Ketahui Bagaimana Rokok Musnahkan Paru-paru Anda Dalam Diam.

Kanser Paru-Paru: Merokok Punca Kanser Tahap Kritikal - DoctorOnCall


“Rokok penyebab kanser paru paru”. Amaran ini telah dipaparkan pada mana-mana kotak rokok yang anda beli di Malaysia. Bukan sahaja slogan ini ditulis, malahan gambar paru-paru yang kehitaman, rosak akibat rokok juga ada pada kotak. Namun, sayang seribu kali sayang, masih ramai tidak percaya dan tidak endah tentang amaran ini seolah-olah ia hanyalah auta. 

Mungkin rokok bukan satu-satunya penyebab kanser paru-paru berlaku, namun sedarlah bahawa rokok antara penyebab utama kanser ini. Malah kematian akibat kanser paru-paru juga, 87% daripadanya adalah disebabkan rokok! Masih tidak risau lagi? Rokok juga adalah salah satu risiko besar kepada kanser organ-organ lain. Ayuh fahami fakta yang dijelaskan dalam artikel kali ini bagi mengetahui segala cerita tentang rokok dan kanser.


Epidemiologi Kanser Paru-paru

Menurut laporan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada tahun 2018, dianggarkan 9.6 juta kes kanser di laporkan di seluruh dunia dan kanser paru-paru berada di tempat pertama dengan keseluruhan kes sebanyak 2.09 juta. Laporan pada tahun yang sama juga menyatakan bahawa 1.76 juta kematian berlaku daripada kanser paru-paru menjadikan kematian ini adalah paling banyak berbanding kanser-kanser yang lain.

Rokok, yang merupakan sebab utama kanser paru-paru jenis non-small cell menyumbang kepada 80-90 peratus kematian akibat kanser ini. Dikatakan bahawa lelaki yang merokok adalah 23 kali ganda lebih berisiko untuk menghidap kanser paru-paru. Malang bagi perokok pasif yang terdedah kepada asap rokok di kawasan rumah atau pejabat kerana risiko untuk mereka juga menghidap kanser paru-paru adalah sehingga 20-30 peratus. 

Di Malaysia, melihat kepada laporan WHO, kira-kira 10.7 peratus kes kanser adalah kanser paru-paru pada tahun 2018. Kanser ini menjadi penyakit yang paling biasa dihadapi oleh lelaki dengan anggaran sebanyak 22.5 peratus.


Mengapa Kanser Berlaku ?

Ramai mengetahui kandungan rokok, bahaya rokok, namun tidak ramai mengambil maklum apa sebenarnya bahan-bahan toksik ini lakukan kepada badan sehinggakan kanser berlaku. 

  • Kerosakan Pada DNA

Dalam badan manusia, terdapat berjuta DNA yang membina tubuh dan membolehkan kita berfungsi dengan baik. Protein ini diwarisi daripada ibu bapa dan bertindak sebagai pembawa kod genetik. Terdapat pula pelbagai kumpulan genetik yang kita warisi, salah satunya adalah gen penghalang kanser. Gen ini boleh dilemahkan oleh bahan-bahan kimia dalam rokok seperti benzene, polonium-210 dan nitrosamines. Apabila gen ini rosak, maka tiada lagi penghalang untuk kanser berlaku, inilah salah satufaktor risiko kanser paru-paru

  • Imuniti Yang Lemah

Asap rokok mengandungi racun tersembunyi hasil daripada tindak balas tembakau dan bahan-bahan kimia yang lain. Racun ini melemahkan imuniti badan si perokok tanpa mereka sedari. Apabila imuniti lemah, sel mana lagi yang akan berfungsi melawan sel kanser daripada terus merebak? Tiada lagi sel lain yang akan menjalankan tugas ini. Oleh itu, sel-sel kanser akan semakin kuat dan mendominasi paru-paru menyebabkan kanser berlaku. Bukan kanser sahaja, kuman pun tidak dapat dilawan. Sebab itulah perokok mudah terkena jangkitan paru-paru.

  • Pengumpulan Toksin

Toksin daripada rokok boleh menjejaskan sistem perkumuhan. Apabila proses perkumuhan sendiri terjejas, pembuangan toksin dari tubuh menjadi tidak lancar, maka toksin ini akan terus berkumpul dan menjejaskan organ terutamanya paru-paru.

 

Adakah Semua Perokok Berisiko ? 

