Ketahui Punca Individu Terjebak Dengan Rokok & Langkah Mengelakkannya

Februari 8, 2021 | Ditulis oleh: Nabil Nur Aiman Jasman

Rokok merupakan sesuatu yang tidak asing lagi dalam masyarakat kita. Terdapat pelbagai kandungan bahan yang berbahaya terdapat dalam sebatang rokok dan ramai maklum bahawa ianya memudaratkan kesihatan diri dan orang sekeliling. Maksud merokok ialah perbuatan menyedut asap tembakau ke dalam saluran pernafasan. Terdapat pelbagai sebab mengapa seseorang itu mula merokok seperti terpengaruh dengan rakan dan media, sebagai cara untuk melepaskan tekanan kerja dan hidup atau terdedah dengan persekitaran seperti tinggal bersama perokok. Walaupun merokok mungkin dirasakan dapat memberi keseronokan dan ketenangan kepada sang perokok, namun kesannya adalah sementara sahaja. Tanpa disedari mereka mula bergantung kepada rokok untuk berasa tenang. Semakin lama, rokok menjadi sebahagian daripada hidup dan akhirnya boleh menjadi ketagihan jika tidak dikawal. Tabiat merokok juga selain daripada memudaratkan kesihatan didapati menyebabkan seseorang lebih mudah mengambil bahan yang lebih berbahaya seperti dadah. 

Oleh itu, ikuti artikel ini untuk mengetahui punca-punca seorang individu boleh terjebak dengan rokok dan bagaimana kita boleh mencegahnya.

Punca Individu Cenderung Merokok

Persekitaran

  • Pengaruh Ibubapa

Ibubapa memainkan peranan yang penting dalam membentuk anak-anak sejak kecil lagi. Jika tersalah langkah, ia boleh menjadi punca kanak-kanak terlibat dengan rokok. Sekiranya mereka melihat bapa atau ibu merokok sejak kecil, lama kelamaan mereka akan merasakan merokok adalah suatu kebiasaan dan bukan kesalahan. Malah kebiasaan melihat perbuatan merokok juga menyebabkan mereka yang lumrahnya mempunyai sifat ingin tahu yang tinggi ingin mencuba sendiri rokok yang disedut bapa mereka setiap hari. Jadi tidak hairanlah jika ada kanak-kanak yang mula berjinak-jinak dengan rokok seawal usia 10 tahun!

  • Pengaruh Rakan Sebaya

Waktu remaja adalah waktu kritikal di mana seseorang mula mencari identiti dan mengenal erti kehidupan sebelum menginjak dewasa. Ketika ini, golongan remaja cenderung untuk mencuba sesuatu perkara baru seperti mempunyai pasangan, berfesyen dan mencuba aktiviti atau sesuatu yang trending dalam kalangan mereka, termasuklah rokok. Golongan remaja juga antara golongan yang mudah terpengaruh. Fasa hidup mereka ketika ini banyak dihabiskan dengan rakan-rakan. Berkawan dengan rakan yang menghisap rokok sedikit sebanyak menyebabkan mereka cenderung untuk mencubanya. Rokok juga mungkin dilihat sebagai lambang kematangan dan gaya. Sesetengah remaja mungkin terjebak dengan rokok kerana takut kehilangan rakan atau mengikut tabiat yang diamalkan oleh kumpulan rakan kerana takut disisihkan.

  • Emosi

Sesetengah individu merokok untuk melarikan diri dari tekanan. Kesan nikotin dalam rokok memberikan mereka ketenangan sementara. Walaupun tanpa disedari, ia menyebabkan kebergantungan kepada rokok.  Masalah tekanan di tempat kerja, tekanan belajar atau masalah dalam rumahtangga boleh menjadi punca seseorang mendekati rokok atau merokok dengan lebih banyak sekiranya tidak ditangani dengan baik. Sebenarnya rokok lebih memburukkan keadaan kerana individu yang merokok akan mudah marah dan sensitif ketika fasa kehilangan nikotin. Oleh itu mereka akan segera mencari rokok sebagai penyelesaian. Kitaran buruk ini kemudiannya berulang. 

  • Kemudahan

Faktor kemudahan untuk mendapatkan rokok juga memainkan peranan penting dalam punca seseorang merokok. Rokok merupakan salah satu item yang wajib ada ke mana sahaja anda pergi. Boleh dikatakan hampir semua kedai runcit, pasaraya dan kedai serbaneka ada menjualnya. Tambahan pula, terdapat kewujudan sindikit menjual rokok seludup yang lebih murah menyebabkan usaha kerajaan mengawal ketat pengedaran rokok menjadi sia-sia. Malah terdapat peniaga yang menjual rokok kepada mereka yang berusia bawah 18 tahun! Hal ini sudah terang salah disisi undang-undang, tetapi selagi tidak tertangkap, tiada siapa yang kisah. Keadaan ini juga menyumbang kepada peningkatan angka perokok dalam golongan bawah umur. Pengenalan kepada trend penggunaan rokok elektronik memburukkan keadaan. 

