Malang Perokok Pasif - Derita Si Penghidu Asap Rokok Basi

Januari 20, 2021 | Ditulis oleh: Khairina Khairul

Jika kita berada di tempat awam, apabila berpaling ke arah kiri atau kanan kita, sudah pasti kita boleh melihat sekurang-kurangnya seorang perokok. Perbuatan merokok ini telah menjadi suatu yang biasa dalam masyarakat walaupun semua telah sedia maklum tentang bahayanya yang bukan sekadar kepada perokok, tetapi juga kepada orang sekeliling. 

Jenis-Jenis Perokok 

Perokok terbahagi kepada tiga jenis, iaitu:

1. Perokok Aktif 

  • Perokok aktif bermaksud golongan yang menghisap rokok sekurang - kurangnya sebatang rokok sehari. 
  • Sebatang rokok akan menghasilkan dua jenis asap, iaitu:

                    a. Asap utama (mainstream smoke)

                                - Asap yang dihirup dan dilepaskan oleh perokok

                    b. Asap sampingan (sidestream smoke)

                                - Asap yang keluar dari puntung rokok.

2. Perokok Pasif

  • Perokok pasif adalah golongan yang menghidu asap rokok basi (second-hand smoke)
  • Asap rokok ini adalah gabungan asap utama (mainstream smoke) dan asap sampingan (sidestream smoke)

3. Perokok Ketiga

  • Perokok ketiga adalah golongan yang menhidu atau menyentuh sisa asap basi (third-hand smoke)
  • Asap rokok ini merujuk kepada sisa gas dan bahan-bahan kimia daripada asap utama (mainstream smoke) dan asap sampingan (sidestream smoke) yang melekat pada permukaan

Perokok Pasif

Siapakah perokok pasif? Perokok pasif adalah golongan yang tidak merokok tetapi terdedah bukan sahaja kepada asap daripada puntung rokok malahan asap rokok yang dihembus keluar daripada mulut perokok.

Rokok mempunyai satu lapisan untuk menapis partikel-partikel kimia yang dapat membahayakan si perokok, tetapi apa akan terjadi jika kita yang berada berdekatan dengan perokok menghidu asap yang dihembus? Ya, kita pula yang akan terdedah kepada toksin-toksin tersebut. Inilah perokok pasif. Walaupun tidak menyedutnya secara langsung, menghidu asap sahaja pun sudah membahayakan!

Apakah Bahan Kimia Di Dalam Asap Rokok?

Berikut adalah senarai bahan-bahan kimia yang terdapat dalam asap rokok serta bahaya asap rokok ini kepada yang menghidunya.

1. Tar

  • Menyerap masuk ke dalam paru-paru dan menggalakkan perkembangan sel-sel kanser.

2. Benzena & Formaldehid 

  • Dikaitkan dengan pelbagai jenis kanser seperti leukemia dan buah pinggang.

3. Nikotin

  • Kajian terkini menunjukkan nikotin boleh menyebabkan kanser melalui beberapa cara: 

a. Nikotin mampu memulakan satu proses yang dinamakan Epithelial-Mesenchymal Transition (EMT). Proses ini merupakan salah satu langkah penting bagi sel kanser untuk mebiak. 

b. Seterusnya, dalam badan kita terdapat satu agen yang menghalang tumbesaran tumor yang dinamakan CHK2. Nikotin akan mengurangkan agen ini sekaligus mendedahkan sel-sel badan kepada kanser.

c. Nikotin juga dapat mempercepatkan pembiakan sel-sel tidak normal di dalam badan. Ini terbukti daripada kajian-kajian yang direkodkan di dalam kanser payudara, kanser kolon dan kanser paru-paru

Selain daripada bahan-bahan diatas, terdapat lebih 7000 bahan kimia lain yang dicatatkan dalam laporan medikal dan semuanya akan mendedahkan kepada kesan asap rokok yang membimbangkan.

Jalani hidup yang lebih sihat dan bebas daripada rokok.

Kesan Rokok Kepada Perokok Pasif

Mari kita lihat kesan asap rokok kepada mereka yang menghidunya.

1. Kesan asap rokok kepada golongan dewasa

  • Mempunyai kesan seakan-akan perokok tegar iaitu golongan perokok pasif ini akan terdedah kepada penyakit-penyakit seperti berikut:

                        a. Penyakit Kardiovaskular

                        b. Penyakit Jantung

                        c. Penyakit paru-paru obstruktif kronik (COPD) 

                        d. Kanser terutamanya kanser paru-paru.

  • Menurut kajian, perokok pasif yang mendiami kediaman bersama perokok tegar lebih cenderung untuk mendapat kanser paru-paru daripada mereka yang tidak.

