Larangan Merokok Dikuat Kuasakan, Apa Manfaatnya Kepada Awam?

Test Ketahui Akta Larangan Merokok Dan Manfaatnya - DoctorOnCall

Akta & Peraturan Larangan Merokok

“Asap rokok menghasilkan pencemaran udara dalaman yang tinggi dengan 300 jenis gas toksik. Meskipun kita tidak melihat asap atau tidak lagi menghidu baunya, ini tidak bermakna kita bebas dari risiko bahaya apabila berada di kawasan merokok”

Berikut merupakan penjelasan Dr Shawaludin Husin, Doktor Kesihatan Pekerjaan (OHD) mengenai bahaya asap rokok kepada orang awam. Asap rokok yang disedut oleh bukan perokok sebenarnya memberi ancaman yang lebih tinggi berbanding dengan perokok sendiri. Sebagai contohnya;

  • Ibu mengandung berisiko keguguran atau melahirkan bayi pra matang. Kajian juga membuktikan, bahawa ibu-ibu ini berisiko melahirkan bayi yang mempunyai sindrom-sindrom tertentu.


Disinilah terletaknya kewajaran Kementerian Kesihatan Malaysia mewujudkan peraturan larangan merokok mengikut Peraturan- Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004.

Suatu Peraturan yang termaktub dibawah Akta Makanan 1983 bertujuan melindungi orang ramai terhadap bahayanya di segi kesihatan dan penipuan pada penyediaan, penjualan dan penggunaan dan mengenai perkara-perkara bersampingan atau berkaitan dengannya.

 

 - Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur & Putrajaya.

 

Kawasan Larangan Merokok

Di bawah peraturan 11(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau, terdapat 23 kawasan larangan merokok seperti yang disenaraikan di bawah;


1. Di taman awam kecuali di tempat letak kereta terbuka.

2. Di kawasan yang digunakan untuk aktiviti keagamaan.

3. Di kawasan taman asuhan kanak-kanak

4. Di tempat premis atau pejabat kerajaan.

5. Di kawasan menara cerapan, titian kanopi dalam taman negara atau taman negeri.

6. Dalam kawasan pusat hiburan kecuali pub dan disko.

7. Di kawasan kemudahan kesihatan seperti klinik atau hospital.

8. Dalam tandas awam atau lif.

9. Di dalam kenderaan awam atau hentian bas atau tren.

10. Di kawasan tempat kerja yang  berhawa dingin.

11. Dalam bas sekolah.

12. Dalam kawasan pusat sumber.

13. Dalam kawasan tempat latihan khidmat negara.

14. Dalam mana-mana stesen pengisian minyak.

15. Dalam kawasan aktiviti perhimpunan di dalam sesuatu bangunan selain daripada bangunan kediaman.

16. Di kawasan kafe siber.

17. Dalam mana-mana kawasan kegiatan sukan.

18. Dalam institusi pendidikan.

19. Dalam mana-mana tingkat yang memiliki kaunter perkhidmatan.

20. Dalam kawasan pusat beli belah.

21. Dalam mana-mana kawasan taman permainan kanak-kanak.

22. Di kawasan lapangan terbang.

Bermula 1 Januari 2019, pihak Kementerian Kesihatan Malaysia mewartakan tempat makan di seluruh negara sebagai kawasan larangan merokok. Ini akan dimulakan dengan penguatkuasaan pendidikan selama 12 bulan kemudian diikuti dengan penguatkuasaan secara penuh bermula Januari 2020. Selain itu, setiap premis yang disenaraikan wajib untuk mempamerkan tanda dilarang merokok. Ambil kuiz ini untuk mengetahui jika anda bergantung pada nikotin!

Berikut merupakan kawasan larangan merokok di restoran & premis makanan

  • Rumah kedai
  • Tempat makanan terbuka
  • Trak makanan
  • Restoran di atas tanah lot
  • Kedai makan dalam sungai
  • Restoran atas awan
  • Kenderaan 

Kenali Tanda Larangan Merokok 

Papan tanda larangan merokok ini akan dipamerkan di kawasan-kawasan larangan merokok untuk mengingatkan orang awam untuk dilarang merokok dan vape. Papan ini dibuat daripada bahan yang keras, tegap dan tahan lama dan saiz papan ini adalah berdasarkan tempat papan ini dipamerkan. 

Tindakan Jika Gagal Patuhi Arahan

Mulai 1 Januari 2020, denda akan dikenakan kepada kedua -dua perokok dan pemilik premis makanan & restoran berdasarkan akta larangan merokok 2020.

