6 Kesan Merokok Yang Mendatangkan Penyakit Kepada Tubuh Badan

Bahaya Merokok: Kesan Merokok Terhadap Kesihatan - DoctorOnCall

Benarkah Rokok Membahayakan?

Merokok bagi sesetengah orang adalah simbol “kemachoan” atau simbol kehebatan seseorang lelaki. Namun apabila bertanya kepada setiap perokok, mereka akan sentiasa menasihatkan orang lain untuk tidak mula merokok kerana mereka sendiri tahu apa kesannya pada diri dan betapa sukarnya untuk mereka berhenti.

Merokok hanya memberi kesan yang buruk kepada kesihatan kita. Pada zaman ini, seluruh dunia semakin mengambil berat tentang isu merokok. Didikan tentang bahaya rokok sudah diterapkan sejak bangku sekolah.

Anda juga boleh lihat kerajaan telah mengambil inisiatif untuk memberikan kesedaran kepada pengguna dengan meletakkan gambar-gambar kesan rokok pada kotak rokok. Masyarakat sudah sedia maklum dengan keburukannya tapi masih ramai lagi yang menghisapnya.

Rokok bukan sahaja memudaratkan individu yang menghisapnya, malah kesan rokok di tempat awam juga boleh memudaratkan orang sekeliling. Sudah terbukti rokok mempunyai 600 bahan kandungan yang akan mengaktifkan 7000 bahan kimia setiap kali anda membakar sebatang rokok dan 69 bahan kandungan tersebut adalah bahan karsinogen iaitu penyebab kanser.

Nikotin yang terdapat dalam rokok juga berperanan untuk membuat anda ketagih kepada rokok. Sebuah kajian menunjukkan bahawa ketagihan terhadap nikotin boleh menjadi sekuat ketagihan dadah heroin.

Ketahui jika anda bergantung kepada nikotin melalui kuiz ini!

Mari lihat lebih lanjut tentang bahaya kesan rokok terhadap tubuh badan kita.

Apa Yang Terjadi Pada Tubuh Apabila Merokok?

 

1. Paru-paru

Antara kesan merokok terhadap paru-paru ialah kanser paru-paru. Namun, ia merupakan kesan merokok dalam jangka masa yang panjang. Terdapat berbagai penyakit lain yang boleh berlaku akibat merokok dan setelah mendapat penyakit ini, organ paru-paru anda tidak akan kembali kepada asal walaupun telah berhenti merokok dan mendapatkan rawatan.

  • Emfisema

Penyakit ini menyebabkan sesak nafas. Semakin banyak anda merokok, semakin tinggi risiko anda mendapat penyakit ini. Merokok menyebabkan kerosakan pada kantung udara (alveoli) yang penting dalam pertukaran gas oksigen dan karbon monoksida di dalam darah dan paru-paru.

  • Bronkitis kronik

Merupakan penyakit sekatan pulmonari kronik (COPD) seperti penyakit emfisema. Walaupun ia termasuk dalam kategori yang sama dengan emfisema, bronkitis kronik berpunca daripada jangkitan dan disebabkan tabiat merokok. Rokok melemahkan sistem imun dan menyebabkan perokok mudah mendapat jangkitan paru-paru.

  • Kanser paru-paru

70-80% kematian kanser paru-paru adalah dalam kalangan perokok. Namun, jika anda berhenti merokok anda mampu untuk mengurangkan risiko kanser paru-paru walaupun anda telah merokok bertahun lamanya.

2. Jantung dan saluran darah

Jantung adalah asas untuk fungsi anggota badan kita berjalan lancar. Jantung berfungsi untuk mengepam darah dan membekalkan oksigen kepada sel-sel dan organ lain. Jadi kesihatan jantung penting dalam mengekalkan organ-organ dan sel berfungsi dengan lancar. Antara kesan merokok kepada jantung dan saluran darah ialah:

  • Menyempitkan saluran darah.

Nikotin akan menyebabkan saluran darah menjadi sempit dan secara tidak langsung menyekat dan mengurangkan kelancaran aliran darah. Ini menjejaskan fungsi jantung dalam membekalkan oksigen ke sel-sel jantung sendiri.

Jantung yang diperbuat daripada otot memerlukan bekalan oksigen yang tinggi kerana jantung sentiasa bekerja untuk mengepam darah ke seluruh anggota. Keadaan ini boleh menyebabkan serangan jantung .

  • Strok

Antara kesan merokok ialah meningkatkan tekanan darah, melemahkan saluran darah dan menyebabkan saluran darah tersumbat. Kesemua kesan ini boleh menyebabkan strok atau dikenali sebagai angin ahmar.

3. Otak

 

Antara kesan merokok ialah ketagihan yang disebabkan oleh nikotin. Nikotin mampu membuatkan seseorang merasa gembira. Nikotin mempunyai ciri-ciri seperti hormon dopamin yang berperanan meningkatkan mood seseorang.

