozenge nikotin
  • Matlamatnya adalah berhenti bergantung pada gula-gula getah dan lozenge nikotin selepas 12 minggu. Jika anda ingin menggunakan dalam tempoh yang lebih panjang anda perlu berbincang dengan doktor anda.

2. Semburan hidung nikotin (Nasal spray)

  • Cara penggunaannya untuk permulaan berhenti merokok ialah dengan menyembur 1-2 kali ke dalam kedua-dua belah lubang hidung setiap satu jam. Anda tidak boleh menggunakan penyembur ini melebihi 80 kali dalam 1 hari.
  • Semburan hidung nikotin tidak patut digunakan melebihi daripada 6 bulan
  • Semburan ini akan memberikan kesan sampingan iritasi pada hidung, mata dan tekak, tetapi akan hilang dalam beberapa hari.

3. Tampalan nikotin (Nikotin Patch)

  • Tampalan nikotin boleh didapati di farmasi tanpa memerlukan preskripsi daripada doktor, namun ia tidak boleh digunakan tanpa kawalan.
  • Cara penggunaannya ialah dengan melekatkan satu tampalan selama 24 jam. Gantikan setiap tampalan selepas 24 jam penggunaan.
  • Setiap kali and menggantikan tampalan, anda perlu menampal di bahagian yang berbeza di mana-mana abdomen ataupun di bahagian leher.
  • Letakkan tampalan di bahagian badan yang tiada bulu untuk memudahkan tampalan ditanggalkan selepas habis digunakan.

Jika kaedah-kaedah yang tersenarai tidak berhasil, doktor anda mungkin akan memberikan preskripsi untuk ubat berhenti merokok di farmasi seperti bupoprion atau varenicline.

Keracunan Nikotin

Walaupun terapi gantian nikotin ini adalah perkara yang baik untuk membantu berhenti merokok, namun jika kaedah-kaedah disalah gunakan, ia boleh menyebabkan keracunan nikotin ataupun dipanggil nikotin overdose di mana kadar nikotin dalam badan melebihi daripada kadar yang sepatutnya. Jika anda baru berhenti merokok, anda perlu berbincang dengan doktor anda untuk menentukan cara yang betul untuk anda menggunakan terapi gantian nikotin. Antara gejala yang boleh terjadi kesan nikotin berlebihan ialah:

  • Kekeliruan
  • Pening kepala
  • Cirit birit
  • Sakit perut
  • Muntah
  • Selalu berpeluh
  • Penglihatan menjadi kabur
  • Masalah pendengaran

Jika anda mengalami gejala keracunan nikotin sila berjumpa doktor dengan segera.


Kesimpulan

Terdapat pelbagai bahan bantuan untuk berhenti merokok. Tidak dinafikan bahawa berhenti merokok itu merupakan perkara yang sangat sukar dan gejala sindrom sarak sering membuatkan perokok kecundang. Tetapi jika anda mempunyai azam yang kuat anda mampu melakukan dan menghadapi apa sahaja rintangan untuk menikmati kebaikan berhenti merokok. Jika anda gagal sekali, jangan jadikan kegagalan itu sebagai alasan untuk anda terus putus asa. Percayalah bahawa anda boleh berjaya suatu hari nanti, hidup bebas tanpa rokok. Sila rujuk kepada doktor untuk mengetahui tentang cara-cara berhenti merokok dengan lebih lanjut.


Ingin berhenti merokok? Konsult doktor kami secara PERCUMA!

Rujukan:

* Inisiatif konsultasi doktor percuma disokong dan ditanggung sepenuhnya oleh DoctorOnCall