Kempen Tak Nak Merokok Satu Kegagalan. Apakah Rintangannya?

"Rintangan Yang Menggagalkan Kempen Tak Nak Merokok - DoctorOnCall "

Pengenalan Kempen Tak Nak Merokok

Satu fakta merokok yang menarik tetapi membimbangkan ialah dianggarkan lebih 27,200 orang penduduk terbunuh di Malaysia akibat penggunaan produk tembakau setiap tahun.

Peratusan pengguna produk tembakau di Malaysia pada tahun 2015 adalah:

  • Dewasa(15 tahun ke atas): 38.8% penduduk lelaki dan 1.1% penduduk perempuan menggunakan produk tembakau.
  • Kanak- kanak(15 tahun ke bawah) : 3.06% kanak-kanak lelaki dan 0.42% kanak-kanak perempuan menggunakan tembakau.

Atas angka yang semakin membimbangkan ini, kerajaan telah bercadang untuk memperkukuh lagi kempen tak nak merokok. Teruskan membaca untuk mengetahui lebih lanjut tentang Kempen Tak Nak Merokok.

Pada tahun 2004, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah memulakan kempen anti-merokok yang dinamakan sebagai Kempen Tak Nak Merokok. Titik permulaan pelaksanaan kempen ini adalah atas berikutan peningkatan bilangan penduduk yang terlibat dalam aktiviti merokok.

Sasaran kempen ini adalah terdiri daripada kumpulan bukan perokok terutamanya remaja, atau pelajar sekolah dan juga golongan perokok untuk mengalakkan mereka untuk berhenti merokok. Objektif utama kempen ini adalah untuk;

  • Mengalakkan perokok untuk berhenti merokok.
  • Memupuk kesedaran dalam kalangan pelajar sekolah dan remaja untuk tidak terlibat dalam kegiatan merokok.

Aspek-aspek Kempen Tak Nak Merokok

Skop Kempen Tak Nak merokok merangkumi lima aspek berikut;

  • Tidak memulakan tabiat merokok - Skop ini adalah khusus untuk para remaja dan murid- murid sekolah bertujuan mendidik mereka tentang bahaya asap rokok kepada kesihatan diri dan orang lain.
  • Tahu cara-cara berhenti merokok - Aspek ini disasarkan kepada perokok yang mempunyai keinginan untuk berhenti merokok.
  • Membuat keputusan berhenti merokok - Aspek ini khusus buat golongan yang sudah mempunyai keinginan untuk berhenti merokok. Kumpulan ini akan diberikan panduan dan dorongan untuk membuat persiapan untuk berhenti merokok.
  • Berhenti merokok - Aspek ini diasaskan untuk memberi panduan kepada perokok tentang alternatif rokok dan cara-cara lain untuk berhenti merokok.
  • Melestarikan status berhenti merokok - Aspek ini ditumpukan kepada perokok yang sudah berhenti merokok untuk mengekalkan status tidak merokok buat selama-lamanya.

Kempen Tak Nak merokok merupakan satu usaha kerajaan yang menyeluruh merangkumi semua golongan.

Pelbagai aktiviti telah dilaksanakan untuk mencapai objektif kempen tak nak merokok ini. Antaranya ialah;

  • Menyiarkan mesej jangan merokok menerusi media sosial
  • Pendidikan di peringkat komuniti oleh Badan Bukan Berkanun (NGO)
  • Mengehadkan umur membeli rokok dan merokok
  • Mempamerkan amaran kesihatan bergambar di kotak rokok
  • Melarang sebarang iklan atau promosi berkenaan merokok
  • Menyediakan perkhidmatan infoline untuk berhenti merokok

Apakah Rintangan Kempen Tak Nak Merokok?

Walaupun terdapat banyak kebaikan kempen tak nak merokok, namun juga kedengaran bahawa kempen tak nak merokok gagal. Adakah benar kempen ini tidak mencapai objektifnya dan apakah faktor kegagalan kempen tak nak merokok?