Media

  • Selebriti Atau Idola

Antara keburukan media massa dan media sosial yang semakin tidak boleh dipisahkan daripada kehidupan adalah pengaruhnya terhadap kehidupan seseorang. Pengaruh selebriti dan idola yang ditayangkan di media mampu menjentik minat seseorang terutamanya kanak-kanak dan remaja terhadap sesuatu perkara. Selain adegan merokok yang ditayangkan untuk memberi imej kemachoan kepada pembawa watak dalam lakonan, sesetengah artis turut menjadi duta kepada produk rokok seperti rokok elektronik atau vape. Kajian menunjukkan ramai remaja dan kanak-kanak yang mula berjinak-jinak dengan rokok dan vape kerana terpengaruh dengan idola atau selebriti kegilaan mereka yang turut menggunakan produk tersebut.

  

  • Iklan & Pemasaran

Suatu ketika dahulu, iklan bagi produk tembakau bebas ditayangkan di kaca televisyen dan menjadi tontonan remaja ketika itu. Iklan yang ditayang menunjukkan kehidupan penuh gaya, maskulin dan menenangkan. Walaupun iklan sedemikian tidak lagi ditayangkan dengan kewujudan undang-undang larangan mengiklan produk tembakau dan minuman keras di ruangan media massa, industri tembakau menggunakan medium lain untuk memasarkan produk mereka. Sebagai contoh menggunakan karikatur wajah selebriti yang menjadi duta produk mereka pada pembalut atau kotak produk rokok. Selain itu, produk tembakau seperti vape juga dijual dalam pelbagai bentuk yang menarik dan comel untuk menarik minat kanak-kanak sebagai pembeli!

Langkah Mencegah Individu Dari Merokok

Terdapat pelbagai langkah mengatasi merokok yang boleh diambil oleh mencegah rokok daripada merosakkan lebih ramai individu. Usaha daripada pelbagai pihak haruslah dilakukan bermula daripada peringkat yang lebih awal. 

  • Jauhi rokok

Segalanya bermula daripada diri anda. Oleh itu perkara paling penting untuk mengelakkan diri daripada terjebak dengan rokok adalah menjauhinya. Tidak kira apa jua alasan yang mungkin timbul, katakan TAK NAK pada rokok.

  • Amalkan gaya hidup sihat

Gaya hidup sihat haruslah menjadi amalan setiap individu. Dengan mengamalkan gaya hidup sihat, anda juga akan mengelakkan diri dengan perkara yang membahayakan kesihatan seperti rokok. Pengambilan makanan yang seimbang dan kerap bersenam dapat memberikan anda kualiti hidup yang lebih baik. Ingat, jauhi rokok.

  • Elakkan menjadi perokok pasif

Menurut kajian, perokok pasif sebenarnya mempunyai risiko ancaman kesihatan yang lebih tinggi berbanding perokok sekiranya kerap terdedah kepada asap rokok terutamanya mereka yang tinggal bersama perokok. Oleh itu, sekiranya anda mempunyai ahli keluarga atau teman serumah yang merokok, minta mereka merokok di luar rumah dan elakkan berada dekat dengan mereka apabila mereka merokok. 

  • Pendidikan

Pendidikan berkenaan bahaya rokok bukan sahaja harus diberikan kepada kanak-kanak dan remaja. Maklumat tentang bahaya dan keburukan merokok haruslah disampaikan kepada seluruh lapisan masyarakat secara umumnya. Selain itu, maklumat tentang bantuan untuk berhenti merokok seperti kaunseling, klinik berhenti merokok dan penggunaan terapi gantian nikotin juga harus di war warkan kepada lebih ramai orang agar dapat membantu lebih ramai masyarakat untuk berhenti merokok. Semakin ramai yang berhenti merokok, semakin kuranglah pengaruh rokok dalam masyarakat. 

  • Kempen

Terdapat pelbagai kempen berhenti merokok dan jauhi rokok telah dilancarkar oleh kerajaan dan badan bukan kerajaan (NGO). Kempen-kempen ini bertujuan bukan sahaja untuk memberi kesedaran tentang rokok, tetapi juga menggalakkan perokok berhenti merokok. Sebagai anggota masyarakat anda amat digalakkan untuk menyahut seruan kempen ini bagi menjadikan negara kita lebih sihat, selamat dan bebas dari bahaya rokok. 


Merokok bukan sahaja sesuatu yang tidak berfaedah, tetapi kesan merokok juga menjejaskan kesihatan bukan sahaja diri malah orang lain. Oleh itu, tidak kira apa jua situasi yang berlaku, sama ada tekanan atau pengaruh rakan, sentiasa tanamkan dalam minda bahawa merokok adalah perkara yang sia-sia, membahayakan dan membakar wang ringgit anda. Kesan akibat merokok bukanlah omongan kosong, jangan menyesal di kemudian hari.

Konsultasi Doktor PERCUMA

Bercakap dengan doktor melalui panggilan video atau telefon tentang Berhenti Merokok. Mudah, tidak perlu menunggu

Dapatkan Konsultasi Doktor PERCUMA*

* Inisiatif konsultasi doktor percuma disokong dan ditanggung sepenuhnya oleh DoctorOnCall

Dapatkan Konsultasi Doktor PERCUMA*