Anda harus ingat bahawa diagnosis tidak dapat disahkan hanya dengan hanya menilai simptom yang dialami oleh pesakit. Sekiranya doktor mengesyaki anda menghidapi kanser esofagus, ujian lanjut akan dilakukan untuk mengesahkan diagnosis dan juga untuk memastikan ianya bukan berpunca dari masalah lain.
Pemeriksaan barium swallow- pesakit akan diminta untuk meminum cecair barium yang akan menyalut permukaan esofagus. Sekiranya ada tumor atau perubahan pada permukaan esofagus, ianya dapat dilihat dengan jelas dari X-ray.
- Teropong tekak-perut-duodenum (OGDS)- menggunakan tiub fleksible yang dilengkapi kamera untuk melihat ke dalam saluran permakanan melalui mulut.
- Endoscopic ultrasound- prosedur ini dilakukan pada masa yang sama dengan OGDS dengan menggunakan imbasan ultrasound untuk melihat struktur dinding esofagus dan kelenjar limfa di sekeliling dilihat.
- Teropong bronchoscopy- Prosedur ini dilakukan sekiranya tumor berada di bahagian dua per tiga atas esofagus untuk memastikan ia tidak merebak ke saluran pernafasan.
- Biopsi- Prosedur ini melibatkan pengambilan sampel tisu dari kawasan yang terlibat untuk pemeriksaan patologi bagi mendapat diagnosis yang tepat
- Imbasan CT (Computed tomography)- menggunakan X-ray, kaedah ini dapat mengukur saiz tumor dan mengesan tumor yang telah merebak di tempat lain.
- Imbasan magnetic resonance imaging (MRI)- kaedah ini menggunakan kuasa magnet bagi menghasilkan gambar yang terperinci dibantu dengan menggunakan pewarna istimewa yang disuntik melalui saluran darah. MRI ini juga dilakukan untuk mengukur saiz tumor dan mengesan tumor yang merebak di organ lain.
- Imbasan Positron emission tomography (PET) scan- Gula radioaktif akan disuntik ke dalam badan dan diserap oleh badan kemudiannya akan dikesan oleh mesin pengesan. Sel kanser akan mengambil banyak gula berbanding sel normal maka ia dapat dilihat dari gambar yang dihasilkan dari imbasan PET.
Sekiranya disahkan kanser, doktor akan menggunakan keputusan hasil dari ujian yang dilakukan untuk mengklasifikasikan kanser kepada tahap-tahap tertentu.