Strok

Penyebab, Gejala, Diagnosis Dan Rawatan Penyakit Stroke (Angin Ahmar)

Baca Soalan

Pengenalan saluran darah otak

Otak merupakan organ yang sangat penting dalam tubuh badan. Fungsi otak sangat penting untuk aktiviti harian seperti bergerak, bertutur, melihat, mengawal emosi, berfikir dan banyak lagi. Setiap aktiviti ini dikawal oleh bahagian otak yang berbeza. Antara bahagian otak ialah Frontal lobe, Motor cortex, Parietal lobe, Temporal lobe, Occipital lobe, cerebellum dan banyak lagi. Setiap bahagian ini mempunyai fungsi tersendiri dan mengawal aktiviti tertentu. Sebagai contoh, frontal lobe mengawal personaliti dan konsentrasi, motor cortex mengawal pergerakan volunteri, parietal lobe mengawal fungsi sensasi badan, temporal lobe mengawal pendengaran, occipital lobe mengawal penglihatan dan cerebellum mengawal pergerakan halus dan teliti.

Dalam keadaan tertentu badan akan meletakkan keutamaan bagi membolehkan otak berfungsi seperti normal berbanding organ lain. Sebagai contoh ketika berpuasa, badan akan kekurangan glukosa, oleh itu badan akan memastikan otak mendapat glukosa yang secukupnya terlebih dahulu sebelum organ-organ lain. Untuk memastikan otak berfungsi dengan baik, terdapat begitu banyak saluran darah seperti arteri dan vein yang boleh membawa darah dan nutrisi penting untuk sel otak.

Saluran darah ke otak dibahagikan kepada dua, iaitu segmen hadapan (anterior) dan belakang (posterior) berkaitan dengan arteri yang membekalkan darah ke otak. Dua jenis arteri utama yang membawa darah ke otak ialah arteri karotid dalaman (internal carotid artery) yang menyumbang sebanyak 80 % dari total penyaluran darah ke otak dan arteri vertebral (vertebral arteries) yang menyumbang selebihnya sebanyak 20 % darah ke otak. Terdapat dua internal carotid arteries, iaitu kiri dan kanan yang membekalkan darah kepada bahagian segmen hadapan otak dan dua verterbral arteries, juga kiri dan kanan yang membekalkan darah kepada bahagian segmen belakang otak. Kesemua arteri ini akan bercabang dan bergabung melalui dua arteri posterior communicating arteries. Ini semua membentuk kepada Circle of Willis iaitu kitaran saluran yang membekalkan darah kepada seluruh otak dan organ sekeliling.

Sakit stroke ialah satu keadaan apabila terdapat defisit fungsi otak seperti kelemahan kaki dan tangan, gangguan penglihatan, gangguan pertuturan dan sakit kepala yang teruk disebabkan oleh punca vaskular atau gangguan bekalan darah ke otak.

Saluran darah membekalkan darah kepada bahagian-bahagian otak yang tersendiri. Jika saluran darah kepada sesuatu bahagian terganggu, ini akan menjejaskan fungsi bahagian otak tersebut. Oleh kerana setiap bahagian otak mempunyai fungsi tertentu, simptom dan gejala stroke berbeza bergantung kepada bahagian otak dan saluran darah yang terlibat.

Jenis-jenis stroke atau angin ahmar

Sakit stroke boleh dibahagikan kepada 3 jenis berdasarkan penyebab atau pathophysiology, iaitu stroke iskemia, jenis stroke hemoragik dan jenis stroke lain-lain.

Stroke iskemia merupakan jenis stroke paling banyak, iaitu sebanyak 80 % dari total jumlah stroke yang dilaporkan. Saluran darah iaitu arteri boleh tersumbat dan menyekat pembekalan darah ke otak. Ini menyebabkan otak tidak mendapat darah yang membawa oksigen dengan cukup dan menyebabkan sel dan tisu otak mengalami deprivasi oksigen. Akibatnya tisu ini mengalami iskemia. Lebih teruk lagi jika ia tidak dirawat dengan segera, tisu atau sel boleh mati secara kekal dan keadaan ini dipanggil infarksi. Penyebab utama stroke iskemia ialah penyakit aterosklerosis dan penyakit arteri kecil. Ramai rakyat malaysia menghidapi penyakit aterosklerosis disebabkan oleh penyakit kolesterol tinggi. Aterosklerosis menyebabkan penyempitan saluran darah atau digelar stenosis. Contohnya ialah stenosis arteri karotid boleh menyebabkan stroke bahagian segmen hadapan otak. Penyebab stroke iskemia lain ialah thrombus, embolus, dan hypoperfusion.

