Ketahui 10 Bahan Kandungan Rokok Yang Boleh Membunuh Anda

Kandungan Rokok. Ketahui Bahayanya Kepada Tubuh - DoctorOnCall

Apakah pengertian rokok? 

Merokok merupakan tabiat yang menjadi kebiasaan bukan sahaja di kalangan masyarakat Malaysia tetapi di seluruh dunia juga terpengaruh dengan trend ini. Merokok dianggap sebagai simbol maskuliniti atau kehebatan bagi sesetengah orang. Ada juga menjadikan rokok sebagai sumber yang memberikan kelegaan dari tekanan hidup. Walaupun populasi di dunia sudah tahu keburukan dan bahaya merokok namun masih ramai lagi yang merokok. Jadi apa yang menyebabkan perokok tidak boleh meninggalkan rokok walaupun sudah tahu bahayanya? Apakah kandungan rokok dan kesan merokok dan kepada orang sekeliling. Marilah kita sama-sama lihat kandungan rokok untuk mengetahui mengapa ianya begitu berbahaya.

Telah dilaporkan bahawa terdapat 7000 bahan kimia di dalam rokok dan sebanyak 70 bahan yang dikenali menjadi punca kanser. Antara bahan-bahan utama rokok yang membahayakan ialah:

1. Nikotin

2. Tar

3. Karbon monoksida

4. Arsenik

5. Formaldehid

6. Plumbum

7. Benzena

8. Kadmium

9. Hidrogen sianida

10. Aseton


Kandungan rokok dan kesannya:

1. Nikotin 

Nikotin adalah bahan dalam rokok yang tidak asing lagi namanya. Kajian menunjukkan nikotin adalah penggalak pertumbuhan kanser. Bagaimana nikotin menyebabkan ketagihan? Nikotin secara amnya akan meransangkan pengeluaran dopamin dalam otak. Dopamin adalah hormon yang menyebabkan seseorang untuk merasa gembira dan teruja. 

Seperti dadah, dopamin akan melatih otak kita untuk mengulang pengambilan nikotin. Setiap kali kita menghisap rokok, otak kita akan mengeluarkan hormon dopamin. Jadi semakin lama seseorang itu menghisap rokok, semakin sukar dia meninggalkannya. Disebabkan nikotin menjadi punca ketagihan, perokok yang ingin berhenti akan mengalami fenomena sindrom sarak ataupun withdrawal symptoms. Ketahui jika anda bergantung kepada nikotin di sini! Antara simptom-simptom yang anda akan alami ialah:

  • Rasa keinginan yang kuat untuk merokok
  • Kerisauan
  • Cepat marah
  • Kemurungan
  • Rasa kekosongan
  • Tidak dapat menumpukan perhatian

Jadi apakah kesan nikotin terhadap badan kita?

  • Merosakkan saluran darah dan meningkatkan risiko penyempitan saluran darah
  • Menyebabkan pening kepala
  • Gangguan sistem pencernaan
  • Menyebabkan ulser perut

2. Tar

Tar mengandungi pelbagai bahan kimia yang menyebabkan kanser. Sebanyak 60 bahan kimia yang dijumpai dalam tar adalah bersifat karsinogen (punca kanser).  Apabila seorang perokok menghisap rokok, tar akan menghasilkan permukaan yang melekit pada dinding dalaman paru-paru. Hal ini akan menyebabkan kanser dan penyakit kronik pernafasan. Tar juga merupakan penyebab paru-paru menjadi hitam. Bahan ini bukan sahaja menyebabkan penyakit pada paru-paru, ia juga boleh menyebabkan kanser mulut, kerosakan gigi dan penampilan yang kurang baik.

3. Karbon monoksida

Karbon monoksida ialah gas yang tiada bau dan warna dan meningkat dalam darah apabila seseorang menghisap rokok. Sewaktu karbon monoksida memasuki dalam saluran darah, oksigen akan bercantum dengan gas ini sekaligus menyekat oksigen dari diserap ke dalam sel-sel tubuh. Antara simptom-simptom keracunan karbon monoksida ialah:

  • Mudah letih
  • Pening kepala
  • Loya dan muntah
  • Kekeliruan

4. Arsenik

Arsenik ialah bahan yang boleh dijumpai dalam kandungan rokok yang juga penyebab kanser seperti:

  • Kanser paru-paru
  • Kanser kulit
  • Kanser pundi kencing
  • Kanser hati
  • Kanser buah pinggang

Sebuah kajian telah menunjukkan bahawa walaupun dalam jumlah yang sedikit arsenik boleh menyebabkan kematian akibat sekatan saluran darah dan penyakit jantung.