Setiap sedutan rokok membawa padah. Tidak kira anda merokok sebatang atau sekotak sehari, kedua-duanya meningkatkani risiko mendapat penyakit walaupun berbeza kadarnya. Tempoh anda merokok memberi impak yang besar kepada kesihatan. Sebagai contoh, mereka yang merokok satu kotak atau satu pek sehari selama 40 tahun adalah lebih berisiko berbanding mereka yang merokok dua kotak sehari tetapi hanya untuk 20 tahun.

Menurut satu sumber daripada American Association of Thoracic Surgery (AATS), mereka yang berumur 50-79 tahun dan merokok sebanyak 30 pack years adalah berisiko tinggi untuk mendapat kanser paru-paru. Apakah pack year dan bagaimana untuk mengiranya? Pack year adalah bilangan rokok yang anda hisap sepanjang tempoh anda menjadi perokok aktif. Berikut merupakan formula pengiraannya: 

Bilangan kotak/pek rokok sehari   X   Bilangan tahun merokok = Jumlah Pack year.

Sebagai contoh, anda merokok satu kotak sehari selama 20 tahun, kemudian anda mengurangkan kepada ½ kotak sehari sepanjang 10 tahun, kemudian anda merokok satu kotak sehari lagi selama 20 tahun. Disini, jumlah pack year anda dikira

 (1 kotak x 20 tahun) + (½ kotak x 10 tahun) + (1 kotak x 20 tahun) = (20 + 5 + 20) 

= 45 pack years.

45 pack years bermaksud anda telah melepasi 30 pack years semakin tinggi pack year anda semakin tinggi risiko untuk mendapat kanser paru-paru. Namun begitu, ia tidak bermaksud anda boleh merokok hanya untuk 20 tahun, kemudian berhenti dan anda dikira selamat dari kanser. Anda masih mempunyai risiko untuk mendapat kanser dan terdapat faktor faktor lain perlu di ambil kira. Adakah anda bergantung kepada nikotin? Ambil kuiz ini untuk mengetahuinya!

Jadi, bagaimana mengurangkan risiko kanser? Cara paling mudah, berhenti merokok sekarang. Anda masih belum terlambat. Lihat sahaja perubahan yang berlaku pada paru-paru anda selepas menghisap rokok.

Tanda-tanda Kanser Paru-paru

Mungkin anda mula risau tentang kondisi anda sekarang. Bagaimana untuk mengena lpasti tanda-tanda anda mungkin menghidap kanser? Berikut adalah beberapa gejala yang biasa dialami oleh seseorang yang menghidap kanser paru-paru. Namun gejala ini bukanlah bermaksud anda sah menghidap kanser, pemeriksaan lanjut di Hospital mesti di jalankan sebelum diagnosis kanser boleh disahkan. 

Sekiranya anda menghidap gejala-gejala ini, sila berjumpa dengan doktor untuk mendapatkan pemeriksaan dan rawatan susulan. Gejala kanser ini boleh terjadi mengikut tahap kanser paru paru tersebut. Jangan sampai gejala anda melarat kerana jangka hayat pesakit kanser paru-paru tahap 4 hanyalah beberapa tahun. Rawatan kanser paru paru telah banyak diperkenalkan samada melalui ubatan terapi atau pembedahan. Oleh itu, usah bimbang untuk mulakan pemeriksaan daripada awal kerana kecanggihan teknologi perubatan zaman sekarang telah berupaya untuk merawat kanser ini sekurang-kurangnya daripada terus merebak. 

Kesimpulan  

Lihatlah kesan merokok, bukan sahaja merosakkan paru-paru, ia juga boleh membunuh anda. Ramai di luar sana masih tidak sedar tentang bahayanya rokok. Malahan mungkin ada yang masih berbangga dengan sebatang rokok di tangan. Jangan sampai suatu hari nanti anda menyesal dengan pengalaman kanser paru paru yang dihidapi. Ikuti langkah-langkah mengatasi kanser paru-paru yang disarankan oleh pakar bertauliah bagi mendapatkan kesihatan yang terbaik demi masa depan yang lebih cerah. Sila rujuk kepada doktor untuk nasihat lanjut mengenai cara-cara berhenti merokok.


Ingin berhenti merokok? Konsult doktor kami secara PERCUMA!


Rujukan:

* Inisiatif konsultasi doktor percuma disokong dan ditanggung sepenuhnya oleh DoctorOnCall