1. Bimbang tidak dapat menahan ketagihan

Menurut Synder dan rakan-rakan melalui kajian mereka pada tahun 2004, kebanyakan perokok acap kali lebih risau atas kesan selepas berhenti merokok seperti kesukaran tidur, gelisah dan peningkatan selera makan. Hal ini demikian, menimbulkan rintangan kepada usaha berhenti merokok.

Adakah anda bergantung kepada nikotin? Ketahui dengan kuiz ini!

2. Ingin memilih tindakan sendiri.

Usia remaja merupakan usia di mana mereka inginkan kebebasan penuh untuk membuat pilihan sendiri. Selain itu, mereka juga merasakan merokok dapat melegakan tekanan dan meningkatkan tumpuan tanpa merimirkan kesannya terhadap kesihatan.

3. Kempen anti-merokok yang berunsur kritikan.

Perokok sering kali melihat mesej yang disampaikan melalui kempen ini adalah menyalahkan dan menghina mereka. Langkah seperti mewartakan kawasan larangan merokok menimbulkan perasaan seperti mereka membuat perbuatan yang keji. Oleh itu, hal ini menjadi juga menjadi salah satu punca kempen ini tidak menarik perhatian mereka untuk berhenti merokok.

4. Mesej kempen anti-merokok yang tidak berkesan.

Menurut Gilbert (2005), kajian mendapati bahawa kempen anti merokok menggunakan mesej yang tidak berkesan terutamanya apabila gambar-gambar yang tidak sesuai dipaparkan pada poster dan kotak rokok. Mesej-mesej sebegini mengalakkan mereka untuk terus merokok kerana gagal untuk menawarkan impak positif selepas berhenti merokok. 

Adakah Kempen Tak Nak Merokok Berkesan?

Selepas permulaan Kempen Tak Nak merokok pada tahun 2004, beberapa kajian telah dijalankan untuk melihat keberkesanana kempen ini secara keseluruhannya. Sebagai Contohnya, kajian yang dijalankan oleh Maizurah et al. pada tahun 2006 mendapati bahawa perokok di Malaysia masih pro-tembakau berbanding dengan perokok dari Kanada dan Thailand.

Lebih daripada 75% lelaki dewasa bersetuju merokok adalah normal dan lebih daripada 20% remaja tidak memikirkan bahaya rokok kepada tubuh badan. Malah lebih 35% remaja juga tidak sedar bahawa asap rokok juga berbahaya.

Kegagalan mengenai Kempen Tak Nak Merokok turut dilaporkan oleh Akhbar Utusan Malaysia menerusi Laporan Khas ‘Kempen Berhenti Merokok Gagal’. Berikut ialah data yang dipaparkan dalam laporan tersebut.

  • Kajian KKM mendapati 45 hingga 50 kanak-kanak di bawah 18 tahun menjadi perokok setiap hari.
  • 3 daripada 10 orang remaja berumur 12 hingga 18 tahun ialah perokok dan angka perokok perempuan juga meningkat.
  • Klinik Berhenti Merokok di peringkat sekolah juga menemui perokok termuda pada umur 10 tahun.
  • Bagi setiap tahun, jumlah perokok meningkat sebanyak 30,000 orang.

Melihat kepada angka-angka yang membimbangkan ini menerusi beberapa kajian yang sahih, kempen anti merokok ini dilihat sebagai satu kegagalan. Namun demikian, kerajaan tidak pernah berputus asa untuk terus mencapai objektif kempen ini.

Antara langkah yang dipraktikkan oleh kerajaan ialah perluasan kawasan larangan merokok ke semua premis makanan dan restoran, menguatkuasa undang-undang larangan merokok dan penguatkuasaan amaran bergambar pada kotak rokok.

Walaupun kempen berhenti merokok ini dilihat gagal dalam mencapai objektifnya, namun inisiatif seperti ini harus diteruskan untuk mendidik masyarakat tentang bahaya rokok dan membantu perokok berhenti merokok. 

Ambil langkah pertama hari ini dan berhenti merokok. Dapatkan nasihat doktor tentang cara-cara berhenti merokok secara lanjut!

Ingin berhenti merokok? Konsult doktor kami secara PERCUMA!

Rujukan:

* Inisiatif konsultasi doktor percuma disokong dan ditanggung sepenuhnya oleh DoctorOnCall