- Sebanyak 3000 kes kematian akibat kanser paru-paru direkodkan di Amerika Syarikat setiap tahun dimana mereka ini semua adalah perokok pasif.

2. Kesan asap rokok kepada kanak-kanak

  a. Masalah jangkitan saluran pernafasan (Upper Respiratory Tract Infection - URTI). 

- Paru-paru mereka tidak dapat berfungsi dengan sempurna berbanding kanak-kanak yang tidak menghidu asap rokok sejak dari kecil. Ini mengakibatkan kanak-kanak tersebut mendapat jangkitan paru-paru dengan lebih kerap. 

- Sebahagian daripada kanak-kanak yang telah terdedah kepada bahaya perokok pasif ini juga mempunyai risiko untuk mendapat penyakit asma. 

b. Jangkitan kuman di telinga

- Lebih banyak direkodkan pada kanak-kanak yang menjadi perokok pasif.

c. Masalah pembelajaran dan kelewatan tumbesaran.


3. Kesan asap rokok kepada bayi

a. Kematian Kot atau dikenali sebagai Sindrom Kematian Bayi Mengejut (Sudden Infant Death Syndome - SIDS) adalah satu sindrom di mana seorang bayi yang sihat meninggal dunia tanpa sebab. 

b. Apabila disiasat dengan lebih terperinci melalui autopsi yang dilakukan keatas mayat bayi tersebut dan setelah membuat perbandingan dengan bayi-bayi lain yang mati disebabkan penyakit lain, paru-paru mereka mempunyai kandungan nikotin yang tinggi. 

c. Bukan itu sahaja, kadar kotinin yang dicatatkan juga tinggi. 

d. Kotinin adalah penanda biologi yang direkodkan di dalam darah seorang perokok pasif. 

4. Kesan asap rokok kepada ibu mengandung

  • Kesan asap rokok kepada ibu:

                        a. Risiko keguguran  

                        b. Kelahiran Luar Rahim (Ectopic Pregnancy)

                        c. Tekanan darah tinggi (Pregnancy Induced Hypertension)

  • Kesan asap rokok kepada bayi dalam kandungan:

                        a. Berat badan lahir rendah (Low Birth Weight - LBW)

                        b. Sekatan pertumbuhan intrauterine (IUGR)

                        c. Kecacatan Kelahiran 

                        d. Kelahiran pramatang 

Perokok Ketiga 

Secara ringkas, perokok ketiga adalah golongan yang menghidu atau menyentuh sisa asap rokok yang melekat pada baju, katil, perabot mahupun kulit manusia. Asap rokok ini dipanggil “third-hand smoke” atau sisa asap basi. 

Sisa asap basi ini akan melekat pada permukaan untuk jangka masa yang lama. Selain itu, menurut penyelidikan yang dijalankan oleh WHO (World Health Organization), sisa asap basi ini mampu melekat selama bertahun-tahun lamanya. Satu-satunya cara untuk menghilangkan sisa asap basi ini adalah dengan mencuci dan membersihkan permukaan yang terkena asap rokok ini dengan kerap. 

Walaupun istilah perokok ketiga ini adalah istilah yang baru dan masih dalam penyelidikan untuk mengenal pasti kesan-kesan yang lain, tetapi ia tidak sepatutnya dipandang remeh kerana sisa asap basi ini mampu mendatangkan bahaya dan mempunyai risiko sama seperti seorang perokok pasif. 

Kesimpulan

Oleh itu, mereka yang merokok harus sedar bahawa bahaya merokok bukan hanya kepada mereka sebagai perokok sahaja. Tetapi juga orang di sekeliling mereka. Adilkah anda sedap menyedut, tetapi orang lain yang sakit? Semoga artikel ini dapat memberi kesedaran kepada pembaca untuk menjauhi rokok. Ingat bahaya yang dibawa rokok kadang kala tidak boleh dilihat, ia mungkin ada terlekat di sofa, kerusi, katil dan dinding rumah anda. Maka, berhentilah merokok kerana itu jalan yang terbaik untuk hidup sihat dan sejahtera.

Sukar untuk berhenti merokok? Jangan putus asa lagi, pakar kami sedia membantu

Konsultasi Doktor PERCUMA

Bercakap dengan doktor melalui panggilan video atau telefon tentang Berhenti Merokok. Mudah, tidak perlu menunggu

Dapatkan Konsultasi Doktor PERCUMA*

* Inisiatif konsultasi doktor percuma disokong dan ditanggung sepenuhnya oleh DoctorOnCall

Dapatkan Konsultasi Doktor PERCUMA*