5. Formaldehid

Formaldehid merupakan kandungan rokok yang terhasil daripada bahan bakar rokok. Ia merupakan gas yang tiada warna tapi mempunyai bau yang kuat. Antara kesan apabila seseorang terdedah kepada formaldehid ialah:

  • Kepedihan ada mata, hidung dan tekak
  • Nafas berbunyi seperti wisel
  • Kegatalan kulit

Penggunaan rokok dalam tempoh yang lama boleh menyebabkan kanser hidung dan telah terbukti bahawa formaldehid merupakan bahan karsinogen.

6. Plumbum

Pendedahan pada plumbum boleh menyebabkan komplikasi yang serius kepada otak dan sel darah merah.  

7. Benzena

Benzena mengurangkan sel darah merah dan merosakkan sum-sum tulang. Ini membuatkan seorang perokok boleh menghidapi penyakit anemia. Anemia merupakan penyakit di mana sel darah merah berkurangan. Kekurangan sel darah merah akan menyebabkan kekurangan oksigen yang dihantar kepada sel. Benzena juga dikaitan  dengan Leukemia Myelogenous Akut, ia merupakan kanser sel darah putih.

8. Kadmium

Kadmium juga boleh dijumpai dalam kuantiti yang banyak dalam rokok. Ia mampu merosakkan paru-paru, buah pinggang, hati dan sel darah merah. Kadmium juga merupakan bahan karsinogen. Antara gejala keracunan kadmium ialah:

  • Cirit birit
  • Kekejangan otot
  • Gangguan deria
  • Kegagalan buah pinggang

9. Hidrogen sianida (Hydrogen cyanide)

Untuk pengetahuan anda, kadar hidrogen sianida dalam sebatang rokok adalah dalam lingkungan 10 - 400 mikrogram. Hidrogen sianida adalah sejenis gas yang akan menghalang sel-sel dalam tubuh badan dari menggunakan oksigen. Oksigen adalah komponen yang penting untuk sel-sel berfungsi. Tanpa oksigen, sel-sel dalam tubuh badan akan mula mati.

10. Aseton

Di dalam rokok terdapat bahan yang dipanggil aseton. Aseton adalah cecair yang mempunyai bau yang kuat dan senang terbakar. Aseton boleh dijumpai pada pokok dan tumbuh-tumbuhan, malah tubuh badan kita menghasilkan aseton apabila anda memakan diet yang rendah lemak. 

Kadar aseton yang sedikit tidak akan memudaratkan kesihatan anda, tetapi hal ini tidak berlaku kepada seorang perokok. Dalam kadar sederhana, aseton mampu membuat iritasi pada hidung, tekak, paru-paru dan mata. Selain itu, aseton boleh menyebabkan pening kepala, peningkatan degupan jantung, loya dan muntah.

Dalam kadar tinggi, aseton boleh menyebabkan koma. Wanita juga boleh mengalami haid yang tidak teratur. Aseton akan menyebabkan kulit pada dinding mulut rosak. Kerosakkan pada dinding mulut yang berulang kali akan menyebabkan anda cendurung untuk mendapat kanser mulut.


Rokok tidak mendatangkan apa-apa hasil ataupun manfaat. Jika anda merokok untuk menghilangkan tekanan, terdapat banyak cara lagi untuk menghilangkan tekanan yang tanpa memudaratkan kesihatan dan meningkatkan risiko menghidap pelbagai penyakit seperti kanser paru-paru dan kanser-kanser lain. Anda berhak untuk menjalani hidup yang sihat begitu juga mereka di sekeliling anda. Rokok bukan sahaja memudaratkan anda, tetapi juga mereka yang terhidu asap rokok yang anda. Berhenti merokok dapat menyelamatkan anda dan orang yang anda sayangi. Lakukan sekarang dan jauhkan diri daripada bahaya rokok. Rujuk kepada doktor untuk mengetahui tentang cara-cara berhenti merokok.



Ingin berhenti merokok? Konsult doktor kami secara PERCUMA!


​​​

Rujukan:

* Inisiatif konsultasi doktor percuma disokong dan ditanggung sepenuhnya oleh DoctorOnCall