Kesan ini dapat meningkatkan keinginan merokok sekaligus menyebabkan ketagihan. Namun, perasaan gembira ini hanyalah suatu kepalsuan kerana perokok tidak menyedari kesan buruk yang berlaku pada otak mereka disebabkan ketagihan ini! Antara kesan merokok kepada fungsi otak ialah:

  • Penurunan fungsi kognitif

Secara amnya, fungsi kognitif ini berperanan dalam kemampuan kita untuk berfikir, memori dan memproses maklumat. Fungsi ini akan menurun seiring peningkatan usia. Namun, kajian telah menunjukkan merokok menyebabkan fungsi ini merosot lebih cepat berbanding orang yang tidak merokok.

  • Dementia

Dementia ialah penyakit kehilangan fungsi kognitif. Simptom seperti hilang ingatan, susah membuat penilaian, perubahan emosi dan perubahan dalam perwatakan. Lebih daripada separuh pesakit dementia akan mengalami penyakit Alzheimer. Seperti yang diterangkan di atas, merokok meningkatkan risiko penyakit demetia. 

4. Sistem pencernaan

Untuk pengetahuan anda, merokok juga menyebabkan pelbagai penyakit pada sistem pencernaan seperti kanser mulut, kanser esofagus dan kanser pankreas. Malah, ramai yang tidak tahu bahawa penyakit gastrik boleh berpunca daripada merokok. Antara penyakit lain disebabkan kesan rokok ialah:

  • Pedih ulu hati

Kesan merokok akan menyebabkan kelemahan pada injap bahagian atas perut yang dikenali sebagai lower esophageal sphincter (LES). Ini menyebabkan injap tersebut tidak tertutup. Hal ini akan menyebabkan gangguan asid di kawasan bawah esofagus dan akan menyebabkan sakit dada seperti terbakar. 

  • Ulser peptik

Rakyat Malaysia mengenali penyakit sebagai gastrik. Ulser peptik adalah disebabkan luka pada dinding perut dan bahagian usus kecil yang berpunca dari peningkatan asid dalam perut.

Secara amnya, perut kita memang menghasilkan asid untuk proses penghadaman namun terlalu banyak asid menyebabkan luka pada dinding perut. Antara punca peningkatan asid ini adalah disebabkan jangkitan kuman H.Pylori dan risiko untuk jangkitan ini meningkat akibat merokok.

  • Penyakit hati

Hati berperanan untuk membuang toksin dalam darah. Rokok boleh menyebabkan hati anda kehilangan fungsi ini.

  • Penyakit Crohn

Selain itu, tabiat merokok boleh menyebabkan keradangan pada usus kecil yang disertai gejala sakit perut dan cirit-birit. 

5. Gangguan perhubungan seks

 

Nikotin akan mengganggu aliran darah kepada organ reproduktif lelaki dan wanita. Akibatnya ialah:

Seperti yang telah diterangkan nikotin mengganggu pengaliran darah pada zakar. Ketegangan zakar bergantung pada pengaliran darah. Gangguan aliran darah akibat merokok menyebabkan lelaki sukar mencapai ereksi atau mengekalkan ereksi. 

  • Libido berkurang

Libido atau keinginan untuk melakukan hubungan seksual akan berkurangan akibat kesan bahan kimia dalam rokok.

  • Kemandulan

Bahan dalam rokok boleh merosakkan DNA pada sperma dan ovum yang penting untuk penghasilan janin. Mati pucuk juga boleh menjadi penyebab kemandulan manakala wanita yang merokok boleh mengalami menopaus lebih awal.

6. Penampilan Diri

 

Antara kesan merokok yang boleh dilihat dalam jangka masa yang pendek ialah perubahan pada penampilan. Merokok menyebabkan kerosakan pada tisu kolagen dan mengganggu fungsi elastik kulit. Ia juga menyebabkan penurunan kadar penyembuhan luka dan meningkatkan risiko jangkitan. 

  • Kulit kusam: Merokok akan menyebabkan kulit kelihatan kusam, kelabu dan tidak bermaya. Nikotin mengganggu pengaliran darah pada kulit anda dan secara tidak langsung menyekat bekalan oksigen kepada kulit.

  • Gigi kuning: Antara kesan merokok ialah menyebabkan gigi menjadi kuning dan lebih teruk ialah gigi menjadi hitam atau coklat akibat kesan tar pada gigi.

  • Kuku dan jari kuning: Tar dalam rokok juga mampu menjadikan kuku dan jari bewarna kuning. Namun begitu, gejala ini akan pudar apabila anda berhenti merokok.

  • Rambut gugur: Merokok membuatkan rambut tidak kuat, kusam dan mudah gugur.

  • Kanser kulit: Sebuah kajian telah menunjukkan bahawa merokok juga meningkatkan risiko kanser kulit.

Kesimpulan

Semoga dengan informasi ini anda lebih mengenali kesan merokok dan menjadi titik perubahan untuk berhenti merokok dan menjalani hidup yang lebih sihat. Berhenti merokok bukanlah perkara yang mudah malah akan bertemu dengan pelbagai dugaan. Tetapi dengan azam yang kuat anda mampu mendapatkan hidup yang lebih sihat dan bebas daripada rokok. Rujuk kepada doktor hari ini untuk berhenti merokok!


Ingin berhenti merokok? Konsult doktor kami secara PERCUMA!

Rujukan:

* Inisiatif konsultasi doktor percuma disokong dan ditanggung sepenuhnya oleh DoctorOnCall