Kesalahan Perokok

Kesalahan Pertama

Kompaun sebanyak RM250 (RM150 jika bayaran dibuat kurang daripada sebulan)

Kesalahan Kedua

Kompaun sebanyak RM250

Kesalahan Ketiga

Kompaun sebanyak RM350

Kesalahan Pemilik Premis Makanan & Restoran

Kesalahan Pertama

Kompaun sebanyak RM250

Kesalahan Kedua

Kompaun sebanyak RM250

Kesalahan Ketiga

Kompaun sebanyak RM350

Aduan merokok di premis makanan atau di mana-mana tempat awam boleh dibuat melalui Whatsapp ke talian 010-8608949. Talian ini membolehkan anda menghantar bukti gambar perokok merokok di premis atau tiada tanda larangan merokok di premis berkenaan. Nama dan alamat restoran berserta tarikh dan masa rakaman dibuat juga perlu dihantar bersama-sama pesanan bukti tersebut. Panggilan juga boleh dibuat pada waktu pejabat ke talian 03-88924530.  

Faedah Akta Larangan Merokok

# Membudayakan Tidak Merokok

  • Matlamat kerajaan adalah untuk meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai amalan gaya hidup sihat dan memastikan rakyat dapat menikmati kehidupan yang sihat dan selesa. Dengan pengenalan akta dan peraturan ini, lebih ramai terutamanya remaja melepaskan amalan merokok atas sebab tindakan tegas yang diambil melalui penguatkuasaan peraturan tersebut.
  • Namun, keberkesanan peraturan ini masih tidak boleh dinilai sepenuhnya kerana tempoh pelaksanaannya yang baru saja mencapai 1 tahun.

#Negara Bebas Asap Rokok

  • Kita semua adalah perokok jika terdedah kepada asap rokok yang dihembuskan oleh perokok tegar, malah kesan yang dihidap oleh kita adalah sama atau jauh lebih tinggi daripada perokok tegar.
  • Kandungan bahan kimia beracun dalam asap rokok mampu memberi kesan epigenitik atau mengubah struktur genetik dalam sel sel kita dan merosakkan organ. Kajian yang telah dijalankan oleh Shewta Ramdas dari Universiti Michigan membuktikan bahawa bahan kimia beracun dalam asap rokok mampu medatangkan implikasi mutasi kepada struktur DNA dan boleh diwarisi oleh generasi yang akan datang.

# Sick- Building Syndrome?

  • Berada di dalam bilik atau bangunan yang dipenuhi asap rokok boleh menyebabkan pelbagai gejala tidak sihat yang dikenali sebagai “Sick Building Syndrome”. Terdapat banyak kajian yang dijalankan membuktikan sindrom ini mampu menyumbang kepada pelbagai masalah kesihatan seperti sakit kepala, kerengsaaan pada mata dan kulit serta kekejangan.



  • Dengan pelaksanaan peraturan larangan merokok ini, sindrom ini dapat dielakkan serta meningkatkan kualiti pekerjaan dan menyediakan satu platform yang sihat kepada para pekerja.

# Mempertingkatkan Keberkesanan Program “Tak Nak” Merokok

  • Pelbagai usaha telah dijalankan oleh kerajaan untuk memupuk kesedaran dalam kalangan rakyat untuk tidak merokok. Antaranya ialah, dengan memperkenalkan pek rokok yang diselitkan dengan maklumat dan gambar bahaya merokok. Kempen seperti “Nafas Baharu Bermula Ramadhan” dan “Tak Nak”  telah dilaksanakan.
  • Malahan, merokok juga telah dihukumkan haram dalam Jawatankuasa Majlis Fatwa Kebangsaan sejak 1995 lagi. Hasil dan keberkesanan program-program ini boleh dipertingkatkan dengan pengenalan peraturan larangan merokok ini. 

# Mengurangkan Kadar Penyakit Tidak Berjangkit

  • Mengikut statistik Kementerian Kesihatan Malaysia, merokok merupakan risiko nombor satu bagi penyakit tidak berjangkit seperti penyakit jantung, strok dan pelbagai jenis barah. Malaysia kini menduduki di tangga pertama bagi peratusan penyakit tidak berjangkit di Asia Tenggara.
  • Dengan pengenalan akta dan peraturan larangan merokok, kawalan terhadap tabiat merokok dapat dilaksanakan dan diharap dapat mengurangkan kadar penyakit tidak berjangkit ini.

Rujuk kepada doktor untuk mengetahui dengan lebih lanjut tentang cara-cara berhenti merokok. 



Ingin berhenti merokok? Konsult doktor kami secara PERCUMA!


Rujukan:

* Inisiatif konsultasi doktor percuma disokong dan ditanggung sepenuhnya oleh DoctorOnCall