Jangan Terpedaya, Peranti Rokok Elektronik / Vape Tidak Selamat

Rokok Elektronik / Vape - Kesan Wap Berbahaya  - DoctorOnCall

Kemajuan teknologi telah merubah gaya hidup. Walaupun kebanyakan inovasi baru, memudahkan kehidupan, namun tidak boleh disangkal bahawa terdapat impak negatif rentetan perkembangan teknologi ini. Antara kesan yang paling membimbangkan adalah penggunaan rokok elektronik. Secara konvensional, rokok dihasilkan daripada bahan seperti tembakau, bahan pengawet, nikotin, tar dan banyak lagi. Sentuhan teknologi telah memberi nafas baru kepada rokok klasik dan kini wujud rokok elektronik. Ada yang mengatakan bahawa rokok elektronik adalah lebih baik daripada rokok biasa. Sejauh mana kebenarannya? Mari selidik lebih lanjut dalam artikel ini. 


Apakah Yang Dimaksudkan Dengan Rokok Elektronik ?


Definisi rokok elektronik menurut KKM adalah peranti elektronik yang mengandungi nikotin. Manakala, peranti dengan fungsi sama namun tidak mengandungi nikotin dipanggil vape. Selain itu rokok elektronik terbaru juga dikenali sebagai ‘E-Cigs’, ‘mods’, ‘E-Hookahs’ dan pod

Rokok elektronik tidak mengunakan tembakau sebagai sumber penghasilan asap tetapi mengunakan cecair kimia yang berperisa dan kebanyakkannya mengandungi nikotin. Ia hadir dalam pelbagai bentuk, warna, saiz dan juga dihasilkan daripada bahan yang berbeza.Komponen peranti ini adalah berikut:

  • Saluran caj atau penyimpanan bateri
  • Takungan untuk menyimpan cecair (liquid container)
  • Komponen untuk memanaskan cecair (atomiser)
  • Bahagian untuk menghisap uap (inhaler/drip)

Adakah Rokok Elektronik Alternatif Untuk Berhenti Merokok ?

Kebanyakan individu memulakan tabiat menghisap rokok elektronik atau vape dengan alasan ingin berhenti merokok. Tidak kurang juga yang mula mencubanya akibat dakwaan yang rokok elektronik ini lebih selamat. Disebabkan rokok elektronik dikatakan mengandungi kadar nikotin yang sedikit, kebanyakan perokok menggangap peranti ini adalah jalan keluar daripada belenggu rokok konvensional. 

Namun begitu sehingga kini tiada bukti yang menyatakan rokok elektronik boleh menyebabkan seseorang individu berhenti merokok atau adalah alternatif selamat berbanding rokok batang. Malah, sebuah kajian telah menunjukkan bahawa perokok yang bertukar kepada rokok elektronik akan tetap ketagih kepada rokok biasa dan rokok elektronik.

Walaupun dipasarkan sebagai alternatif selamat atau lebih baik, ianya adalah omongan kosong dan teknik pemasaran semata. Walaupun mungkin mengandungi nikotin lebih rendah atau tidak mengandungi nikotin langsung, peranti ini masih mengandungi pelbagai bahan kimia berbahaya lain yang tetap boleh menjejaskan kesihatan!

Jadi, jangan tertipu. Rokok elektronik bukanlah penyelesaian kepada ketagihan rokok.

Mengapakah Rokok Elektronik Berbahaya Kepada Manusia ?

Kebanyakan jus vape masih mengandungi nikotin walaupun dalam kuantiti yang rendah. Malah dakwaan sesetengah penjual yang mengatakan produk mereka tiada nikotin, berisiko tinggi mempunyai kandungan nikotin yang tinggi pada hakikatnya. Selain itu, rokok elektronik juga mengandungi bahan kimia lain yang tidak kurang bahayanya dari nikotin. Mari kupas bahaya rokok elektronik dengan lebih lanjut.

1.    Nikotin boleh memberi kesan kepada otak seseorang terutamanya golongan muda. Penggunaan nikotin akan mempengaruhi prestasi pembelajaran, daya fokus, mood serta memori seseorang. 