Stroke hemoragik pula terjadi kerana terdapat perdarahan di otak yang menyebabkan gangguan bekalan darah ke otak. Contoh perdarahan di dalam otak ialah intracerebral haemorrhage (ICH) dan subarachnoid haemorrhage (SAH). Pendarahan di kepala berpunca dari saluran darah di otak pecah. Antara sebab utama pecah saluran darah ialah kerana tekanan darah yang sangat tinggi dan usia tua yang menjadikan arteri lebih mudah untuk pecah. Selain itu juga, struktur arteri dan vein di dalam otak juga boleh menjadikan ia lebih senang pecah. Contohnya ialah aneurysm dan arteriovenous malformation (AVM). Namun kejadian ini hanya menyumbang kepada 17% dari total jumlah kes stroke.

Selebih 3% kes stroke adalah disebabkan oleh masalah-masalah lain seperti arteri terbelah atau arterial dissection, venous sinus thrombosis, vascuilitis dan berbagai lagi. Penyakit-penyakit ini sangat jarang.

Apa itu atherosclerosis

Aterosklerosis atau atherosclerosis ialah keadaan di mana terdapat plak-plak lemak yang terkumpul di dinding dalam pembuluh darah. Ini boleh menyebabkan arteri menyempit, mengeras dan lebih teruk lagi boleh tersumbat secara total. Lemak yang berkumpul ini ialah kolesterol, lebih tepat lagi kolesterol yang bukan HDL. Pemakanan yang tinggi dalam lemak dan kolesterol LDL dan gaya hidup tidak aktif merupakan penyebab utama tinggi kolesterol dalam badan.

Aterosklerosis merupakan penyebab utama sakit arteri seperti serangan jantung, stroke dan sakit arteri di kaki. Kesemua penyakit ini serius dan boleh membawa maut. Oleh itu, arterosklerosis perlu dikawal agar arteri tidak terus menyempit atau tersumbat. Makanan yang kaya dalam HDL seperti minyak ikan omega 3 boleh mengurangkan jumlah deposit lemak di dalam pembentung darah. Mengurangkan tahap kolesterol dalam badan juga boleh membantu menghalang pertumbuhan arterosklerosis. Ubat statin dan gaya hidup yang lebih sihat adalah rawatan untuk penyakit kolesterol tinggi.

Epidemilogi

Stroke merupakan salah satu penyebab kematian paling banyak di dunia, berada di tangga ketiga di bawah. Dari segi kecacatan kekal, stroke merupakan penyumbang utama. Akibat stroke, berbillion dollars telah digunakan dalam bidang kesihatan di seluruh dunia untuk mencegah dan merawat strok otak.

Apabila seseorang telah mendapat serangan stroke, majoriti mereka akan mengalami kecacatan kekal seperti kesukaran untuk bergerak, makan, bercakap dan berbagai lagi. Kos untuk menjaga pesakit ini adalah besar kosnya dan oleh kerana mereka hilang keupayaan untuk bekerja, ekonomi pesakit dan keluarga serta negara juga akan berkurang.

Mereka juga akan bergantung kepada ubat sepanjang hayat mereka dan peralatan medikal seperti katil dan kerusi roda, di mana semua ini akan menelan bajet yang banyak. Keluarga pesakit juga akan turut terkesan dari segi fizikal dan emosi, selain dari sudut kewangan. Oleh itu, seeloknya seseorang perlu menjaga kesihatan mereka, terutamanya memastikan tekanan darah adalah normal, BMI adalah normal dan tahap kolesterol juga dalam tahap normal.

Written by: Sri Viknarajan A/L Puvendran

Universiti Hasanuddin, Indonesia – MEDICAL DEGREE (DR)

18 Aug 2018
Perlu Bantuan?