2.    Pengambilan nikotin juga akan merembeskan hormon dopamin yang menyebabkan seseorang berasa gembira. Namun pengambilan secara tidak terkawal akan menyebabkan ketagihan.

3.    Bahan yang tidak terkawal di dalam rokok elektronik seperti merkuri dan sebagainya adalah bersifat toksik dan boleh menyebabkan banyak impak buruk kepada organ manusia seperti kerosakan paru-paru, buah pinggang, hati dan banyak lagi.

4.    Nikotin juga dikatakan memberikan impak kepada jantung seseorang pada jangka masa yang panjang. Hal ini kerana, boleh menyebabkan kelenjar adrenal menghasilkan hormon epinefrin dan menyebabkan jantung seseorang berdegup dengan lebih kencang serta meningkatkan tekanan darah.

5.    Penggunaan nikotin juga dikatakan meningkatkan risiko kanser kerana bahan kandungan di dalam rokok boleh menyebabkan mutasi pada sel badan manusia.

6.    Selain kesan kepada perokok elektronik sendiri, bahan ini juga memberi impak kepada orang sekeliling yakni perokok sekunder atau perokok pasif. Bahan beracun dalam bentuk asap serta wap juga akan disedut oleh orang sekeliling tanpa ditapis menyebabkan pelbagai kemudaratan seperti masalah pernafasan dan lain-lain.

Ketahui Kandungan Perisa Rokok Elektronik


Bahan kimia ataupun cecair yang digunakan di vape atau rokok elektronik ini dikenali sebagai jus. Kandungan rokok elektronik boleh di pelbagaikan mengikut kemahuan dan selera masing-masing termasuklah dadah seperti marijuana. 

1.    Bahan Perasa. Perisa vape memiliki bau atau rasa seperti gula-gula, lolipop serta perisa kordial seperti anggur, blueberry dan juga strawberi. Penggunaan kepelbagaian perisa inilah yang menyebabkan ramai golongan muda tertarik untuk menghisap vape ini. Namun bahan perisa ini telah dikaji boleh menyebabkan kematian sel paru-paru, otak dan kulit.

2.    Propylen Glycol (PG). Merupakan bahan daripada sisa petroleum dan berfungsi untuk menukar cecair vape kepada wap. Ia tidak memiliki bau namun ia mempunyai rasa yang manis. Kajian terhadap bahan ini mendapati selain boleh menyebabkan iritasi pada sistem pernafasan ia juga turut membebaskan bahan penyebab kanser yang dinamakan formaldehyde.

3.    Gliserin. Untuk pengetahuan anda, gliserin merupakan bahan yang diekstrak daripada minyak sayur-sayuran dan berfungsi untuk memberikan ketebalan pada wap vape. Ia juga menyebabkan tekak terasa tidak sakit apabila asap vape melalui kerongkong seseorang. Namun, penggunaan gliserin dalam tempoh yang panjang boleh menyebabkan kerosakan organ dalaman.

4.    Nikotin merupakan bahan yang akan memberi kesan ketagihan pada seseorang. Ia menjejaskan saraf serta dan sel otak. Penggunaan nikotin dalam dos yang tinggi juga boleh membawa kematian!

5.    Fromalin, timah, merkuri dan pelbagai jenis logam berat lain juga meningkatkan risiko kanser. Rokok elektronik juga didapati melepaskan partikel halus yang boleh menembusi lapisan paru-paru dengan mudah.

Sebagai konklusi, pembudayaan rokok elektronik dalam kalangan masyarakat boleh menjadi suatu barah jika ia tidak dikawal oleh pihak perubatan dan mana-mana pihak yang sepatutnya.  Penggunaan serta keselamatan rokok elektronik perlu dinilai bagi mengelakkan isu rokok elektronik seperti penyalahgunaan disamping membendung kesan rokok elektronikyang memudaratkan masyarakat. Rujuk kepada doktor untuk mengetahui tentang cara-cara berhenti merokok!


Ingin berhenti merokok? Konsult doktor kami secara PERCUMA!

​​​​

Rujukan:

* Inisiatif konsultasi doktor percuma disokong dan ditanggung sepenuhnya oleh DoctorOnCall